TAJDID KALAM: BAGAIMANA MENGHAYATI AKIDAH ISLAM YANG SAINTIFIK, DINAMIK DAN KREATIF?

 

Peradaban Islam pernah menghasilkan tokoh-tokoh pembina pemikiran dan peradaban yang sangat saintifik, dinamik dan kreatif melalui Ibn Haytham, Al-Biruni, Ibn Sina, Al-Ghazali, Ibn Arabi, Ibn Khaldun dan ramai lagi. Kemunculan tokoh-tokoh ini yang menyumbang kepada kecemerlangan pemikiran dan peradaban membuktikan bahawa akidah Islam jika dihayati secara saintifik, dinamik dan kreatif berupaya merubah kehidupan umat manusia ke arah yang lebih berkesan lagi bermakna. Persoalannya kenapa umat Islam hari ini tidak lagi memperlihatkan penghayatan akidah Islam yang saintifik, dinamik dan kreatif dalam kehidupan semasa? Sebaliknya umat Islam menjadi tidak kritikal, malas membaca, enggan berfikir serta jauh dari kekuatan analisis, logik dan metodologi saintifik dan kreativiti yang menjadi pra-syarat utama pembinaan pemikiran dan peradaban.

Kenapa misalnya para agamawan Islam masih terus mengheret umat Islam tentang isu dan permasalahan perbedaan fekah? Kenapa para asatizah masih menyibukkan umat Islam dengan masalah hadis palsu dan hadis dhaif? Kenapa golongan agama masih tidak boleh membicarakan tentang idea, gagasan dan wawasan ilmu, pemikiran dan peradaban Islam? Memahami akidah Islam secara saintifik, dinamik dan kreatif membawa kita insaf dan sedar bahawa Islam adalah Agama Pemikiran dan Peradaban bukan sekadar agama hukum-hakam fekah, halal-haram dan sunnah dan bida’h yang sering digembar-gemburkan kepada masyarakat Islam ketika ini.

Islam sebagai Agama Pemikiran dan Peradaban boleh menjadi kenyataan jika para agamawan bersedia dan berupaya untuk berjinak-jinak dengan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam serta mendepani secara langsung dengan cabaran dan peluang tradisi keilmuan, Pemikiran dan Peradaban Barat semasa. Dalam ertikata yang lain, tahap pemikiran umat Islam semasa yang masih berlegar kepada persoalan polemik hukum-hakam dan halal-haram fekah mestilah ditukar kepada perbicaraan yang membina pemikiran saintifik, dinamik dan kreatif. Persoalannya mampukan para agamawan kita menjayakan reformasi dan transformasi ini dalam pemikiran mereka terlebih dahulu?

Para agamawan harus akur pada kenyataan bahawa umat Islam lemah dalam banyak perkara seperti politik, ekonomi dan sosial adalah kerana kita tidak lagi memiliki sifat-sifat akidah yang saintifik, dinamik dan kreatif. Dan lebih mustahak, para agamawan harus sedar dan insaf atas kehilangan sifat-sifat akidah yang saintifik, dinamik dan kreatif umat Islam telah lebih jauh ketinggalan dalam dunia idea dan keilmuan yang membentuk kehidupan manusia global semasa. Sering sahajalah para agamawan menyangka umat Islam akan bangkit semula hanya dengan berlakunya perubahan politik, ekonomi dan sosial walhal dalam sejarah dan peradaban kemanusiaan ia tidak begitu. Sebaliknya perubahan idea, keilmuan dan pemikiranlah yang terlebih dahulu dicetuskan berbanding dengan perubahan politik, ekonomi dan sosial.

Sudah sampai waktunya untuk para agamawan bermuhasabah semula tentang pendekatan pengajaran dan pendidikan akidah yang mereka kemukakan kepada umat sama ada ianya benar-benar bermakna dan berkesan. Oleh kerana sifat dan tabi’at Agama Islam yang saintifik, dinamik dan kreatif, adakah pendekatan akidah yang dikemukakan juga bersifat saintifik, dinamik dan kreatif? Sebagai contoh, sejauhmanakah pendekatan akidah yang dikemukakan hari ini mengambil-kira perkembangan semasa lagi terkini dalam idea dan keilmuan kontemporari yang menjadi cabaran akidah umat Islam itu sendiri.

Apa hubungan akidah umat Islam dengan faham Fizik Kuantum dan Biologi Evolusi? Apa hubungan akidah umat Islam dengan Falsafah Analitik dan Falsafah Fenomenologi? Apa hubungan akidah umat Islam dengan faham Atheisme, Agnostikisme dan Anarkisme? Apa hubungan akidah umat Islam dengan isu dan permasalahan ekologi dan teknologi semasa? Kesemua perkara yang disebutkan diatas jelas berkehendakkan penjelasan dan penghuraian akidah yang saintifik, dinamik dan kreatif dalam menanganinya.

Para agamawan tidak boleh lagi mengajar dan menerangkan akidah Islam dalam dunia yang sempit dan tertutup kerana kita hidup dalam zaman globalisasi dan komunikasi yang serba rencam lagi terbuka. Keperluan mengemukakan pendekatan kefahaman akidah yang lebih saintifik, dinamik dan kreatif adalah strategi terbaik bagi para agamawan bagi memastikan keyakinan dan kemantapan akidah umat Islam khususnya generasi muda terus terpelihara. Akidah Islam yang sebenar seperti yang dinyatakan dalam Tradisi Kalam Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah akidah yang ditahqiqkan atau dibuktikan dengan dalil yang saintifik, dinamik dan kreatif.

Umat Islam tidak cukup dengan hanya berpegang akidah secara taqlid atau ikut-ikutan atau hafalan semata. Perkara berpegang kepada Keimanan Tahqiqi ini menjadi lebih penting berbanding sekadar Keimanan Taqlidi memandangkan kita berdepan dengan segala macam idea dan pemikiran baru lebih-lebih lagi dengan idea dan pemikiran yang mencabar kesahihan ajaran Islam itu sendiri.

Kepada sesiapa yang mengetahui sejarah kebangkitan Peradaban Barat Moden Abad ke 17, mereka akan memahami peranan Golongan Agamawan/Teologi/Skolastikism Kristian pada abad 12 – 16 dalam mencetuskan faham idea, pemikiran dan keilmuan moden Eropah khususnya melalui gerakan terjemahan besar-besaran karya-karya ilmu Islam. Tidak ramai yang mengetahui idea, pemikiran dan keilmuan Eropah Abad Pertengahan dipengaruhi kuat oleh ajaran Golongan Mutakallimun Tradisi Kalam yang berpegang kepada pendekatan Akidah yang saintifik, dinamik dan kreatif bagi menolak faham-faham ilmu dan sains Falsafah Yunani khususnya Aristotle dan Neoplatonisme.

Bukankah semua mengetahui kemunculan Sains Moden Barat Abad ke 17 itu adalah akibat penolakan terhadap Paradigma Sains Aristotle yang dikatakan dogmatik lagi tidak tepat secara empirikal. Tetapi tidak ramai yang mengetahui penolakan Paradigma Sains Aristotle yang dogmatik dan tidak empirikal itu telah lebih dahulu dibuat oleh mereka yang memiliki pendekatan Akidah yang saintifik, dinamik dan kreatif dikalangan Ahli-Ahli Kalam Asha’irah khususnya Imam Al-Ghazali bila beliau mengkritik teori-teori dan paradigma Sains Aristotle lebih 500 tahun sebelum penolakkanya dibuat pada abad ke 17 di Eropah.

Apa yang berlaku selepas Kebangkitan Sains Eropah Abad ke 17 yang mempunyai pengaruh saintifik, dinamik dan kreatif Islam ialah ia diambil-alih oleh para saintis dan ilmuan Zaman Pencerahan Abad ke 18 seperti Voltaire dan Diderot serta mereka memperkenalkan faham dan pegangan baru dalam aktiviti-aktiviti ilmu dan sains yang bertentangan dengan faham dan pendekatan Skolastikisme Kristian dari Abad 12-16 sehingga ke hari ini dengan aliran-aliran sekularisme, naturalism dan agnostikisme.

Justeru perkembangan idea, pemikiran dan keilmuan semasa ketika ini mempengaruhi langsung akidah umat Islam, maka tidak dapat tidak para agamawan Islam mestilah mencari jalan mengusahakan agar pendekatan akidah yang dikemukakan mereka mestilah memanifestasikan sifat dan tabi’at saintifik, dinamik dan kreatif sesuai dengan cabaran zaman dan lingkungan hari ini. Juga sebagai sebahagian dari inisiatif bagi meneruskan kemunculan semula tokoh-tokoh saintifik, dinamik dan kreatif Islam seperti Ibn Haytham, Al-Biruni, Ibn Sina, Al-Ghazali, Ibn Arabi, Ibn Khaldun dan ramai lagi yang telah termaktub dalam tinta emas Peradaban Islam.

Oleh  Dr Amran Muhammad

Ketua Eksekutif ISSI

No Comments

    Leave a reply