Setakat seminggu bulan Ramadan ini ada dua berita telah dilaporkan dalam akhbar berkaitan kes mereka yang tidak berpuasa. Pertama, Op Ramadan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada 6 Mei lalu.

Dalam operasi itu, lima orang Islam telah diberikan surat saman supaya hadir ke pejabat JAIM untuk memberikan keterangan. Dua orang ditangkap tidak puasa ketika membeli makanan, dua lagi ditangkap ketika merokok manakala seorang lagi ialah peniaga makanan.

Di Perak pula, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pula pada 7 Mei lalu telah membuat serbuan terhadap sebuah premis makanan popular di Ipoh kerana dipercayai menjual makanan kepada orang tidak berpuasa.

Menurut Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin, premis itu merupakan hot spot yang sering dikunjungi oleh mereka tidak berpuasa atau lebih dikenali dengan nama `geng plastik hitam’. Mengapa dipanggil geng plastik hitam? Kerana makanan itu diletakkan dalam plastik berwarna hitam semasa dijual.

Pelbagai helah digunakan untuk membolehkan jenis orang yang tidak mahu berpuasa ini mendapat bekalan makanan. Jika ditanya, macam-macam alasan diberikan. Mereka ini bukan budak-budak lagi tetapi sudah dewasa. Malulah sikit. Anak-anak tahun satu pun sudah mula berpuasa. Kadang-kadang mereka yang enggan berpuasa ini, umurnya ada yang sudah masuk waktu senja.

Lebih dikesalkan lagi ada pula peniaga yang menjadi tukang supply makanan kepada puak-puak tidak mahu berpuasa ini. Pagi-pagi lagi sudah mula jual nasi dan lauk pauk. Kebanyakan mereka ini adalah peniaga Islam yang tahu hukum hakam. Tahu mana halal dan mana haram.

Itu yang cukup menghairankan. Mereka sanggup mencari rezeki dengan cara yang salah. Bukannya mereka tidak tahu yang membeli makanan itu adalah orang Islam tidak berpuasa. Kepada peniaga-peniaga yang terlibat dengan aktiviti ini cukup-cukuplah.

Hentikanlah perbuatan ini. Bertaubatlah kerana apa yang mereka lakukan itu hanya mendatangkan dosa. Sepatutnya bulan Ramadan yang mulia ini, kita berlumba-lumba mencari pahala dengan memperbanyakkan amal ibadat.

Tidak salah untuk berniaga untuk cari duit lebih tetapi biarlah bersesuaian. Jika mula berniaga pada waktu petang, tidaklah orang syak. Ini tidak pagi-pagi lagi dah mula bungkus nasi dan air. Sudah tentu boleh menimbulkan curiga.

Kepada penguat kuasa agama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) teruskan operasi memburu orang yang tidak puasa dan peniaga yang menjual makanan kepada mereka. Anggaplah ini salah usaha mencegah kemungkaran.

Dahulu orang tidak berpuasa akan diangkut ke pejabat agama guna van jenazah. Tujuannya untuk timbulkan kesedaran tetapi sekarang tidak lagi berlaku. Sepatutnya teruskan sahaja pendekatan ini. Sekurang-kurangnya merasa juga orang yang tidak berpuasa itu bersiar-siar naik van jenazah.

Kepada perokok pula, Ramadan adalah bulan terbaik untuk mereka berhenti. Apatah lagi harga rokok yang semakin mahal. Bayangkan harga rokok sekarang sudah mencecah RM17.40 sekotak. Jika merokok dua kotak sehari kena belanja kurang-kurang RM34. Kalau sebulan? Kiralah sendiri.

Tidak mustahil mereka mampu melakukannya kerana apa yang lebih penting adalah tekad. Tekad untuk tidak lagi merokok. Tekad untuk bebaskan diri daripada tabiat buruk ini.