Dalam konteks ini, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik perhatian. Menurutnya, sistem pendidikan negara kini berada dalam landasan yang betul. Maknanya sistem pendidikan tidak perlu diubah kecuali menambah baik sistem penyampaian awam di peringkat sekolah dan pendidikan tinggi.

Pada masa kini, kewujudan pusat matrikulasi dijadikan isu oleh sesetengah pemimpin sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang. Ada suara-suara sumbang yang mencadangkan agar pusat matrikulasi ditutup. Pelbagai sebab dikemukakan. Ramai generasi masa kini lupa tentang ‘pasak negara’ dalam pembentukan negara bangsa termasuk sengaja tidak memahami dan menghayati Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, kewujudan pusat matrikulasi atau pusat asasi di seluruh negara bertu­juan mempersiapkan pelajar memasuki pendidikan tinggi negara. Hal ini dise­bab­kan pembelajaran di peringkat pendidikan tinggi amatlah mencabar. Justeru, kepimpinan terdahulu, terma­suk Dr. Mahathir sendiri yang pernah menerajui Kementerian Pendidikan, berusaha dan memerah fikiran untuk menjayakan sistem pendidikan tinggi negara.

Pada 1991, Dr. Mahathir menggariskan sembilan cabaran dalam menjayakan Wawasan 2020. Antara cabaran itu, meningkatkan pendidikan dalam kalangan rakyat. Selain itu, beliau berusaha melahirkan masyarakat saintifik, berdaya maju, kreatif dan inovatif. Oleh itu beliau memperbanyakkan penubuhan universiti berteraskan sains, teknologi dan kejuruteraan di seluruh negara.

Selain wujudnya pusat matrikulasi dan pusat asasi, sesetengah universiti menawarkan program akademik di peringkat diploma. Program ini bertujuan membangunkan modal insan secara berperingkat mengikut tahap keupayaan pelajar. Apatah lagi sekiranya program yang ditawarkan begitu sukar dan mencabar terutamanya dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan serta sains perubatan. Universiti Teknologi Mara (UiTM)- dahulu dikenali sebagai Institut Latihan RIDA dan Institut Teknologi Mara (ITM) dan UTM (dahulu dikenali sebagai Maktab Teknik dan Institut Teknologi Kebangsaan) sebagai contoh, telah melahirkan graduan hebat dalam pelbagai bidang profesional.

Kita wajar mengambil pengajaran daripada sejarah negara. Sejarah pembangunan negara bermula dengan kesusahan dan kemiskinan dalam kalangan majoriti rakyat khususnya orang Melayu. Kesenjangan ekonomi begitu ketara dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa, bandar dengan luar bandar, antara negeri dan wilayah. Sehubungan itu, kepimpinan negara melaksanakan dasar-dasar yang strategik untuk membangunkan ekonomi berpusatkan sistem pendidikan negara. Justeru, Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) dan Dasar Pembangunan Nasional (1990-2020) turut memasukkan agenda pendidikan nasional untuk membangunkan negara secara inklusif dan holistik.

Dalam pada itu, rakyat negara ini sepatutnya menghayati Perlembagaan Persekutuan yang merupakan tiang seri kenegaraan. Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen tertinggi yang sewajarnya menjadi rujukan dalam pembinaan negara bangsa yang bersatu. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyebutkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga hak-hak istimewa orang Melayu, termasuklah bidang pendidikan.

Perkara pokok ini sengaja dilupakan oleh sesetengah pihak apabila mengemukakan cadangan mengikut cita rasa masing-masing.

Kewujudan dasar pendidikan vernakular menggambarkan konsensus dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, walaupun Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam pada itu, Laporan Razak misalnya memberi ruang yang besar bagi pelaksanaan pendidikan vernakular tetapi perlu menggunakan kurikulum yang sama untuk mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dasar Kementerian Pendidikan bukanlah rigid. Kementerian turut melaksanakan dasar fleksibel untuk membolehkan lebih ramai kemasukan pelajar bukan bumiputera dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), pusat matrikulasi dan UiTM. Sebagai contoh, selepas memenangi PRU Ke-14, Menteri Pendidikan mengumumkan pertambahan bilangan pelajar bukan bumiputera dalam pusat matrikulasi di seluruh negara.

Sistem pendidikan negara juga mengalami perubahan ketara mulai 2003. Kementerian Pendidikan melaksanakan dasar pembelajaran dan pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Dalam konteks ini, kesemua pelajar termasuk kaum Melayu terpaksa menyesuaikan diri untuk membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris bagi meneruskan pengajian di peringkat pendidikan tinggi. Jelas yang rakyat boleh menerima dasar pendidikan walaupun perlu menempuh dengan pelbagai cabaran.

Sejarah pendidikan tinggi mengalami perubahan besar pada 1996 apabila Akta Pendidikan diluluskan di Parlimen. Kesannya, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dibuka seluas-luasnya di negara ini untuk membolehkan rakyat mendapat akses dalam pendidikan tinggi. Selain itu, ia juga bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global di Asia Tenggara. Hakikatnya, penubuhan IPTS menyebabkan bahasa Inggeris dan Mandarin semakin berkembang penggunaannya di peringkat pendidikan tinggi. Bahasa Melayu tidak mendapat tempat di IPTS. Pelajar Melayu terpaksa `bergelut’ di IPTS dengan kadar bayaran yuran yang tinggi.

 Berdasarkan beberapa fakta tentang sistem pendidikan negara, tiada keperluan untuk Kementerian Pendidikan melayan tuntutan sesetengah pihak yang mahu menutup pusat matrikulasi atau asasi. Apa yang lebih penting, menambah baik pelbagai aspek di pusat matrikulasi termasuk penawaran bidang akademik, meningkatkan kualiti pendidikan, menambah baik prasarana pendidikan dan mengutamakan kebajikan kakitangannya. Rakyat mahu kerajaan melaksanakan suatu dasar pendidikan yang terbaik, khususnya selepas PRU Ke-14.

Oleh Prof. Madya Dr. Kassim Thukiman 

Sumber : Utusan Online