TAMAK DAN KEDEKUT, PAKATAN HARAPAN KIAN BERMASALAH

 

Ucapan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail di Konvensenyen Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan semalam (23 April 2017) dengan jelas menggambarkan bahawa DAP, PKR, PAN dan PPBM amat sukar untuk mencari formula mengenai pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

DAP digembar-gemburkan akan bertanding di 80 kerusi Parlimen manakala PKR belum memberikan jaminan kepada dua sahabat terbaharunya, PAN dan PPBM jumlah kerusi selebihnya bagi mengelakkan daripada pertembungan sesama sendiri.

Pertembungan sesama sendiri telah menyebabkan DAP berhadapan dengan prestasi buruk sebagaimana dibuktikan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada tahun lalu manakala dalam Pilihan Raya Umum ke-13 muncul dakwaan dan tuduhan daripada PAS apabila PKR terus meletakkan calonnya.

Ekoran ‘pertindihan’ itu Presiden PAS mengeluarkan kenyataan ‘kesat’ sehingga menyebabkan berlakunya tindakan mahkamah oleh calon PKR. Dalam tindakan undang-undang tersebut, Presiden PAS menuduh bahawa ‘calon pil kuda’ dan akhirnya, kemenangan berpihak kepada BN di Bukit Besi dan Seberang Takir, Terengganu.

Pilihan Raya Umum ke-14 belum ditetapkan, tetapi boleh berlaku pada bila-bila masa sama ada dalam tahun ini ataupun sehingga Jun 2018. Pelbagai ramalan telah dibuat dan ramai pula percaya ia akan berlaku pada bulan September 2017, iaitu selepas Malaysia selesai menganjurkan Temasya SUKAN SEA yang akan berlangsung pada minggu ketiga dan keempat bulan Ogos nanti.

Realitinya, selepas ditolak 80 kerusi yang ditagih oleh DAP, tiga lagi parti dalam komponen Pakatan Harapan akan berkongsi 142 kerusi Parlimen. PKR yang dilihat begitu ditonjolkan untuk mendapat kedudukan terbaik, dijangka akan bertanding melebihi kouta yang diperuntukkan kepada DAP. Ada yang mengandaikan bahawa PKR akan bertanding di 90 kerusi Parlimen, dan ini bermakna, PAN dan PPBM akan berkongsi selebihnya.

Ekoran timbul masalah kepimpinan dalam PPBM berdasarkan petunjuk pengisytiharan keluar parti oleh penyokong dan salah seorang pengasasnya, sebagai Penasihat PPBM, Tun Dr Mahathir mungkin hanya mampu menetapkan jumlah calon sekitar 20 orang, dan selebihnya akan dikongsi oleh PAN dan sebuah lagi sekutunya yang ‘tenggelam’ iaitu Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Walaupun PSM sudah bermutasi dalam PKR, organisasi PSM masih ada dan bergerak dalam ‘utopia’ sosialismenya yang semakin ‘pudar nilai’ akan membuat tuntutan sekurang-kurangnya lima kerusi Parlimen. Ini bermakna, PAN berusaha memenuhi baki selebihnya, dan tentunya, PAN akan berhadapan persaingan sengit dengan PAS.

PAS yang pernah menjadi sekutu ‘pakatan pembangkang’ tidak akan membenarkan kerusi-kerusi yang dimenanginya sebelum ini dimenangi oleh PAN. PAN pernah dianggap sebagai parti sesat yang dilahirkan oleh ahli PAS sendiri yang terikut-ikut dengan telunjuk Anwar Ibrahim, yang pernah disifatkan oleh bekas pemimpin PAS sebagai ‘parasit’ dan Datuk Zulkifli Noordin sebagai ‘Anwarinas’.

Anwar yang sedang berhempas pulas untuk ‘membebaskan diri dari penjara’ selepas dihukum selama lima tahun atas kesalahan ‘liwat II’ setelah beberapa tindakan sekutunya dan melengah-lengahkan proses pengadilan, merasakan ‘hayat PKR’ semakin pendek. Ia berkaitan dengan ‘krisis kepimpinan’ dan hubungan kerjasama sama antara Menteri Besar, Selangor dan Presiden PKR sendiri, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tidak sebulu.

Usaha Azmin untuk mencabar jawatan presiden PKR secara halusnya pernah disekat oleh Anwar manakala pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor telah menjarakkan ‘hubungan dari dalam’ sebab Anwar mahu menentukan bahawa isterinya menerajui Selangor. PAS tidak bersetuju dengan pilihan itu, sebaliknya, mengemukakan dua nama untuk dipilih oleh Sultan Selangor dalam ‘saga krisis Menteri Besar’ ekoran tindakan menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim selepas PRK DUN Kajang yang turut dikenali sebagai ‘Langkah Kajang’.

Keputusan PAS itu juga menyebabkan ‘Anwarinas’ dalam parti membuat persetujuan lebih awal daripada keputusan parti. Keputusan tersebut menyebabkan berlaku gerakan untuk ‘langgar Hadi’ yang akhirnya, kelompok berkenaan tewas teruk dalam Muktamar PAS ke-61, yang membawa kepada tertubuhnya Parti Amanah Negara (PAN).

PAN yang diterajui oleh Mat Sabu membuat ‘bai’ah’ baharu, menggantikan PAS dalam gabungan pembangkang, manakala PPBM yang ditubuhkan pada tahun 2016, berusaha untuk mengheret ahli UMNO untuk menyokong Pakatan Harapan. Tindakan itu ekoran pemecatan Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, dan penyingkiran Mukriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah manakala Shafei Afdal mengambil keputusan memimpin Parti Warisan Sabah.

PAN mengharapkan kepimpinan Datuk Husam Musa untuk menghidupkan peluangnya di Kelantan, tetapi, Husam juga akan berhadapan dengan cabaran getir untuk mempertahankan ‘kekebalan kerusi DUN Salor’ kerana PAS bersedia bertempur habis-habisan untuk menjadikannya kerusi tradisi mereka. Husam yang pernah bertanding di kerusi Putrajaya tetapi tewas kerana majoriti penjawat yang menjadi pengudi di situ tidak yakin dengan kepimpinan beliau yang gemar ‘menyerang’ kerana yang diserang itu bukanlah sesuatu yang benar-benar wujud, sebagaimana seranganya ke atas kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika diberikan kepercayaan oleh Allahyarham Datuk Nik Aziz untuk melancarkan propaganda apabila kedudukan PAS seperti dihujung tanduk selepas berkedudukan majoriti tiga kerusi di DUN Kelantan selepas terkejut dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-11 (2004).

Husam ‘sudah tidak percayai’ oleh kepimpinan PAS dan kerana itulah beliau tersingkir dalam barisan EXCO Kelantan sebelum Allahyarham Nik Aziz membuat keputusan menyerahkan kepimpinan kepada Datuk Ahmad Yaacob. Husam Musa telah memberikan ‘aib’ kepada PAS apabila menggembar-gemburkan penggantian wang kertas dengan ‘dirham dan dinar’ menerusi Kelantan Gold Trade, peletakan batu asas pembinaan Lebuh Raya Kota Bahru-Kuala Krai, pembinaan stadium di Pasir Puteh, dan yang paling parah ialah kerugian yang terpaksa ditanggung hasil perancangan pembangunan Lembah Sirih.

Keputusan terbaharu mengenai ‘pengembalian tanah adat’ kepada masyarakat Orang Asli di Gua Musang menatijahkan bahawa projek Ladang Rakyat yang pernah dirancang oleh Husam Musa dan penanaman semula hutan oleh seorang pemimpin DAP dari Perak sebagai suatu beban politik ‘kepintaran ekonomi’ yang terkandas.

Husam juga pernah mendakwa bahawa telah menemui ‘minyak atas darat di Kota Bahru’ sebagai reaksi kerasnya terhadap ketidakupayaan kerajaan negeri menuntut pemberian royalti petrol dan gas ekoran aktiviti tersebut yang berada di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, yang tidak termasuk dalam sempadan negeri.

Pembongkaran lebih banyak mengenai kegagalan Husam Musa akan menyebabkan peluangnya untuk mengekalkan kedudukan di Salor dan salah satu kawasan Parlimen di Kelantan bakal menghampakan harapan menjadikan Kelantan sebagai tapak PAN yang bermakna.

Mat Sabu, seperti biasanya tidak akan mempunyai kedudukan politik yang kuat walaupun dalam daerah kelahirannya sendiri kerana beliau lebih terkenal sebagai tukang sorak, bukannya, pemimpin politik yang autentik dan berkarisma. Dalam PAS, Mat Sabu hanyalah ‘nasih tambah’ kerana intipati ceramahnya seperti ‘lawak bodoh’ yang kurang berfakta, hanya seumpama perisa dalam makanan. Penggunaan perisa yang keterlaluan membahayakan kesihatan, bagaimanapun, makanan tanpa perisa masih terjamin khasiatnya walaupun pada awalnya kurang berselera.

Seperti dibayangkan oleh beberapa orang pemimpin Pakatan Harapan, pertandingan yang bakal dihadapi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 bukan tiga penjuru, apabila menganggap PAS sebagai sekutu BN. Andaian itu hanyalah sebagai ‘panadol’ yang cuba diberikan untuk menghilangkan rasa sakit Pakatan Harapan apabila gagal memujuk PAS bersama.

PAS memutuskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat kerana terpukul dengan tindakan DAP, manakala kekenduran hubungan dengan PKR disebabkan parti itu masih menjadi ‘boneka’ DAP dalam ketentuan politik di Selangor, dan sikap PKR terhadap PAS di Pulau Pinang. PKR dilihat sanggup melukakan hati PAS, dan ada ketikanya menikam PAS.

Tindakan itu tercium oleh de facto PKR. Dan, dari penjara Anwar mengeluarkan kenyataan untuk menyokong tindakan Presiden PAS membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat walaupun sebahagian besar pemimpin akar umbinya berdolak-dalik dan mengambil sikap ‘tunggu dan lihat.’ Arahan dari tembok penjara oleh Anwar itu hanyalah sekadar tindakan untuk meredakan krisis yang mungkin muncul dengan PAS, kalaupun tidak berjaya membai’ahkan sekumpulan pemimpin PAS Selangor untuk memutuskan ‘tahaluf siyasi’.

Meskipun PKR mendabik dada dengan kedudukannya di Selangor, Anwar sedar tanpa sokongan parti PAS adalah sukar untuk berhadapan dengan UMNO walaupun DAP mempunyai kedudukan yang lebih dominan. DAP juga berhadapan dengan ‘kemarahan’ besar pengundi atas kesilapan kepimpinan de factonya yang ‘double standard’ apabila tidak memaksa Ketua Menteri Pulau Pinang meletakkan jawatan atau bercuti sebaik sahaja dikaitkan dengan salah guna kuasa.

Apa yang sedang dialami oleh DAP sekarang, bukanlah bermakna parti itu tidak terbabit dengan salah guna kuasa atau rasuah, maka itulah menyebabkan empat wakil rakyatnya di Melaka keluar parti manakala muncul semakin ramai bekas ahlinya bersedia mencabar prinsip perjuangan parti. Proses pemilihan dan pengesahan jawatan dalam Ahli Jawatankuasa Pusat DAP masih belum sah dan bersih daripada ‘computer glitch’ dan kesahihan perwakilan.

Sebenarnya itulah yang mungkin diharapkan oleh pemimpin tertingginya, untuk merenggut keputusan pengharaman daripada Jabatan Pertubuhan sebagaimana UMNO pernah diharamkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 1988 ekoran perwakilan yang tidak sah dari cawangan yang belum sah pendaftarannya. Jika ini berlaku, DAP akan diwujudkan semula dengan ‘melupuskan dosa sebelumnya’ sebagaimana Dr Mahathir membersihkan dirinya apabila berjaya mengekalkan kuasa menerusi UMNO (Baru) untuk tempoh yang panjang.

Jika UMNO tidak diharamkan pada tahun 1988, Dr Mahathir mungkin akan berhadapan dengan krisis keyakinan yang lebih teruk dan proses pemulihan politiknya terlalu sukar atas kemenangan yang diraihnya hanya sekadar 43 undi. Itulah kelebihan strategi politik Dr Mahathir, tetapi, sejarah itu juga menyebabkan tidak ramai ahli UMNO percayakan Dr Mahathir untuk mengulangi sejarah gemilangnya dalam PPBM, yang cuba menarik ahli UMNO.

Sejujurnya, Dr Mahathir pernah berhadapan dengan ‘krisis keyakinan’ sehingga menyebabkan Terengganu tewas (1999) dan Kelantan bertukar kepimpinan (1990). Bagi sebahagian besar rakyat Kelantan, khususnya pengundi berdaftar, Dr Mahathir bukanlah seorang tokoh politik yang mereka boleh percaya, bahkan dalam beberapa tinjaun pendapat, imej Dr Mahathir pernah terperosok teruk di negeri-negeri Pantai Timur antara tahun 1987 hingga 2000. Imej Dr Mahathir hanya sekadar memadai antara tahun 1990-1997, tetapi tersungkur semula selepas berlakunya pemecatan Anwar Ibrahim.

Survival Dr Mahathir ketika itu ialah kerana parti-parti pembangkang tidak mempunyai keserasian kerjasama, walaupun pernah ada beberapa percubaan membentuk Barisan Alternatif dan Angkatan Perpaduan Ummah, ekoran doktrin PAS yang menyesakkan. Akibat doktrin ‘kafir’ menyebabkan orang Melayu dan bukan Islam khuatir, dan sebab itulah PAS hanya menjadi sogokan mental dalam kalangan pengundi majoriti Melayu dewasa dan tua.

Golongan muda sedikit kecewa dengan doktrin tersebut dan ini memberikan kelebihan kepada Dr Mahathir untuk membawa mereka mempercayai apa yang ditawarkan oleh UMNO dengan membuka pintu penubuhan Pergerakan Puteri dan sayap Putera. UMNO memberikan ruang lebih baik kepada wanita untuk bertanding, dan hal ini terlalu lambat untuk diiktiraf oleh PAS sehingga parti itu menjalinkan kerajasama dengan DAP dan PKR.

Tentunya, tanpa tahaluf siyasi berkemungkinan besa calon wanita PAS tidak akan ada kerana sebahagian ideologi patriarki masih menjadi amalan pemimpin-pemimpinnya, yakni wanita tidak dibolehkan memimpin. Sebenarnya, PAS melakukan perubahan itu demi survival politiknya, termasuk memutuskan hubungan kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, PAS tidak akan menjadi pemerintah walaupun ahlinya mendakwa Presidennya, Datuk Seri Haji Hadi Awang adalah calon yang paling layak menjadi Perdana Menteri jika PAS menang. Itu hanyalah omongan kosong, kerana PAS tidak mungkin boleh menang majority di Dewan Rakyat, kerana kekuatan sebenarnya hanya tidak lebih 40 kerusi Parlimen.

Paling banyakpun PAS sanggup meletakkan calonnya ialah sekitar 100 atau 120. Jika boleh menang 25 peratus secara bersendirian, ia merupakan rekod terbaik. Sejarahnya, PAS hanya mampu meraih kemenangan di peringkat kebangsaan sekitar 10 hingga 15 peratus dan dalam kekuatan gelombang kebangkitan pembangkang, iaitu   23 kerusi   (PRU ke-12  –2008)    dan 20 kerusi   ( PRU ke-13 –2013), yang kemudiannya, 6 kerusi beralih kepada PAN.

Desas-desus terbaharu, PAS bercadang untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen manakala PAN menasihatkan PAS agar hanya bertanding di negeri-negeri Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan negeri-negeri lain, diberikan kepada PAN dan PPBM. Sekiranya terjadi persaingan tiga penjuru, BN dijangka menang.

Kekuatan PAS yang terbaik ialah pada tahun 1999 apabila menang 27 kerusi Dewan Rakyat, tetapi bagi PRU ke-14, PAS dijangka sukar untuk mengekalkan keupayaannya. Sebab itulah PAS yang bekerjasama untuk membentuk ‘pasukan ketiga’ dengan IKATAN dilihat semakin tidak bermaya kerana parti yang dipimpin oleh bekas Menteri Penerangan, Kadir Sheikh Fadhir seperti telah dilupakan.

Sekiranya PAS bersendirian dalam PRU ke-14, Pakatan Harapan yang masih belum kemas dan sedang bercelaru bagaikan memberi isyarat bahawa BN akan memperoleh kemenangan dan kekal memerintah. Atas beberapa persoalan yang berlegar dalam pemuafakatan pembangkang, kekuatan Pakatan Harapan untuk menang adalah tipis.

Atas kebimbangan itulah menyebabkan Setiausaha Agung PKR membuat rayuan “parti lama jangan kedekut, parti baharu jangan tamak”. Mungkinkah sindiran itu ditujukan kepada PKR dan DAP yang tidak mahu mengalah, masing-masing perlu bertanding lebih banyak kerusi sedangkan PAN dan PPBM masih tertanya-tanya, berapakah kerusi yang bakal diperuntukkan kepada mereka. PAN dan PPBM parti baharu yang belum ‘teruji’ maka PKR dan DAP harus membuat perhitungan lebih serius bagi mengelakkan kekalahan besar Pakatan Harapan.

Nampaknya Parti Bebas Rasuah (PBR) tidak berpeluang bertanding dalam PRU ke-14 kerana berhadapan dengan kemarahan pengasas parti asal Parti Generasi Baharu (PGB). PGB telah dirampas dan kemudiannya ditukarkan kepada PBR oleh Ezam Mohd Nor dan Datuk Seri Khairudin. Kedua-duanya adalah bekas ahli UMNO, selepas menyertai PPBM buat seketika, mereka berdua ‘membeli’ PGB. Tindakan itu dilihat sebagai suatu ‘bentuk perniagaan’ dan bukannya perjuangan politik bermoral.

Monosin Sobri

 

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply