TAMAN DAN TUGU: DOSA BESAR, PEMBAZIRAN BESAR

Sedangkan membina tugu menyerupai haiwan sebenar sudah haram, apatah lagi berbentuk manusia, tegas Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Katanya membina tugu berbentuk manusia memang jelas haram hukumnya dan suatu ketika nanti Tuhan akan menuntut supaya binaan itu diberi nyawa.

Selain menganggapnya sebagai “dosa besar” Harussani berpendapat peruntukan besar bagi projek pengindahan taman di sekitar Tugu negara sebagai pembaziran besar negara.

Bercakap kepada Malaysiakini Harussani menjelaskan kesalahan itu menjadi lebih besar apabila binaan tugu itu mengundang manusia untuk memuja binaan tersebut.

 “Dari awal dulu lagi kita tak bersetuju (dengan pembinaan Tugu Negara) kerana kita adalah negara Islam. Kenapa kita nak memuja tugu?

“Tugu berbentuk manusia pula adalah haram,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan suntikan dana RM650 juta untuk projek Taman Tugu di atas kawasan seluas 66 ekar di sekitar Tugu Negara.

Sebahagian besar daripada peruntukan itu – atau RM500 juta – akan dibiayai Khazanah Nasional.

Hutan tropika mini dalam bandar raya itu akan menjadi sebahagian daripada ikon utama Kuala Lumpur dan fasa pertama akan siap pada pertengahan 2018.

Projek itu diumumkan ketika isu mengenai kewajaran tugu menggambarkan makhluk hidup dianggap haram dalam Islam diperkatakan timbalan Harussani, Zamri Hashim.

Mengulas lanjut, Harussani menyifatkan suntikan dana itu sebagai satu pembaziran terbesar negara.

Kata Harussani adalah lebih baik wang tersebut digunakan bagi tujuan pembangunan kehidupan rakyat di negara ini.

“Menyediakan sampai RM650 juta pula satu pembaziran. Ia sepatutnya ia boleh membantu membangunkan hidupan rakyat, malah itu lebih mudah dan baik daripada membina serta mencantikan tugu supaya orang ramai datang memuja tugu.

“Banyak lagi orang miskin di negara ini.

“Kalau dengan jumlah tersebut kita buat untuk perumahan atau bangunkan tanah-tanah yang (terbiar) ia lebih berfaedah serta hidup rakyat lebih bahagia,” tegas Harussani.

Petikan Malaysiakini online pada 05 September 2016

#TANWIR – Anti pembaziran.

No Comments

    Leave a reply