TAMBANG PESAWAT, HOTEL DIJANGKA NAIK

KUALA LUMPUR 24 Julai – Ekonomi global yang kukuh dan kenaikan harga minyak akan meningkatkan kos perjalanan udara pada tahun 2019, dengan tambang diunjur meningkat 2.6 peratus dan kadar penginapan hotel naik sehingga 3.7 peratus walaupun terdapat risiko daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Menurut unjuran tahunan perjalanan perniagaan yang dikeluarkan Carlson Wagonlit Travel (CWT) dan Global Business Travel Association (GBTA), di beberapa buah negara termasuk India, New Zealand, Norway, Jerman dan Chile, tambang pesawat dijangka naik melebihi tujuh peratus.

“Rantau Asia Pasifik pula me­nyaksikan ia akan keluar daripada tempoh yang mana terdapat banyak kapasiti dalam sistem dan tambang telah turun dengan cukup ketara dalam masa tiga hingga empat tahun kebelaka­ngan ini.

“Jadi saya berpendapat akan terdapat beberapa pelarasan tambang yang mampan,” kata Naib Presiden Pengurusan Jualan dan Program Global, Asia Pasifik CWT, Michael Valkevich.

Jun lalu Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) meramalkan tambang individu akan meningkat sebanyak 3.2 peratus pada tahun ini, kenaikan pertama sejak 2011 susulan ekonomi global yang lebih kukuh sekali gus mendorong peningkatan permintaan.

CWT/GBTA pula menjangkakan peningkatan 3.5 peratus bagi tambang pada 2018 dalam ramalan yang dikeluarkan tahun lepas.

Kos penerbangan, termasuk bahan api dan kos tenaga kerja semakin meningkat memaksa syarikat penerbangan terkemuka untuk cuba menaikkan tambang atau menambah surcaj bahan api untuk mengekalkan margin.

Sementara itu dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, CWT/GBTA berkata, kenaikan kadar hotel akan dipacu oleh peningkatan permintaan bagi perjalanan udara, yang akan merangsang permintaan bilik penginapan.

Katanya, kadar bilik penginapan dijangka meningkat sebanyak lebih daripada lima peratus di Asia dan Eropah, 2.1 peratus di Amerika Utara manakala di Amerika Latin ia dijangka berkurangan sebanyak 1.3 peratus.

No Comments

    Leave a reply