Tangani IS seperti ancaman komunis, kata Musa Hassan

Individu yang disyaki terlibat dengan militan Negara Islam (IS) perlu dipujuk untuk meninggalkan kumpulan itu sama seperti apa yang dilakukan kerajaan terhadap pengganas komunis suatu ketika dahulu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tindakan kerajaan yang hanya menghukum suspek mengikut kaedah perundangan tidak akan menyelesaikan masalah kerana golongan ini tetap berpegang pada ideologi IS.

“Jadi kita perlu memujuk mereka untuk mereka keluar daripada kumpulan tersebut. Itu penting. Kalau kita hadapi ancaman komunis, kita pun tidak mencabar mereka.

“Kita hanya minta kalau boleh mereka menyerah diri. Tindakan sebegini yang kita perlu buat,” ujar Musa ketika ditemubual secara eksklusif bersama Antarapos, semalam.

Malaysia (ketika itu dipanggil Tanah Melayu) pada 1970 menawarkan pengganas Komunis di Sarawak untuk menyerah diri dan usaha itu berhasil apabila seramai 482 ahlinya keluar dari hutan dan meletakkan senjata.

Tindakan menawar serah diri itu menyaksikan tiada lagi ancaman komunis di negeri itu.

Mei lalu Musa mencadangkan kerajaan agar mewujudkan undang-undang pencegahan bagi mengekang kegiatan militan di negara ini kerana undang-undang sedia ada tidak mencukupi kerana memerlukan pembuktian kukuh di mahkamah.

Menurut Musa, kerajaan dan pihak berkuasa perlu menyedarkan suspek yang disyaki menganggotai IS betapa agenda kumpulan militan itu bertentangan dengan ajaran Islam, sekali gus menghindarkan mereka daripada kembali menyertai gerakan itu pada masa akan datang.

“Kita kena beritahu kepada khalayak ramai apa masalah dan kesilapan ataupun ajaran yang tidak betul, yang telah dianuti oleh pengikut IS ini, supaya dengan pendedahan ini rakyat dapat berfikir bahawa ini perkara yang tidak betul.

“Kita perlu mendekati rakyat dan juga mereka yang ingin masuk dalam fahaman IS supaya kita dapat kenalpasti mereka ini dan kita boleh beri nasihat selain mencegah perkara ini,” katanya.

Sehingga kini terdapat lebih 47 rakyat Malaysia, di mana 30 daripadanya adalah lelaki, sembilan wanita dan lapan kanak-kanak dikesan berada di Syria dan Iraq terlibat dengan IS sehingga Mac lalu.

Daripada 72 individu itu, seramai 18 orang dilaporkan terkorban ketika menyertai IS di Syria, manakala tujuh lagi maut kerana terlibat sebagai pengebom bunuh diri tahun lepas.

Polis juga menahan 95 rakyat Malaysia yang berpotensi menjadi pengganas dan terlibat dalam kumpulan militan IS sehingga April lalu.

Angka itu diperolehi setelah kerajaan bertindak meluluskan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) tahun lalu.

No Comments

    Leave a reply