Tanpa ICERD bukan Melayu hidup senang lenang

ICERD adalah ringkasan daripada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination bermaksud Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum. ICERD merupakan salah satu daripada konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang Hak Asasi Manusia. CERD diterima oleh Perhimpunan Agung PBB pada 1965 dan dikuatkuasakan pada 1969.

Terdapat Lima konvensyen lagi, berkaitan Hak Asasi Manusia, yang masih belum diratifikasikan oleh Malaysia ialah Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Politik dan Sivil (ICCPR), Perjanjian Antarabangsa Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR), Konvensyen Menentang Penderaan dan Lain-lain Kezaliman (CAT), Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka (ICMW) dan Konvensyen Antarabangsa Untuk Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan yang Dipaksa (CPED).

Jika kesemua konvensyen ini diratifikasikan, ramai berpendapat, ia akan meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada negara Islam seperti Malaysia, yang begitu jelas memberikan perlindungan kepada agama Islam, Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Matlamat ICERD agar negara-negara yang meratifikasi konvensyen ini menghapuskan segala bentuk diskriminasi kaum dan menjamin hak serta kesaksamaan setiap manusia, tanpa mengira kaum, warna kulit, dan asal-usul bangsa.

Boleh dikatakan hampir kesemua ahli-ahli PBB, iaitu 179 buah negara daripada 193 buah negara telah meratifikasikan ICERT. Negara-negara yang masih belum telah meratifikasikan ICERD adalah Malaysia, Brunei,  Korea Utara, Myanmar dan lain-lain lagi.

PBB sendiri tidak pernah berlaku adil kepada Palestin, bagaimana dunia boleh percaya kepada ICERD PBB? Misalnya, sehingga ke hari ini, Palestin masih belum diiktiraf sebagai sebuah negara bangsa. Apatah lagi menjadi ahli PBB yang ke 194. Saban hari Palestin dikeroyok Israel, PBB berdiam diri. Bagaimanakah kita boleh mempercayai ICERD PBB sedangkan badan ini tidak pernah berlaku adil kepada dunia Islam. Justeru, berhati-hatilah apabila mahu meratifikasikan ICERD.

ICERD tidak mengikat mana-mana negara sehinggalah negara tersebut menandatangani dan meratifikasi konvensyen tersebut. ICERD masih bersifat sukarela kepada mana-mana negara untuk menandatangani dan meratifikasi sesebuah konvensyen atau triti antarabangsa. Namun, tekanan demi tekanan oleh PBB tetap akan berlaku kepada ahli-ahli untuk meratifikasikan ICERD.

Perlu diingat, setelah konvensyen tersebut diratifikasi, maka negara-negara tersebut akan terikat dan mengikat (binding) dengan sebuah prinsip yang dikenali sebagai “pacta sunt servanda”.

“Pacta sunt servanda” adalah satu prinsip dalam undang-undang antarabangsa yang mengikat persetujuan sesebuah negara setelah mereka meratifikasi sesebuah triti atau konvensyen antarabangsa.

Oleh itu, jika ICERD diratifikasi oleh Malaysia, belum ada jaminan setakat ini adalah perkara-perkara yang memberikan ‘kelebihan’ kepada Islam, Melayu dan bumiputera akan terjamin.

Antara perkara yang begitu jelas bercanggah dengan ICERD adalah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, berkaitan hak istimewa Melayu dan bumiputera, boleh diletakkan sebagai reservasi kepada ICERD.

Begitu juga, adakah Perkara 153 boleh dijadikan hujah untuk mengelakkan Malaysia daripada melanggar prinsip “pacta sunt servanda” seandainya Perkara 153 tidak dimansuhkan setelah ICERD diratifikasi?

Persoalannya, apakah kita perlu kepada ICERD? Kenapa ‘diskriminasi’ positif yang telah menjadikan negara ini aman damai perlu dihapuskan? Apakah benar bukan Melayu telah didiskriminasikan?

Penulis amat teruja membaca kenyataan pemimpin Malaysian Malaysia bertajuk, ‘Banyak negara majoriti Islam terima Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)’. Kenapa harus Malaysia yang majoriti Islam menentang? Adakah semua negara Islam tersebut kurang Islamnya daripada Malaysia?

Beliau menyenaraikan dengan panjang lebar semua negara Islam yang telah menerima ICERD, kecuali Malaysia dan Brunei. Katanya, adakah hanya satu peratus daripada 1.9 bilion muslim di dunia layak untuk digelar sebagai muslim sejati, sedangkan semua negara muslim termasuk semua negara Islam di Timur Tengah telah meratifikasi ICERD?

Adakah dengan mengatakan bahawa 99 peratus muslim di dunia yang datangnya dari negara yang telah meratifikasi atau menyetujui ICERD bukan muslim sejati? Malah katanya China, yang mempunyai kira-kira 50 juta muslim, sudah menyetujui ICERD pada 1981.

Apabila beliau membandingkan Malaysia dengan negara-negara Arab yang telah menandatangani ICERD, terserlahlah kenaifan dan kekiasuannya. Nampak sangat agenda jahatnya agenda tersembunyi bagi mengaburi rakyat Malaysia bagi menunjukkan betapa baiknya ICERD.

Sedangkan semua tahu bahawa ICERD hanya baik untuk bukan Melayu, tetapi bukan untuk peribumi seperti orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Bagi mengelakkan kekeliruan yang ditimbulkan ultra kiasu ini, biarlah saya berterus terang. Kenapa semua negara Arab Islam meratifikasikan ICERD? Logiknya sangat mudah, kerana mereka negara sebangsa atau homogeneous. Berbanding kita Malaysia, negara bersifat berbilang bangsa atau heterogeneous.

Diskriminasi macam mana pun di negara Arab, pi mai pi mai tang tu juga, dapat kat depa. Turun naik sesebuah pemerintahan, akan jatuh kepada bangsa yang sama.

Berbeza dengan Malaysia, termasuk Brunei. Jika Malaysia dan Brunei masih bersifat sebangsa, sudah lama mereka meratifikasikan ICERD ini. Tetapi Malaysia telah berubah wajah. Lanskap politiknya yang dahulu bersifat sebangsa telah berubah dengan kedatangan pendatang-pendatang yang dibawa oleh penjajah British dan faktor-faktor lain yang menolak mereka mendatangi alam Melayu.

Akibatnya, asal-usulnya adalah sebuah negara sebangsa, Tanah Melayu di Kepulauan Melayu yang bersifat homogeneous bertukar menjadi heterogenous.

Disebabkan oleh sifat Melayu Islam yang terlalu baik dalam meraikan pendatang, akhirnya, pendatang diterima menjadi rakyat negara bertuah ini. Pertukarannya, pendatang perlu menerima hak istimewa agama Islam, Bahasa Melayu, hak istimewa Melayu (raja-raja Melayu), dan Bumiputera Sabah Sarawak. Itulah yang dinamakan kontrak sosial. Hak istimewa inilah, jika boleh dikatakan satu keistimewaan, yang mahu dibuang jika ICERD diratifikasikan.

Ultra kiasu lupa tentang asal-usul sejarah ini. Jika Melayu tidak menerima pendatang, pasti negara ini kekal dengan sifat negara sebangsa. Tidak ada Singapore, yang ada hanya Singapura bermaksud kota singa, kekal dengan nama Melayunya. Kerana ultra kiasu di sana tidak mahu bunyi nama Singapura itu beridentitikan Melayu, maka nama Melayunya telah bertukar kepada Singapore.

Ini tidak termasuk penghapusan nama-nama jalan beridentitikan nama-nama Melayu kepada nama-nama yang pelik-pelik, yang tidak ada kaitan dengan alam Melayu, sebagai satu perancangan strategik menghapuskan segala identiti Melayu.

Cuba lihat bagaimana orang Melayu di Singapura didiskriminasikan dengan langsung tidak diberikan kepercayaan untuk berada dalam jawatan tinggi strategik seperti perkhidmatan tentera, polis, imigresen dan lain-lain. Orang Melayu diragui untuk memegang jawatan strategik tersebut kerana takut rahsia negara diketahui. Dalam kata lain, orang Melayu didiskriminasikan kerana Cina tidak pernah percaya kepada Melayu. Jika adapun jawatan presiden Singapura diberikan, itu hanya jawatan ‘pak pacak’ sahaja.

Bagaimana pula kepercayaan kita terhadap bukan Melayu di negara bertuah ini? Boleh dikatakan banyak juga jawatan tinggi strategik negara, diberi kepercayaan kepada bukan Melayu, termasuk jawatan yang sangat kritikal menteri kewangan dan jawatan strategik yang lain, termasuk jawatan strategik tentera dan polis.

Sehinggakan kita tidak ambil tahu langsung, apabila jawatan menteri perpaduan diberikan, semua pegawai kanan sulitnya terdiri daripada pegawai satu warna, tidak ada seorangpun bangsa lain untuk memegang jawatan sulit yang rapat dengannya.

Pendek kata, kepercayaan Melayu kepada bukan Melayu di sini jauh lebih baik daripada kepercayaan bukan Melayu kepada Melayu. Malah, jawatan tinggi nombor dua Kementerian Pertahanan yang sebelum ini dipegang oleh orang Melayu, telah diberikan kepada ultra kiasu. Semua rahsia keselamatan negara diketahui. Justeru, diskriminasi apa lagi yang hendak diperkatakan.

Untuk makluman semua, apabila Tanah Melayu menjadi berbilang bangsa (heterogeneous) melalui kontrak sosial, sudah tentu keadaan menjadi lebih kompleks. Menguruskan negara sebangsa sudah tentu lebih mudah berbanding dengan negara berbilang bangsa, terutama dalam memastikan hak pribumi terjamin, seperti negara-negara lain di dunia.

Logiknya, sudah tentu pribumi akan berasa tergugat, jika berlakunya hegemoni atau dominasi bangsa yang mendatang melampaui batas. Inilah mungkin menimbulkan kebimbangan.

Saya tidak nafikan manusia boleh berubah mengikut keadaan, tetapi melihat ultra kiasu yang ada ini, saya yakin mereka ini masih sama, dan tidak pernah berubah sejak daripada dahulu

Apakah kita tidak pernah mengambil iktibar? Sudah terang lagi bersuluh, ultra kiasu India Hindu yang dilantik sebagai senator menjadi menteri, pernah memburuk-burukkan Malaysia di luar negara. Beliau mengatakan, Malaysia mengamalkan diskriminasi yang sangat ketara kepada bangsa India Hindu. Kuil-kuil dirobohkan sewenang-wenang tanpa ganti dan berbagai lagi.

Sedangkan setiap kuil haram yang dirobohkan ada sahaja diganti dalam skala yang lebih besar sehinggakan bilangan kuil Hindu sahaja jauh meninggalkan bilangan surau dan masjid. Pendek kata, kuil-kuil Hindu inilah yang paling banyak di Malaysia, walaupun bilangannya penganutnya sangat minoriti berbanding agama lain.

Kawasan Batu Caves itu sendiri, merupakan tanah kerajaan, di situlah ditempatkan kuil Hindu yang paling tinggi sekali di dunia. Lebih dahsyat lagi, kuil-kuil Hindu ini turut dibiayai kerajaan. Berbanding di India, semua kuil sama ada skala besar atau kecil dibiayai dengan wang sendiri.

Kita juga turut didedahkan bagaimana sebelum ini, Menteri India ultra kiasu tersebut turut menemui Perdana Menteri India yang sangat terkenal dengan sikap anti-Islam. Berapa ramai umat Islam telah dibunuh, dianiayai, serta dizalimi dan wanita Islam dirogol, hanya kerana umat Islam memakan binatang suci Hindu iaitu lembu.

India meskipun telah menandatangani ICERD, tetapi tidak langsung mempraktikkannya. Malah umat Islam didiksriminasikan dengan begitu ketara. Lebih hina lagi, hanya kerana memakan lembu umat Islam dimangsakan. Ini tidak termasuk bilangan masjid yang dirobohkan dan diganti dengan kuil Hindu.

Negara kita terlampau baik. Toleransi peribumi terlalu tinggi. Dahulu, kita boleh menyembelih lembu secara terang-terangan. Setelah diprotes oleh Hindu, kita tidak lagi boleh menyembelih sembelihan korban ini di khalayak kerana menjaga sensitiviti kaum kononnya.

Lihat pula dengan kedudukan umat Islam Uighur, Xinjiang, di negara China komunis. Xinjiang, yang juga dikenali sebagai Turkestan Timur, merupakan wilayah autonomi di barat laut China. Ia didiami oleh etnik Uighur beragama Islam yang menuntut kemerdekaan daripada pemerintah di Beijing. Wilayah itu juga didiami oleh penduduk Islam daripada etnik lain termasuk Kazakh, Kyrgyz, Uzbek, Tatar dan Tajik. Siapa yang sanggup tinggal bersistemkan komunis. Tetapi lihat bagaimana mereka dizalimi.

Berdasarkan bancian penduduk pada tahun 2,000, etnik Uighur di Xinjiang dicatatkan berjumlah 10.2 juta orang. Terkini, tidak diketahui jumlah sebenar, mungkin semakin berkurang disebabkan ramai yang telah hilang.

China menuduh etnik Uighur menggerakkan kempen keganasan untuk menuntut kemerdekaan. Dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan dan dilihat oleh kumpulan yang bersimpati dengan Uighur sebagai helah untuk menghalalkan diskriminasi terhadap golongan minoriti itu.

Lihat betapa zalim negara komunis China ini, melarang umat Islam di wilayah Xinjiang daripada menunaikan ibadah puasa. Parti Komunis China dan pemerintah di Xinjiang sebelum ini menyekat sebarang perhimpunan berbentuk keagamaan atas sebab-sebab keselamatan. Ia bimbang perhimpunan seumpama itu dijadikan pentas untuk menyebarkan mesej gerakan pemisah.

Jurucakap Kongres Uighur Sedunia, berkata tindakan kerajaan China yang menindas itu akan mencetuskan lebih banyak ketegangan. Menurut jurucakap Uighur, pihaknya juga dimaklumkan oleh penduduk di Xinjiang bahawa mereka diberi makanan percuma sebagai galakan untuk tidak berpuasa. Pihak pihak berkuasa komunis juga turut membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk memastikan tidak ada yang berpuasa. Ini tidak termasuk bilangan mereka yang dibunuh, dizalimi dan dipenjara, hanya kerana mereka beragama Islam.

Semua contoh ini sudah jelas menunjukkan bahawa meskipun negara-negara ultra kiasu ini telah meratifikasiki ICERD, tetapi diskriminasi sangat jelas dilakukan sehingga berada dalam tahap yang sangat tegar.

Sedangkan negara kita tercinta ini, masih tidak meratifikasikan ICERD. Cuba lihat perbandingannya, keadilan yang kita berikan, ibarat langit dengan bumi. Kita boleh dikatakan langsung tidak mendiskriminasikan bukan Melayu atau bukan Islam, kerana tuntutan agama Islam melarang tindakan sebegini.

Jika adapun, kesnya sangat terpencil. Malah, orang bukan Islam boleh hidup senang lenang sehingga kekayaan mereka jauh menandingi peribumi. Peribumi pula merempat di negara sendiri. Apakah kejayan ini boleh dicapai jika kita mengamalkan diskriminasi? Apa yang saya dapat lihat, seolah-olah peribumi sendiri yang didiskriminasikan di bumi sendiri.

Pendek kata, hari ini semua bukan Melayu boleh tidur lena dan hidup senang lenang serta mengaut kekayaan semahu-mahunya dalam keadaan aman damai, disebabkan oleh pengorbanan peribumi yang tidak ada tolok bandingnya. Peribumi inilah yang menjadi polis dan tentera bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin.

Melayu dan Bumiputera peribumi ini sanggup menjadi kuli, bercekang mata dan berkorban jiwa raga, bagi memastikan ultra kiasu dapat tidur lena dan meneruskan kehidupan keesokan harinya tanpa diganggu.

Ultra kiasu ini jugalah dapat berada dalam aman tenteram melakukan ibadat dalam kuil-kuil hindu serta menemui sami-sami mereka yang tidak ketahuan asal-usulnya. Tidak ada siapa mengganggu dan bertanyakan daripada mana asul-usul kamu? Siapakah tuan, siapakah hamba di bumi negara bertuah ini? Fikirkanlah.

Arab Saudi, Yaman, Qatar, Iraq, Iran, Afghanistan dan Sudan adalah negara yang mengamalkan syariah namun sudah meratifikasi ICERD. Ada beberapa negara juga membuat pengecualian agar ICERD tidak melangkaui syariah. Misalnya, Arab Saudi. Kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan akan melaksanakan konvensyen ini dengan syarat ia tidak bercanggah dengan apa yang ditetapkan dalam Syariah Islam.

Tindakan Arab Saudi ini mendapat bantahan daripada negara Finland, Austria dan Jerman. Nasib baik bantahan tersebut tidak diterima kerana tidak cukup dua per tiga dari 179 negara yang diperlukan.

Apakah jika Malaysia meratifikasikan ICERD, buat seperti apa yang dilakukan Arab Saudi, dalam konteks kita mengekalkan perkara 153, apakah ada jaminan bahawa perkara ini akan dipersetujui majoriti 179 buah negara? Jika dua pertiga menentang bagaimana? Semua ini belum ada jaminan.

Justeru, penulis menyarankan, tidak perlu dibangkitkan lagi ICERD, demi keamanan dan masa depan negara tercinta. Jika terus menerus dibangkitkan, dibimbangi, akan berlaku lagi perhimpunan demi perhimpunan aman yang melibatkan lautan manusia akan turun membantah seperti mana yang berlaku baru-baru ini. Pendek kata, ICERD tidak menguntung Melayu dan Bumiputera. Benarlah saranan Perdana Menteri, ICERD dibatalkan demi menyelamatkan pribumi di negara tercinta ini.

Oleh Dr. Ridhuan Tee

No Comments

    Leave a reply