TANPA ISRAEL DUNIA AKAN AMAN

Hubungan Islam (lebih tepatnya muslim) dan Kristian secara umumnya merupakan sejarah yang amat panjang dalam sejarah tamadun dunia. Dalam ajaran Islam, agama Kristian adalah agama yang cukup istimewa sebagaimana Al Quran dengan jelas  memberi gambaran yang positif terhadap sosok Maryam, ibu kepada Jesus (Nabi Isa).

Begitu juga sebaliknya di mana orang pertama yang melihat ciri-ciri kenabian dan mengakui Nabi Muhammad sebagai Rasul adalah paderi Kristian (Waraqah Ibn Nawfal), yang juga sepupu Khadijah isteri Nabi Muhammad. Keyakinan dan pengakuan Waraqah ini merupakan interaksi awal yang menandai hubungan Islam dan Kristian pada awal-awal kelahiran Islam.

Pada peringkat awal, hubungan Islam dan Kristian tidak pernah menjadi masalah. Telah berlaku dialog dan hubungan yang cukup rapat di antara agama samawi itu. Malah, Nabi Muhammad menandatangani sebuah perjanjian dengan golongan Kristian (dikenali sebagai Testamentum) bagi melindungi pihak Kristian pada awal perkembangan Islam.

Kandungan perjanjian ada menyebutkan bahawa Nabi Muhammad dan umat Islam akan mempertahankan agama mereka daripada diserang dan dimusnahkan oleh mana-mana pihak, bebas menjalankan agama dan bebas pergi ke gereja dan tidak ada paksaan dalam memeluk agama Islam. Sekiranya mereka disakiti, Nabi juga akan terasa sakitnya dan akan membela mereka daripada disakiti mana-mana pihak.

Bagaimanapun, hubungan Islam dan Kristian memasuki fasa kedua yang mula dicemari dengan konflik terutama pasca Rasulullah saw wafat. Ini setelah Islam mula berkembang dan menyebar ke berbagai tempat, bermula daripada tanah jazirah Arab ke Afrika, Persia hingga mencapai kawasan lautan Mediteranian dan kawasan Eropah (Spanyol), hubungan muslim dan Kristian mula bermasalah. Orang Kristian yang menguasai dataran Eropah mula tercabar dengan perkembangan Islam dan  memberi reaksi negatif.

Pada masa itu Islam muncul menjadi penguasa baru dan ini membuat orang Kristian berasa terancam. Mereka mula mempersoalkan dan menghina Islam khasnya ajara-ajaran yang terkandung di dalam Al Quran dan mula memberi stigma Islam sebagai agama keganasan dan peperangan.

Penguasa Kristian di Eropah mula membuat rancangan untuk memperluaskan kuasa mereka. Hubungan muslim dan Kristian semakin tegang dan semakin memuncak dengan tercetusnya perang Salib. Padahal, kalau diteliti secara lebih mendalam, isu sebenar daripada punca peperangan ini adalah kerana isu kuasa. Bukan kerana adanya pertentangan ajaran agama (secara teologi).

Mereka menggunakan agama sebagai modal untuk mereka terus berkuasa dan memberi justifikasi untuk melancarkan perang Salib terhadap Islam. Dalam perang Salib, mereka tidak hanya membunuh askar-askar Islam yang menjadi musuhnya, tapi mereka turut membunuh orang-orang Yahudi di Baitul Maqdis. Malah, jumlah mangsa bunuh orang Yahudi oleh askar-askar Kristian lebih besar berbanding jumlah askar Islam.

Begitu juga halnya dengan perkembangan semasa di mana kuasa-kuasa besar melancarkan peperangan di Irak dan Afghanistan adalah semata-mata berpunca kepada perebutan kuasa. Peperangan ini seolah-olah mengulang episod sejarah perang salib dengan kuasa sebagai punca peperangan dan didorong oleh keinginan untuk menghegemoni negara-negara Islam.

Akan tetapi,isu utama hari ini dalam melihat hubungan Muslim dan Kristian adalah isu kewujudan Israel. Isu ini tidak wujud pada perang Salib dan mereka berperang bukan kerana membela Yahudi. Jika dahulu orang Kristian berperang kerana agama mereka, maka hari ini peperangan di Irak adalah kerana kepentingan Israel. Selain kerana ingin menguasi sumber minyak di Irak, Amerika mahu menggulingkan Saddam Hussein kerana Saddam dianggap kuat menentang Israel. Israel telah menjadi pertimbangan utama dalam strategi dan agenda penguasaan Barat terhadap dunia hari ini.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Syria. Penentangan Amerika terhadap Syiria adalah berkaitan dengan keinginan Israel untuk mengusai Bukit Golan. Tempat ini merupakan tempat yang strategik dari beberapa aspek. Salah satunya adalah bagi membekalkan air kepada Israel di mana 1/3 keperluan air Israel berasal dari Bukit Golan. Pada masa kepimpinan Hafiz al Assad dan diteruskan oleh anaknya Bashar al Assad, Syiria mempertahankan Bukit Golan daripada sebarang cubaan pencerobohan Israel terhadap Bukit Golan. Perkara yang sama juga berlaku terhadap Iran ketika Israel dengan sokongan Amerika mencuba untuk menyerang negara mullah itu dengan alasan isu nuklear. Padahal Israel adalah negara yang memiliki 400 senjata nuklear.

Dalam konteks dunia hari ini, peperangan yang berlaku di beberapa tempat punca utamanya adalah Israel. Semenjak penubuhan negara haram Israel ini lah, konflik dan perang berlaku disebabkan Israel. Oleh itu, tidak berlebihan jika dikatakan bahawa dunia akan aman dan konflik akan berkurangan sekiranya Israel tidak wujud di dunia. Isu Israel ini yang dilihat menjadi penghalang kepada terciptanya hubungan dan dialog antara Islam dan Kristian yang positif. Ini terutama dengan kewujudan sebuah kumpulan yang disebut sebagai Zionist Kristian. Kumpulan ini percaya bahawa dunia ini akan dikuasai oleh Kristian dengan syarat Israel menguasai kawasan Asia Barat.

Hubungan Muslim dan Kristian memasuki fasa ketiga dengan perkembangan semakin mengarah ke arah pertikaian ideologis berikutan penjajahan Barat terhadap negara-negara Islam. Penjajahan ini tidak hanya bermotifkan penguasaan kepada sumber-sumber kekayaan, akan tetapi penjajahan boleh dikatakan sebagai titik permulaan kepada era penghinaan, pengaiban dan penistaan kepada muslim. Buku-buku dan karangan para sarjana penjajah dengan sengaja memutarbelitkan sirah Nabi, Al Quran dan ajaran Islam. Pada zaman penjajahan ini lah merupakan kemuncak penghinaan terhadap Islam.

Selepas era penjajahan, keadaan hubungan Muslim dan Kristian agak membaik. Bagaimanapun, hubungan ini masih dibayangi oleh cabaran-cabaran yang masih mengintai berikutan hasrat dan matlamat pihak Kristian Barat tetap ingin menguasai dunia melalui penjajahan non fizikal sama ada melalui penguasaan ekonomi, pemikiran, budaya dan sebagainya. Mereka mula menjajah negara-negara Islam secara tidak langsung atau apa yang dikenali dalam sains politik sebagai neo-kolonialisme. Melalui ekonomi, mereka menguasai lembaga-lembaga kewangan dunia seperti Bank Dunia, IMF dan WTO.

Melalui politik, mereka menubuhkan PBB. Perkara ini dapat dilihat secara jelas dengan sistem veto di mana mereka mempunyai kuasa untuk mengawal organisasi itu untuk kepentingan mereka. Meskipun di kemudian hari, kuasa-kuasa besar dunia (negara yang mempunyai kuasa veto) pecah kongsi dan tidak menjadi pak turut Amerika, akan tetapi dominasi dan penguasaan terhadap negara-negara Islam masih terus berjalan.

Islam masih dianggap sebagai cabaran bagi mereka terutama setelah berakhirnya perang dingin. Meskipun sebahagian besar daripada mereka sudah tidak percaya kepada agama (atheis), akan tetapi mereka masih menginginkan agama mereka menjadi anutan kepada penduduk seluruh dunia. Itulah sebabnya mereka masih mengecilkan dan menghina Islam.

Cabaran berikutnya adalah meskipun negara-negara Islam sudahpun merdeka, namun umat Islam berdepan dengan realiti di dunia ini yang masih menggunakan dan melaksanakan idea-idea dan pemikiran Barat sama ada dalam bidang ekonomi, politik dan budaya. Kita (umat Islam) hidup dalam alam yang dikuasai oleh mereka. Minda kita masih dijajah dan dikuasai oleh pemikiran Barat.

Ruang dialog antara Islam dan Kristian juga boleh dimainkan menerusi kerangka bahawa berlakunya penjajahan ini tidak berkaitan dengan dogma-dogma dan doktrin keagamaan. Akan tetapi isunya adalah soal dominasi dan hegemoni pihak tertentu kepada pihak lain. Bagi mereka yang mengetahui punca yang sebenar, mereka akan bersedia berdialog seperti antara Barat dan Timur, Islam dan Kristian. Malangnya, kumpulan-kumpulan dan ahli fikir yang menentang dasar penjajahan ini adalah golongan minoriti, yang tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan penjajahan tersebut. Begitu juga halnya dengan golongan-golongan yang mengetahui punca sebenar konflik muslim-Kristian yang bersedia untuk dialog adalah golongan segelintir dalam masyarakat.

Catatan Ibnu Majid

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply