Tarbiah cinta, angin dan pepohon

Ketika duduk mengadap pepohon pisang yang semakin membesar dan emak berbual tentang benih kelapanya yang terbongkah dirosakkan khinzir, angin berhembus semilir dan terasa dingin menerjah tubuh. Cerita emak, dan angin seperti dua falsafah yang sama. Malah sebuah peribahasa tercipta melalui angin dan pohon – jika tiada angin, pohon tidak akan bergoyang.

Goyangnya pohon kerana angin dan goyangkan hidup kerana ujian. Apalah nilai sebatang pohon tanpa angin, dan apalah nilai kehidupan tanpa ujian dan cabaran. Tanpa angin dan udara, pepohon tidak boleh bernafas serta dedaun mati pada ranting mampu luruh dengan cepat ke tanah apabila tiba masa dan musimnya. Lalu pepohon akan menunaskan daun-daun yang baharu dan kembali menghijaukan rimbunannya.

Wajah emak dan kedut tuanya telah menjadi saksi betapa banyak ujian yang berjaya ditempuhinya dalam perjalanan kehidupannya. Terutama dalam konteks pendidikan anak-anaknya hingga kini menjadi nenek kepada cucu-cucunya. Pendidikan tradisi cara emak lebih banyak berasosiasi dengan pengalaman dan adat, lalu seringkali kita perlu memaafkan mereka jika terdapat sebarang khilaf dalam proses pendidikan itu.

Bukan mudah menjadi ibu bapa, dan itu adalah kenyataan yang dipersetujui oleh hampir semua orang. Setiap orang mempunyai impian untuk bergelar seorang ibu atau bapa yang mithali dan terbaik layanannya terhadap anak-anak. Namun, untuk merealisasikan impian itu, ibu bapa perlu sentiasa mempersoal kebiasaan proses pendidikan mereka terhadap anak-anak kerana yang biasa itu tidak semestinya betul.

Tiada orang yang sempurna, dan begitu jugalah ketika menjadi ibu bapa. Khilaf dan kesilapan adalah sebuah ilmu untuk dipelajari. Kekhilafan lalu akan menjadi bingkisan pengalaman untuk pengajaran pada hari ini dan akan datang. Kita bukan malaikat yang tidak terdedah dengan kesilapan, dan bukanlah pula kita inginkan anak seperti malaikat yang tidak pernah melakukan kesilapan.
Di sinilah pentingnya menjadi ibu bapa yang berilmu dan sentiasa mempunyai keghairahan untuk menjadi pelajar sepanjang hayat (long life learner).

Pendidikan anak-anak pada masa kini lebih bersifat dinamik berbanding pada masa lalu. Anak-anak yang terdedah dengan teknologi maklumat dan massa sentiasa memperlihatkan perubahan yang pelbagai dari pelbagai aspek kemanusiaan, justeru pendekatan yang digunakan untuk mendidik juga perlu pelbagai.

Setiap tahap umur anak-anak perlu melalui bentuk dan kaedah pendidikan yang berbeza. Misalnya, anak-anak yang masih bayi dan belum bersekolah perlu diberikan perhatian dan kasih sayang yang cukup bagi membentuk persekitaran emosi yang baik untuk melalui proses tumbesaran yang seimbang.

Angin terus berpuput melayahkan daun-daun kering dan menggoyangkan pepohon pisang yang semakin gebu. Saya membantu emak menanam benih-benih kelapa yang baharu. Peluh mula merenik dan saya duduk bersama-sama emak berjeda melepaskan lelah.

Emak memilik sifat pendidik yang berjaya. Seorang yang tenang dan tidak terburu-buru, terutama apabila berhadapan dengan kesulitan dan kepayahan. Apabila benih kelapanya dirosakkan khinzir, dia berharap mendapat pahala bersedekah. Ketika kera datang dan merosakkan hampir setandan pisang, dia hanya berkata, biarlah akan tumbuh yang baharu, Allah akan ganti yang lebih baik.

Saya teringat tentang sebuah hadith riwayat Ibnu ‘Abbas, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Asyaj bin Abdil Qays, “Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua perkara yang dicintai Allah – tenang dan tidak terburu-buru.”

Pada zaman yang penuh tekanan dan tuntutan kerja yang mendesak ini kita seperti melupakan tentang sunnah supaya sentiasa tenang ini. Di jalan raya, semua pengguna jalan raya seperti tergesa-gesa hingga keadaan itu melarat ke dalam persekitaran kekeluargaan. Ibu bapa sentiasa tergesa-gesa untuk melihat perubahan anak-anak, menyebabkan tiada masa untuk berfikir dan melenyapkan keinginan untuk terus belajar.

Keluarga yang tidak tenang akhirnya akan membawa kepada keadaan tekanan dan memberi kesan pada layanan dan pergaulan di dalam rumah. Maka akan terhasillah kekasaran dan kekerasan dalam suasana pendidikan.

Akhirnya rumah tidak lagi menjadi syurga buat anak-anak dan mereka akan berusaha mencari alternatif lain di luar yang boleh memberi mereka ketenangan dan ‘syurga’.

Benarlah seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w daripada Aisyah r.ha, “Sesungguhnya Allah Maha Lembut dan menyukai kelembutan. Dia memberi atas kelembutan apa yang tidak Dia beri atas kekasaran dan lainnya.”

Ternyata cabaran kita menjadi ibu bapa pada hari ini adalah untuk bersikap lembut. Kelembutan adalah lawan pada kekasaran dan setiap ibu bapa perlu mempunyai suiz di kepala dan hati masing-masing apabila mendepani kenakalan atau kesilapan anak-anak.

Perhatikan bagaimana Rasulullah s.a.w menghadapi kenakalan al-Hasan dan al-Husain dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah r.a.:
“Pernah kami bersama Rasulullah s.a.w mengerjakan solat isyak. Ketika baginda sujud, al-Hasan dan al-Husain naik ke atas belakang baginda. Ketika baginda bangkit dari sujud, baginda mengambil keduanya dan meletakkan mereka dengan lembut. Seusai solat, baginda meletakkan salah seorang daripada keduanya di samping baginda dan seorang lagi di samping yang lain. Aku mengadap baginda dan aku mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, bolehkah aku menghantar mereka kepada ibunya?’. Baginda menjawab, ‘Tidak.’ Sesaat kemudian kilat memancar. Baginda bersabda, ‘Pergilah kepada ibu kalian’.”

Solat adalah ibadah yang paling penting bagi seorang Muslim, tetapi ibadah ini tetap bukan menjadi sebab untuk kita mengasari atau bersikap keras dalam mendidik anak-anak. Kelembutan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w menjadi contoh terbaik untuk kita faham bahawa dalam menjalankan ibadah yang paling tinggi nilainya di sisi Allah, hati kita masih perlu tetap lembut dan dipenuhi dengan kasih sayang kepada makhluk, apatah lagi anak-anak.

Menjerit, mengherdik, atau terus memukul, adalah khilaf dan bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Berdoalah selalu sebagai ibu bapa, supaya hati kita akan selalu dicurahi dengan kelembutan dan kasih sayang. Begitulah ciri-ciri orang yang bertaqwa dan orang yang bersegera untuk meraih keampunan-Nya, sebagaimana firman-Nya:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;”
“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;” (Ali ‘Imran 133-134)

Angin terus berhembus dan kedengaran bunyi liuk lentok pepohonan digoyangkan angin. Saya dan emak bingkas selepas mencicipi teh yang dibawa bersama, dan kembali mengadap tanah untuk digemburkan. Emak selalu berbicara tentang tanah tempatnya berbakti dan akan dikembalikan pada suatu hari yang akan ditentukan, tanpa mampu ditangguhkan.

Oleh Abu Ikram

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply