Sebenarnya tiada isu berkenaan tarian dansa ria tersebut kerana Malaysia adalah negara majoriti Muslim yang menghormati semua budaya. Disebabkan ini, Malaysia diiktiraf sebagai salah sebuah negara paling aman di dunia oleh Indeks Keamanan Global pada 2018. Akan tetapi, adakah beretika bagi hakim-hakim dan pegawai-pegawai perundangan tinggi kerajaan secara terbuka bergaul dengan para peguam peribadi?

Tidak lama dulu Vui Keong ada membuat kenyataan mengenai isu Kursus Bar Umum (CBC). CBC ini sedang dinilai oleh kerajaan bagi menggantikan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP)
Graduan undang-undang dari universiti yang belum diiktiraf oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LPQB) dikehendaki untuk lulus peperiksaan CLP bagi melayakkan diri sebagai ‘orang-orang berkelayakan’ di bawah Seksyen 3 Akta Profesion Undang-undang 1976 – syarat sebelum menjalani latihan dalam kamar selama 9 bulan.

Sewaktu latihan selama sembilan bulan itu, pelatih dikehendaki mempelajari sisi praktikal dunia guaman dan menduduki ujian ‘Kursus Etika’ kerana tanpanya, pelatih tidak akan boleh didaftarakan sebagai Peguambela dan Peguamcara setelah tempoh sembilan bulan berakhir.

Pokoknya, syarat kemasukan ke BAR Malaysia ini dibikin sulit dan payah bagi menjaga ketinggian dan prestij status profesion undang-undang serta memastikan etika profesional dipatuhi setiap masa.

Pada 2016, tular sebuah video seorang lelaki menyerupai bekas AG Tan Sri Mohamed Apandi Ali sedang berdansa ria bersama bekas menteri-menteri dari kerajaan Barisan Nasional (BN).

Seorang peguam terkenal, Haniff Khatri lantas tanpa membuang masa mengkritik perlakuan ini dengan menyatakan bahawa ia tidak patut dilakukan oleh seorang AG.

Pada 2008, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Salehuddin Saidin yang bertanggungjawab ke atas kes pembunuhan seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaaribu digantikan dengan DPP lain kerana beliau dilihat bermain badminton dengan hakim yang menghakimi kes tersebut, Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin.

Pada 2017, Siti Kasim telah didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat-penjawat awam sewaktu serbuan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dilakukan ke atas pertandingan ‘Ratu Cantik’ anjuran golongan maknyah dan transgender (pada 2016). Adakah patut bagi seorang yang sedang menjalani perbicaraan di mahkamah dilihat berdansa dengan hakim-hakim dan pendakwa raya-pendakwa raya yang lantas boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti profesion ini di mata masyarakat?

Seksyen 5 Kod Etika Hakim 2009 menyebut bahawa seorang hakim perlu melaksanakan tugasnya secara bebas tanpa apa-apa pengaruh daripada mana-mana pihak. Selain itu, Seksyen 8 (2) Kod yang sama memperuntukkan seorang hakim perlu meminimumkan risiko konflik kepentingan dengan tanggungjawab kehakimannya sewaktu menjalani tugas-tugas di luar bidang kehakiman dengan menghindar daripada bergaul rapat dengan individu-individu dalam profesion undang-undang – yang mana boleh menimbulkan keraguan munasabah yang menjurus kepada penghakiman berat sebelah. Lord Hewart dalam kes R v Sussex Justices ada menyebut bahawa ‘keadilan bukan sahaja mesti dijalankan, malah perlu dilihat sudah dijalankan’.

Banyak komentar di luar sana yang dilihat terkeliru. Isu di sini bukanlah isu tarian, tetapi lebih kepada siapa yang menari di pentas yang sama. Bekas AG telah dikritik kerana menari bersama menteri-menteri BN sewaktu sambutan Merdeka pada 2016. Apa bezanya dengan yang berlaku sekarang ini?

Mungkin tiba masanya bagi ‘pihak berkuasa di atas sana’ mempertimbangkan untuk mengulangkaji semula kitab-kitab undang-undang yang pernah mereka pelajari bagi benar-benar mengamalkan apa yang diajarkan secara profesional.

Pepatah Melayu ada menyatakan, ‘kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’. Jangan sekadar cakap tak serupa bikin semata-mata.

 

Oleh Mohd. Hazmi Mohd. Rusli

PENULIS ialah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan seorang peguambela dan peguamcara (tidak beramal) sejak 2007.