Siri 1 – Prasangka Buruk

DISKUSI POLITIK BERADAB

Tazkirah Siyasah – Siri 1

Prasangka Buruk.

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah olehmu kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa.”

(Surah al-Hujuraat: 12)

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Jauhilah oleh kamu prasangka kerana sesungguhnya prasangka adalah pembicaraan yang paling dusta.’

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Prasangka buruk terhadap sesama manusia adalah salah satu sifat yang perlu dijauhi kerana buruk sangka itu kebiasaannya mengandungi tuduhan yang tidak benar. Sifat buruk sangka ini sebenarnya ialah langkah pertama menuju ke arah fitnah. Sesiapa sahaja yang mampu untuk mengelakkan diri dari terlibat dengan buruk sangka sama ada golongan pemimpin, rakyat atau hamba maka dia akan terselamat daripada kancah fitnah.

Bagaimana pula orang yang gemar menyebarkan sikap buruk sangka ini dan menjadi penganjur utama dalam membudayakan sikap negatif ini. Mereka yang mempunyai perilaku ini adalah seburuk-buruk sikap kerana tindakan mereka ini adalah  punca utama kegagalan perpaduan dalam sesebuah masyarakat. Jika tuduhan buruk mereka tidak benar maka berita-berita tersebut akan menjurus kepada fitnah yang besar dan fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh.

Ya Allah, kuatkan iman kami, ampunkan dosa-dosa kami, jauhkan kami daripada sifat buruk sangka dan lindungi kami dalam kebaikan. Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada kesusahan dan kedukaan, kelemahan dan kemalasan, dan dari sikap pengecut dan bakhil.

No Comments

    Leave a reply