Tegur dalam media sosial biar beradab

Berita itu bukan sahaja akan mendapat tanda ‘suka’, ikon dan komen, bahkan akan dikongsi dengan meluas sama ada berserta komen positif mahupun negatif dan bahasa kasar.

Demi memberi justifikasi terhadap perbuatan itu, ramai menggunakan alasan hak asasi atau bebas menyuarakan pandangan, meskipun maksud hak itu lebih ditumpukan kepada milik peribadi membuatkan seseorang merasakan mereka bebas melakukan apa sahaja.

Hakikatnya, hak mempunyai maksud luas dan pada masa sama ada batasan, malah melakukan dan menyatakan kebenaran perlu diletakkan sebagai dalam hak yang perlu diberi keutamaan.

Apa yang berlaku hari ini, masing-masing ingin menegakkan hak sendiri tanpa mempedulikan hak orang lain. Akibatnya, berlaku salah guna hak yang mengakibatkan perselisihan dan pergaduhan.

Tidak hairanlah sesetengah orang menganggap sudah menjadi hak mereka untuk meletakkan kereta sesuka hati atau berhenti di kawasan tidak dibenarkan meskipun mengganggu kelancaran lalu lintas.

Lebih buruk apabila mereka berasa berhak memaki atau memarahi penguat kuasa yang menegur dan ingin menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang.

Sebenarnya, hak ada batasan kerana walaupun kita bebas bersuara tidak boleh sewenangnya membuat tuduhan membuta tuli, mengeluarkan kata-kata kesat atau memfitnah.

Malangnya, itulah yang berlaku apabila media sosial dihujani komen dan kenyataan yang mencabul hak orang lain. Ruangan komen menjadi medan untuk menghina, mengutuk dan mengaibkan.

Disebabkan terlalu ghairah menggunakan hak sendiri membuatkan kita terlupa untuk menghormati hak orang lain.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang suka agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersebar dalam kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (An-Nur: 19)

Setiap hak yang diberikan kepada manusia, datang bersama had dan syarat perlu dipatuhi. Rasionalnya, batasan itu bertujuan memastikan setiap hak digunakan dengan cara yang betul.

Kenapa agaknya kita tidak menggunakan hak untuk melindungi saudara kita. Bukankah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam memelihara hak Muslim lain?

Abu Musa RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Seorang Mukmin dengan Mukmin lain adalah seperti sebuah binaan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. (HR Bukhari dan Muslim)

Namun, apa yang berlaku hari ini seolah-olah memperlihatkan masyarakat lebih mudah mengambil sikap menghukum daripada membela dan menyedarkan saudara mereka yang melakukan kesilapan seperti yang dapat dilihat di media sosial.

Apabila ada berita viral, ia menjadi perhatian umum dan kita dapat membaca komen daripada individu yang berlagak seperti penguat kuasa, hakim, peguam, ulama dan pembela kerana seolah-olah berasa mengetahui segala-galanya.

Lebih menggusarkan, bukan sahaja kisah negatif, malah perkara baik dilakukan sesetengah pihak turut mendapat kecaman hingga timbul pertanyaan, apa sebenarnya yang diingini oleh umat hari ini?

Bukanlah kita disuruh bersetuju atau menyokong perbuatan yang menyalahi syariat agama Islam, tetapi adalah lebih baik kita berusaha membantu dengan memberi pandangan atau nasihat secara penuh berhikmah.

Selain dapat mengelak daripada masalah berpanjangan, ia juga mencerminkan keindahan ajaran agama, adab dan budaya masyarakat yang mementingkan nilai moral serta etika yang baik.

Ibnu Umar RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Seorang Muslim ialah saudara kepada Muslim lain. Dia tidak boleh menzalimi dan merendahkannya. Sesiapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang menghilangkan satu kesulitan daripada seseorang Muslim, maka Allah akan melepaskan baginya satu kesulitan daripada pelbagai kesulitan hari kiamat disebabkan perbuatannya itu. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada Hari Kiamat. (HR Bukhari dan Muslim)

Islam sebagai agama rahmat memelihara kesejahteraan umat manusia dalam semua aspek. Allah SWT menjanjikan balasan baik kepada mereka yang membantu saudaranya.

Layanan dan kata-kata baik juga mampu melembutkan hati yang keras atau menyedarkan seseorang yang sudah melakukan kesilapan.

Banyak kisah boleh diteladani daripada sirah Rasulullah SAW melayani musuh dan mereka yang membenci Baginda dengan sikap serta kata-kata yang baik. Akhirnya, Baginda menjadi orang yang paling disayangi musuh dan ummah.

Justeru, tanyalah diri adakah kita sudah menjalankan tanggungjawab menjaga hak Mukmin yang lain atau kita menjadi pihak yang mencabuli hak mereka.

 

Oleh Hasliza Hassan

Sumber : Berita Harian Online

No Comments

    Leave a reply