Tetapi pemangkin paling kritikal mengapa beliau diberi perhatian istimewa adalah kerana Anwar diuar-uarkan akan mengganti Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri seperti yang dijanjikan. Pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson adalah di antara persediaan awal Anwar untuk memastikan janji itu ditunaikan.

Tambah Anwar, perlu ada keseimbangan dalam melangsungkan hak asasi pelarian tetapi dalam masa sama hak rakyat sebagai warganegara perlu juga dipertahankan.

Mengapa dihujahkan pendapat Anwar itu menimbulkan sedikit dilema kerana salah satu janji manifesto PH adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai ahli Konvensyen Pelarian 1951 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membawa maksud akan menerima pakai peraturan dan kehendak konvensyen itu.

Menjadi dilema kerana salah satu kehendak konvensyen adalah layanan sama rata perlu diberikan kepada pelarian dan ini termasuk dalam hal ehwal pendidikan, kesihatan dan pekerjaan. Jika diteliti pendapat Anwar mengenai layanan terhadap pelarian terdapat sedikit percanggahan jika Malaysia menyertai konvensyen itu.

Pada ketika ini terdapat 145 negara ahli PBB yang menyertai konvensyen pelarian tersebut. Tetapi hakikatnya walaupun Malaysia tidak menyertainya, layanan yang diberikan adalah jauh lebih baik jika hendak dibandingkan dengan sebahagian daripada negara yang berada dalam konvensyen tersebut.

Seperti yang dijelaskan Anwar, Malaysia akan memberi layanan yang adil kepada pelarian mengikut kemampuan. Umpamanya pada 2017, membenarkan pemegang kad pelarian yang dikeluarkan agensi PBB Bagi Pelarian (UNHCR) untuk bekerja dalam sektor tertentu.

Timbul kemusykilan apakah kerajaan PH tidak akan menunaikan janji menyertai konvensyen pelarian dan mungkin juga ada yang akan mendakwa ada banyak lagi janji pilihan raya yang lebih kritikal belum ditunaikan tetapi tidak pula menimbulkan isu kepada rakyat.

Tetapi berbeza dengan kebanyakan janji yang hanya berkait politik tempatan, janji menyertai konvensyen pelarian ini berkait dengan geopolitik antarabangsa dan sudah tentu bentuk tekanan yang bakal diterima juga berbeza. Malaysia bukannya seperti Amerika Syarikat (AS) yang mampu bertahan dengan kecaman masyarakat antarabangsa.

Apabila Presiden Donald Trump mengeluarkan arahan mengurangkan pengambilan pelarian dari 45,000 kepada 30,000 untuk 2019, AS dikutuk kerana culas melaksanakan tanggungjawab negara maju membantu pelarian. Malah bukan sahaja AS tetapi negara Eropah bertelagah sesama sendiri gara-gara pertikaian jumlah pelarian yang sepatutnya diterima.

Sebab itu juga dalam kenyataan rasmi pertama yang dikeluarkan Datuk Saifuddin Abdullah sebaik dilantik sebagai Menteri Luar adalah Malaysia akan ratifikasi enam konvensyen PBB mengenai hak asasi manusia. Mengapa isu ini dianggap kritikal oleh Saifuddin kerana pada proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) 2013 PBB mengenai hak asasi, Malaysia disaran supaya ratifikasi enam konvensyen tersebut.

Proses UPR ke atas Malaysia akan berlaku sekali lagi pada November 2018 dan sudah pasti kenyataan Saifuddin akan meredakan tekanan antarabangsa tetapi yang dibimbangi apakah kenyataan Anwar mengenai pelarian akan dibincangkan dalam UPR itu dan jika ini berlaku ia akan memberikan tekanan tambahan kepada negara.