Teknologi dan Gadjet : Belajarlah daripada China

Kehidupan di zaman sains teknologi dan komunikasi hari ini memang mudah dengan adanya semua internet, software dan gadjet sedia ada. Sebagai negara sedang membangun, termasuk negara-negara Islam yang lain, kita hanya menjadi pengguna teknologi bukan pencipta. Alangkah malang umat Islam, sehingga kini masih menjadi pengguna. Lebih malangnya, ia tidak digunakan bagi tujuan kebaikan.

Tidakkah sepatutnya umat Islam atau negara Islam yang menjadi pelopor disebabkan ada kalimah Islam itu, yang baginda Rasulullah s.a.w. sebut sebagai; Islam itu tinggi mengatasi segala-galanya. Malangnya ketinggian Islam tidak setinggi umat dan negaranya.

Rata-rata umat Islam negara Islam tertinggal dalam bidang sains dan teknologi. Kita hanya boleh berbangga dengan masa lampau yang tidak mungkin kembali semula. Kita gagal untuk mencipta kegemilangan masa lampau, sedangkan Islam meniadi anutan kita.

Begitu malang sekali, saban tahun kita menunaikan haji dan tidak kurang daripada memilih berumah berdekatan kaabah, bagi yang menziarah kaabah (umrah), mereka akan memilih penginapan yang paling dekat dengan kaabah. Malangnya semua itu tidak menginsafkan.

Tidak ada negara Islam yang tersenarai menjadi negara 20 terkuat dunia (kecuali Turki), 40 terbersih dunia, 40 terbahagia dunia, dan berbagai-bagai lagi ranking yang dibuat. Semuanya boleh dikatakan kita ketinggalan. Usahlah diperkatakan soal persenjataan bagi tujuan keselamatan negara seperti kata pepatah latin, si vis pacem parabelum, yang bermaksud jika mahukan keamanan, maka bersedialah untuk berperang.

Lebih hina lagi kita bergaduh dan berperang sesama sendiri. Lihatlah apa yang berlaku dalam kalangan negara-negara Arab hari ini yang sangat berdekatan dengan kaabah. Perang sesama mereka sudah terlalu hampir. Sebahagiannya sudah pun berlaku seperti di Syria. Yahudi berjaya mencaturkan kita. Kita dicaturkan Yahudi, bukan sebaliknya.

Akibatnya, negara Islam terus ketinggalan, Yahudi mencapai kemenangan. Kenapa kita begitu lemah sehinga mudah dicaturkan? Ini tidak termasuk perkembangan komunikasi dan teknologi maklumat.

Sudahlah menjadi pengguna. Lebih malang lagi, teknologi ini tidak digunakan dengan baik. Malah digunakan bagi tujuan sebaliknya, mengadu domba, fitnah dan berbagai lagi.

Tidak kurang pula yang menggunakan gadjet-gadjet baharu ini bagi tujuan yang sangat hina sehingga berlaku kes-kes rogol, zina, perceraian dan sebagainya. Hanya sekali berkenaan melalui WhatsApp, wechat dan sebagainya, kita rela menyerahkan segalanya, termasuk batang tubuh. Akhirnya berlaku gejala sosial yang menakutkan. Buang anak, dadah dan banyak lagi yang tidak perlu disebutkan.

Kenapa boleh menjadi sedemikian rupa? Kenapa umat Islam begitu lemah? Apakah Islam yang menjadi anutan tidak boleh menjadi perisai?

Sekali pandang, menampakkan lemah sangat agama kita. Patutlah umat Islam dilindungi perlembagaan dalam konteks Malaysia. Misalnya, orang bukan Islam tidak boleh mendakyahkan agama mereka terhadap agama Islam dalam perkara 11(4). Kenapa kita menjadi makhluk yang begitu lemah sehingga tidak dapat mempertahankan diri. Datang Kristian, masuk Kristian, datang Hindu masuk Hindu. Sepatutnya jika mereka datang berdakyah kepada kita, itu lah peluang terbaik untuk kita balas balik dengan berdakwah kepada mereka. Tetapi sebaliknya berlaku.

Saya tidak pernah takut kepada dakyah agama lain. Datanglah seramai manapun ke rumah, ke hospital dan mana-mana juga tempat. Saya bersedia berhadapan dengan mereka dan hujah-hujah berlandaskan agama Islam yang saya anuti.

Saya selalu bercerita kepada pelajar-pelajar saya, perlindungan ini menampakkan seolah-olah Islam itu lemah, kita tidak dapat bertahan dengan serangan luar dan teknologi hari ini, sedangkan kita mempunyai agama sangat hebat dan berdaya tahun. Lihatlah pada zaman Baginda Rasulullah dan para sahabat serta kegemilangan empayar Othmaniyyah. Kenapa hari ini kita tidak boleh menjadi sedemikian, sebaliknya menjadi begitu lemah.

Jawapannya mudah. Kita tidak menghayati ajaran agama Islam yang sebenarnya. Kita sudah jauhdaripada al-Quran dan as-Sunnah. Jika tidak, mana mungkin kita boleh bergaduh dan berperang sesama sendiri. Lebih menyedihkan, bertelingkah dalam perkara-perkara kecil atau remeh temeh. Sedangkan musuh-musuh Islam sentiasa mengambil kesempatan dengan teknologi yang ada.

Contohi negara China, seperti mana kata hukama, tuntutlah ilmu walau sampai ke negara China. Kenapa negara China? Mesti ada sebabnya. Biarlah saya sebagai orang Cina yang menerangkan, jika mungkin orang Melayu sudah tidak nampak.

Negara China adalah sebuah negara maju dan bertamadun sejak zaman dahulu lagi. Hatta sebelum kelahiran baginda Rasulullah s.a.w. Negara ini telah mencipta kekayaan tamadun dengan teknologi kertas dan letupan. Hari ini, negara ini menjadi salah satu kuasa besar dunia yang geruni.

Mereka mencipta teknologi bukan menjadi pengguna teknologi barat. Sehingga barat menjadi pening kepala untuk mengetahui kekuatan teknologi China. Bukan seperti kita dan negara umat Islam. Saya amat yakin, negara barat atau musuh-musuh Islam tahu sejauh mana kekuatan pertahanan dan keselamatan negara Islam, disebabkan kita hanya menjadi pengguna teknologi mereka.

Kecanggihan teknologi dan satelit yang berada di angkasa menjadikan mereka tahu apa jua yang kita ada termasuk senjata sulit dan sebagainya. Mana mungkin tidak. Jika teknologi hari ini memandu kita ke mana sahaja seperti GPS, Wase dan sebagainya. Sudah tentu pihak musuh tahu, apa jua pergerakan kita semua.

Hatta, saya berani mengatakan, kita mandi bilik air pun mereka dapat tengok. Termasuk juga hubungan suami isteri, jika mereka mahu melihat. Mereka telah menguasai angkasa melalui teknologi gelombang. Kita ada apa? Pergi ke angkasapun dengan menumpang atau sebagai penumpang. Usahkan hendak menguasai angkasa untuk meletakkan sendiri satelit. Itupun sudah heboh satu dunia meskipun hanya menjadi penumpang.

Negara yang menjadi menjadi musuh barat seperti China, sudah dapat mencium bau ini sekian lama. Sebab itu China terus kekal dengan sistem komunis. Tidak menggunakan aplikasi barat. Mereka tidak menggunakan google, dan apa juga aplikasi gadjet barat. Mereka mencipta teknologi sendiri.

Bukan seperti kita, kita hanya pengguna. Itupun teknologi yang disalurkan bukan teknologi terbaharu, tetapi yang sudah second hand atau outdated. Buktinya, kita menerima banyak aduan daripada penggunaan, perkhidmatan teknologi yang kita gunakan agak ‘slow’. Mana tidaknya, kabel-kabel yang kita gunakan sudah outdated. Sedangkan barat sudah mencipta teknologi yang uptodate. Yang mereka sudah tidak mahu pakai, kita pakai. Mana tidak ‘slow’.

Tahukah saudara bahawa di China tidak ada Facebook, tidak ada Google, Twitter dan beberapa laman web popular di dunia yang lain. Mereka menggunakan Weibo iaitu klon Facebook, Renren klon Twitter dan Youku klon Youtube. Pendek kata, negara China mengambil pendekatan meneruskan dasar tutup pintu, tetapi pada masa mencipta aplikasi menggantikan aplikasi tersebut. China merupakan negara yang mengutakuasakan aturan yang ketat dalam hal penyebaran informasi media.

Jika difikirkan secara mendalam, kenapa China bertindak sedemikian, bukankah ‘bodoh’ menolak teknologi? Sebenarnya China tidak bodoh. Mereka sangat cerdik. Mereka mencipta aplikasi baharu supaya tidak mendedahkan negara itu dalam bahaya kepada musuh atau kuasa besar.

Sebabnya sangat jelas, sesiapa yang mengkaji ilmu pertahanan dan keselamatan akan memahami maksud yang cuba disampaikan. Seperti yang diketahui, bukan susah untuk mendapatkan sebarang informasi melalui media digital seperti Google dan media sosial yang lain.

Secara tidak langsung ianya juga memberikan informasi kepada Google tentang trend di setiap negara. Ini membuatkan mereka pemegang sumber informasi dunia. Justeru, kerajaan China mengambil langkah untuk menyekat syarikat media gergasi dunia mendapatkan maklumat dan informasi tentang negara mereka.

China cukup banyak belajar daripada sejarah. Bukankah itu yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam? Sebab Allah mahukan kita mengambil pengajaran akan setiap peristiwa yang berlaku.

Buktinya, China, Facebook mula dilarang pada Julai 2009 berikutan rusuhan ‘Ürümqi’ kerana aktivis kemerdekaan Xinjiang menggunakan Facebook sebagai sebahagian daripada rangkaian komunikasi mereka. Sesetengah pengguna Cina juga percaya bahawa Facebook tidak akan berjaya di China selepas masalah Google China.

China tahu musuh-musuh sentiasa mengambil kesempatan, ruang dan peluang. Menggunakan teknologi atau gadjet-gadjet akan mendedahkan negara kepada masalah. Maka, China mencipta teknologi.

Rangkaian sosial popular Renren (dahulunya Xiaonei) mempunyai banyak ciri-ciri yang serupa dengan Facebook, dan mematuhi peraturan-peraturan kerajaan mengenai penapisan kandungan. Twitter turut disekat di China.

Kita tidak mengambil iktibar. Hari ini kita hanya menjadi pengguna semata-mata. Saya tidak tahu sejauh mana rahsia pertahanan dan keselematan negara terjamin melalui pengunaan aplikasi ini. Tetapi saya amat yakin, kita sedang mendedahkan negara kepada bahaya.

Saya yakin bahawa musuh tahu sejauh mana kekuatan kita. Termasuk alat-alat persenjataan yang kita ada.

Dalam kehidupan bersosial, ternyata gadjet gadjet telah menjadikan kehidupan kita menjadi ‘huru hara’. Anak-anak tidak lagi banyak bercakap, leka bermain semua gadjet ini. Terkadang melihat mereka makan semeja, seperti rumah mayat, senyap sunyi, tidak ada perbualan mesra. Semua sibuk berwhatsApp dan bertwitter.

Melalu whatsApp kita berjumpa kembali teman lama, cinta berputik kembali. Berikut beberapa aplikasi yang tidak dapat diakses di China,

Pertama, Google, seperti yang dijelaskan di atas.

Kedua, Face book, media sosial ini telah diharamkan sejak 2009, pada saat ledakan dunia. Kerajaan China bertindak tegas menyekat laman buku buka tersebut.

Ketiga, Instagram turut diharamkan China setelah protes kelompok pro-demokrasi di Hong Kong pada 2014.

Keempat, Twitter. Gadjet ini turut diharamkan bagi mengelakkan sistem komunis tidak diganggu-gugat.

Kelima, Snapchat, seperti juga larangan ke atas Google dan Facebook, bertujuan melindungi pasaran domestik China dari serangan ledakan teknologi barat. Kerajaan China mengambil inisiatif untuk mencipta jaringan sendiri.

Keenam, Pinterest turut dilarang penggunaannya kerana telah terbukti memberi impak negatif kepada pihak yang menggunakan. Ketujuh. Website. China turut melakukan sensor terhadap ribuan website, disaring dan ditapis. Website yang disaring tidak hanya terkait pornografi, tetapi dalam apa jua perkara yang mengkritik pemerintah komunis China atau isu sensitif seperti hak asasi manusia.

Kelapan, E-book dan video. Pemerintah China juga membuat saringan ketat terhadap kandungan digital ini. Kandungan Apple iBook dan iTunes Movies yang menawarkan streaming watak Disney turut diharamkan.

Selain itu, kerajaan China juga menghadkan tayangan filem barat di pawagam mereka. Pendek kata, dalam setahun, hanya 34 judul filem barat yang dibenarkan ditayang. Setelah membuat perbandingan teknologi dan gadjet China ini, ingin saya bertanya kita pula pula bagaimana? Sukar untuk diperkatakan, bukan? Kita hanya pengguna. Sudahlah mengguna, lebih menyedihkan digunakan bukan untuk tujuan kebaikan. Buktinya, gejala sosial menjadi semakin menakutkan? Kes cabul, rogol, cerai, dan sebagainya semakin meningkat, bukan berkurang.

Belajarlah daripada China, meski kerajaaan China mengharamkan pengaruh barat melalui gadjet-gadjet, tetapi rakyat mereka masih boleh melayari internet ciptaan barat. Namun, kerajaan China tidak berdiam diri. China terus memantau dan terus memastikan teknologi barat (gadjet) tidak akan menghancurkan sistem komunis China dan rakyatnya. Justeru, marilah bersama kita fikirkan. Apakah kita masih terus mahu menjadi pengguna atau sudah sampai masa kita menjadi pencipta seperti yang dilakukan oleh China. Jika tidak mahu meniru China, sekurang-kurangnya belajarlah daripada China.

Susunan semula oleh Ibnu Abbas

No Comments

    Leave a reply