TENTERA PELAWAK MUSLIM SERANG UK!

Ceritanya mengenai Ramadan. Tajuknya The Fast and The Fool. Pelakon utamanya ialah Tez Ilyas, si pelawak Muslim keturunan Pakistan. Ia merupakan salah satu episod dalam rancangan British Muslim Comedy yang disiarkan pada bulan Ramadan tahun lalu oleh BBC iPlayer, iaitu saluran televisyen Internet untuk pengguna telefon pintar, komputer peribadi dan gajet di United Kingdom (UK).

Filem ini hanya berdurasi 5.11 minit saja. Ia mengisahkan tentang cabaran yang dihadapi oleh seorang Muslim di UK. Bukan sekadar kena tahan lapar, kena sabar juga dengan godaan wanita seksi nanjelita. Bukan itu saja, kena banyakkan sedekah, membantu orang susahdan sebagainya, yang menjadi rukun berpuasa.

Filem pendek yang berlatarbelakangkan sebuah pejabat ini dipenuhi dengan dialog dan monolog lucu. Tez bijak memainkan watak sebagai Muslim yang tertekan dengan cabaran Ramadan. Filem ini diakhiri dengan cara yang sangat provokatif dan mengejutkan, apabila Tez memilih untuk berpuasa dengan caranya sendiri.

The Fast and The Fool mendapat pujian ramai. Sekali gus ia menaikkan lagi nama Tez Ilyas sebagai seorang pelawak Muslim yang kian mencipta nama dalam industri hiburan di UK.

Tapi ia bukan sekadar hasil seni. Filem komedi ini sebenarnya sebutir lagi peluru yang ditembak oleh Tez dalam menjalankan peranannya sebagai seorang pelawak Muslim bagi menentang Islamophobia yang sedang membara di UK dan benua Eropah. Sekali gus mendedahkan masyarakat di sana tentang ajaran Islam yang sebenar, yang sering disalaherti dan diberikan imej negatif oleh media massa.

Oh, ini bukan perang biasa-biasa! Ini bukan perang fizikal yang membunuh nyawa. Ini perang untuk menumpaskan minda jahat segelintir masyarakat Barat. Perang ini bukan dengan peluru, tetapi dengan ketawa yang penuh sinikal.

Inilah jihad serta perjuangan yang sedang dijalankan oleh Tez sejak mula menceburi bidang tersebut sebagai stand-up comedian pada 2010. Berusia 32 tahun, Tez berketurunan Pakistan dan lahir serta membesar di Blackburn, Lancashire, England.

Tez bukan calang-calang orang. Dia berkelulusan sarjana daam bidang Biokimia dari Universiti Lancaster dan asalnya hanya bekerja kerajaan. Bidang komedi solo terlalu asing, tetapi bapanya menyedari bakat Tez dan menggalakkan beliau menceburinya, dengan objektif menjadikan kerjaya itu sebagai medan menyebarkan Islam dalam kalangan masyarakat Barat.

Tez mula menyertai bidang ini selepas mengikuti kursus penulisan di dalam talian dan seterusnya bengkel persembahan selama seminggu pada Jun 2010.Pada 2011 Tez mencuba bakatnya dalam pertandingan BBC New Radio Comedy Awards dan tanpa disangka berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Dari sinilah bakatnya terus berkembang dan mula dikenali ramai. Tez kemudian bergabung dengan Gray Trod dan Kate Lucas membentuk kumpulan Gags Songs and Bombs. Pada 2013 Tez melangkah lebih jauh apabila melayakkan diri ke pertandingan akhir Leicester Mercury New Comedian of The Year.

Sejak itu Tez sering dijemput membuat persembahan komedi solo di pelbagai persembahan pentas dan rancangan TV serta radio BBC, antaranyaThe One Show, The Now Show, Live From BBC, Virtually Famous dan Safeword. Bukan itu saja, Tez juga menulis dan membintangi rancangan komedi pendek di BBC Three, BBC iPlayer serta Sky Arts.

Setiap kali tampil di pentas atau TV, Tez akan membuat jenaka sinikal tentang salah faham masyarakat Barat terhadap pelbagai isu yang berkaitan dengan Islam, dari isu pengganas, janggut, poligami, jihad, makanan halal, pengebom bunuh diri, hinggalah kepada dirinya sebagai imigran Muslim dari benua Asia.

Salah satu siri persembahan pentas beliau yang terkenal ialah Tez Talk, iaitu  komedipentas berbentuk seminar untuk bakal Muslim. Dalam rancangan itu Tez mengajak penonton bukan Islam Britain memainkan watak sebagai orang yang mahu memeluk Islam. Mereka mahu tahu macam-macam perkara.

Dari situlah, dalam lawak jenakanya, Tez akan mengajar apa yang perlu mereka lakukan. Maka terburailah wujud pelbagai jenaka, salah faham dan kejutan.Tez seterusnya mengajar mereka bagaimana mahu menyesuaikan diri dengan cara hidup Britain dan persepsi negatif yang sering dilontarkan. Sebenarnya Tez Talk diinspirasikan daripada perjalanan hidup Tez sendiri.

Sebagai seorang Muslim, saya menentang sebarang perbuatan memburuk-burukkan Islam serta agama-agama lain,” jawab Tez apabila ditanya tentang pendiriannya terhadap rasisme dan Islamophobia.

AATIF NAWAZ

 

Selain Tez Ilyas, seorang lagi pelawak Muslim yang sedang berjuang menentang Islamophobia di Britain ialah Aatif Nawaz. Berasal dari Lahore, Pakistan, Aatif mula menjadi stand-up comedian pada 2006. Beliau sekarang sering muncul dalam rancangan-rancangan komedi TV Islam dan British-Asia.

Aatif sebenarnya berkebolehan dalam bidang lakonan, dan memang itulah cita-citanya. Tapi entah macam mana, suatu malamberlaku masalah teknikal dalam satu persembahan tarian Bollywood yang disertainya.

Bagi tidak menghampakan penonton, Aatif mengambil alat pembesar suara dan menghiburkan mereka dengan lawak jenaka secara spontan, tanpa skrip dan tanpa sebarang persediaan. Tanpa disangka, Aatif telah berlawak selama 45 minit dan mendapat tepukan gemuruh penonton!

Dari situ kariernya mula berkembang dan sering dijemput menyertai persembahan-persembahan di sekitar London. Antara persembahan solonya yang terkenal ialah Muslim Do it 5 Times A Day yang dipersembahkan di hadapan lebih 2,000 orang penonton di pelbagai tempat seluruh kota London, Edinburgh serta Leicester.Satu lagi persembahan komedinya yang terkenal ialah Aatificial Intelligence, yang masih berlangsung sampai sekarang.

Dalam setiap persembahan itu Aatif akan berjenaka tentang amalan-amalan yang dilakukan dalam Islam, seperti solat dan puasa, juga yang ditegah seperti meminum arak dan memakan babi. Tidak lupa Aatif membuat jenaka sarkastik tentang terrorism berkaitan Al-Qaeda, IS, DAESH dan sebagainya.

Bukanlah suatu yang mudah untuk membuat komedi mengenai Islam dan mengetengahkan identiti kita sebagai Muslim di atas pentas. Tapi saya suka lakukannya. Cuma saya lihat belum cukup ramai pelawak Muslim yang ditonjolkan oleh media arus perdana,  dandapat mengetengahkan pendapat mereka sebagai seorang Muslim, seperti yang saya lakukan. Itu sebabnya persembahan komedi saya Muslim Do It 5 Times A Day dapat bertahan lama, dan penonton sukakannya.”

SADIA AZMAT

Bukan saja pelawak lelaki, kini muncul juga stand-up comedian Muslim dari kalangan wanita. Antara yang terkenal ialah Sadia Azmat. Lahir pada 1987, ibu bapa Sadia  berasal dari Pakistan dan kini menetap di Essex. Beliau memulakan karier sebagai pelawak solo pada 2010.

Uniknya, dalam keluarganya, hanya Sadia saja yang memakai Hijab dan ia dilakukannya sejak berusia 19 tahun lagi. Mendapat asuhan pelawak terkenal Britain, Deborah Francis-White, Sadia pertama kali membuat persembahan pada Ogos 2011 di Please Hold – You’re Being Transferred To a UK Based Asian Representative yang diadakan semasa Edinburgh Fringe Festival.

Pada 2014 Sadia tampil dalam slot komedi solonnyaI’m No Malaladi Ediburgh Fringe Festval. Dalam persembahan itu, antara lain Sadia membuat jenaka tentang kesukaran yang dialaminya sebagai rakyat Britain keturunan Asia.

Dia juga berlawak tentang masyarakat Britain yang mengaitkannya dengan Malala Yuosafzai(remaja yang cuba dibunuh oleh Taliban kerana memperjuangkan hak pendidikan di kalangan kanak-kanak perempuan) dan masalah pendidikan di kalangan masyarakat desa di Pakistan yang dikuasai oleh Taliban,

Pada Jun 2015 Sadia membuat filem pendek Things I Have Been Asked As a Muslimsebagai salah satu episod dalam rancangan British Comedy Muslim yang disiarkan oleh BBC iPlayer.

Antara topik jenaka yang sering Sadia kemukakan ialah aurat, pemakaian hijab, rasisme, kehidupan seorang wanita Muslim dan intergrasi dengan budaya serta pemikiran masyarakat UK.

Sewaktu ditemubual dalam rancangan televisyen This Week, Sadia dengan berani mengkritik bekas Perdana Menteri Britain, David Cameron yang mencadangkan agar wanita-wanita Muslim mengikuti kelas bahasa bagi mencegah mereka daripada dipengaruhi gerakan pengganas.

Bagi Sadia cadangan Cameron itu suatu bentuk pemencilan kepada wanita Muslim dan menunjukkan kerajaan negara tersebut takut kepada sesuatu yang mereka sendiri tidak faham. Sadia turut menegaskan, pemakaian hijab adalah suatu bentuk keberanian, bukannya tekanan mahupun paksaan.

SHAZIA MIRZA

Kalau gaya persembahan dan nada suara Sania Azmat agak sedikit mendatar, seorang lagi stand-up comedian wanita, Shazia Mirza pula berbeza. Suaranya lantang, penuh intonasi berserta mimik muka yang selamba.Lawaknya juga lebih sinikal dan bersahaja berbanding Sadia. Malah Shazia tampak lebih tangkas dan berani.

Lahir pada 1979, menetap di Birminngham, ibu bapanya berpindah dari Pakistan pada tahun 1960-an.Asalnya Shazia adalah guru sekolah yang mengajar subjek Sains. Beliau mula menjadi pelawak pada tahun 2000 dan apabila berlaku serangan 9/11, namanya semakin dikenali. Peristiwa itu secara tidak langsung menjadi peluang untuk Shazia lebih kerap muncul di pentas untuk menerangkan kepada khalayak tentang apa itu Islam.

Sebagai menyindir tohmahan Barat, Shazia  akan memulakan persembahannya dengan kata-kata, “Nama saya Shazia Mirza…paling tidak pun nama itu dicatatkan pada lesen juruterbang saya.”

Pada 2007 Shazia muncul dalam sebuah dokumentari BBC Three berjudul F*** Off, I’m a Hairy Woman, seterusnya dalam pelbagai persembahan pentas serta TV di Amerika Syarikat, Kanada, Holland, Perancis dan sebagainya.

Menariknya, selain berlawak, Shazia juga seorang wartawan dan penulis hebat. Beliau adalah kolumnis akhbarThe Guardiansejak 2004 serta menjadi penulis pojok majalah New Statesman, di mana dia terpilih sebagai Kolumnis Terbaik 2008 dalam PPA Awards. Selain itu, Shazia juga menulis untuk Dawn News, di www.DAWN.Com yang diterbitkan pada setiap Sabtu.

Shazia telah memenangi pelbagai anugerah sepanjang kariernya ini. Yang paling menarik barangkali pada 2009, apabila dipilih sebagai antara 20 orang wanita Muslim paling berjaya di UK.

Sepertimana Shania Azmat, Shazia Mirza juga mengetengahkan jenaka tentang hijab, terrorisme, seksis, Islamophobia dan isu-isu lain berkaitan Islam.

Selain nama-nama yang disebutkan di atas tadi, sebenarnya terdapat ramai lagi pelawak-pelawak Muslim yang sedang bertarung memperjuangkan Islam di UK. Antara mereka ialah Bilal Zafar, Jay Islaam, Steve Kandel, Guz Khan, Omar Hamdi, Sajeela Kershi, Imran Yusuf, Prince Abdi serta Asim dan Sadia Chaudry.

Semoga merekaberjaya dalam bidang seni, semoga mereka mendapat pahala yang besar ketika berlawak sambil berdakwah.

Oleh: Aznan Murad

No Comments

    Leave a reply