Teori Irtifaqat dan Pembangunan Sosio-Budaya Masyarakat Menurut Perspektif Shah Wali Allah al-Dihlawi

SHAH Wali Allah al-Dihlawi (1703-1762) membahagikan perkembangan kehidupan sosial dari awal sehingga kepuncak kepada empat peringkat. Ia dinamakan dengan irtifaqat (asal dari kata perbuatan irtafaqa bi-hi, bermaksud “dapat faedah dengannya”, Marbawi, 243). Teori al-Dihlawi tentang irtifiqat mendapat tempat istimewa dalam tulisannya seperti Hujjat Allah al-Balighah dan al-Budur al-bazighah.

Teori Irtifaqat Menurut al-Dihlawi

Menurut al-Dihlawi, sejarah masyarakat manusia pada peringat irtifaq yang pertama adalah lebih bersifat primitif dan sederhana. Manusia terdiri daripada kelompok kecil terpisahnya antara satu sama lain. Walaupun begitu, keperluan utama manusia lebih unik dibandingkan dengan haiwan. Perkara asasi keperluan manusia termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal, seks dan bahasa tentu berlainan dengan kehidupan haiwan. Contohnya, haiwan hanya cukup dengan makanan tanpa perlu dimasak dan sebagainya. Berlainan dengan manusia yang memasak makanan dan dimasak dengan pelbagai cara dan rasa. Tentang hubungan seks pula, haiwan tidak mengenal pasangan khusus tetapi manusia lelaki yang memiliki pasangan khusus yang tidak boleh dikongsi. Dengan itu, keturunan dapat dikenal-pasti.

Peringkat kedua irtifaq merupakan sambungan dan kemajuan daripada peringkat pertama. Pada peringkat ini setiap aspek keperluan hidup mendapat sentuhan penambah-baikan dari nilai keindahan dan kecantikan. Secara umum ia melibatkan lima aspek kehidupan, iaitu kehidupan peribadi (ma‘ashiyyah), pekerjaan (iktisabiyyah), rumahtangga (manziliyyah), ekonomi (ta‘amuliyyah) dan seterusnya saling bekerjasama dan tolong menolong (ta‘awuniyyah). Kehidupan pada peringkat ini melibatkan kewajipan dan tanggungjawab, kod etika, kecantikan, seni, estatik, keselesaan, pembahagian tugas melambangkan manusia dalam satu kehidupan bermasyarakat (civil society).

Peringkat ketiga irtifaq menyaksikan kesinambungan peringkat kedua dan masyarakat menjadi lebih tersusun dengan terbentuknya bandar (madinah) atau negara. Akhirnya kerajaan ditubuhkan dan pemimpin (imam) dilantik. Keseluruhan struktur kerajaan seperti badan kehakiman, esekutif, legislatif terbentuk. Dalam menjaga keamanan tertubuh tentera dan polis. Manakala institusi pendidikan dan kebajikan juga diadakan. Kesemua bertujuan menjaga keadilan dan ketenteraman supaya masyarakat dapat hidup secara aman dan harmoni.

Peringkat keempat irtifaq merupakan peringkat lebih maju dan terkehadapan dengan negara-negara membentuk hubungan antarabangsa sesama sendiri. Kesemua bersepakat untuk menerima satu pemimpin tertinggi (khalifat al-khulafa’) dalam satu orde dunia. Tugas kepemimpinan tertinggi, juga disebut al-Khilafah al-‘uzma, adalah untuk menjaga kesejahteraan seluruh dunia supaya tidak berlaku permusuhan dan peperangan sesama negara. Dengan kepemimpinan tertinggi hendaklah mempunyai kekuatan moral dan fizikal dalam mengawal orde dunia.

Secara umumnya kaum Muslimin bermula dengan kepimpinan Rasulullah dan seterusnya Khulafa’ al-Rashidin, Umawi, dan Abbasiyyah sudah melalui keempat-empat peringkat irtifaqat tersebut. Bagaimanpun, pencapaian kaum Muslimin tidaklah berterusan berada di puncak, masyarakat Islam ada naik dan turun. Hal ini sama dengan teori Ibn Khaldun tentang naik dan turun suatu bangsa (the rise and fall of the nation). Ia sudah berlaku pada umat-umat terdahulu seperti bangsa Rum dan Parsi dan seterusnya bangsa Arab.

Faktor Kerosakan dan Kemunduran Masyarakat berdasarkan Teori Irtifaqat

Menurut al-Dihlawi, pada setiap peringkat ada sahaja perkara yang manusia lakukan membawa kepada kerosakan (fasad) kepada diri dan masyarakatnya. Ini boleh kita panggil sebagai kemunduran kerana ia menyekat perkembangan yang sihat dalam sesuatu masyarakat. Contohnya, pada peringkat irtifaq yang ketiga al-Dihlawi menganalisa sebab-sebab membawa kepada kemerosotan (causes for decadence) penduduk Bandar, iaitu:

(1) Perbalahan dalam memahami agama sehingga membawa kepada lahir kumpulan-kumpulan kecil dan biasanya mengakibatkan kesesatan seperti yang berlaku pada golongan murtad dan zindik,

(2) Kejahatan tersembunyi termasuk sihir, meracun secara rahsia dan tipu daya kaum pedagang sehingga membawa kepada huru hara,

(3) Pencabulan hak milik seperti merampas, mencuri dan merompak,

(4) Berlaku jenayah bunuh sama ada secara sengaja atau tidak,

(5) Serangan peribadi terhadap kepada maruah diri dan keturunan seperti tuduhan palsu (qazaf), makian dan bahasa kesat,

(6) Perbuatan mendorong dan mempengaruhi orang ramai untuk melakukan perbuatan jahat seperti berzina, liwat, berjudi, mengambil riba dan meminum arak, dan

(7) Mengubah hakikat semulajadi manusia seperti lelaki menjadi perempuan dan sebaliknya daripada aspek pakaian dan tingkah laku (al-Dihlawi, 1970: 101-103; trj. 91-92)

Sebelum itu al-Dihlawi juga melihat punca kemunduran berlaku apabila masyarakat sendiri jahil tentang aspek irtifaqat dan ini menyebabkan mereka melakukan kerosakan dan seterusnya menjadi mundur. Menurut al-Dihlawi terdapat dua sebab utama kerosakan, iaitu:

(1) Masyarakat memilih untuk berada pada peringkat perkembangan yang salah dan tidak bersesuaian dengan keadaan mereka, dan

(2) Masyarakat terus menempuhi peringkat kedua tanpa memenuhi pra syarat peringkat pertama yang dapat menyokong mereka supaya mereka bebas daripada kongkongan dan asas keperluan utama dapat dipenuhi. Contohnya mereka mementingkan kemegahan sosial tanpa memenuhi syarat peringkat domestic (rumahtangga) (al-Dihlawi, 1970: 66-67; trj. Budur, 61). Kebangkitan dan kejatuhan empayar Rum dan Parsi berpunca daripada hidup bermewah-mewah (sensate culture) (Siddiqi, 1966 dalam Chaghatai, 2005: 63)

Pada akhirnya al-Dihlawi menulis tentang kemerosotan pembangunan irtifaqat (sosio-budaya dan sosio-ekonomi) secara keseluruhannya atas tiga punca berikut:

(1) Lupa dengan unsur asas pada peringat irtifaq pertama,

(2) Mempraktikkan adat kebiasaan berasaskan nafsu di peringkat irtifaq kedua sehingga menyebabkan asas peringat irtifaq pertama menjadi lebur atau dilupakan, dan

(3) Adat kebiasaan berasaskan kepentingan hawa nafsu menjadi pertimbangan pada peringkat ketiga sehingga menyebabkan mereka melupai kebaikan peringkat irtifaq kedua. Dan seterusnya hal yang sama berlaku pada peringkat irtifaq keempat (al-Dihlawi, 1970: 119-120; trj. 106-7).

Adalah jelas di sini al-Dihlawi melihat ilmu sebagai asas pembangunan manakala kejahilan dan perbuatan menurut hawa nafsu sebagai punca kemunduran masyarakat manusia.

Saranan dalam Menghadapi Kemerosatan dan Kemunduran

Di samping menghuraikan keadaan pembangunan masyarakat manusia itu secara umum dan juga kerosakan yang boleh berlaku pada setiap peringkat, al-Dihlawi juga memberi saranan bagaimana tindakan boleh diambil apabila kemerosotan dalam irtifaqat berlaku. Menurut al-Dihlawi, apabila keseluruhan kerangka peringkat irtifaq keempat hancur, masyarakat hendaklah berpegang kepada peringkat irtifaq ketiga. Asas utama peringkat irtifaq ketiga adalah pemerintah berpegang kepada prinsip keadilan dan undang-undang yang adil dilaksanakan. Dengan berbuat demikian, peperangan saudara dapat dielakkan. Seterusnya apabila peringat irtifaq ketiga hancur dan tidak dapat diselamatkan, masyarakat hendaklah berpegang kepada peringkat irtifaq kedua dan seterusnya apabila peringat irtifaq kedua merosot dan tidak berfungsi lagi, masyarakat hendaklah kembali berpegang kepada peringat irtifaq pertama sebagai asas kehidupan. Dengan itu mereka bersedia dalam menghadapi kebuluran dan keadaan hidup yang hina. Apabila mereka tidak lagi mampu berbuat demikian mereka akan mati terhina (al-Dihlawi, 1970: 120-21; trj., 107).

Menurut al-Dihlawi, hal yang sama berlaku kepada seorang lelaki yang merupakan pemimpin semulajadi dalam masyarakat. Kepimpinanannya dipertikaikan apabila dia melakukan kezaliman dan tidak berbuat adil. Dengan itu dia jatuh pada peringat irtifaq kedua. Sekiranya seseorang itu tahu menjalani kehidupan dan mencari mata pencarian hidup pada peringkat ini, dia selamat. Tetapi sekiranya ia tidak mampu dan hanya mengimpikan kepimpinan sebelum ini, dia akan mati sengsara dan kelaparan. Dengan itu seseorang hendaklah tahu berperanan pada semua peringat irtifaqat supaya hidup terurus dengan baik. Al-Dihlawi menyimpulkan asal kepada kemerostan adalah ketiadaan ilmu tentang jenis-jenis irtifiqat dan bersikap jumud (rigid) kerana hanya tahu satu peringkat irtifaq sahaja (al-Dihlawi, 1970: 120-21; trj., 107-8). Dengan kata lain, ilmu sangat penting dalam segenap aspek kehidupan dan tanpanya membawa masyarakat ke arah kemunduran.

Kepentingan Akhlak Mulia Kepada Pembangunan

Seterusnya kita juga melihat al-Dihlawi mengaitkan punca kemunduran kaum Muslimin dengan kehilangan akhlak mulia pada peringkat-peringkat puncak sewaktu proses irtifaqat. Ini berkaitan dengan adam resam dan budaya masyarakat yang Allah sudah semaikan dalam diri manusia dalam menghadapi cabaran hidup. Menurut al-Dihlawi, hanya dengan nilai akhlak, pengalaman peribadi dan ilmu pengetahuan yang dapat membawa kejayaan bagi masyarakat manusia. Dengan mengikuti contoh teladan insan unggul (towering personality) masyarakat manusia berjaya. Ini kerana Allah telah menjadikan akal manusia seperti cermin dengan imej dalam cermin lain terpantul sama kedalamnya. Dengan itu manusia terdorong dengan sendiri melakukan sesuatu walaupun dia tidak menyedari tujuan di sebaliknya. Dengan kata lain, masyarakat manusia akan terikut dengan keadaan masyarakat setempat. Ini dipanggil sebagai adat (rasam).

Selain itu, Allah s.w.t juga sudah menjadi pemimpin masyarakat adalah individu yang memilik akhlak-akhlak tertentu. Al-Dihlawi menamakan sebagai akhlak utama (akhlak fadilah) dan ia terbahagi kepada tujuh:

(1) Kebijaksanaan (hikmah),

(2) Maruah diri (‘iffah),

(3) Toleransi (samahah),

 (4) Keberanian (shaja‘ah),

(5) Kefasihan (fasahah),

(6) Sama luaran dan dalaman (diyanah) dan

(7) Seimbang (al-samt al-salih) (al-Dihlawi, 1970: 47-60; trj., 44-54; Halepota, 1977: 54-105).

Walau adat atau budaya sangat bermanfaat kepada masyarakat manusia, ia kadang-kadang mendatangkan keburukan secara tidak sengaja. Antara sebab-sebab berlaku demikian ialah:

 (1) Resam menghalang lahirnya akhlak mulia dalam manusia. Umpamanya budaya dibentuk berdasarkan perdebatan atau terikut-ikut dengan ketua, ia menghalang seseorang yang mempunyai kekuatan peribadi daripada bersifat toleran dan dominan. Sekiranya adat bersumberkan toleran dan dominan, ia menghalang seseorang yang tidak mempunyai kekuatan peribadi daripada berubah.

Dengan itu ia perlu kepada penglibatan dalam debat dan menjadi pengikut untuk berubah. Begitu juga sekiranya adat berdasarkan pemberian wang secara banyak, pemakaian pakaian yang hebat dan pemilikan hartanah yang banyak, manusia tidak mudah berubah kecuali dengan usaha yang berganda.

(2) Resam pula menjadi rosak apabila adat yang diamalkan melanggar batas susila akhlak dan pembangunan sosio-budaya yang baik. Kemerosotan budaya berlaku apabila budaya setempat yang membenarkan perbuatan zina dan liwat. Begitu juga adat yang membenarkan wanita menyerupai lelaki dari sudut berpakaian dan amalan tingkah lakum dan begitu juga sebaliknya.

(3) Adat yang merosakkan hubungan taqqarub dengan Allah atas sebab terlalu mengejar kehidupan dan terpesung daripada ajaran Allah (al-Dihlawi, 1970: 117-18; trj., 105).

Halangan Hijab Semulajadi

Selain itu al-Dihlawi juga menghubungkan perkembangan sosio-ekonomi dengan fitrah semulajadi manusia. Secara umumnya fitrah manusia adalah Islam. Bagaimanapun terdapat hijab atau halangan yang menyekat perkembangan fitrah semulajadi manusia itu. Al-Dihlawi membahagikan hijab kepada tiga jenis, iaitu:

(1) Hijab tabii (al-tabi‘ah, the physio-biological impulses of man) seperti keinginan kepada makanan, minuman dan hubungan seksual. Ini menyebabkan keinginan tersebut menguasai diri manusia sehingga ia dipenuhi.

(2) Budaya dan adat berupa pakaian, cara bercakap, makanan dan perkahwinan (rasm, customs), dan

(3) Jahil tentang Tuhan (al-jahl bi llah, misconceptions of God) (al-Dihlawi, 1970: 152-54; trj. 141-43).

Menurut al-Dihlawi, akal manusia mesti dibebaskan daripada hijab-hijab tersebut yang bukan sahaja menyebabkan konflik dalaman tetapi mempengaruhi masyarakat secara langsung (Halepota, 1977: 47-48).

Manusia sedapat mungkin hendaklah dibebaskan daripada dipengaruhi oleh hijab-hijab tersebut bagi membawa manusia kepada jalan yang benar dan seterusnya menjamin kebahagiaan manusia secara hakiki (Alwi bin Nordin & Nik Hasan bin Nik Abdullah, 2007: 17-24). Apabila manusia mengamalkan suruhan agama dan menggunakan akal hijab kehendak tabii dan adat kebiasaan dapat diatasi dengan sebaiknya.

Pengetahuan tentang agama terutama tentang ketuhanan sangat penting dalam merobohkan hijab kejahilan tentang tuhan yang sebenarnya. Dengan berbuat demikian timbul empat sifat utama yang lain, iaitu kebersihan dan kesucian (taharah), kepatuhan kepada Tuhan atau kebenaran (ikhbat li ’Llah), sifat sedia memaafi orang lain atau bertolak ansur (samahah) dan keadilan (‘adalah). Dengan ada sifat-sifat itu dalam diri manusia, kebahagiaan hakiki dapat dicapai (Alwi bin Nordin & Nik Hasan bin Nik Abdullah, 2007: 17-24).

Akal dan Agama Sebagai Sumber Kekuatan Masyarakat

Dengan kata lain, kita boleh sepakat menyatakan di sini antara punca kemunduran pemikiran menurut al-Dihlawi ialah bila akal manusia gagal berfungsi mengawal segala tindakannya dan juga bila ilmu agama diabaikan. Sumber kekuatan masyarakat Islam adalah agama. Al-Dihlawi mengajak umat Islam kembali kepada agama (Siddiqi 1966 dalam Chaghatai, 2005: 53). Al-Dihlawi merumuskan bahawa asas tradisi Islam adalah al-Quran dan Sunnah (Dar 1965 dalam Chaghatai, 2005: 30).

Menurut al-Dihlawi lagi kekalutan timbul dalam masyarakat Islam apabila mereka bebas untuk meninggalkan dalil berasas nas  al-Quran dan Sunnah (dalil naqli) seperti di zaman awal Islam. Dengan itu setiap orang membuat formula sendiri sehingga lahirnya konflik yang tiada berkesudahan dalam masyarakat (Dar 1965 dalam Chaghatai, 2005: 48-49). Menurut al-Ma‘sumi, al-Dihlawi dapat menilai sebab-sebab kemunduran masyarakat Islam secara umum dan kesultanan Delhi secara khusus apabila mereka sendiri menyalahguna dan merosakkan agama Islam itu sendiri walaupun sebelum ini Islam merupakan agama yang tersangat dekat pada mereka. Al-Ma’sumi menulis:

“To diagnose the malady that was eating into the very vitals of the body-politic of Islam in India and to find out a proper and appropriate remedy for it now became one consuming passion with Shah Waliyullah. He therefore began to analyse the causes that were responsible for and led to the downfall of the Delhi Sultanate or for the matter of that of the Muslims of India as a whole. It is a truism to say that all the major powers of the world today have risen to their present height and stature by giving the go-by to the religion they profess, whereas the Muslims rose to the pinnacle of their glory only by following and acting up to their religion of Islam itself. Hence, the present downfall of the Muslims all over the world, those of India not excepted, can therefore be accounted for only by their abuse and corruption of the religion which once they held so dear. The political downfall of the Muslims of India had therefore as its background nothing but religious corruption and prejudices.” (al-Ma’sumi, 1947: 346)

Pembebasan Akal Daripada Taklid

Begitu juga apabila akal manusia masih dibelenggu oleh semangat taklid kepada adat kebiasaan masyarakatnya. Al-Dihlawi menyeru kepada pemerkasaan sumber asas Islam. Dengan kata lain kepentingan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber kekuatan pemikiran agama (religious idea) perlu diperhatikan. Gilani Kamran menulis:

“Shah Waliullah’s primary concern was with the creation of a powerful climate of religious ideas for the Muslims, and throughout his life he earnestly worked for it. He gave first importance to the Quran and the sunnah in the regulation of Islamic way of life. … He felt that the indifference of the Muslims towards these cardinal sources of strength had brought about their total decline in thought and human affairs.” (Kamran 1980 dalam Chaghatai, 2005: 472).

Pelaksanaan Sistem Ekonomi Islam

Menurut al-Dihlawi juga, pelaksanaan sistem ekonomi yang baik dan adil sebuah negara dapat membawa kebahagiaan masyarakat. Asas sistem ekonomi adalah keadilan sosial. Sekiranya ia tidak berjalan masyarakat akan jatuh. Al-Dihlawi merumuskan pula dua faktor membawa kejatuhan kebudayaan Muslim, iaitu:

(1) Masyarakat manusia enggan meneruskan pekerjaan masing-masing dan bertindak sebagai ‘parasit’ dengan bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Mereka ini termasuk para pegamwai, parajurit, penyair, badut yang hanya menghabiskan masa tanpa menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, dan

(2) Cukai yang tinggi dikenakan kepada petani, peladang dan pedagang dan seterusnya kekejaman para pemungut cukai ketika menjalankan tugas. Rakyat hidup dengan bebanan tersebut ketika sumber ekonomi mereka merosot (al-Dihlawi, 44 seperti petikan Siddiqi  1966 dalam Chaghatai, 2005: 56).

Menangani Pepecahan Ummat

Selain itu, menurut Qureshi kedudukan umat Islam di India di zaman al-Dihlawi sebagai kaum minoriti dan berpecah antara satu sama lain membawa kejatuhan mereka di samping kekuasaan kerajaan yang tidak kuat. Pandangan al-Dihlawi pula melihat kemerosatan masyarakat Islam berpunca sebab-sebab berikut, antaranya:

  • Perbalahan sesama sendiri,
  • Kejatuhan moral,
  • Hilang kuasa politik,
  • Sektarianisme antara Sunni dan Shiah,
  • Perpecahan dalam sesama Sunni dalam persoalan fikah, begitu rigid dan tiada toleransi sesama mazhab.

Beliau menganjurkan kembali kepada al-Quran dan Sunnah sebagai sumber asli. Beliau juga menentang taklid dan seterusnya menggalakkan ijtihad dan mencari ilmu dan kepakaran. Beliau juga berusaha mengharmonikan aliran wahdat al-wujud and wahdat al-shuhud. Dalam menangani krisis moral, masyarakat hendaklah berusaha kuat dan menyemat perasaan ikhlas dengan ajaran Islam. Beliau juga berusaha menerangkan rasional di sebalik ajaran Islam.

Agama seterusnya hendaklah diberi kedudukan istimewa dalam pemikiran masyarakat dengan orientasi masyarakat adalah beragama. Dalam menangani kepincangan social dan ekonomi termasuk ketidak-seimbangan taraf sosial dan ekonomi, eksploitasi, pengurusan tidak cekap beliau mengemukakan analisa perkembangan socio-ekonomi masyarakat (irtifiqat). Al-Dihlawi berpendapat keadilan sosial perlu ditegakkan menerusi kegiatan ekonomi dan politik. Beliau mengutamakan reformasi moral dalam hal ini.

Seterusnya, masyarakat perlu diberi semangat tentang kenikmatan dan kebahagiaan hidup beragama (ihsan). Masyarakat juga dapat bangkit apabila masalah kelaparan (kemelesatan ekonomi) diatasi. Selain itu al-Dihlawi melihat percampuran dengan agama lain menyebabkan jati diri kaum Muslimin hilang. Ini melibatkan cara kaum Muslimin berpakaian, bertingkah laku, cara hidup, dan percakapan. Beliau percaya integrasi antara kaum Muslimin dengan bukan Islam tidak dapat menjaga entiti kepercayaan masyarakat Islam secara utuh (Qureshi, 1974: 99-126).

Menangani Penyalahgunaan Amalan Tasawwuf Dalam Masyarakat

Al-Dihlawi juga mengkritik penglibatan orang awam dalam amalan tasawwuf peringkat tinggi seperti latihan rohani mencapai tahap fana’ dan baqa’ sebagai faktor penyumbang sekiranya bukan kepada kemerosotan agama dan masyarakat di zamannya. Menurut al-Dihlawi, tasawwuf tinggi perlu dihadkan kepada orang-orang tertentu sahaja. Al-Dihlawi juga mengkritik amalan orang awam yang memuja kubur-kubur para wali (Pearson 1979 dalam Chaghatai, 2005: 465).

Secara umumnya al-Dihlawi merumuskan dalam “Last Testament” seperti berikut:

“In summary, it can be stated that an excessive involment in the domains of annihilation and eternity, and the mystical practices of almost everyone is a deep evil among Muslims. May God have mercy on those, who have genuine spiritual qualities and want to wipe out this.” (Shah Wali Allah, 113 seperti petikan Pearson dalam Chaghatai, 2005: 465)

Kesimpulan

Teori irtifiqat yang dirumuskan al-Dihlawi sangat untuk dikaji masyarakat Islam dan pemimpinnya masa kini. Dengan memahami teori tersebut masyarakat Islam dapat membaiki keadaan diri. Seterusnya para pemimpin politik dapat merancang polisi yang baik dalam mentadbir negara. Begitu juga para ilmuwan dan ulama dapat sama-sama menyumbang ke arah pembangunan masyarakat Islam semasa.

Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Salam Muhamad Shukri

Pensyarah Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

 

Rujukan

Abdul Salam Muhamad Shukri (ed.) (2007). Dimensi Pemikiran Shah Wali Allah al-Dihlawi dan Pengaruhnya di Malaysia. Gombak: Pusat Penyelidikan, IIUM

Alwi bin Nordin & Nik Hasan bin Nik Abdullah (2007). “Kebahagiaan, Akhlak dan Hijab Mengikut Falsafah Shah Wali Allah al-Dihlawi.” dalam Abdul Salam Muhamad Shukri (ed.) (2007). Dimensi Pemikiran Shah Wali Allah al-Dihlawi dan Pengaruhnya di Malaysia. Gombak: Pusat Penyelidikan, IIUM, 17-41

Ansari, A. S. Bazmee. “Shah Wali Allah al-Dihlawi.” dalam Chaghatai, M. Ikram (ed.) (2005). Shah Waliullah: His Religious and Political Thought. Lahore: Sang-e-Meel Publications, 15-18

Chaghatai, M. Ikram (ed.) (2005). Shah Waliullah: His Religious and Political Thought. Lahore: Sang-e-Meel Publications

Dar, Ahmad Bashir (1965), “Wali Allah: His Life and Times,” dalam Chaghatai (ed.). (2005). Shah Waliullah: His Religious and Political Thought. Lahore: Sang-e-Meel Publications, 19-50

Al-Dihlawi, Shah Wali Allah (1970). Al-Budur al-Bazighah. Hyderabad : Akadimiyat al-Shah Walī Allah; Trj. Dr. J.M. S. Baljon (1988). Full Moon Appearing on the Horizon: English Translation of Al-Hujjat al-Islam al-Shaikh Qutub al-Din Ahmad Shah Wali Allah al-Budur al-bazighah. Lahore: Sh. Muhammad Ashraf; Trj. G. N. Jalbani (1997). Al-Budur al-Bazighah. New Delhi: Kitab Bhavan

Al-Dihlawi, Shah Wali Allah (2001). Hujjat Allah al-balighah. Ed. M. Salim Hashim. 2 vols. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah; trj. Marcia K. Hermensen (1995). The Conclusive Argument of God: Shah Wali Allah of Delhi’s Hujjat Allah al-Baligha. Leiden: E.J. Brill

No Comments

    Leave a reply