Menjawab pertanyaan wartawan Utusan MalaysiaWan Zulkifli Wan Yaacob dalam pertemuannya dengan wakil-waki media arus perdana di pejabatnya semalam, beliau menyimpulkan perpaduan ini akan membawa ke arah kemenangan besar. Memperkatakan impiannya, jika terus diberi kepercayaan, masa depan Terengganu yang dibayangkan ialah melengkapkan makna gelaran Darul Iman bagi, dengan corak kehidupan rakyat mengimbangi kepentingan dunia dan akhirat.

AHMAD RAZIF: Ya. Ketika saya mula-mula memegang tampuk jawatan, memang saya menghadapi dugaan dan ujian antara yang pertama sekali ialah apabila harga petroleum jatuh merudum yang menyulitkan saya untuk mentadbir negeri.

Apa yang rakyat terima tidak boleh dikurangkan, dan apa yang kita beri kepada rakyat tidak perlu kita hilangkan. Ini adalah perkara pertama yang terlekat dalam kepala saya. Maka saya mula menyusun apabila melihat kepada konsep ayat al-Quran iaitu kita kena bersyukur, saya tidak boleh rasa kecewa, saya tidak boleh menolak apa yang telah menimpa Terengganu.

Bagaimana pendekatan konsep bersyukur itu?

Apabila kita menggunakan konsep bersyukur ini, kita akan berusaha untuk terus memberi tanpa merasa takut kerana rezeki itu dari Allah. Maka saya mulakan pergerakan saya dengan tidak mengurangkan sedikit pun bantuan yang rakyat terima malah menambahkanya, tetapi di situ telah mengajar saya untuk berjimat-cermat mengurus hasil ne­geri.

Hasil penjimat itu kita gunakan untuk kebajikan rakyat dan akhirnya banyak saya tengok hari ini banyak pihak telah memberi sumbangan yang telah menggantikan apa yang kita hilang. Jadi kerana itulah yang menguatkan semangat saya untuk memberikan sentuhan terus kepada rakyat yang memerlukan perhatian menerusi pelbagai bentuk bantuan.

Ini termasuklah kewujudan Tabung Darul Iman yang memerlukan peruntukan RM1 juta sebulan ntuk peerluan pesakit kronik dan mangsa bencana tetapi apabila kita menggunakan solidariti/permuafakatan, benda berat jadi ringan, yang payah jadi senang maka saya mengajak rakan-rakan, pihak lain, korporat untuk memberi sumbangan dan tanpa kita jangka, kita dapat sumbangan besar.

Maka kita melihat hari ini, apa yang berlaku hari ini sebenarnya bukan ujian untuk orang susah sebaliknya menguji orang senang. Maka kerana itu saya menggunakan konsep mengajak mereka yang berkemam­puan untuk membantu mereka yang susah.

Tabung Darul Iman kita dapat kumpul sehingga RM15 juta manakala Tabung Sukan kita dapat kumpult RM24 juta yang disumbangkan oleh banyak pihak sehingga keperluan rak­yat yang mendesak dipenuhi dan kerancakan pembanguan dapat diteruskan.

Berasaskan senarai calon, kali ini dengan tiga tokoh ne­geri, seorang menteri besar dan dua bekas Menteri Besar, malah bersama gabungan yang dilihat antara kalangan penyokong ma­sing-masing. Rasa sukar bagi seorang pemimpin semasa sanggup mencorakkannya sebegini. Mengapa pertimbangan itu diambil?

Bagi saya, Tan Sri Wan Mokhtar ialah bapa pemba­ngu­nan negeri; Datuk Seri Idris, bapa pendidikan negeri dan Datuk Seri Ahmad Said bapa pelancong negeri. Maka saya ingin dilihat dalam konteks perpaduan, dalam dan luar parti.

Saya bersyukur ini dapat dilakukan di sini, menghubung dan menggabungkan semula menjadi satu, bergerak bersama memastikan kemenangan UMNO dan BN yang lebih besar dan terus membawa wadah untuk negeri, bangsa dan agama.

Calon-calon BN berasaskan pelbagai latar belakang kerjaya dan akademik. Ada yang cuba menjadikan isu tentang latar akademik yang agak rendah melibatkan sebilangan calon sebagai isu, seolah-olah akademik menjadi tiket dan cerminan kewibawaan seseorang untuk diangkat sebagai wakil rakyat dalam memberikan khid­mat berkesan kepada rakyat. Boleh jelaskan?

Ada satu slogan yang saya sebut iaitu ‘cara lama dimensi baharu.’ Saya nampak sekarang ini dah berbalik kepada zaman dulu. Saya lihat daripada pe­ngalaman, hari ini rupanya rak­yat sangat memerlukan watak pemimpin seperti pemimpin dulu yang benar-benar dapat bersama, bermesra bersama mereka.

Contohnya arwah Haji Mutalib dan arwah Cikgu Ismail. Kedua-dua pemimpin ini amat disegani rakyat dan lawan sebab perkhidmatan. Mereka (rakyat) tak dipandang pun tentang kelulusan sebab mereka ini selalu bergaul dan dekat dengan rak­yat, selalu sedia menolong. Itu yang rakyat tersentuh.

Jadi saya lihat hari ini rak­yat taklah memandang begitu utama latar belakang akademik hebat, kalau kita sombong dan tak dapat beri khisdmat berkesan sebagai wakil kepada rakyat yang sebenar. Betul, sekarang kalau boleh kita nak semua ada, lengkap tetapi yang lebih mustahak dan bererti ialah ‘engagement’ dengan rakyat.

Kalau sombong rakyat akan tolak. Rakyat sekarang ini memerlukan pemimpin yang boleh membantu dan bersama mereka dalam saat diperlukan. Kalau ada akademik tinggi tetapi selalu duduk di Kuala Lumpur dan jarang balik kawasan, tak guna juga. Tetapi walaupun akademik tak tinggi tetapi hari-hari dengan masyarakat, tentunya itu lebih baik.

Jika BN terus diberi kepercayaan dan Datuk Seri terus mengemudikan negeri, Terengganu yang macam mana ingin terus dicorak?

Terengganu ini hebat.. nama Terengganu itu sendiri asalnya ‘Terangnu’ yang maksudnya gemilang, dulu pelaut nak singgah Terengganu kerana melihat tempat yang terang. Kerana asalnya Terengganu adalah tempat lahir ulama dan Terang ini adalah tasbih yang merujuk kepada galian.

Saya nak jadikan Terengganu sebagai pusat syiar Islam de­ngan tradisi keilmuan dan budaya hidup Islam. Maka kerana itu kita juga mulakan program Saintis Islam yang kita hantar mendalami ilmu di luar negara dan balik berkhidmat kepada negeri.

Kita juga akan terus kembangkan madrasah dan pusat-pusat tahfiz, mengadakan program al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab untuk lahirkan ge­nerasi pewaris ulama silam Tokku Paloh. Kita terus kembangkan program pendidikan melalui rangkaian Sekolah Imtiaz termasuk di sekolah rendah kelak.

Kemuncaknya kita akan mendirikan Universiti al- Quran yang pertama di dunia dan persediaan ke arah itu telah dilakukan menerusi pengembangan Kolej al-Quran Terengganu.

Apa yang kita nak sebenarnya nak jadikan Terengganu Darul Iman, lahirnya Ulul Albab, baik dunia dan akhirat. Dan ini yang akan kita laksanakan.