Menurut Dr. Mahathir, konsep kita mengenai keluarga adalah kekal sama, dua lelaki (gay) atau dua wanita (lesbian) tidak dianggap sebagai keluarga. Penegasan Dr. Mahathir itu seumpama dibadai ‘Taufan Mangkhut’ bagi puak-puak tertentu termasuk dalam kalangan umat Islam yang tanpa segan silu cuba membela golongan LGBT.

Kita risau tanpa ketegasan dan sekatan daripada kerajaan, golongan yang ‘terjebak’ ini akan cuba menggalakkan orang ramai terutama anak muda supaya kasihan akan nasib yang mereka reka sendiri. Ini umpama ‘racun halus’ dalam cubaan meracuni serta merosakkan pemikiran rakyat di negara ini supaya bersimpati dengan mereka.

Mula-mula alasan meraih simpati. Biasalah dah bagi betis nak paha pula. Bila semakin ramai yang simpati senanglah ‘jarum’ berfungsi, menyebar dakyah songsang bahawa kegiatan LGBT ini normal dan lumrah semula jadi manusia.

Kalau kita lihat itulah taktik dan kaedah yang digunakan kumpulan LGBT di Barat kerana selama ratusan tahun mereka ini tidak pernah diterima. Akibat simpati dan hak asasi maka akhirnya golongan LGBT pula yang semakin dominan hak mereka. Kasihan, hak manusia ‘lurus dan normal’ seperti kebanyakan kita semakin terpinggir.