Tiada aduan khalwat, tiada serbuan – Mujahid

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa agama hanya akan membuat serbuan membanteras aktiviti khalwat atau maksiat lain sekiranya menerima aduan yang kukuh mengenai perbuatan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata pihak yang mahu membuat aduan pula digalakkan menasihati pelaku maksiat itu terlebih dahulu, sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa agama.

Selepas menerima aduan, katanya, pihak berkuasa agama akan menyiasat bagi memastikan perbuatan maksiat itu benar-benar berlaku, dan hanya akan membuat serbuan selepas mendapatkan waran serta dengan kehadiran polis.

Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan berhubung laporan The Star yang memetiknya sebagai berkata, pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam untuk operasi khalwat dan aktiviti maksiat lain, yang mencetuskan polemik.

“Bagi pihak berkuasa, sebarang penguatkuasaan terhadap nilai moral perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan memastikan sama ada ia dilakukan dalam ruangan peribadi atau awam.

“Sebagai kerajaan, apa yang kamu lakukan dalam ruang peribadi bukan urusan kami, namun sebagai orang Islam yang melihat jirannya melakukan kesalahan, adalah tanggungjawab kamu untuk menasihati jiran itu,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Falsafah dan Tatacara Hukuman Jenayah Syariah Dalam Mencapai Matlamat Rahmatan Lil Alamin di sini, hari ini.

Mujahid berkata, pihak berkuasa agama masih boleh membuat serbuan di kawasan peribadi, sekiranya ada aduan perbuatan maksiat itu mengganggu ketenteraman awam, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) digariskan jabatan agama.

SOP Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), katanya, tidak membenarkan penguat kuasa menceroboh, menendang atau memecahkan pintu rumah dan ia adalah kesalahan jika ada yang melakukannya.

Katanya, pihak berkuasa agama juga boleh membuat serbuan di hotel bajet atau hotel lima bintang, asalkan ada aduan menggambarkan perbuatan maksiat itu menceroboh ketenteraman awam.

“Jika (khalwat dan aktiviti maksiat lain) dibuat di dalam rumah peribadi, yang mana perbuatan itu salah, tapi tiada aduan, maka ia tidak menjadi satu kesalahan di bawah bidang kuasa kami,” katanya.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menambah baik SOP penguatkuasaan supaya tidak disalah guna kerana pernah serbuan khalwat dieksploitasi untuk merosakkan imej orang lain.

Katanya, satu pertemuan antara ulama, ahli akademik, pihak pelaksana dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berbincang dan menambah baik penguatkuasaan dalam kerangka rahmatan lil alamin (rahmat buat seluruh alam) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, Khamis ini.

Ditanya sama ada operasi khas yang tidak membabitkan aduan seperti pada Hari Valentine dan Hari Merdeka akan dihentikan, Mujahid berkata: “Itu saya tak sentuh dan tak nak sentuh lansgung, saya hanya bercakap tentang perlunya kita kawal tindakan penguatkuasan di ruang awam dan kukuhkan SOP supaya tidak dieksploitasi dan salah guna.”

Sebelum ini, laporan The Star memetik Mujahid berkata, apa yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu tertutup bukan urusan kerajaan, mencetuskan polemik dengan pelbagai pihak termasuklah ahli politik, mufti dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil mengkritik serta menyokong kenyataannya.

Antara yang menentang keras kenyataan itu termasuklah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula mempertahan dan senada dengan kenyataan Mujahid, manakala Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar pula, mengambil pendekatan mahu menunggu kenyataan lanjut daripada Mujahid sebelum mengulas isu berkenaan.

Bagaimanapun, Mujahid kelmarin tampil menafikan ada mengeluarkan kenyataan mahu menghentikan ‘ketukan pintu pada waktu malam’ ketika ditemu bual wartawan The Star dan mendakwa perkara itu dirumus sendiri media berkenaan.

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply