Tiada keperluan untuk saya jalani ujian poligraf – Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk beliau menjalani ujian poligraf atau bersikap terlalu mempertahankan diri dalam kes membabitkan dakwaan bekas penyelidik parti itu, Muhammed Yusoff Rawther.

Anwar juga berkata tiada sebarang asas untuk beliau menjalani ujian berkenaan.

 “Pihak polis juga setakat ini tidak mengemukakan permintaan supaya saya menjalani ujian poligraf. Justeru, kenapa ia (ujian poligraf) perlu dijadikan sebagai isu?

“Saya tahu apa sebenarnya yang terjadi dalam isu ini, bagaimana permainannya dan siapa pemain di belakangnya yang menggunakan individu terbabit, tetapi biarlah polis mengendalikannya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 17 Disember lalu, Muhammed Yusoff menjalani ujian berkenaan selama empat jam di Bukit Aman berhubung dakwaannya diperlakukan secara tidak senonoh oleh Anwar.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) menjelaskan, tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet dibangkitkan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

“Ia hanya perbincangan dari hati ke hati kami berdua, selain ada diberikan sedikit sebanyak penjelasan. Kami tak bincang tentang rombakan Kabinet dan saya pun tak melobi (untuk jawatan dalam Kabinet).

“Kami juga bincangkan perihal peralihan kuasa secara umum serta kepentingan dan keperluan untuk apa-apa perkara dirujuk ke Majlis PH. Kita tak bincangkan apa-apa secara khusus pun,” katanya.

Sumber : bharian.com.my

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply