Tiada layanan istimewa untuk pelaku jenayah

KELAKUAN transgender adalah haram di sisi undang-undang, jika dilakukan di tempat awam.

Soal saya bersetuju atau tidak bersetuju, soal ia diskriminasi atau bukan diskriminasi, itu bukan isunya di sini, kerana sebagai pengamal undang-undang, saya harus objektif memberitahu, bahawa kelakuan dan penampilan transgender adalah suatu jenayah apabila dilakukan di tempat awam, bagi seseorang Muslim.

Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, memperuntukkan seperti berikut:-

“Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.”

Takrif lelaki di sini adalah takrif jantina, yakni berasaskan biologikal, bukan imaginasi suka-suki “I am a cat but I feel like I am trapped in a dog’s body”. Undang-undang harus jelas, harus objektif, bukan samar-samar, bukan main imaginasi, bukan main ikut perasaan.

Enakmen-enakmen di peringkat negeri-negeri lain, turut memperuntukkan undang-undang yang sama.

Justeru, jika ada lelaki yang acah-acah kata dia rasa macam perempuan, yang berpakaian wanita di tempat awam, dia adalah penjenayah. Bukan saya kata, tapi undang-undang yang kata.

Apabila undang-undang mentakrifkan seseorang itu sebagai penjenayah, adakah kita perlu berikan dia layanan istimewa atas jenayahnya itu; ataukah kita seharusnya menegur dia dan menyuruhnya membetulkan kembali kesalahannya itu?

Masalah dengan cadangan Timbalan Menteri Fauziah Salleh ini ialah dia nak beri layanan istimewa. Penjenayah transgender nak dibenarkan menggunakan tandas OKU.

Cukup-cukuplah parkir kereta OKU disalah guna oleh masyarakat, takkan tandas OKU pun nak dibenar disalah gunakan juga, atas kebenaran Menteri yang celaru-keliru tak faham undang-undang.

Aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ)
Aidil Khalid

No Comments

    Leave a reply