Tiada permohonan ekstradisi terhadap Zakir Naik

BANGI, 11 Zulkaedah 1439H, Selasa – Bukit Aman mengesahkan tiada sebarang permohonan ekstradisi dibuat oleh kerajaan India terhadap pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Pengesahan itu dibuat Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman menerusi surat bertarikh 13 Julai yang ditandatangani ACP Mohamad Fahmi Visuvanatah Abdullah.

Surat berkenaan dikongsi oleh peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz di Facebook beliau Buzz Azam, hari ini.“Untuk makluman tuan, pejabat ini telah membuat semakan dan mendapati tiada sebarang permohonan ekstradisi dibuat oleh kerajaan India terhadap anak guam tuan sehingga kini.

“Mohon pihak tuan membuat semakan di Jabatan Peguam Negara dalam perkara ini,” kata surat itu.

Menerusi kenyataan di Facebook itu, Mohd Khairul berkata, PDRM telah membalas surat pihaknya berhubung permohonan ekstradisi terhadap Zakir Naik.

“Oleh itu, tiada sebarang isu berkaitan penghantaran balik beliau relevan untuk dibincangkan buat masa ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P. Ramasamy mendesak supaya kerajaan menghantar pulang Zakir Naik ke India sebagai menghormati perjanjian ekstradisi Malaysia dengan negara itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendirian bahawa kerajaan tidak akan tunduk terhadap mana-mana desakan untuk menghantar pulang Zakir Naik, berikutan beliau telah diberi status penduduk tetap di Malaysia

No Comments

    Leave a reply