Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun setiap orang perlu berhati-hati dan mereka yang bertugas mengawal keadaan mesti bersiap sedia untuk menangani apa juga masalah yang berlaku.

“Kita tidak boleh katakan keadaan yang teruk itu sudah berakhir tetapi pada masa sama, kita tidak merasakan situasi itu akan jadi serius atau lebih serius daripada sekarang, namun apa yang penting kita tahu mengawal keadaan ini.

“Jadi, buat masa ini kita belum ada perancangan untuk mengisytiharkan darurat bencana,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Dr. Mahathir sedar orang ramai menganggap kejadian itu sesuatu yang serius tetapi pada masa sama mengingatkan masyarakat mengenai kebolehan mereka yang bertugas menyelamatkan mangsa sudah melakukan terbaik dan berhasil.

Dalam pada itu, ditanya adakah berpuas hati dengan pengendalian bencana dijalankan agensi terlibat, beliau berkata, mereka iaitu bomba, polis, hospital, sekolah dan lain-lain sudah menangani masalah itu dengan cekap dan berhasil termasuk cara pihak hospital merawat mangsa.

“Saya datang ke hospital ini dan melihat mangsa dan saya dapati mereka walaupun menghadapi kesan yang serius tetapi nampak doktor di sini sedar dan tahu bagaimana menangani gas beracun itu, ia adalah luar biasa, mangsa perlu meletakkan kepercayaan kepada mereka yang bertugas,” katanya.