TIGA KALI DR MAHATHIR NODAI PSC

Keputusan Dr Mahathir melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi menggantikan Datuk Shukri Abdull yang melepaskan jawatan setahun lebih awal atas alasan ‘dua misinya telah berjaya’ menimbulkan pelbagai kritikan sama ada dalam kalangan pemimpin pembangkang dan pemimpin kerajaan.

Salah seorang pemimpin pembangkang yang melontarkan pandangan tidak berpuas hati dengan pelantikan tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang baginya Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC)  dalam Pelantikan Awam Utama wajar digantung. PSC wajar digantung kerana Dr Mahathir tidak menghormati penubuhannya. Dr Mahathir kembali mengulangi sikap keras kepalanya, walaupun sudah dijanjikan dalam Buku Harapan atau Manifesto Pakatan Harapan perkara 21 bahawa sebarang pelantikan pemimpin tertinggi adalah perlu dibuat oleh PSC.

Tujuannya adalah jelas. Dengan kaedah tersebut, proses memilih dan menentukan Pelantikan Awam Utama bebas politik berbanding kuasa melantik oleh Perdana Menteri. Setelah lebih setahun mengambil alih pemerintahan, Dr Mahathir saperti terlupa bahawa Buku Harapan turut menggariskan beberapa langkah bagi reformasi institusi dalam sektor awam, termasuk pelantikan jawatan utama menerusi keputusan PSC.

Disebabkan pengalaman Dr Mahathir yang luas dalam pentadbiran sebelum ini, iaitu selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri ke-4, beliau tetap merasakan adalah tidak perlu menuruti apa yang terkandung dalam Manifesto PH, kerana itu katanya, sesekali ia perlu dilanggar. Setakat ini, mengenai Pelantikan Awam Utama, Dr Mahathir sudah menodai kesepakatan itu sebanyak tiga kali, iaitu ketika melantik Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Rasional Dr Mahathir ialah ketiga-tiga calon terbabit memang layak kerana mereka adalah professional. Ketua Polis Negara dilantik daripada seorang pegawai polis yang sudah bersara, begitu juga ketika beliau melantik Datuk Shukri Abdull. Pelantikan Ketua Hakim Negara, walaupun mendapat kritikan awam, isunya kurang ditelagahkan berbanding keputusan terbaharu melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Jun lalu.

Ketua Polis Negara, adalah pesara polis yang tidak dikaitkan dengan keahlian mana-mana parti walaupun beliau diberitakan secocok dengan keinginan Dr Mahathir untuk ‘memenggal NAjib’ dengan dakawan 1MDB sebagaimana Shukri, yang ada pada suatu ketika didakwa menerima ugutan dan terpaksa melarikan diri ke Amerika Syarikat. Kalau dilihat daripada perspektif tersebut, Ketua Polis Negara dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM mempunyai ‘dendam’ kepada kepimpin Najib, kerana pada era itu kedua-duanya tertekan akibat terbabit dengan penyiasatan 1MDB.

Pemilihan Abdul Hamid Bador (KPN) dan Tengku Maimun Tuan Mat (KHN) tidak banyak dipertikaikan kerana mereka memang benar-benar professional berdasarkan pengalaman dan pembabitan kerjaya tersebut. Latheefa dipersoalkan ialah kerana beliau bukan sahaja merupakan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum meletakkan jawatan selepas mengetahui pelantikannya, bahkan beliau dilihat tidak ada pengalaman dalam pengurusan siasatan, kecualilah sebagai seorang peguam.

FB_IMG_1559782186103

Isu yang menjadi fokus umum sekarang ialah pengulangan perangai lama Dr Mahathir, iaitu dalam banyak perkara membelakangi kabinet. Pelantikan Latheefa tidak dibincangkan bersama menteri-menteri kabinet. Masyarakat melihat kecenderungan tersebut saperti mengulangi apa yang Dr Mahathir pernah buat semasa beliau adalah Perdana Menteri ke-4.

Ketika mempertahankan keputusan pelantikan tersebut, Dr Mahathir berkata  beliau bertindak demikian kerana tidak mahu ‘terikat’ dengan keputusan kabinet. Maksudnya, Dr Mahathir tidak mahu membabitkan kabinet kerana bimbang persepsi awam akan menjejaskan Kerajaan PH sekiranya Latheefa Koya tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan. Sebaliknya, beliaulah yang akan membuat keputusan sekiranya Latheefa tidak cukup berprestasi.

Mungkin Dr Mahathir sedar dengan apa yang ditimbulkan oleh masyarakat awam sejak barisan kabinetnya selesai dibentuk pada 21 Mei 2018. Selepas setahun menguruskan Malaysia Baharu, prestasi menteri-menteri kabinet hanya sekadar ’50 peratus’ yang terpaksa ditutup walaupun ada menteri belum mampu memahami tanggungjawab yang diamanahkan. Menteri-menteri dalam kabinet Malaysia Baru ada ketikanya ‘bercakaran’ sesama sendiri, sedangkan mereka sepatutnya mempertahankan keputusan-keputusan yang dibuat secara konsensus.

Akibat asyik ‘bercakaran’ itulah menyebabkan bekas ketua penasihat Majlis Perundingan Kerajaan, Tun Daim Zainuddin memberikan amaran, masa enam sudah cukup dan hentilah bertelagah, mulakan kerja kerana era belajar sudah tamat. Masih ramai lagi menteri tidak mengendahkan pandangan tersebut, bahkan ketika ini, hanya Tan Sri Muhyiddin berusaha mempertahankan keputusan Dr Mahathir.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ada ketikanya berusaha untuk ‘menenangkan’ situasi, tetapi tindakannya tidak dianggap sesuatu yang menarik, sebab imejnya tetap dengan nilai-nilai pemikiran ‘badut’ bahkan ada ketikanya, berusaha ‘menembak’ Tun Dr Mahathir sendiri. Misalnya, ketika mengemukakan laporan ‘land swap’ tanah-tanah milik Kementerian Pertahanan, ada kaitannya dengan era Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4. Mat Sabu seolah-olah turut menghantar bola tanggung, walaupun niatnya ialah untuk membelasah kerajaan terdahulu.

125185

Kerugian yang dianggarkan kepada kerajaan sebanyak RM 500 juta sudah berlaku sejak tahun 1997, yakni tahun yang menyaksikan berlakunya pertembungan antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim. Akhir tahun 1997, Malaysia dilanda krisis kewangan. Dr Mahathir tidak sealiran pemikiran dengan Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Dalam masa yang sama, Dr Mahathir mendapat laporan, Anwar sedang rancak membuat ‘grand design’ untuk memaksa Dr Mahathir meletakkan jawatan, kerana rakyat sudah melihat dan bercakap corak pentadbiran Dr Mahathir semakin autokratik.

Sebelumnya, pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara turut dipersoalkan berdasarkan keterkaitannya dengan parti DAP. Isu itu menjadi sedikit reda kerana rakyat boleh menerima kepakarannya sebagai seorang peguam sedangkan pelantikan Latheefa Koya tidak ada kaitannya dengan bidang tugas di SPRM. Latheefa Koya mempunyai ‘zero base experience’ mengenai badan pencegahan rasuah itu.

Isu turut diperkatakan bahawa pelantikan Tan Sri Apandi Ali sebagai Peguam Negara pada tahun 2015 juga ada kaitan dengan politik, maka tidak ada sebab perkara saperti ini menjadi isu. Tan Sri Apandi memang pernah menjadi ahli UMNO, bahkan bendahari UMNO Kota Bahru, tetapi beliau sudah pun meninggalkan parti pada tahun 1991.

Ini bermakna, Tan Sri Apandi dilantik sebagai Peguam Negara ialah selepas 14 tahun beliau meninggalkan UMNO. Latheefa Koya dilantik sebelum menyerahkan surat penarikan diri daripada PKR.

Berdasarkan laporan, Latheefa dilantik mula 1 Jun 2019. Latheefa diberitahu tentang pelantikannya ialah pada hari Isnin, 3 Jun 2019. Media menyiarkan berita tersebut pada hari Selasa, 4 Jun 2019. Pada hari tersebut juga diberitahu Latheefa telah menghantar surat kepada PKR dan berkuatkuasa pada 3 Jun 2019. Maknanya, beliau meletakkan jawatan selepas mengetahui pelantikannya. Tan Sri Apandi berhenti menjadi ahli UMNO 14 tahun sebelum dilantik Peguam Negara.

Latheefa Koya turut dipersoalkan ialah dari perspektif ‘moral’ dirinya. Dilaporkan pada tahun 2016 beliau pernah ditangkap khalwat dan berkongsi tinggal serumah dengan seorang lagi peguam yang bukan muhrim.

Kes tersebut khabarnya diketahui oleh Presiden PKR ketika itu, Dr Wan Azizah, tetapi, setakat itu keputusan ‘kes khalwat’nya tidak diketahui sama ada selesai atau dibuang kes. Ertinya, Latheefa Koya terpalit dengan persoalan moral apatah lagi beliau turut memberikan perhatian perjuangan LBGT menerusi Lawyers of Liberty (LfL) yang ditubuhkannya pada tahun 2011 bersama N Surendran. Sejak tahun 2018, Latheef adalah pengarah eksekutif LfL.

wan azizah female issue

Ketika ini masyarakat mempersoalkan tentang akujanji yang dibuat oleh PH. Sebelum PRU ke-14, PH berjanji untuk membebaskan sektor awam daripada cengkaman politik, termasuklah Pelantikan Awam Utama, yang kemudiannya dijadikan salah satu janji dalam Buku Harapan, iaitu Janji 14. Tujuannya untuk membersihkan sektor awam daripada perspektif politik kepartian dan juga menyingkirkan unsur salah guna kuasa oleh Perdana Menteri.

SPRM turut termasuk dalam kumpulan agensi awam yang akan direformasikan dengan meletakkannya di bawah Parlimen, bukannya di bawah Jabatan Perdana Menteri. Setakat ini reformasi tersebut belum berlaku, dan Dr Mahathir terus melaksanakan prerogatifnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kerajaan Malaysia Baru. Memang, setakat ini tindakan Dr Mahathir tidak bercanggah dengan undang-undang negara, tetapi, ia terus menodai Buku Harapan.

Penodaan tersebut walaupun dinafikan oleh Dr Mahathir untuk menyekat kedudukan Anwar Ibrahim, ia terus dilihat suatu perancangan rapi kerana Latheefa Koya merupakan salah seorang yang mengkritik Presiden PKR itu secara terbuka mengenai amalan kronisme dan nepotisme dalam parti yang dianggotainya. Kritikan terbuka itu membabitkan langkah Anwar untuk ‘menyingkirkan’ atau memecahbelahkan pengaruh Azmin Ali dalam PKR. Latheefa juga dilihat cenderung menyokong kem Azmin Ali.

Menurut Mat Sabu, di sebalik kontroversi pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, pengarah eksekutif LfL itu akan membuktikan kewibawaannya mereaju sebuah agensi yang penting dalam meningkatkan imej Kerajaan PH dan Perdana Menteri akan membuat penilaian semula berdasarkan kritikan-kritikan yang diterima.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew (PKR) yang menyertai lebih 1,000 orang menandatangai petisyen dalam talian mendesak agar Latheefa Koya berundur daripada jawatan tersebut.

Peguam Syahredan Johan, yang juga setiausaha politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mencadangkan agar PSC meniliti pelantikan Latheefa Kora dan sekiranya jawatankuasa itu tidak boleh mempengaruhinya, kerajaan perlu memberikan penjelasan mengenainya.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram mengatakan bahawa PSC tidak mempunyai peranan dalam pelantikan awam dan hal ini menyebabkan berlakunya salah faham kerana ‘itu bukan caranya berfungsi’, eksekutif perlu melalui jawatankuasa ini, yang bagi Syahredzan, cadangan pelantikan perlu melalui PSC terlebih dahulu ‘bukanlah cara yang betul’.

Shukri Abdull meletakkan jawatan kontraknya pada 17 Mei lalu manakala Latheefa dilantik mula 1 Jun.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki beliau dan kakitangannya akan terus memberikan sokongan penuh kepada ketua pesuruhjaya yang baharu bagi membolehkan Latheefa Koya menjalankan tugas dengan berkesan dan cekap.

macc-arrest-1

SPRM yang ditubuhkan pada tahun 2009 dan sebelumnya dikenali sebagai Badan Pencegahan Rasuah (ditubuhkan pada tahun 1967) tidak terkecuali dipimpin oleh ‘orang luar’. Daripada 13 ketua pesuruhjaya, hanya tiga sahaja setakat ini merupakan ‘orang dalam’ iaitu Dato’ Sri Haji Ahmad Said bin Hamdan (1 April 2007 hingga 31 Disember 2009), Tan Sri Haji Abu Kassim bin Mohamed (1 Januari 2010 hingga 1 Ogos 2016)  dan Datuk Shukri Abdull (18 Mei 2018 hingga 17 Mei 2019).

Shukri menamatkan kontraknya selepas setahun memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Bagi bekas hakim, Gopal Sri Ram mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda sekiranya kuasa Perdana Menteri mahu dihadkan,  hingga kini Dr Mahathir yang mengetuai badan eksekutif tidak melanggar mana-mana undang-undang dengan menggunakan prerogatifnya, membuat keputusan secara unilateral, tanpa berunding dengan anggota kabinet ataupun Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC).

Pindaan Perlembagaan itu perlu jika setiap pelantikan hanya boleh disahkan oleh PSC. Pengerusi PSC, William Leong berkata bahawa beliau tidak mengetahuinya mengenai pelantikan tersebut dan hanya diketahui menerusi laporan media.

Antara perkara yang perlu dipinda ialah Perkara 145 (1), Seksyen 5 Akta SPRM, Akta Polis (1967) manakala Perkara 132(2A) menyebut, pegawai awam yang dilantik melalui suruhanjaya boleh memegang jawatan terbabit apabila diperkenankan oleh Yang di Pertuan Agong.

Ertinya, ketiga-tiga pelantikan yang dibuat oleh Dr Mahathir, iaitu Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara (termasuk Peguam Negara) dan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah sah kerana mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong. Pelantikan Ketua Polis Negara turut mendapat persetujuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Pindaan Perlembagaan dan undang-undang perlu mendapat kelulusan dua pertiga anggota Dewan Rakyat. Ketika ini, ahli Dewan Rakyat (Julai 2018) ialah  PH 107, BN 54, Gabungan Parti Sarawak 19, PAS 18, DAP 9, Warisan 8, Bebas 3 dan lain-lain 1.

Pada 9 April lalu, Kerajaan PH ‘dimalukan’ apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019, iaitu pindaan  kepada Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan semula status asal Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia 1963 tidak diluluskan dalam undian belah bahagi.

Hanya 138 daripada 221 wakil rakyat (ketika itu, Sandakan masih kosong apabila penyandangnya meninggal dunia) yang bersetuju manakala 59 wakil rakyat tidak mengundi. Untuk membolehkan sesuatu pindaan diterima, ia memerlukan sokongan minimum 148 anggota Dewan Rakyat, iaitu kelulusan dua pertiga.

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply