TIGA LANGKAH KECUNDANG, MUNGKINKAH ADA LAGI?

Dua langkah yang dikaitkan dengan cita-cita besar Anwar Ibrahim telah gagal. Langkah pertama,  ‘Road to Putrajaya’ tidak menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-7, iaitu menggantikan Najib Tun Razak dalam saga ‘pertukaran kerajaan’ pada 16 September 2008.

Langkah kedua berlaku pada tahun 2014. Ia dikaitkan dengan keinginan Anwar Ibrahim untuk mencontohi kejayaan Joko Widodo dan Recep Tayyib Erdogan, dari seorang gabenor atau datuk bandar bagi dua buah  bandar raya akhirnya berjaya menguasai politik peringkat negara. Joko Widodo atau Jokowi bermula sebagai Gabenor Jogjakarta, kemudiannya meluaskan saingan merebut jawatan Presiden Indonesia.

Populariti  Jokowi menjadikan beliau menang berentap dengan Prabowo Subianto (bekas menantu Soeharto dan berpengaruh dalam politik orde baharu) dalam Pilpres 2014. Beliau (Prabowo) menjadi calon kali kedua, mengulangi persaingan dengan Jokowi yang mempertahankan jawatan Presiden tahun 2019. Prabowo tewas, namun dilantik oleh Jokowi sebagai Menteri Pertahanan.

Anwar terpesona dengan kejayaan Recep Tayyib Erdogan. Erdogan pada awalnya memenangi Istanbul  pada tahun 1994. Erdogan menjadikan Istanbul sebagai sebuah kota ‘bersih dan hijau’ dan dilihat sebagai seorang tokoh politik popular, bebas daripada salah guna kuasa dan rasuah.

Tahun 1998, Erdogan berkrisis dengan Necmettin Erbakan dan Erdogan seterusnya menyelamatkan Parti Parti Keselamatan Nasional dengan menubuhkan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP). Setahun kemudian, Erdogan dipenjarakan.

Sejak penubuhan AKP (2001), parti itu menang dalam enam pilihan raya yang diadakan (2002, 2007, 2011, Jun 2015, November 2015 dan 2018). Tahun 2018, Erdogan dilantik sebagai Presiden Turki dalam pilihan raya secara langsung.

Sebelumnya, beliau adalah Perdana Menteri Turki. Tahun 2023, Erdogan berhasrat meletakkan Turki sebagai 10 kuasa ekonomi terbesar dunia. Semasa menjadi Perdana Menteri (2006), Turki mencapai pertumbuhan ekonomi 5 peratus setahun dan nilai pelaburan USD$78 bilion. Kejayaan itu menyebabkan Turki kini dianggap sebagai sebuah negara Islam termaju.

Kejayaan Erdogan mencetuskan perancangan Anwar untuk bermula di sebuah pekan dalam negeri Selangor, iaitu Kajang. Pada tahun 2014, Rafizi Ramli menjadi perancang utama Langkah Kajang di mana Anwar dijangka akan bertanding dalam satu PRK. Setelah menang, Anwar akan berusaha untuk menguasai Selangor dengan memaksa penyandangnya, Tan Sri Khalid Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar. Wakil rakyat (penyandang) DUN Kajang, Lee Chin Cheh ‘dipaksa meletakkan jawatan’ pada 27 Januari 2014.

Perancangan Anwar tidak berjaya. Ketika itu beliau sedang berhadapan dengan rayuan kes Liwat II terhadap pembantu peribadinya. Atas kekhuatiran ‘bakal dipenjarakan’, isterinya, Dr Wan Azizah dinamakan sebagai calon (PKR) dalam PRK pada 23 Mac 2014. Wan Azizah menang,  Kemenangan itu mencetuskan  krisis politik di Selangor, di mana PKR mencalonkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

PAS yang menjadi sebahagian Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan pencalonan Wan Azizah. Parti itu hanya bersetuju dengan Khalid Ibrahim. Krisis itu akhirnya dapat diselesaikan apabila Sultan Selangor memilih Azmin Ali sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Langkah Kajang itu juga gagal. Beberapa bulan selepas itu, Anwar akhirnya didapati bersalah dan dihukum penjara selama 4 tahun.

Tahun 2018, PRU ke-14 diadakan. Pakatan Rakyat digantikan dengan Pakatan Harapan. Gabungan baharu itu merupakan penyertaan pertama barisan pembangkang dengan  kerjasama  PKR, DAP, PPBM dan PAN. PPBM merupakan serpihan UMNO manakala PAN merupakan serpihan PAS. Sebelum PRU ke-14, Pakatan Harapan dikatakan telah bersetuju bahawa Dr Mahathir akan menerajui gabungan itu dan menjadi Perdana Menteri sekiranya menang.

Selepas selesai proses pengampunan Anwar Ibrahim, Dr Mahathir dikatakan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar. Pada mulanya dalam tempoh enam bulan, kemudian dilanjutkan  dua tahun (Mei 2020) dan terakhir   ialah selepas APEC,  yang bakal berlangsung pada bulan November 2020 di Kuala Lumpur.

Peralihan kuasa itu tidak menjadi kenyataan. Pada 23 Februari 2020 berlangsung satu perhimpunan di sebuah hotel di Petaling Jaya. Perhimpunan itu kemudiannya dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Mereka yang berhimpun pada hari tersebut menjangkakan Dr Mahathir akan mengumumkan rombakan kabinet, yang kemudiannya membentuk gabungan baharu bagi menggantikan Pakatan Harapan. Gabungan baharu itu disertai oleh UMNO (BN) dan PAS manakala kelompok pro Anwar tidak terlibat.

Kemelut itu dikatakan berlaku dalam tiga keadaan: (1) Mahathir tidak mahukan kerjasama dengan UMNO dan PAS; (2) Muhyiddin tidak akan bekerjasama dengan DAP; dan (3) Penyokong Azmin enggan menerima Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 sebelum PRU ke-15.

Pada 24 Februari 2020, Dr Mahathir meletakkan jawatan dan secara automatiknya kabinet Malaysia Baharu terbubar.  Sebagai Presiden PPBM, Muhyiddin menghantar surat parti itu menarik diri daripada Pakatan Rakyat.  Dr Mahathir pula meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PPBM.

Empat hari kemudian, Yang di Pertuan Agong  melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 dan mengecewakan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim.  Dr Mahathir kemudiannya ditempelak oleh rakyat Malaysia. Beliau disifatkan sebagai ‘politikus tamak kuasa’, letak jawatan tetapi mahu kekal menjadi Perdana Menteri.

 1 Mac 2020, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8.  Seminggu kemudian, Muhyiddin melantik barisan kabinet. Kerajaan gabungan baharu itu dikenali sebagai Perikatan Nasional. Ada penganalisis merumuskan, peralihan kuasa tersebut merupakan kegagalan ketiga (1998, 2008 dan 2020) buat Anwar Ibrahim. Anwar kekal sebagai Perdana Menteri menunggu untuk tempoh yang lama, iaitu sejak tahun 1998.

Akhir-akhir ini kedengaran pula bakal berlaku Langkah Rawang. Ia juga dikaitkan dengan kepentingan Anwar. DUN Rawang  bakal dikosongkan (sebagaimana DUN Kajang 2014) bagi membolehkan Anwar bertanding dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor. Anwar kembali menyambung cita-cita Langkah Kajang yang gagal. Kali ini, Anwar yakin dapat melakukannya dengan cemerlang.

Halangan pertama ialah menyingkirkan wakil-wakil rakyat PKR yang pro Azmin Ali. Azmin sudah dipecat keahlian PKR kerana dianggap  ‘pengkhianat’ dan perancang utama Langkah Sheraton.

Azmin kekal dengan keputusan awalnya, tidak bersetuju Anwar mengambil alih kuasa sebelum tamat pentadbiran Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7. Anwar dan Azmin mempunyai sejarah konflik yang panjang, iaitu sejak  dihalang oleh Anwar Ibrahim kali pertama bertanding jawatan Presiden PKR (2011).

Ketika itu, Anwar cuba ‘menghalang kemaraan’ Azmin dengan bercadang dirinya akan melawan Wan Azizah. Azmin akur, dan  bertanding jawatan Timbalan Presiden yang kosong setelah  Dr Syed Hussin Ali meletakkan jawatan dan dilantik sebagai Senator (2010).

ADUN Rawang, Chua We Kiat menafikan kemungkinan berlakunya Langkah Rawang (Malaysiakini, 22 Mei 2020) tetapi bersedia mengosongkan kerusi (Malaysia Gazette, 24 Mei 2020) ‘jika itu adalah keputusan parti’.

Chua dalam reaksinya  Langkah Rawang’ itu adalah “khabar angin mengenai pilihan raya kecil di Rawang adalah disebarkan oleh Perikatan Nasional untuk mengalihkan perhatian daripada isu undi tidak percaya di Parlimen.”

Penganalisis politik percaya, Langkah Rawang itu merupakan tindakan terbaharu PKR selepas usul ‘undi tidak percaya’ terhadap Muhyiddin gagal dilaksanakan dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu. Dalam persidangan itu, tidak ada perbahasan , ia hanya sekadar mendengar titah perasmian Yang di Pertuan Agong dan berlangsung setengah hari.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan mahukan Sidang Dewan Rakyat lebih panjang dan dibenarkan berbahas Titah Ucapan serta melaksanakan undi terhadap Muhyiddin sebagai bukti memiliki ‘keyakinan majoriti.’

Dalam Titah Ucapan itu, baginda menjelaskan bahawa pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang, bukan menerusi ‘pintu belakang’. Titah itu dengan jelasnya menafikan dakwaan Pakatan Harapan dan Dr Mahathir sendiri. Mahathir turut terpukul dengan keputusannya meletakkan jawatan dan ingin menjatuhkan Muhyiddin.

Menurut baginda, sebelum keputusan bersetuju melantik Muhyiddin, Dr Mahathir telah dipujuk agar tidak meletakkan jawatan. Dr Mahathir enggan menarik balik keputusan tersebut, maka baginda  menggunakan ‘budi bicara’ untuk menjamin  negara  ‘tiada kuasa eksekutif’.

Baginda menemui kesemua 222 orang wakil rakyat selama dua hari. Akhirnya, satu keputusan dicapai.  Muhyiddin yang mempunyai ‘keyakinan majoriti’. Ini bermakna Pakatan Harapan telah hilang kuasa, suatu kehilangan yang disengajakan oleh Dr Mahathir bagi mendiamkan kelompok Anwar menuntut ‘peralihan kuasa’. Sekiranya Dr Mahathir ‘jujur dengan janji’,  sepatutnya menamakan Anwar sebagai pengganti secara jelas sebelum meletakkan jawatan.

Dr Mahathir sebenarnya tidak mahu Anwar menggantikannya sebagai Perdana Menteri,  kerana Dr Mahathir bertegas, seseorang yang bakal menggantikannya perlu bersih daripada ‘masalah moral’. Tindakan itu sengaja dilakukan untuk membuktikan bahawa dirinya ‘tidak gila kuasa’ dan kerana itu sanggup melepaskan kuasa yang dimiliki. Itu adalah ‘permainan politik’ Dr Mahathir.

Rentetan daripada tiga kekecewaan itu, Anwar perlu menyusun semula langkah terbaharunya dengan  tanpa mengharapkan sokongan  Dr Mahathir. Parti yang dipimpin oleh Dr Mahathir menjadi semakin terserpih,  ada kekuatan yang amat kecil dan menjadi bertambah rumit apabila kerajaan  Kedah dibawah kepimpinan Mukhriz tersungkur sebelum Aidilfitri. Ia membuktikan bahawa faktor Mahathir semakin tidak relevan apatah lagi jika berlaku tindakan PPBM mencapai kata sepakat untuk memecat Mahathir dan Mukhriz.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan telah membuat kenyataan bahawa surat peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi PPBM adalah sah. Dr Mahathir kemudiannya dipilih sebagai Pengerusi semula. Ia menjadi bertambah rumit apabila pemilihan pada bulan Jun nanti berpihak kepada Muhyiddin.  Mukhriz tidak ada lagi tempat dalam PPBM. Jika ini berlaku, Anwar perlu menyusun langkah di luar pengaruh Mahathir. Langkah Rawang dikatakan sebagai alternatif yang ada, sebagaimana Langkah Kajang selepas Langkah ke Putrajaya gagal.

Dalam peraturan pilihan raya, PRK tidak akan diadakan sekiranya tempoh penggal sudah melepasi separuh. Ini bermakna, selepas bulan November 2020, tiada lagi PRK dibenarkan meskipun berlaku kekosongan. Anwar perlu menyusun strateginya, namun, corak pengundi di DUN Chini (Pahang) mungkin akan dijadikan faktor, sama ada Langkah Rawang menjadi kenyataan atau tidak.

Jika PH menang, ia akan menaikkan semangat Anwar. Menurut ramalan umum, sukar bagi PH, terutama PKR untuk menang memandangkan pengaruh Najib sebagai ahli Parlimen Pekan masih popular. DUN Chini berada dalam Parlimen Pekan.

Kecenderungan pengundi menolak PH bakal menjadikan Anwar terpaksa merancang cara lain untuk sampai ke puncak kuasa. Jika berlaku PRK Rawang, sudah tentu Anwar akan berhadapan persaingan paling sengit dan tidak semudah di Port Dickson. Sebabnya,  pengaruh PH ‘suam-suam kuku’ hampir berakhir, bermula dengan PRK Cameron Highlands.

Sentimen pengundi menolak PH semakin hebat (PRK Tg Piai) dan tentunya, kumpulan penyokong Azmin akan berusaha memastikan Anwar kalah. Selangor dikatakan dikuasai oleh penyokong Azmin dan  mendominasi politik Selangor, termasuk menteri besar.

PKR mempunyai 21  manakala PPBM  lima kerusi. Jika separuh  atau 10 adalah berpihak kepada Azmin,  PH di Selangor masih lagi stabil dengan sokongan DAP (16) dan PAN (8). PAS mempunyai satu (1), BN (5) dan PPBM (5) belum cukup untuk menumbangkan PH.

Katakan semua wakil rakyat PPBM menyebelahi Muhyiddin (atau menyokong Perikatan Nasional) ia belum boleh mencapai ‘majoriti mudah’. PH masih ada kekuatan dengan 35 kerusi. Sukar untuk ‘menterbalikkan’ kedudukan PH sebagaimana berlaku di Melaka, Perak, Johor dan Kedah. Ia mungkin boleh berlaku sekiranya kesemua wakil rakyat PKR menolak Pakatan Harapan dan bergabung dalam Perikatan Nasional.

Tiga kali Anwar gagal mengatur langkah ke kemuncak kuasa di peringkat pusat dan sekali terkandas di peringkat awal ke jawatan Menteri Besar . Apakah akan ada percubaan kedua Anwar untuk menguasai Selangor? Jika berlaku,Langkah Rawang, Anwar mungkin akan direjam hebat oleh pengundi.

Pengundi sebenarnya semakin ingin menjauhkan diri daripada pengaruh Anwar dan Mahathir. Dua tokoh ini sudah terlalu lama menentukan proses politik negara, dari keadaan bermusuh hinggalah bekerjasama dalam episod ‘peralihan kuasa’ yang gagal (Langkah Sheraton).

Pengundi sudah  ‘muak dan jelek’ dengan percaturan politik antara mereka berdua. Sekarang ialah masa untuk kembali mencergaskan ekonomi. Rakyat sudah terhimpit dengan kesan COVID-19 yang berpunca daripada ‘sikap sayangkan pelancong China’ daripada kesihatan rakyat.

Rakyat mengharapkan ‘rantaian jangkitan’ akan segera berakhir, dan meneruskan kehidupan yang lebih baik tanpa diganggu oleh Mahathir dan Anwar . Cukup lama rakyat ‘terdera’ dengan ‘permainan politik’ tersebut yang jelas ‘indah khabar dari rupa’.

Rakyat sedang menanggung penyesalan yang panjang akibat ‘terpedaya’ dengan “Buku Harapan’,  yang kemudiannya  ‘bukan kitab suci’. Akibatnya, 22 bulan pentadbiran PH penuh penantian yang sia-sia kerana ‘malaikat pun buat silap’ dan ‘nabi pun berbohong.’

Kini, rakyat semakin yakin dengan Perikatan Nasional. Dalam kepayahan berusaha akibat ‘wabak COVID-29’, Muhyiddin tidak menghampakan rakyat dan tindakannya tidak banyak berbaur politik berbanding PH. Bagi PH semuanya adalah ‘permainan politik’,  dari  persoalan kewangan negara dan dasar-dasar kerajaan terdahulu (dianggap ‘dedak’) akhirnya dibungkus semula dalam siri ‘u-turn’ dan ‘rundingan semula’.

MONOSIN SOBRI

 

No Comments

    Leave a reply