TIGA PERANAN TAJDID KALAM ABAD 21

1) PENGUKUHAN KEYAKINAN AKIDAH DAN KEIMANAN

2)PENGHURAIAN IDEOLOGI DAN PEMIKIRAN SEMASA

3)PENGHASILAN ILMU DAN DISIPLIN PENGETAHUAN BARU

Umat Islam tidak memiliki pilihan untuk terus berdaya-saing dalam dunia kehidupan semasa yang serba mencabar melainkan memanfaatkan anugerah teristimewa Ilahi kepada Insan iaitu potensi akal-budi mereka. Peradaban Islam telah dibina atas kekuatan akal-budi generasi umat ketika itu. Peradaban Yunani yang banyak memberi inspirasi kepada Peradaban Islam juga terbina atas kelebihan akal-budi generasi mereka.

Peradaban Barat yang sedang mendominasikan dunia hari ini juga terbit dari mobilisasi akal-budi generasi di Barat. Justeru menjadi sunnatullah atau hukum dan ketentuan Allah bahawa semua bangsa dan peradaban yang kuat terbit dari pengemblengan kekuatan potensi akal-budi masing-masing, maka tidak mungkin umat Islam hari ini boleh berjaya tanpa mengikuti sunnatullah yang sama.

Malangnya hari ini umat Islam enggan memanfaatkan segala potensi akal-budi mereka sebaik mungkin. Mereka lebih cenderung mendengar khutbah dan retorik penaik semangat dari melakukan proses tahqiq atau verifikasi atau pensahihan ilmu dengan sendiri. Mereka lebih berminat dengan ceramah para agamawan motivator dan profesional ustaz yang memainkan emosi dan sentimen mereka semata-mata tanpa mengasah minda dan jiwa mereka untuk menjadi lebih kritikal dan reflektif. Umat Islam rata-rata dimomokkan oleh golongan motivator dan profesional keagamaan ini bahawa Islam bukan agama untuk berfikir, Islam melarang umatnya menggunakan akal-fikiran, Islam mengharamkan berfalsafah, malah mereka menyesatkan Ilmu Kalam yang dianggap bid’ah. Akhirnya agama bagi umat Islam hanyalah sekadar hafalan-hafalan matan dan ritual-ritual ibadat. Umat Islam mesti keluar dari kerangka anti-berfikir dan anti-intelektual golongan agamawan malas berfikir ini!

Hanya golongan agamawan yang buta sahaja yang tidak dapat menyaksikan bahawa zaman ini ialah zaman pertembungan akidah, iman, idea, ideologi, pemikiran, ilmu dan sains. Kesemua pertembungan ini melibatkan persoalan pengunaan potensi akal-budi dan kekuatan berfikir bagi menghadapinya. Justeru sebarang penolakan terhadap keperluan dan kepentingan umat untuk mengerahkan seluruh potensi mereka dalam dimensi akal-budi bagi menghadapi pertembungan ini tentu amat membengongkan jika ia datang dari golongan agamawan Islam. Umat Islam juga tidak sewajarnya lagi termakan dengan hasutan-hasutan golongan agamawan anti-berfikir dan anti-intelektual ini jika mereka benar-benar ingin memahami hakikat kebenaran dan keistimewaan Islam. Misalnya keyakinan kita dalam persoalan akidah dan keimanan dalam Tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah Asha’irah dan Maturidiyyah berkehendakkan kita kepada mentahqiqkan atau membuktikan keyakinan tersebut bukan sekadar bertaqlid atau mengikut-ngikut semata-mata. Badiuzzaman Said Nursi dalam Kitab Risalah Al-Nur beliau menyebut tentang Tauhid Tahqiqi – Tauhid yang dibukti lebih utama dari Tauhid Taqlidi – Tauhid ikut-ikutan.

Pembentukan dan penghasilan Tauhid Tahqiqi sudah tentu memerlukan umat Islam mengembleng potensi akal-budi mereka dalam persoalan akidah dan keimanan. Perlu difahami pengetahuan kita tentang Tauhid, Akidah dan Iman ini bukanlah sekadar kita menghafal Rukun Iman yang 6 itu semata-mata sepanjang usia kehidupan kita. Jika Tauhid, Akidah dan Iman sekadar hafalan 6 Rukun Iman maka tidak ada bezanya Tauhid, Akidah dan Iman anak-anak Tadika dan Sekolah Rendah dengan Tauhid, Akidah dan Iman Para Profesor dan Sarjana di Universiti!. Tentu sekali ia berkehendakkan perkara yang lebih mendalam dan meluas dari itu. Tatapi tidak menghairankan jika hari ini faham Tauhid, Akidah dan Iman golongan senior dan veteran umat tidak jauh berbeza dengan faham Tauhid, Akidah dan Iman golongan kanak-kanak malah mungkin lebih baik kerana mereka masih kuat hafalannya sedangkan yang lama sering terlupa.

Justeru bila kita menyebutkan tentang Tajdid Kalam atau Inisiatif menghidupkan kembali Tradisi Ilmu Kalam, ia merupakan sebagai sebahagian penting dari proses penegasan semula dan pengukuhan Tauhid, Akidah dan Iman Umat Islam. Tetapi ia tidak terhenti setakat itu sahaja kerana penegasan dan pengukuhan Tauhid, Akidah dan Iman juga berdepan dengan cabaran sekeliling dan semasa yang perlu dihadapi kerana jika tidak cabaran –cabaran tersebut sedikit demi sedikit akan mengikis dan melarutkan keyakinan Tauhid, Akidah dan Iman juga. Antara cabaran terpenting bagi memelihara dan mempertahankan Tauhid, Akidah dan Iman ini sama seperti di Zaman Asha’irah dan Maturidiyyah Awal dahulu ialah cabaran idea, ideologi, pemikiran, ilmu dan sains yang memiliki fahamn, teori, aksiom, prinsip dan tesis-hipotesis yang bertentangan dengan Tauhid, Akidah dan Iman itu sendiri sepertimana yang telah dibuktikan oleh Tokoh Ulung Asha’irah Imam Al-Ghazali.

Cabaran idea, ideologi dan pemikiran asing dan dalaman yang bersalahan dengan Tauhid, Akidah dan Iman ini memerlukan kepada peranan khusus bagi menjelas dan menghuraikan kekeliruan dan kekusutan yang terbit dari idea, ideologi dan pemikiran tersebut seperti Atheisme, Agnostikisme, Liberalisme, Literalisme, Pluralisme yang berleluasa dalam dunia pemikiran umat Islam hari ini. Diperingkat yang lebih tinggi penghasilan pelbagai sains dan disiplin ilmu semasa juga tidak dapat lari dari menggunakan idea dan teori yang juga dalam hal-hal tertentu bercanggah dengan Tauhid, Akidah dan Iman seperti Naturalisme, Darwinisme, Materialisme, Relativisme dan lain-lain. Ini juga memerlukan peranan khusus yang lain dalam menghadapinya.

Dari perbincangan di atas kita mendapati sekurang-kurangnya TIGA PERANAN penting yang perlu dimainkan dalam Wawasan dan Inistiatif TAJDID KALAM iaitu Peranan Pertama bagi mengukuhkan keyakinan dan akidah umat pada peringkat paling asas dan umum, Peranan Kedua bagi menghurai dan menjelaskan cabaran ideologi dan pemikiran semasa, dan Peranan Ketiga bagi memperbaiki sistem sains dan disiplin ilmu semasa yang keliru serta memberikan alternatif kepada penjanaan dan penghasilan ilmu-ilmu pengetahuan baru yang serasi dengan Tauhid, Akidah dan Iman menurut Tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah khususnya Asha’irah Maturidiyyah.

Ketiga-tiga peranan utama TAJDID KALAM ini berkehendakkan umat Islam membina sikap dan pendirian baru terhadap potensi sebenar akal-budi insan, membuang sikap dan pegangan bahawa Islam ini cukup sekadar mendengar ceramah dari para agamawan motivator dan profesional. Peradaban Islam tidak mungkin terbina hanya dengan gelak-ketawa dan curahan emosi dipentas-pentas khutbah dan retorik. Peradaban Islam tidak mungkin dapat menghasilkan Ibn Haytham, Ibn Sina, Al-Ghazali, Al-Biruni, Ibn Khaldun dan ramai lagi jika persembahan dan pengucapan tentang Islam tidak melibatkan proses pengasahan minda kritikal, akal murni disamping penggilapan akal dan jiwa nurani sekaligus.

Oleh Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

No Comments

    Leave a reply