Jangan salah faham, senarai itu bukannya nama pemain bola sepak yang bakal menjual kemahiran mereka dalam musim baharu Liga Malaysia. Sebaliknya, ia adalah terjemahan perkataan rasuah yang wujud di setiap negara, melangkaui benua dan bangsa.

Pahit tapi betul, Melayu Islam terus megah berada di puncak takhta rasuah, jauh meninggalkan pesaing-pesaing lain. Pesalah di negara yang disebutkan di atas itu mungkin boleh dimaafkan kerana akidah mereka bukannya kepada Allah Yang Maha Esa termasuk mengikuti segala ajaran disampaikan Rasulullah SAW.

Penulis ingin bertanya kepada Melayu Islam terlibat, adakah berasa bangga apabila perbuatan jijik anda disebut-sebut dalam al-Quran dan hadis Nabi sejak ribuan tahun dahulu. Hebatkah diri apabila salah laku itu dilaknat oleh Allah dan Rasul-Nya? Rasuah ini bukan kesalahan kecil-kecilan tetapi ia adalah dosa besar, diulangi dosa besar iaitu bukannya dosa picisan!

Dalam sebuah hadis, daripada Thauban r.a. maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-dua­nya,” – Riwayat Ahmad (22399), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1415), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5503) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (7068).

Sebahagian ulama mentafsirkan maksud dilaknat de­ngan makna ia termasuk dalam dosa besar. Dengan sebab itu, Imam al-Zahabi memasukkan rasuah ini dalam dosa-dosa besar menerusi kitabnya, al-Kabair.

Apakah ikhtiar untuk membuatkan mereka berasa jijik dengan rasuah? Macam segelintir Melayu songsang yang tiada masalah untuk minum arak tetapi jika diberi makan daging babi terus cakap haram! Mereka amat jijik dan alahan dengan babi.

Dicadangkan supaya perkataan rasuah wajib disusuli de­ngan perkataan provokasi negatif dalam mana-mana kempen kesedaran termasuk billboard tepi lebuh raya.

Contohnya, ‘jauhi rasuah – tiket ke neraka, Dengan rasuah kini semua boleh masuk neraka, Pilih rasuah tempah tiket ne­raka, Rasuah tiket mudah sertai iblis di neraka dan sebagainya.

Sama seperti dilakukan Amerika Syarikat terhadap Islam dalam kejadian 11 September 2001. Sejurus berlaku terus dituduh orang Islam sebagai dalang. Pada peringkat awal semua negara Islam melenting, namun lama-kelamaan ‘berkat kesabaran’ setiap jentera provokasi Barat yang bertungkus-lumus siang dan malam, 24 jam sehari, akhirnya ia membuahkan hasil. Negara dan umat Islam seolah-olah mengesahkan bahawa ia adalah kerja orang Islam!

Kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia teruskan kerja mulia anda, banteras ‘rasuah – tiket ke neraka’, tanpa rasa takut dan bimbang. Jika ada yang tohmah sila jawab dengan tegas termasuk dakwaan seorang ketua bahagian sebuah parti di utara pada akhir September lalu bahawa dia mungkin tidak ditahan jika memilih untuk meninggalkan partinya.