Tinggal solat ibarat hilang keluarga, harta benda

MANUSIA yang tiba-tiba kehilangan keluarga dan harta bendanya sering diibaratkan sebagai orang yang tinggal sehelai sepinggang.

Malah, gambaran kerugian itu akan terasa lebih dahsyat lagi andai ahli keluarganya itu sudah beranak-pinak, manakala harta yang dicari dan diusahakan bertahun-tahun.

Begitulah analogi kepada orang beriman yang tidak mengerjakan solat atau leka dengan kesibukan dunia hingga terlepas daripada melakukan ibadat yang dianggap tiang agama itu.

Naufal ibnu Muawiyah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Seseorang yang terlepas satu solat seumpama orang yang kehilangan keluarga dan harta bendanya. (HR Ahmad dan Ibnu Hibban)

Bagaimana pula dengan orang Islam yang terus mengabaikan dan meninggalkan solat kerana mengejar dunia meskipun ia diwajibkan terhadap setiap mukalaf atau orang yang akil baligh?

Beri peringatan, amaran keras

Rasulullah SAW memberikan peringatan dan amaran keras kepada umat Baginda yang mempersia-siakan lima waktu.

Abdullah ibnu Abbas RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mengumpul dua solat tanpa sebarang keuzuran (meninggalkan solat secara berturut), sesungguhnya dia sudah tiba ke salah satu pintu dosa besar. (HR Hakim)

Solat berbeza dengan amalan lain kerana mengabaikan semua ibadat bergantung kepada kedudukan solat, sekali gus dianggap tiang seri yang menanggung semua binaan bangunan.

Justeru, menjadi kewajipan setiap Muslim untuk menunaikan solat hingga orang yang sakit pun diperintahkan berdasarkan kemampuan.

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply