TINGKATKAN PENGETAHUAN BENTENG KEKUATAN

Membaca semi autobiografi Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertajuk Kental Diuji Cekal Berpolitik membawa kita kepada satu kesimpulan dengan pendidikan dan peningkatan ilmu pengetahuan akan mempengaruhi kaedah berfikir dan bertindak bagi mengatasi sesuatu perkara.

Jamil Khir yang berlatarbelakang pendidikan Islam (Ijazah Sarjana) sentiasa yakin bahawa dengan mendalami ilmu akan membolehkan seseorang itu membina banteng yang kuat dan sentiasa terbuka jalan keluar mengatasi setiap kemelut yang berlaku.

Pendekatan itulah digunakan semasa menyertai Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) selama 23 tahun (1986-2009) dan diaplikasikan dalam setiap anggota tentera sehingga dalam beberapa kajian berkaitan dengan akidah, gambarannya cukup jelas. Moral dan semangat anggota tentera begitu teguh dan kejayaan itu mungkin menjadi penyumbang kepada pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 9 April 2009, iaitu selepas mengangkat sumpah sebagai senator.

Ketika mengetuai KAGAT (mulai 6 Disember 2005) dan sebelumnya sebagai Timbalan Pengarah KAGAT (2004), beliau banyak terbabit dalam perancangan program dan kurikulum pendidikan akidah. Ia adalah penting bagi pemantapan rohani anggota tentera agar menjadi lebih cekal dan kental dengan nilai-nilai Islam.

Ketika masih bersama KAGAT, Jamil Khir sering muncul dalam Forum Hal Ehwal Islam terbitan Radio dan Televisyen tetapi apabila namanya disebut dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) tidak ramai yang mengenalinya, kecuali penonton program berkenaan.

Buku kecil setebal 64 halaman ini turut menjelaskan bahawa ada garis pemisah tertentu di peringkat persekutuan dan negeri mengenai hal ehwal Islam. Pemisahan itu digariskan dengan jelas dalam Perlembagaan Malaysia. Pengurusan hal ehwal Islam adalah dalam bidang kuasa negeri di mana Raja atau Sultan adalah ketua bagi Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu.

Persoalan itulah yang menjadi punca desakan orang perseorangan dan aktivis kumpulan tertentu mencadangkan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dimansuhkan. Ini mungkin disebabkan salah faham mereka terhadap tugas penguatkuasaan. JAKIM tidak melakukan tugas penguatkuasaan. Penguatkuasan dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri. Bagi Wilayah Persekutuan ia dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI).

Peranan utama JAKIM ialah sebagai badan penyelaras sebagaimana dicadangkan oleh Persidangan Raja-Raja yang ke-81 (1968) dan diluluskan dalam Persidangan Raja-Raja Melayu ke-82 (1969) ialah (Peraturan 16 MKI) “tiadalah apa-apa jua perbuatan Majlis boleh menyentuh kedudukan, hak, kelebihan, hak kedaulatan dan kuasakuasa yang ada pada Raja sebagai Ketua Agama Islam dalam negerinya dan sebagaimana yang ada diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan dalam Perlembagaan bagi negerinya.”

Kekeliruan kedua ialah kesilapan membaca nilai peruntukan tahunan di bawah pengurusan hal ehwal Islam. Peruntukannya meningkat setiap tahun disebabkan perbelanjaan pengurusan dan aktiviti 12 agensi bertambah. Ia bertambah disebabkan peningkatan emolumen, penyelenggaraan, aktiviti dan pertambahan kakitangan.

Pada tahun 1997, BAHEIS distrukturkan semula sehingga menjadi sebuah jabatan, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Perkembangan itu adalah bagi menampung keperluan umat Islam yang semakin bertambah termasuklah kesedaran perubahan gaya hidup dan keperluan produk yang dikategorikan halal. Atas inisiatif JAKIM, sijil halal yang dikeluarkan telah mendapat pengikitiran dan keyakinan masyarakat Islam antarabangsa. Ia seterusnya meningkatkan hasil eksport produk halal keluaran industri kecil dan sederhana tempatan terutama ke negara-negara Islam.

Bagi Jamil Khir, bagi menampung keperluan pengetahuan umat Islam, JAKIM turut mengusahakan penerbitan buku-buku yang berkaitan dengan Islam khususnya perspektif Ahli Sunnah Wal Jamaah di mana ketika itu, penerbitan swasta tidak banyak melibatkan diri dengan buku-buku agama berbahasa Melayu. Walaupun kini peranan itu dilaksanakan lebih hebat oleh penerbitan swasta, bahagian penerbitan buku JAKIM bersedia melengkapkan bahan-bahan bacaan bagi keperluan umat Islam.

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pula berperanan memperbaiki kelemahan dalam pelaksanaan undang-undang syariah menerusi penetapan dasar saperti cadangan pindaan undang-undang, latihan peguam syarie, mempertingkatkan sistem penyampaian dan seterusnya melengkapkan infrastruktur kehakiman syariah.

Menariknya, sebelum tahun 2008 kes-kes tertangguh di Mahkamah Syariah di seluruh negara begitu banyak sehingga proses pembubaran perkahwinan pasangan Islam menjadi terlalu lambat oleh sebab kekurangan infrastruktur dan sistem sokongan. Ia mencetuskan fenomena gantung tidak bertali.

Apabila Jamil Khir melihat kepada keadaan itu, ditetapkan bahawa JKSM perlulah mencari jalan keluar segera untuk mengurangkan kes-kes tertangguh kepada 90 peratus. Hasilnya, diperkenalkan penyelesaian secara sulh, di mana kes-kes yang tidak rumit diselesaikan segera manakala proses pendaftaran kes dibuat di tempat yang sama (kaunter sehenti). Ia sekaligus dapat mengurangkan masalah birokrasi.

Bagi mengatasi kekurangan peguam syarie, diadakan pelbagai kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara untuk melatih lebih ramai pelajar. Bagi latihan lanjutan, JKSM turut menyediakan peruntukan latihan kepada kakitangan ke peringkat pascasiswazah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Institut Kehakiman Bajudi Mesir dan kursus khas di Kolej Muslim London.

JKSM turut memperkemaskan proses pentauliahan peguam syarie, memperbaharui pengurusan kes secara dalam talian (e-Syariah), mengeluarkan Jurnal Hukum dan menyediakan peruntukan pembangunan Kompleks Mahkamah Syariah di negeri-negeri. Hingga kini, empat buah Kompleks Mahkamah Syariah (Kelantan, Melaka, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan) berjaya disiapkan manakala di Sabah dijangka dapat disiapkan pada tahun 2020.

Dalam usaha memperkemaskan pendidikan Islam, dalam tempoh sepuluh tahun pelbagai inisiatif telah dikeluarkan. Antaranya memperkemaskan kurikulum pendidikan Islam untuk kegunaan sekolah-sekolah agama yang berdaftar, menggalakkan sekolah-sekolah persendirian mendaftar dan menyediakan bantuan kewangan. Sekolah-sekolah yang berdaftar akan menerima peruntukan pengurusan tahunan, buku teks dan bekalan guru terlatih dari Kementerian Pendidikan.

Mulai tahun 2017, kerajaan menerusi JAKIM memperuntukkan peruntukan khas bagi membantu sekolah-sekolah tahfiz secara one-off bagi pendawaian semula. Ia bertujuan mengurangkan risiko kebakaran akibat sistem pendawaian yang tidak teratur dan melebihi tempoh. Pada tahun 2018, peruntukan sebanyak RM 50 juta diberikan kepada GIATMARA untuk menyemak dan membuat pendawaian semula kepada sekolah-sekolah tahfiz yang berdaftar.

Menerusi Dasar Pendidikan Tahfiz Kebangsaan yang mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja, pelajar-pelajarnya turut diberikan pendidikan akademik dan kemahiran. Penambahan mata pelajaran ini bertujuan membolehkan lulusan sekolah tahfiz bersedia memasuki pasaran kerja dan melanjutkan pendidikan yang lebih tinggi, termasuk cadangan membina Universiti al-Qur’an.

Jamil Khir sejak berjaya memenagi kerusi Parlimen Jerai dalam PRU 13 (2013), Jamil Khir sentiasa memberikan perhatian dengan menubuhkan Pusat Khidmat. Setiap hujung minggu, seawal 7.30 pagi beliau melayani setiap penduduk tanpa mengira batasan politik. Pusat Khidmat menjadi tumpuan pelbagai aktiviti masyarakat setempat dan setiap pagi Jumaat diadakan kelas agama.

PRU ke-14, Jamil Khir mempertahankan kerusi Parlimen Jerai. Kali ini beliau berhadapan dengan pertandingan tiga penjuru. Bagaimanapun, dari makluman awal peluang untuk menang terbuka luas memandangkan calon PKR tidak mempunyai hubungan rapat dengan pengundi walaupun merupakan anak lelaki bekas Ahli Parlimen Jerai dan Menteri Besar Kedah. Calon PAS adalah seorang guru. Namun dalam pemilihan kali ini, Jamil Khir semakin dilihat lebih dipercayai oleh pengundi berbanding calon-calon lain.

No Comments

    Leave a reply