TIPU DAN BUDAYA MENIPU

Bagaikan sebuah anekdot, kerana setiap anekdot itu mempunyai pengaruhnya dalam kehidupan seseorang, sama ada secara sedar ataupun tanpa sedar. Menurut Kamus Dewan, anekdot bermaksud “kisah yang ringkas dan biasanya agak lucu tentang sesuatu kejadian (peristiwa).” (hal.55).

Dalam hidup setiap daripada kita pernah mendengar sebuah ungkapan untuk menghalalkan sesuatu tindakan walaupun ia adalah bertentangan dengan prinsip moral, nilai dan agama. Ungkapan tersebut ialah “menipu itu sunat” kerana dengan tindakan demikian boleh mengakibatkan sipenipu boleh berada dalam keadaan selesa ataupun merasa lega untuk sementara waktu.

Misalnya, bagi seorang lelaki yang bermadu, kita teringat kepada kenyataan P Ramlee dalam sebuah filem, “mesti pandai temberang”, kerana “pandai temberang” itulah membolehkannya pulang ke rumah isteri yang lain. Isteri yang satu lagi tidak mahukan suaminya berkongsi kasih, kerana sifat wanita merasakan berkongsi suami adalah sesuatu yang “haram.”

Alasan menipu untuk tujuan itu tidak juga memberikan perasaan lega dalam jangka masa panjang, kerana tiga wanita yang “berkongsi kasih” akhirnya sedar mereka telah dimadukan. Penyelesaian muktamad ialah membuat giliran, maka menipu untuk menunaikan giliran bermalam tidak lagi menjadi masalah, tetapi ia tidak sepenuhnya menghapuskan budaya menipu.

Dalam Islam, apa pun yang dinamakan sebagai menipu adalah perbuatan yang dilarang dan diharamkan. Menipu boleh menyebabkan si penipu kadangkala terlupa apa yang dilakukan sebelumnya, tetapi mangsa penipuan tidak pernah lupa orang yang pernah menipunya.

Begitulah keadaannya. Manusia sanggup menipu untuk mencari sesuatu atas kemahuan peribadi, termasuklah sanggup menipu memperoleh anugerah tertentu. Manusia sanggup melakukan perkara terkutuk itu kerana dengan kaedah menipu, si penipu mampu memperoleh kedudukan atau persepsi yang membanggakan, termasuk penghormatan.

Suatu ketika dahulu, masyarakat pernah heboh mengenai seorang pegawai tinggi kerajaan memakai singkatan sebagai tanda pencapaian akademik tertinggi, iaitu Dr, yang bermaksud, ijazah kedoktoran. Setelah bertahun lamanya digunakan, waktu itu jumlah mereka yang berkelulusan ijazah kedoktoran tidaklah ramai, akhirnya terpaksa membungkam diri, rahsia penipuannya terbongkar. Ada pihak yang cuba menyemak daripada universiti yang didakwa menganugerahkan ijazah berkenaan. Setelah disemak, nama pegawai berkenaan tidak pun tersenarai.

Beberapa hari lalu, seorang motivator keusahawan turut menerima kritikan tajam daripada warga maya apabila sebuah universiti awam menafikan pernah menganugerahkan ijazah kedoktoran keusahawaan kepadanya. Maka, tentunya kehebatan dan keterujaan masyarakat untuk menghadiri setiap bengkel usahawan akan merudum jatuh seperti terjunamnya harga minyak di pasaran global. Usaha beliau untuk “membasuh malu dan aib” bukanlah sesuatu yang mudah, malah keyakinan orang ramai terhadapnya semakin menipis.

Manusia bukan sahaja sanggup menipu memperolehi kelulusan akademik tertinggi, malah ada yang sanggup menggunakan gelaran akademik yang menggambarkan kualitinya, termasuk gelaran profesor. Gelaran profesor hanya diberikan kepada seseorang atas kepakarannya dalam bidang tertentu, dan hanya terhad ketika beliau menduduki kerusi berkenaan.

Berbeza dengan singkatan Dr, ia boleh digunakan bila-bila masa walaupun sudah meninggalkan dunia akademik. Oleh sebab itu ramai yang merasa mual dan loya apabila seorang yang pernah bergelar profesor terus menggunakan panggilan tersebut walaupun sudah meninggalkan kerusi akademik. Mereka yang terus dan dibenarkan gelaran profesor ialah ahli akademik yang dianugerahkan Profesor Emeritus, gelaran itu boleh dipakai seumur hidup.

Kisah manusia menipu bukanlah perkara baharu, kerana penipuan juga dianggap sebagai strategi dalam memperoleh sesuatu. Pasangan yang sedang memikat juga berusaha menipu orang yang diminatinya, hanya kerana ingin memperoleh perhatian. Ada sebuah ungkapan, lautan api pun sanggup diredah, walhal tidak semua orang sanggup melakukannya. Ramai yang sedar, dalam semarak bahang kepanasan, kita akan menjarakkan diri kecualilah anggota pasukan penyelamat kerana itu menang tugasnya.

Anggota penyelamat pun tidak akan meredah “lautan api” tanpa sebarang persediaan walaupun tugasnya untuk menyelamatkan mangsa kebakaran. Anggota penyelamat akan membuat persiapan untuk mengurangkan kesan kemusnahan akibat kebakaran, termasuklah mencari alternatif sebelum memulakan langkah menyelamatkan mangsa yang terperangkap. Selain berusaha menyelamatkan mangsa, anggota keselamatan tetap akan memikirkan kaedah selamat untuk dirinya.

Perbuatan menipu termasuk juga tindakan memalsukan maklumat peribadi. Beberapa hari lalu saya menegur seorang rakan facebook yang secara berseloroh menggunakan satu pelekat kecil yang tertera dirinya masih solo, atau belum berpunya. Wanita berkenaan sebenarnya sudah berkahwin dan masih menjadi isteri yang sah kepada seorang lelaki. Wanita berkenaan pernah memuat naik status di dinding facebook ketika sedang berihram berpelukan dengan suaminya semasa di Tanah Suci, setahun yang lalu.

Apabila dihiaskan laman sosial dengan gambar peribadi dan pelekat “masih solo”, saya memberikan komen, adalah suatu dosa mengaku solo ketika masih bersuami. Lebih baik berterus terang, kerana “mengaku solo” itu akan mengundang pelbagai masalah, termasuklah kemungkinan ada jejaka yang berminat dan menghantar “ayat-ayat cinta”. Tentunya ketika menerima “terpaan itu” akan menyebabkan banyak hati yang mengharap, dan harapan itu akan tentunya berakhir dengan “putus harapan.”

Katakanlah, si jejaka yang berharap itu membuat pelawaan untuk bertemu dan berkenalan selanjutnya. Apabila diketahui bahawa wanita berkenaan “menipu”, mungkin jejaka tersebut akan mengeposkan lebih banyak kata-kata berbaur marah, benci dan tohmahan, siapakah sebenarnya yang menanggung malu. Ketika itu di manakah “air muka” mahu dicampakkan kerana kita bukanlah hidup dalam suasana terkurung, kita adalah “animal social.”

Kita mempunyai kawan-kawan, saudara mara dan kenalan. Setiap yang mengenali kita akan membentuk persepsi ke atas apa yang telah dengan sengaja lakukan, walaupun niat sebenar adalah sebagai guruan. Sebab itulah Islam turut melarang tindakan mengolok-olokkan sesuatu, termasuk status perkahwinan.

Jangan mudah tertipu dengan maklumat yang diposkan menerusi media sosial. Setiap kali kita menerimanya, kita harus mempersoalkan kebenarannya, hatta yang mengeposkan maklumat itu tuannya sendiri. Sebahagian daripada apa yang diposkan itu mengandungi pelbagai nilai, termasuk mempromosikan diri sebagai betul, baik, menarik atau sebaliknya.

Sebab itu dalam masyarakat Melayu, mengenali hati budi seseorang itu adalah sesuatu yang amat digalakkan. Tentunya, untuk mengenali “hati budi” seseorang kita perlu selidik dan bertanyakan dengan orang yang hampir dengan orang yang kita nak tahu “hati budi”nya. Kita mestilah bijak membuat keputusan, dan tentunya, sebelum membuat keputusan kita perlukan maklumat. Maklumat itu mestilah sahih, benar dan realistik.

Nabi Muhammad SAW pernah hadir sendiri ke sebuah pasar untuk mengetahui apa yang dijual di situ. Baginda memerhatikan seorang peniaga buah kurma, di mana buah-buah yang segar diletakkan di bahagian atas manakala yang rosak dan buruk di bahagian bawah, seolah-olah menggambarkan semua buah tamar yang dipamerkan itu semuanya segar dan baik.

Atas pemerhatian itu, baginda menegur peniaga berkenaan dan bersabda: “Barang siapa yang menipu, maka dia bukanlah daripada golonganku (golongan orang yang beriman).” (Riwayat Muslim).

Lazimnya, jika kita rajin ke pasar malam atau pasar minggu, kita akan ketemu budaya yang sama dilakukan oleh segelintir peniaga, termasuklah peniaga buah-buahan yang gemar menjualnya secara borong atau pukal. Kita akan ketemukan mereka sanggup mencampurkan selonggok durian (beberapa biji) antara yang baik dan yang tidak baik. Apabila kita membelinya, katakanlah selonggok itu berjumlah sepuluh biji, mungkin dua atau tiga adalah buah yang rosak (masam, berair ataupun tidak masak).

Dalam pandangan peniaga, jika tidak berbuat demikian, perniagaannya tidak akan memberikan untung yang besar, tidak ada pihak yang bersedia membeli buah-buahan yang rosak. Tetapi, integritinya sebagai peniaga akan terus merudum. Bagi seorang peniaga yang jujur, tidak takut untuk menyatakan longgokan buah-buahan itu dijamin baik dan sedia membuktikannya. Peniaga berkenaan mempunyai integriti yang tinggi, walaupun harga jualannya sedikit mahal, ramai yang mempercayai dan bakal kembali mengulangi pembelian.

Ibarat kepercayaan seseorang kepada jenama tertentu. Walaupun ada banyak pilihan, kerana yakin dan percaya dengan peniaga yang berintegriti, maka barangan yang dijual tetap diyakini baik dan berbaloi. Tentunya, dari segi jangka panjang, peniaga berkenaan beroleh keuntungan yang lebih memanjang dan keuntungan secara berintegriti mendapat pembalasan dari Allah SWT.

Ulama mengkategorikan penipu itu kepada tiga: menipu transaksi jual beli; menipu ketika memberi teguran dan nasihat; dan menipu rakyat. Transaksi jual beli bukan sahaja manipulasi harga, turut termasuk mencampurkan buah yang buruk dengan buah yang baik, sukatan dalam timbangan atau ukuran, menggunakan khidmat pelaris atau menjual secara paksa (kini dikenali sebagai pakatan strategik. Misalnya, kita memerlukan barang A, tetapi mesti beli barang B. Barang B tidak diperlukan secara langsung. Kita sebenarnya membayar harga untuk dua barang) dan gimmik iklan (9 dari 10 wanita guna sabun X, maka anda perlu gunakannya) dan sebagainya.

Menipu ketika memberi nasihat kepada seseorang kerana inginkan sesuatu yang berharga daripada mangsa. Misalnya, seorang yang mengalami rasa kecewa kerana ditinggalkan oleh seseorang yang disayangi. Seseorang menawarkan bantuan dengan harapan orang kecewa itu percayakan nasihat dan pandangannya. Ketika keyakinan mula terbina, orang yang memberikan nasihat mengambil kesempatan dan mengeksploitasinya. Jadilah mangsa seperti maksud peribahasa, sudah jatuh ditimpa tangga.

Seseorang pemimpin yang mendapat kepercayaan rakyat, melakukan perbuatan menipu demi mengekalkan kedudukannya juga merupakan orang yang tidak ikhlas memimpin. Orang seperti ini, apabila tidak mempunyai kedudukan mula menghamburkan kata-kata kesat kepada penggantinya, akhirnya mati dalam keadaan yang tidak bermaruah.

Ketika dia memimpin, tidak mempedulikan kesejahteraan rakyat. Ia akan menyebabkan rakyat benci dan meluat. Setiap tindakannya dianggap sebagai sandiwara, maka kedudukannya akan terancam. Bila kedudukannya terancam, rakyat diugut dengan pelbagai perkara termasuklah bakal berada dalam keadaan yang tidak tenteram dan penuh musibah. Budaya ini sedang berkembang dalam kehidupan manusia, kerana itulah ramai manusia sanggup melakukan apa sahaja termasuk berbohong untuk meraih kepercayaan.

Ramai manusia yang gilakan kemewahan, kerana melihat kemewahan kebendaan adalah segala-galanya. Kemewahan seolah-olah menjadi tujuan hidupnya, maka kemewahan yang dikejar itulah menjadi punca bencana, termasuklah bencana gangguan mental. Kini, dianggarkan sepertiga rakyat Malaysia mengalami masalah mental, penipu juga merupakan orang yang dilanda masalah mental. Penipu melupakan integriti dan rukun hidupnya sendiri. Dia tidak mahu orang menipu, tetapi dalam masa yang sama, dia menipu orang lain.

Dia menipu kerana inginkan sesuatu, kerana dilihat dengan cara itulah boleh menggapai apa yang diinginkan. Sebab itulah setiap hari kita mendapat berita, membaca laporan, bukan sahaja orang perseorangan yang membudayakan hidup menipu, syarikat dan golongan peniaga bahkan ada ulama yang hidupnya dengan menipu, mengeksploitasi pengetahuan agamanya untuk pencapaian diri. Kemuncaknya, maruah dan nama terperosok jatuh, sukar untuk dipulihkan imejnya, kecuali seseorang itu benar-benar bertaubat. Proses pemulihannya akan mengambil masa yang lama.

Catatan: Muhamad Irfan Iskandar

No Comments

    Leave a reply