TOK AWANG MERDEKA DALAM SANDIWARA POLITIK SEMASA

 

 

Sosok peribadi dan bebelan Tok Awang Merdeka sekitar pertengahan tahun 1970-an kembali menghantui pemikiran saya sejak beberapa hari lalu.

Saya teringatkan dia bukan kerana saya begitu rapat mengenalinya. Saya teringatkan dia atas dua perkara.

Pertama, Tok Awang Merdeka sering menyelit untuk duduk bila ada ramai wanita cantik duduk di kerusi panjang menunggu bas tiba.

Kedua, apabila dia duduk, ramai wanita muda bangun ketakutan. Mereka takut Tok Awang Merdeka menyentuhnya. Setakat yang saya tengok, Tok Awang Merdeka tidak pernah mencuit wanita.

Tok Awang Merdeka tidak menjadi ancaman kepada wanita cantik, anak dara ataupun janda. Cuma Tok Awang Merdeka akan berkata: Merdeka!Merdeka!Merdeka!

Dalam masa yang sama Tok Awang Merdeka saperti menyesal dengan kemerdekaan. Saya tidak tahu, sama ada Tok Awang Merdeka pernah kecewa dengan apa yang berlaku kepada negara.

Saya hanya bertelahan, mungkin Tok Awang Merdeka pernah menghambakan diri dalam politik, akhirnya dikecewakan. Telahan saya kerana umur Tok Awang Merdeka ketika itu,ialah lewat 40-an.

Mungkin juga Tok Awang Merdeka pernah terbabit dalam laungan kemerdekaan pada tahun 1957, iaitu tahun saya dilahirkan. Tok Awang Merdeka mungkin mengharapkan kemerdekaan membolehkan dirinya menjadi lebih mudah dan senang. Cukup dengan kain pelikat cap kuda atau baju t jenama pagoda.

Tok Awang Merdeka tidak pernah mengharapkan dapat beli baju jenama Zegna. Tok Awang Merdeka tidak kenal pun kereta jenama Bugati atau Lamborghini.

Tok Awang Merdeka hanya kenal dengan jelas bas SKMK. Tok Awang Merdeka pernah naik, tapi konduktornya tidak pernah minta tambang. Tok Awang Merdeka memang spesial. Walaupun ada merinyu tiket muncul, Tok Awang Merdeka boleh senyum lebar, tidak dihalau turun sebab tidak ada tiket. Dalam bas SKMK Tok Awang Merdeka benar-benar MERDEKA.

Mudah memperoleh kehidupan yang lebih baik. Senang kerana ada pendapatan yang mencukupi bagi menampung keperluan hariannya, termasuklah membeli makanan.

Tok Awang Merdeka tidak pernah mimpi nak beli jam Hublot atau Patek Phillipe. Cukuplah sekadar memerhatikan bayang cahaya matahari. Tok Awang Merdeka boleh pasti waktu Zohor atau Asyar dan Maghrib tanpa menyelak lengan baju untuk mengetahui waktu. Tok Awang Merdeka hanya lihat bayang-bayang diri sendiri bila berdiri di tempat lapang.

Tapi Tok Awang Merdeka tetap kecewa. Dia kecewa kerana setiap kali berhajat makan nasi belauk, terpaksa membayarnya. Sebab itulah Tok Awang Merdeka terus mengomel “Merdeka!Merdeka!Merdeka. Kepala otak merdeka. Nak makan nasi belauk kena bayar”.

Saya terjemahkan bebelan Tok Awang Merdeka, nasi belauk adalah keperluan asas. Sebab nasi belauk dalam masyarakat adalah makanan harian mereka. Tok Awang Merdeka tidak berselera dengan lain-lain jenis, termasuk nasi dagang, nasi kerabu ataupun nasi tumpang yang memang terkenal di Kelantan.

Walaupun resepinya agak ringkas, nasi belauk, Tok Awang Merdeka begitu berselera, sama ada untuk sarapan pagi, makan tengah hari ataupun makan malam.

Bagi Tok Awang Merdeka, nasi belauk adalah segala-galanya. Lauknya mungkin gulai kunyit ikan tongkol atau ayam bersama timun.

Nasi belauk begitu sedap dimakan kerana ia ada perasa yang menyelerakan. Bukan kerana ia dimasukkan ajinomoto yang mengandungi MSG.

Nasi belauk menjadi sedap kerana kuah gulai kunyit itu yang digaul ke dalam nasi dengan sedikit sambal. Bukan sambal belacan. Sambalnya juga begitu ringkas, tetapi boleh menyebabkan kita berselera.

Kita lupakan tentang Tok Awang Merdeka dengan bebelan nasih belauk yang kena beli. Kita lihat perangai beberapa orang politik yang sejak kehilangan kuasa, bebelannya boleh mengalahkan Tok Awang Merdeka.

Apa tidaknya? Bila UMNO kalah, ada seorang yang mula bercakap lebih daripada Tok Awang Merdeka. Semasa UMNO berkuasa, dia tidak bercakap apa yang sepatutnya dia lakukan untuk perbetulkan tindakan pemimpin parti. Dia hanya bercakap dan bertindak membancuh MSG agar memakan nasi belauk yang dijajanya lebih berselera.

Bila diberikan peluang bercakap, cakapnya penuh semangat dan sedia bekerja keras demi mempertahankan parti dan bersedia menyusun langkah meremajakan UMNO.

Selepas habis perhimpunan, tidak ada apa yang dilakukan kecualilah mengintai projek. Para pemimpinnya adalah menteri.

Menteri boleh bagi projek tanpa perlu susah payah bertanding untuk mendapat tender. Menteri boleh buat surat tanda setuju. Menteri boleh arahkan pegawai untuk buat rundingan terus. Pegawai pula ikut arahan kerana membantahnya akan dilabelkan engkar perintah dan ditukarkan dua puluh empat jam.

Bila kena tukar, maka berendamlah pegawai dalam kolam untuk beberapa ketika, sebagai langkah bertenang atau sejukkan badan.

Retoriknya Cantik. Menarik. Setiap yang mendengarnya bukan sahaja seronok, terasa begitu teruja. Semangat membara, walhal semangat sahaja tidak cukup jika tidak ada peruntukan. Samalah dengan Tok Awang Merdeka. Tidak boleh makan nasi belauk sebab tidak ada wang. Tidak boleh membeli sebungkus nasi belauk sebab tidak berduit.

Mungkin suatu pagi Tok Awang Merdeka boleh makan nasi belauk sebab ada hamba Allah yang menajanya. Tetapi, tidak mungkin setiap pagi ada orang yang akan menaja nasi belauk Tok Awang Merdeka.

Begitu juga tokoh politik itu. Dia tidak sanggup berkorban selama-lamanya, kecuali dapat projek besar setiap tahun.

Sebahagian keuntungan boleh disumbangkan ke dalam dana politik. Jadi, ahli politik terpaksa ligat mencari dana, termasuklah menggunakan proksi untuk dapat projek.

Proksi akan memberikan sumbangan. Ertinya, setiap sumbangan mesti dibayar dengan projek. Akhirnya duit datang mencurah-curah, ia tetap juga tidak cukup.

Sebahagiannya hilang dalam perjalanan dan sebahagiannya lagi kekal dipegang secara tersembunyi. Tidak ada yang tahu, kecuali dia sendiri.

Disimpan kemas dalam akaun peribadi, seolah-olah wang itu miliknya sendiri. Tidak dimasukkan dalam akaun parti.

Mungkin juga disimpan dalam peti besi, sedikit bagi kepada isteri untuk beli beg tangan jenama birkin. Kalau tidak, isteri mengomel. Isteri menteri hanya pakai beg tangan jenama bukan luar negeri. Lebih malu lagi bila ada yang komen, dibeli di Jalan Petaling atau GM Klang.

Kalau masuk akaun parti, sukar untuk dibelanja. Perlu dapat kelulusan. Perlu dibawa masuk ke dalam mesyuarat. Perlu diberikan penerangan yang jelas dan memadai. Perlu dilihat dalam konteks “value for money” bukan “money to value”.

Tok Awang Merdeka tak faham apa itu “value for money”. Tok Awang Merdeka hanya tahu “nak makan nasi belauk”. Bila dapat nasi belauk, Tok Awang Merdeka mungkin diam kekenyangan. Bila perutnya terasa lapar, Tok Awang Merdeka membebel lagi.

Begitulah nasib UMNO sekarang. Bila tidak ada kuasa, mula bercakap dan membebel. Waktu kenyang dengan nasi belauk, terlupa nak tegur pemimpin.

Lepas tidak ada wang nak beli nasi belauk, baru terasa kesal dan memohon maaf, tidak memberikan nasihat yang betul. Akibatnya kuasa telah hilang dan nasi belauk pun tidak boleh dibeli lagi.

Saya anggap tokoh politik itu seorang hipokrit. Saya anggap Tok Awang Merdeka itu lebih ikhlas dan jujur. Sekurang-kurangnya dia jujur terhadap diri sendiri. Tok Awang Merdeka juga lebih ikhlas memberikan nasihat, kalau tidak berwang jangan mimpi nak makan nasi belauk.

Tetapi, tokoh politik itu hanya bercerita tentang nasi belauk untuk dapatkan wang. Nasi belauk dijadikan alat untuk mengumpul kekayaan peribadi, walaupun tidak pernah merasai keenakannya.

Hari ini, setelah kehilangan kuasa, tokoh politik mula bercakap mengenai integriti dan kepercayaan. Sebab partinya kalah kerana pemimpin tidak ada integriti.

Dalam masa yang sama, tokoh politik itu tidak jelaskan bahawa dirinya juga tidak berintegriti.

Integriti bukan hanya wang. Integriti termasuk tidak memberikan nasihat yang benar. Tidak ada integriti kerana setiap kali memberikan pandangan, pandangannya hanyalah untuk menghibur atau menyenangkan pendengarnya.

Boss boleh senyum. Boss boleh tidur lena. Boss suka merengkek-rengkek.Esok ketawa lagi dan lusa boleh tanya boss, projek manakah yang boleh dicadangkan. Boleh bincang dana parti.

Bila boss dipersoalkan, dengan cepat memberikan reaksi: Ambillah mataku jika parti perlukan. Ambillah telingaju jika itu yang diperlukan. Sanggup mati dalam perjuangan.Berkorban apa sahaja atas nama parti. Hidup atau mati. Kalau nyawa sekalipun, sanggup atas kepentingan parti.

Tok Awang Merdeka tidak pernah menawarkan begitu besar pengorbanannya. Tetapi Tok Awang Merdeka tetap berjasa kerana mengingatkan semua orang agar bekerja dan cari wang untuk beli nasi belauk. Tok Awang Merdeka tidak ajar orang menipu walaupun perutnya berkeroncong.

Bukan saperti tokoh politik, bila sudah ada duit mula bercakap sombong, seolah-olah dirinya yang paling betul dan berharga.

Akhirnya, Tok Awang Merdeka juga yang menang. Bukan menang dalam pertandingan merebut kuasa, tetapi menang dengan kata-katanya:MERDEKA!MERDEKA! Nak makan nasi belauk pun kena bayar. MERDEKA! MERDEKA!KEPALA OTAK KAU MERDEKA.

Mengingatkan kisah Tok Awang Merdeka, menyebabkan saya bertanya: di manakah pemimpin-pemimpin hebat itu berada bila parti dikeronyok? Mereka sebenarnya sudah menyeberang untuk selamatkan diri? Mereka nak hidup lebih senang lagi, bukan sekadar nak beli nasi belauk.

Mereka nak beli apa sahaja yang boleh dibeli, termasuklah lukisan yang sebahagian tidak kita fahami lakaran itu. Ia bukan sahaja kabur, bahkan terkeluar dari nilai budaya dan agama.

Untuk apa? Untuk buktikan: Akulah manusia yang berkuasa dan berjaya. Dari kosong, sudah jadi hero.Tok Awang Merdeka tidak mimpikan semuanya, dia hanya sekadar mahukan nasi belauk.

Tok Awang Merdeka telah lama meninggalkan kita. Kelibatnya di stesen bas Kota Bahru sudah lama terhenti. Stesen bas Kota Bahru dah lama sepi dengan idealisma perjuangan Tok Awang Merdeka. Tapi belum sepi dengan cerita orang lompat parti. Dari Ibrahim Ali hingga Tok Pa dan Husam Musa yang hilang pengaruh selepas banjir besar 2014.

Kebelakangan ini memang ramai orang membebel lebih hebat daripada Tok Awang Merdeka. Tok Awang Merdeka tidak pernah kata: orang itu salah, yang betulnya diri sendiri.

Biarpun orang menganggap Tok Awang Merdeka saperti gila, dirinya tetap bahagia tidak cemburukan sesiapa. Tok Awang Merdeka tetap setia dengan nasi belauknya. Ahli politik pula dah mula tukar menu, dari makan nasi ke makan salad alau Itali atau steak wagyu.

Tok Awang Merdeka tetap hidup dalam jiwa pengunjung stesen bas Kota Bahru pada tahun 1970-an walaupun dia bukan ahli politik ataupun peniaga yang kaya atas aktiviti faraid dan gadai janji. Tok Awang Merdeka tak tahu apa itu strategi, tapi tahu nasi belauk manakah yang paling sedap untuk dinikmati.

No Comments

    Leave a reply