Tolong-menolong dalam hal kebaikan dan ketakwaan

SEGALA puji bagi ALLAH yang memerintahkan supaya tolong-menolong dalam hal kebaikan dan ketakwaan untuk memperoleh ganjaran baik di dunia dan akhirat, serta melarang daripada bersekongkol dalam hal dosa dan pencerobohan yang mengundang keburukan di dunia dan akhirat.

Bertakwalah kita. ALLAH berfirman: “Dan tolong-menolonglah dalam hal kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam hal dosa dan pencerobohan, dan bertakwalah kepada ALLAH kerana sesungguhnya ALLAH Maha berat azab seksa-Nya.” (Surah Al-Ma’idah: 2)

Tolong-menolong dalam hal kebaikan dan ketakwaan menjurus kepada melakukan segala bentuk kebaikan secara amnya. Seperti melaksanakan amar makruf nahi mungkar untuk kebaikan masyarakat, menjauhkan mereka daripada sebab-sebab kehancuran dan kerosakan serta mendekatkan mereka kepada kebaikan dunia dan akhirat.

Mengajar ilmu yang bermanfaat juga termasuk dalam erti tolong-menolong dalam hal kebaikan dan ketakwaan kerana ia mengangkat kejahilan, menyeru kepada kebaikan, mencegah keburukan, mengenal pasti apa yang benar serta mengamalkannya, menunaikan hak ALLAH dan hak manusia, membantu saudara-mara dan orang yang memerlukan, memberi masa buat orang berhutang yang tidak dapat melangsaikan hutangnya dan memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan. Hal ini semua termasuk dalam erti tolong-menolong dalam hal kebaikan dan ketakwaan.

Begitu juga menggunakan kuasa dan pengaruh serta menjadi perantara dalam merealisasikan hajat seorang Muslim di sisi pihak berkuasa dan pemerintah adalah termasuk dalam erti tolong-menolong dalam hal kebaikan dan ketakwaan.
ALLAH berfirman: “Sesiapa yang memberi syafaat (menjadi perantara) yang baik nescaya dia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya.” (Surah An-Nisaa’: 85)

Melaksanakan projek kebajikan seperti mendirikan masjid, sekolah, penyediaan bekalan air minuman dan wuduk adalah termasuk dalam kerangka tolong-menolong dalam hal kebaikan dan ketakwaan. Membina kilang yang dapat menghasilkan barang keperluan masyarakat Islam supaya mereka dapat membebaskan diri daripada bergantung pada orang kafir, mendamaikan antara pihak yang bertelagah serta menghentikan perbalahan adalah termasuk dalam erti tolong-menolong dalam hal kebaikan dan ketakwaan.

Daripada Abu Ad-Dardaa’ RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Mahukah kalian aku khabarkan tentang suatu perkara yang lebih afdal daripada darjat puasa, solat dan sedekah? Kalangan sahabat menjawab: Tentu sahaja. Kata Baginda SAW: “Mendamaikan antara pihak-pihak yang bertelagah; sesungguhnya kerosakan yang berpunca daripada perbalahan itulah yang membawa kepada kemusnahan.” (Riwayat Abu Daud)

Kesungguhan golongan penjawat awam menunaikan kewajipan dan tugas mereka adalah termasuk dalam erti tolong-menolong dalam hal kebaikan dan ketakwaan kerana umat Islam perlukan perkhidmatan dan pengalaman mereka.

Jalan Kebaikan & Ketakwaan

Jika diperhatikan, jalan kebaikan dan ketakwaan adalah luas menyebabkan seseorang individu itu tidak akan mampu untuk menghitungnya apatah lagi melakukannya. Di sini pentingnya kerjasama dan tolong-menolong dalam merealisasikan maslahat dan menolak mudarat. Ia adalah suatu perkara yang mustahak dalam sebuah komuniti Muslim. Bahkan melaksanakannya adalah sebaik-baik amalan dan ia diperintahkan oleh ALLAH dan Rasul-Nya mengenangkan ia memberi kebaikan yang banyak dan luas.

Justeru setiap Muslim itu adalah sebahagian daripada anggota masyarakat. Dia akan menunaikan apa yang mampu. Orang alim akan membantu masyarakat dengan ilmunya, orang kaya dengan hartanya, orang berani dengan keberaniannya menjaga dan mempertahankan masyarakat daripada ancaman musuh. Manakala ibu bapa menunaikan kewajipan mentarbiahkan anak mereka untuk melahirkan generasi Islam baik yang akan mempertahankan agama dan masyarakat Islam.

ALLAH SWT menegah kita daripada bekerjasama dalam hal dosa dan pencerobohan. Dosa merangkumi segala bentuk maksiat manakala pencerobohan pula melibatkan segala pencabulan terhadap hak ALLAH dan manusia.

Kita ditegah daripada bersekongkol atau terlibat dalam hal seperti ini apatah lagi melakukannya. Maka Muslim dilarang melakukan perkara haram dan ditegah daripada terlibat membantu orang yang melakukan perkara haram tersebut tidak kira secara kata-kata atau perbuatan.

Lihat sahaja bagaimana Nabi Muhammad SAW melaknat orang yang makan riba dan orang yang memberi kepada orang lain makan riba, kedua saksi perjanjian transaksi riba tersebut dan penulis akadnya. Mereka semua terlibat dan bersekongkol dalam hal dosa dan pencerobohan riba itu.

Begitu juga perbuatan melarikan seorang yang telah ditangkap melakukan suatu kesalahan, berusaha untuk membebaskannya atau mengelakkannya daripada dikenakan tindakan atau hukuman adalah termasuk dalam erti tolong-menolong dalam hal dosa dan pencerobohan.  Memberi kesaksian palsu untuk memenangkan suatu kezaliman atau menolak suatu yang hak turut termasuk dalam erti tolong-menolong dalam hal dosa dan pencerobohan.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sekiranya seluruh penghuni langit dan seluruh penduduk bumi bersekongkol dalam membunuh seorang Mukmin, nescaya ALLAH akan menghumban mereka semua dalam neraka.” (Riwayat Tirmizi)

Peringatan buat Muslim

Di penghujung ayat al-Quran yang sedang kita bincangkan dalam Surah Al-Maa’idah, ayat 2, ALLAH mengingatkan: “Dan bertakwalah kepada ALLAH kerana sesungguhnya ALLAH Maha berat azab seksa-Nya.” Ia menjadi penegasan terhadap apa yang telah diperintahkan pada awal ayat tentang perlunya umat Islam tolong-menolong dalam hal kebaikan dan ketakwaan serta tegahan daripada bersekongkol dalam hal dosa dan pencerobohan, di samping ancaman hukuman akan menimpa mereka yang menyalahi perintah tersebut.

Betapa perlunya umat Islam pada hari ini bekerjasama dalam hal kebaikan dan ketakwaan tatkala umat manusia lain telah mengerumuni mereka dan kuasa kejahatan telah mengelilingi mereka daripada semua sudut.

Betapa perlunya kita pada hari ini untuk saling bergandingan dan berjalan seiringan, di samping meninggalkan kebencian dan menolak kerosakan dalam komuniti kita.

Betapa perlunya umat Islam mendidik anak-anak dan isteri mereka, membaiki keadaan rumah tangga, membaiki keadaan masyarakat dengan dijauhkan anasir-anasir kejahatan, golongan perosak, berhati-hati dengan tarikan-tarikan yang merosakkan serta pemikiran yang menyeleweng yang disogokkan kepada mereka melalui media massa dalam pelbagai bentuk dan cara oleh musuh-musuh mereka.

Umat Islam pada hari ini perlu bekerjasama bagi merealisasikan maslahat dan menyempurnakannya serta menolak kerosakan dan mengurangkannya sedaya mungkin.

Oleh Ustaz Idris Sulaiman

Ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuwan Malaysia

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply