Tonjolkan kebaikan agama dalam filem, drama

PERSOALAN kewajaran karya seperti filem dan drama yang menyentuh sensitiviti agama dengan alasan ‘berdakwah’ atau menegur realiti dalam masyarakat, termasuk institusi keagamaan, terus menjadi polemik di negara ini.

Malah, ia turut mengundang teguran daripada ilmuwan atau tokoh agama yang menekankan konsep niat tidak menghalalkan cara.

Polemik itu kembali mendapat perhatian ramai susulan tersiarnya poster penerbitan telefilem yang didakwa memaparkan babak tidak bermoral lelaki berperwatakan wanita di pusat tahfiz, sekali gus dianggap mencalarkan imej agama dan institusi pendidikan.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian, berkata penerbitan karya berunsurkan agama secara komersial adalah dakwah baik, tetapi ia perlu adil dan tidak bersifat menghukum.

“Perkara ini baik cuma ada sebahagian karya tidak digambarkan dengan cara betul.

“Sepatutnya, pembikin filem perlu menonjolkan sisi baik agama supaya boleh menjadi contoh. Jika tidak, dikhuatiri penonton akan percaya terhadap karakter negatif ditonjolkan,” katanya ketika dihubungi BH.

Yasmin Hanani memberi contoh, ada karya mewujudkan karakter penunggang agama dalam kalangan ustaz hingga tidak adil kerana seolah-olah memberi persepsi negatif kepada ahli agama.

“Jika ustaz atau ahli masjid digambarkan watak tidak boleh dipercayai, akan ada masyarakat bersikap menghukum secara melulu dengan mengaitkan orang agama dengan perwatakan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, jika paparan dalam drama atau filem dibuat untuk menonjolkan realiti dalam masyarakat, alasan itu tidak cukup kukuh untuk dipertahankan, apatah lagi apabila ia mengangkat isu agama.

“Orang kita sangat suka menunjukkan sisi buruk untuk menggambarkan kehidupan masyarakat, bahkan gemar mengambil contoh apa dilakukan segelintir orang berbanding majoriti yang lain.

“Sebagai contoh, dalam 10,000 umat Islam, hanya ada seorang terbabit dalam salah laku di pusat tahfiz, itulah yang diambil untuk dijadikan cerita.

“Begitu juga kerana seorang pemimpin bersikap jahat, maka rakyat mengambil sikap pukul rata hingga ketidakpuasan hati menyebabkan berlakunya kucar-kacir dalam negara,” katanya.

Yasmin Hanani berkata, sekiranya perkara itu terus berlaku terutama membabitkan hal agama, masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap agamawan dan institusi agama.

“Bukan tidak boleh kita ‘mengkomersialkan’ agama sebagai subjek dalam karya filem dan drama, cuma jangan sampai mengundang fitnah kepada Islam dan pendukung agama.

“Saya berharap penggiat seni boleh melakukan kajian lebih terperinci sebelum menghasilkan karya dan boleh belajar daripada filem dan drama Iran yang menonjolkan jalan cerita menarik.

“Mereka masih boleh membina karakter tanpa perlu ada adegan bertentangan syarak seperti babak bapa merogol anaknya sendiri hingga hamil, tidak memerlukan adegan ranjang,” katanya.

Justeru, menurut Yasmin Hanani, adalah lebih baik menutup mana-mana ruang yang boleh mendatangkan kemudaratan untuk mencegah masyarakat daripada terdedah kepada keburukan.

Sementara itu, pendakwah, Rohidzir Rais, berkata penghasilan karya yang menjadikan Islam dan institusi agama sebagai pesalah, seolah-olah menghukum mereka tanpa bicara, sekali gus menunjukkan pengaruh Islamofobia turut ada dalam kalangan umat Islam.

“Islamofobia bukan hanya melanda Barat yang anti-Islam, sebaliknya dalam umat Islam sendiri yang terpengaruh dengan dakyah liberalis dan orientalis dalam penulisan serta media.

“Sikap sinis dan memandang serong terhadap orang agama, melahirkan karya drama dan filem yang umpamanya memaparkan wanita bertudung labuh atau lelaki berjubah serta berserban sebagai watak antagonis jelik, keji, lucah dan menyakitkan hati.

“Sebaliknya watak yang kelihatan kurang beragama atau meninggalkan agama seperti pelacur dan gay diangkat sebagai watak protagonis mulia dan ikhlas,” katanya.

Rohidzir yang juga Mudir Sekolah Islam Nur Al-Azhar (SINAR) berkata, Islam digunakan tanpa sedar untuk menghasilkan keuntungan bersifat material.

“Hakikatnya, kesedaran masyarakat kepada apa sahaja produk Islam memaksa stesen televisyen dan penerbit berlumba-lumba menghasilkan produk yang boleh menarik lebih ramai penonton.

“Pada satu sisi, ia kelihatan amat baik kepada penonton yang mendapat peluang menimba ilmu dan menjadi saingan kepada program lain yang lebih bersifat hiburan.

“Bagaimanapun, program yang terlalu menjurus kepada populariti dan keuntungan memberikan impak negatif apabila muncul ‘pendakwah segera’ yang tidak berilmu hingga ada filem seolah-olah menggambarkan Islam sebagai pengganas,” katanya.

Antara saranan Rohidzir, pengkarya seni yang mahu menghasilkan karya berkaitan Islam perlu ikhlas mengasihi agama terlebih dahulu dan mendapat gambaran mendalam dalam terhadap subjek yang ingin diketengahkan.

“Tepuk dada tanya iman. Jika benar menghasilkan drama dan filem untuk dakwah, mengapa Islam diletakkan ke dalam kandang pesalah hingga menjauhkan masyarakat daripada Islam.

“Niat baik tidak bererti jika pelaksanaannya adalah bertentangan daripada hasilnya,” katanya.

Rohidizir mencadangkan supaya badan dianggotai lepasan agama dengan minat dan kemahiran dalam karya kreatif diwujudkan.

“Badan yang boleh diwujudkan di bawah stesen televisyen atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu, bertujuan menilai kesan diperoleh penonton daripada karya ini.

“Sekurang-kurangnya, lantiklah penasihat syariah yang mampu menilai dan memberikan penambahbaikan kepada karya dihasilkan,” katanya.

Oleh Latifah Arifin

Sumber : Baerita Harian Online

Tags: , , , ,

No Comments

    Leave a reply