Tragedi Christchurch: Teladani kisah Nabi santuni Yahudi buta

Hari ini, genap seminggu insiden tragik yang menyaksikan pembunuhan kejam umat Islam di Christchurch, New Zealand ketika menunaikan solat Jumaat.

Bukan seorang dua yang menjadi mangsa kerakusan pengganas kulit putih berhaluan paling kanan (neo-Nazi) dari Australia itu. Lima puluh nyawa tidak berdosa terkorban, termasuk remaja dari negara kita, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang disahkan meninggal dunia selepas hampir seminggu dilaporkan hilang sejurus insiden berkenaan.

Apa dosa mereka sehingga diperlakukan sedemikian rupa? ‘Dosa’ mereka hanyalah kerana beragama Islam dan pembunuhnya pula individu yang sangat membenci Islam serta penganutnya.

Peristiwa hitam itu turut dirakam secara langsung oleh pembunuh bagi menyampaikan mesej kebenciannya kepada Islam dan penganutnya, mahu menyampaikan mesej kepada dunia dan menjadikan sentimen antipendatang sebagai objektif utama pembunuhan.

Menurut beberapa pemimpin Islam di New Zealand, serangan yang berlaku tidak menggambarkan sikap sebenar New Zealand dan penduduknya, meskipun majoriti mereka beragama Kristian.

Bahkan sebahagian penduduk Kristian, berdasarkan laporan media cetak dan dalam talian, turut mengawal masjid di New Zealand, khususnya di kawasan terbabit bagi menjaga keselamatan umat Islam yang melakukan ibadat.

PM New Zealand kutuk serangan

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sendiri mengutuk serangan itu dan menganggapnya sebagai satu serangan pengganas paling buruk dalam sejarah negara berkenaan.

Islam sudah lama bertapak di New Zealand dan penganutnya tidak pernah mengalami apa-apa masalah sebelum ini. Berdasarkan sejarah kedatangan umat Islam ke negara Kiwi itu, bermula dengan penghijrahan pencari gali emas Muslim dari China pada 1870-an.

Sejumlah kecil pendatang Muslim dari India dan Eropah Timur turut berhijrah ke New Zealand dari awal 1900-an hingga 1960-an. Skala besar penghijrahan orang Islam bermula pada 1970-an dengan kedatangan etnik India dari Fiji, diikuti pada 1990-an oleh pelarian dari Afrika dan Asia Barat.

Sebagai umat Islam, kita harus mengawal emosi agar tidak melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam. Meskipun pembunuh adalah penganut Kristian, kita tidak seharusnya melabel semua penganut Kristian mempunyai kebencian yang sama terhadap umat Islam.

Ramai yang berfahaman salah mengenai ayat 120, surah al-Baqarah yang bermaksud: “Tidak akan reda orang-orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu (Muhammad SAW) mengikuti agama mereka”.

Ayat ini tidak bermaksud bahawa sebagai Muslim, kita mesti memusuhi semua penganut agama lain hanya kerana ada sebahagian daripada mereka bertindak di luar batas kemanusiaan seperti yang berlaku di Christchurch.

Menurut Ibn Abbas RA, ayat ini diturunkan berhubung penukaran kiblat dari Baitulmaqdis ke Kaabah yang mana ketika itu, kaum Yahudi di Madinah sangat mengharapkan agar Nabi Muhammad SAW terus bersolat dengan menghadap ke Baitulmaqdis, iaitu kiblat semua nabi dari Bani Israel.

Apabila Allah SWT memerintahkan Nabi SAW menukar kiblat menghadap Kaabah di Makkah, golongan Yahudi berkenaan mula berputus asa dengan Nabi SAW kerana enggan mengikut agama mereka, lalu turunlah ayat suci terbabit.

Ulama juga menyebut bahawa perkataan ‘reda’ dalam ayat di atas adalah berkaitan akidah mereka yang bukan Islam. Dalam erti kata lain, orang Yahudi dan Nasrani tidak akan beriman dengan apa yang kita imani dan mereka mempunyai kepercayaan berbeza dengan kepercayaan kita sebagai umat Islam.

Santuni bukan Islam

Namun, dari sudut lain, mereka secara umum tidak ada masalah dengan umat Islam, sama ada dari sudut sosial, berurusan dalam perniagaan dan lain-lain. Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik dalam menyantuni bukan Islam, melayan mereka dengan layanan yang baik tanpa sebarang prejudis.

Lihat saja bagaimana Nabi SAW melayan seorang Yahudi buta yang saban hari mencerca baginda, tetapi baginda pada setiap hari pula menghantar dan menyuapkan makanan buatnya sehingga akhirnya Yahudi itu memeluk Islam dek terpesona dengan keindahan dan keluhuran akhlak Nabi SAW.

Justeru, dalam suasana kita berkabung dan berada dalam kesedihan serta kemarahan meluap-luap terhadap pelaku jenayah kejam di Christchurch, kita harus menahan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh memberi imej buruk terhadap Islam.

Biarlah sebahagian mereka yang bukan Islam menuduh umat Islam sebagai pengganas dan sebagainya, kita sebagai umat Islam harus membuktikan bahawa segala tanggapan mereka adalah salah. Kita yakin, lama kelamaan masyarakat di luar akan sedar sifat Islam sebenar, Islam agama yang mementingkan keamanan.

Oleh Dr Nik Rahim Nik Wajis

Sumber : Berita Harian

No Comments

    Leave a reply