TRAVELOG KENIOGAN: 100 PERATUS MUSLIM DAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

 

Pulau Keniogan yang terletak sejam perjalanan menaiki bot berkapisiti 40 kuasa kuda dari Muara Beluran dihuni oleh kira-kira 1000 orang keturunan Bajau. Penempatan bermula sekitar 200 tahun lalu hanyalah sebagai kawasan persinggahan para nelayan dari tiupan angin  kencang akibat pertembungan arah Laut Sulu dan Laut China Selatan menyebabkan Pulau Keniogan adalah kawasan yang dianggap selamat.

Keseluruhan persekitaran Pulau Keniogan yang berkeluasan hampir 1000 ekar ditumbuhi oleh pokok-pokok bakau dan hanya 34 ekar tanah dibenarkan untuk dijadikan kawasan perumahan dan kemudahan awam, termasuk SK Keniogan, kem askar (menempatkan satu platon), klinik kesihatan desa dan sebuah balai polis.

Secara amnya, Pulau Keniogan mempunyai kemudahan asas yang menjadikan ia sebuah kawasan yang aman dan selamat. Hanya sesekali kedengaran berlaku kecurian, terutama enjin bot yang mudah diceraikan. Kejadian tersebut menyebabkan penduduk mula hati-hati, iaitu menyimpan enjin berkenaan di dalam rumah sebaik sahaja tidak turun ke laut.

Ketika rombongan kami tiba di sini (8-12 Mei 2017), Pulau Keniogan masih berada dalam zon merah, di mana perintah berkurung dikuatkuasakan mulai 6 petang hingga 6 pagi. Ini bermakna, kami dan seluruh penduduk tidak dibenarkan berada di luar rumah, kecualilah untuk ke masjid yang berada di sebelah pagar SK Keniogan.

Menurut Haji Shamsudin, 70 hampir keseluruhan pembangunan kemudahan di Pulau Keniogan merupakan usaha gigih Ketua Kampung, Datuk Haji Madlis Haji Azid, 72 . Keseluruhan penduduk adalah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan beliau, sama ada menerusi perkahwinan ataupun keturunan.

Jelas Haji Shamsudin, ‘Datuk Haji Madlis tidak akan berhenti berusaha dan beliau sanggup melobi kerajaan negeri dan persekutuan untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan itu. Beliau sanggup bertemu sendiri dengan mana-mana menteri, termasuk ke Putrajaya, yang tujuannya adalah untuk kemudahan penduduk’.

Sejak mewarisi kepimpinan dari ayahnya, Datuk Haji Madlis berusaha mengekalkan penduduk untuk mengamalkan ajaran Islam berdasarkan fahaman Ahlussunnah Wal Jamaah dua aliran pemikiran, iaitu assy’ariah dan maturidiyyah. Sewaktu berbual dengan beberapa orang penduduk yang menyambut ketibaan kami pada petang hari Isnin (8.5.2017), mereka akan tetap mempertahankan aqidah yang benar berteraskan al-Qur’an, as-Sunnah, ijma’ dan qias, dan tidak akan membenarkan mana-mana aliran pemikiran liar merosakkan Islam.

Datuk Haji Madlis berkata, “ saya berusaha gigih mempertahankan nilai-nilai tersebut dan tidak akan berganjak. Untuk membolehkan ianya difahami dan diamalkan, penduduk mempunyai hubungan yang erat dengan pertubuhan-pertubuhan dakwah dan agama. Mereka sering datang untuk berbincang dan mengadakan ceramah agama.

Bagi tujuan pendidikan, saya turut mengusahakan kelas-kelas agama diikuti oleh anak-anak Pulau Keniogan di sebelah petang. Saya berusaha mendapatkan dana untuk membangunkan sebuah sekolah agama, dan kini ia sudah pun dimulakan beberapa tahun lalu,” tambah Datuk Haji Madlis, “guru-gurunya adalah mereka yang dilantik oleh MUIS –Majlis Agama Islam Sabah”.

Menurut Shafei Mohd Nor, 42 yang juga merupakan seorang bilal di masjid Pulau Keniogan, “penduduk tidak dibenarkan berseluar pendek, sama ada lelaki atau perempuan ketika berehat. Wanita diwajibkan menutup aurat ketika berada di luar rumah atau melakukan apa-apa aktiviti kemasyarakatan.”

Beliau yang kami panggil bilal ikut memberikan pengakuan bahawa kepimpinan Datuk Haji Madlis telah berjaya memberikan kekuatan agama kepada penduduk setempat, bahkan hubungan saliturrahim semakin akrab sebagaimana dituntut oleh agama.

Menurut seorang lagi penduduk, bagi mengekalkan disiplin dan kerjasama antara penduduk, Ketua Kampung akan melakukan sesuatu tindakan sekiranya ada pihak yang melakukan kesilapan, dari denda sebanyak RM 15 ataupun proses pemulihan.

(berbual dengan Shafei Mohd Nor atbersama Shafei Mohd Nor (bilal)au lebih dikenali dengan panggilan Bilal)

Nilai agama yang sangat dititikberatkan itu menjadikan silaturrahim antara penduduk begitu akrab dan berjaya mengelakkan pelbagai nilai-nilai negatif, apatah lagi Pulau Keniogan bukanlah sebuah pulau yang popular sebagai destinasi pelancongan. Pulau Keniogan tidak mempunyai pantai dan hutan bakau sentiasa dijaga. Sebarang pencerobohannya akan menerima padah dari Jabatan Hutan Sabah, kerana diwartakan sebagai kawasan perlindungan.

Kaedah berdakwah yang lebih berkesan ialah menerusi amalan dan dari amalan itulah akan membudayakan sebuah prinsip yang dirasakan bersalah bila tidak diamalkan. Inilah yang dilakukan ke atas penduduk setempat, misalnya, kaedah berpakaian dan pergaulan dalam kalangan remaja.

Menurut guru besar SK Keniogan, Arman 40-an yang baru dua tahun hidup “bujang” atas tuntutan tugas di Pulau Keniogan, bulan Mei yang kebetulan pada tahun ini adalah bulan Syaaban dalam kalendar Hijrah, hampir setiap minggu ada majlis kenduri, termasuk kenduri doa selamat dan tahlil arwah.

Bagaimanapun, majlis tersebut berlangsung hampir seharian penuh. Zikir pula berdasarkan ketetapan tuan rumah, tapi paling kurang ialah seribu kali.

Ketika kenduri arwah diadakan, setiap jemputan diminta untuk menyumbang wang manakala tuan rumah akan membalas balik dengan hadiah berupa persalinan (kain pelikat bagi lelaki dan kain sarong untuk wanita) bersama-sama kueh tradisi, selain jamuan makanan,” jelas Che Gu Arman.

Pulau Keniogan berhadapan dengan masalah kekurangan air tawar. Seluruh pendudukan amat berharap kepada air hujan untuk kegunaan harian, dan kerana itu hampir setiap rumah sekurang-kurangnya mempunyai dua tangki plastik besar yang mampu memuatkan lebih 600 liter air.

Beberapa hari sebelumnya, kami diberitahu mengenai kesulitan itu dan sebelum berlepas dari Kuala Lumpur, kami ikut berdoa agar tidak berhadapan dengan kesukaran tersebut, terutamanya air. Disebabkan biasa dengan kemudahan tersebut, agak rimas jika ketiadaan air apatah lagi berada di pulau yang mengalami cuaca kering.

Syukur alhamdullilah, keesokannya (Selasa) hujan mulai turun dan membolehkan penduduk menakung air untuk kegunaan. Bagaimanapun, kami pada tidak menginap di rumah tumpangan (homestay) apabila dikhuatiri bakal berhadapan dengan masalah air, dan ditempatkan di rumah guru.

Bila melihat kepada beberapa keretakan yang berlaku di bahagian tiang dan beam bangunan, kami agak khuatir juga untuk menginap disebabkan besi yang ada dalam simen konkrit sudah kembang.

Di beberapa bahagian tiangnya sudah kelihatan karat tebal dan besi semakin mengecil. Struktur bangunan tersebut dibina kurang daripada sepuluh tahun, tetapi sudah menunjukkan ia perlu kepada penyelenggaraan yang besar.

Menurut Datuk Haji Madlis, rumah guru itu dibina oleh kerajaan negeri untuk keselesaan guru-guru dari luar yang datang mengajar. Disebabkan berlaku gempa bumi beberapa tahun lalu, struktur bangunan konkrit turut mendapat kesan.

bersama Tuan Haji Razak

Berdasarkan cerita lain daripada Tuan Haji Razak, 47, ketika rumah berkenaan hendak dibina, pasir-pasir yang bawa daripada Beluran tidak seterusnya diangkut ke tapak pembinaan. Ia tersadai beberapa minggu sehingga terkena air masin, yang ketika itu berlaku air pasang besar.

Pasir itulah yang digunakan untuk membina rumah guru, yang menyebabkan mudah terlerai simennya. Ia tidak berlaku pada struktur bangunan baharu sekolah, walaupun telah disiapkan beberapa tahun lebih awal. Pasir yang digunakan mungkin tidak terkena air masin.

Terdapat tiga buah telaga di sekitar Pulau Keniogan. Bagaimanapun, dalam keadaan kemarau panjang, hanya sebuah sahaja telaga yang tidak pernah kering, iaitu yang berada dalam kawasan sekolah. Airnya bukanlah sejernih air perigi yang kita jumpai di lain-lain kawasan daratan, sedikit kekuningan dan berminyak. Ini mungkin berlaku kerana kesleuruhan Pulau Keniogan adalah berlumpur, kerana itulah lahan subur untuk pokok-pokok bakau.

Saya begitu kagum dengan nilai-nilai agama yang dititikberatkan. Dan, berdasarkan pengamatan dan perbualan dengan beberapa penduduk, saya boleh membuat kesimpulan bahawa Pulau Keniogan yang seratus peratus keturunan Bajau adalah penganut Islam yang taat, bahkan sholat berjemaah sentiasa diberikan perhatian oleh penduduk, dengan memenuhi masjid.

Masyarakat Pulau Keniogan bukanlah masyarakat yang tertutup walaupun tiada kemudahan internet atau pengaruh media sosial, mereka terus boleh menikmati program-program televisyen keranan hampir setiap rumah mempunyai decoder ASTRO. Disebabkan ‘sistem imuniti’ dalam diri sudah kuat, sebarang keburukan yang ditonjolkan oleh media tidak menjadi ikutan, sistem kawalan sosialnya masih berkesan.

Saya turut bersetuju dengan catatan Putera Pulau yang dibuat pada tiga tahun terdahulu (15 Mei 2014) dalam blognya, Asal Dari Pulau (Rujuk: http://asaldaripulau.blogspot.my/2014/05/pulau-keniogan-pulau-as-sunnah_15.html ) Pulau Keniogan (Sabah) adalah  Pulau As-Sunnah.

 

Monosin Sobri.

1 Comment
  1. Reply Razali Hajit June 1, 2017 at 6:25 pm

    Alhamdulilah, Agama islam di KG KENIOGAN masih terpelihara, Dengan adanya pemimpin yg berwibawa dan mementingkan agama serta kesepaduan masyarakatnya…

Leave a reply