TROLL NAJIB YANG HEBAT DAN TELADAN MAHATHIR YANG TEWAS

Bedah siasat awal faktor yang menyumbang kekalahan PH dalam PRK Cameron Highlands memberikan pengajaran bahawa ‘janji PRU 14’ yang dianggap ‘bukan kitab suci’ memakan diri. Akibatnya, PH terpaksa menelan kepahitannya walaupun telah berusaha keras untuk menerobos sokongan dalam kawasan-kawasan yang sebelumnya menjadi kubu kuat UMNO (BN) dan PAS.

Ramai rakyat Malaysia mengetahui, penyokong PAS begitu tegar dengan parti yang berideologikan Islam manakala penyokong UMNO masih mengakui bahawa ‘budi dan jasa’ selama 61 tahun tidak boleh diketepikan secara mudah oleh PH yang hanya baru setahun jagung umurnya. Tetapi disebabkan prinsip ‘wala’ kepada pemimpin, tetap mengundi BN apabila diminta berbuat demikian oleh Presiden PAS. Satu pengorbanan yang mengecewak PH.

mengenang budi

Meskipun sebahagian besar pemimpin dalam PH adalah mereka yang pernah berjasa dan mempunyai legasi cemerlang, ia tidak cukup kuat sentuhan nurani dengan peneroka FELDA yang merasakan tanpa perencanaan yang tepat untuk memperbaiki sosioekonomi orang Melayu, sebabnya orang Melayu dan Orang Asli masih tidak boleh melupakan  induk politik UMNO dan BN. Mereka mengenang budi kerana melalui perencanaan UMNO dan BNlah nasib mereka sudah banyak berubah, walaupun kini terhimpit dengan resah pendapatan yang semakin kecil akibat merudumnya harga komoditi kelapa sawit dan getah.

Masyarakat Cameron Highlands begitu kecewa kerana selepas sembilan bulan (yang disifatkan bakal melahirkan zuriat) belum mampu untuk membeli peralatan menyambut kelahiran bayi baharu kerana kehilangan pekerjaan akibat dasar PH yang hanya ingin mencaturkan kuasa dalam kalangan mereka. Menteri-menteri belum mengemukakan ‘ruang penambaikan’ dan dianggap tidak ‘buat kerja’ yang sepatutnya, hanya sekadar mencari salah dan berselindung di sebalik ‘hutang melebihi RM 1 trilion’.

bossku4

Menteri Kewangan dalam satu kenyataan meminta rakyat bersabar dan berikan peluang kepada kerajaan untuk membetulkan keadaan dalam tempoh tiga tahun manakala menteri yang lain saperti lupa bahawa rakyat memilih dalam PRU ke-14 adalah untuk menjana sumber pendapatan yang lebih baik. Terdengar pula hasrat Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli bahawa caj air bersih akan dinaikkan dalam tahun ini.

Rakyat diminta untuk kesiankan kepada kerajaan yang terpaksa berbelanja besar untuk melengkap atau menambahbaikkan infrastruktur air agar air bersih dapat disediakan sedangkan ketika berkempen menjelang PRU ke-14, berjanji akan menurunkan kos sara hidup. Maknanya walaupun air bakal dinaikkan sekitar 20 peratus, ia akan meningkatkan kos yang terpaksa ditanggung dan tentunya harga minuman dan makanan akan naik lebih besar lagi.

dakwaan bohong

Meskipun sejak beberapa minggu lalu harga petrol dikurangkan sebanyak 26 sen bagi Ron 95, ia kemudiannya dinaikkan sebanyak 6 sen dan dikekalkan pada hari terakhir kempen PRK Cameron Highlands, harga barangan dan perkhidmatan tidak ikut serta. Ini menolak sama sekali andaian bahawa jika harga minyak turun, harga barangan dan perkhidmatan akan ikut turut kerana kos pengangkutan atau pengilangannya direndahkan.

Juga ‘dakwaan bohong’ PH bahawa jika GST dimansuhkan, kos sara hidup akan turun. Semuanya tidak berlaku, sebaliknya apabila SST diperkenalkan semula selepas ‘tiga bulan tanpa GST’, rakyat terus terbeban dengan kos sara hidup. Harga barang mentah saperti ikan, sayur-sayuran, daging dan sebagainya semakin mahal sehingga ada luahan marah seorang wanita di Felda Sg Koyan, harga belacan adalah lebih mahal daripada harga kelapa sawit, menyebabkan ramai suri rumah dalam keadaan ‘bercinta’ ketika ke pasar.

dedah mendedah’

Seluruh jentera kerajaan digunakan untuk memperlekeh dan menekan ‘kerajaan terdahulu’ pada mulanya dianggap sesuatu ‘tindakan yang betul dan menarik’ akhirnya menjadi liabiliti kepada PH. Rakyat melihat kaedah ‘dedah mendedah’  dan ‘siasat menyiasat’ hanya gah di mata tetapi amat perlahan untuk membuktikan bahawa pemimpin ‘kerajaan Malaysia Lama’ bersalah, maka akhirnya timbul satu kenyataan pedas buat PH, Malaysia Baru yang berperangai lama.

TANAH RATA 14 JANUARI 2019. Pemandangan pekan Tanah Rata ketika tinjauan Pilihan Raya Kecil Parlimen P.078 Cameron Highlands di Tanah Rata, Cameron Highlands. Parlimen P078 Cameron Highlands meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Tanah Rata dan N.02 Jelai. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Masing-masing menteri hanya berusaha mempertahankan kedudukan masing-masing dan ada ketikanya bercelaru sesama sendiri. Kecelaruan terbaharu ialah mengenai pembatalan projek keretapi laju ke Pantai Timur. ECRL bagi Menteri Hal Ehwal Ekonomi telah dibatalkan berdasarkan keputusan kabinet pada 24 Januari 2019, iaitu dua hari sebelum hari mengundi PRK Cameron Highlands. Pembatalan itu menyebabkan Menteri Kewangan terkejut dan Perdana Menteri bila ditanya ‘tidak tahu’.

ICERD dan HINDRAF

Sebelumnya berlaku juga mengenai ratifikasi pelbagai bentuk diskriminasi yang disuguhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerusi Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. ICERD bukan sahaja menyebabkan kerajaan PH lemas, bahkan berlaku desakan keras oleh lebih 300,000 pemitisyen agar Menteri Perpaduan dan Integrasi Nasional meletakkan jawatan. Perdana Menteri tetap mempertahankan Waytha Moorty, seorang peguam yang pernah mencetuskan keadaan kelam kabut apabila melancarkan tunjuk perasaan pada bulan November 2007 agar membayar ganti rugi yang besar kerana British membawa masuk buruh India ke Tanah Melayu. Mereka dilayan dengan buruknya oleh British dan sedikit gambaran awal mengenai kehidupan buruh-buruh tersebut dipaparkan oleh Sasterawan Negeri, Datuk Abdullah Hussain dalam novel Interlok.

Novel Interlok menang hadiah saguhati dalam peraduan menulis sempena 10 Tahun Merdeka (1967). Novel itu diterbitkan untuk bacaan umum pada tahun 1974. Pada tahun 2010, novel Interlok disenaraikan sebagai buku teks bahasa Malaysia dalam Komponen Sastera bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Calon PRK Cameron Highlands tidak puas hati dengan pemilihan novel berkenaan kerana dianggap mengandungi gambaran buruk dan menghina masyarakat India. Satu demonstrasi dianjurkan di Batu Caves dan pada 3 April 2010, M Manogaran ditangkap bersama MS Arjunan dari Persatuan Progresif Pelajar Tamil Malaysia kerana terbabit dalam penganjuran demonstari berkenaan.

Perjuangan HINDRAF tidak mendapat pengiktirafan kerajaan Malaysia bahkan beberapa orang daripada pengasasnya ditahan oleh pihak berkuasa. Tidak cukup dengan itu, Waytha berusaha mendapat sokongan antarabangsa. Dalam kempennya, Waytha menuduh bahawa orang India dipaksa memeluk Islam manakala ratusan ribu kuil-kuil Hindu sedang diancam perobohannya oleh pihak berkuasa. Video itu kemudiannya bergema semula ketika bantahan terhadap ICERD dan kemuncaknya ialah satu perhimpunan telah diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2018.

Mahathir-Cameron3-250119

Kesemua isu yang berkaitan dengan masyarakat India yang dikaitkan dengan HINDRAF dan ditambah dengan rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariaman pada 26 dan 27 November 2018 ikut mempengaruhi kecenderungan pengundi di Cameron Highlands. Atas sebab ‘mungkin kalah’, MIC menyerahkan kerusi tersebut kepada BN untuk menentukan calon yang akan bertanding.

BN kali ini dianggap bijak apabila memilih calon yang bersih dan neutral. Ramli Mohd Nor, bekas pegawai kanan polis dipilih walaupun beliau bukanlah menjadi ahli mana-mana parti, termasuk UMNO. Sebaik sahaja nama calon tempatan keturunan Orang Asli dari suku Semai-Temiar itu dipilih, M Manogaran merasa tertekan kerana pengaruh dan aura Ramli bukanlah kecil dalam kalangan Orang Asli Cameron Highlands.

stigma kerusi India

Akibat rasa tertekan itulah mungkin membawa kepada suatu kenyataan pedih bersifat perkauman dimulakan oleh M Manogaran. M Manogaran mungkin rasa terdesak kerana PRK ini beliau sudah tiga kali mencuba, dan pernah dua kali tewas. Kali pertama tewas (2013) menggunakan logo DAP dan kali kedua (2018) menggunakan logo PH. PRK kali ini, M Manogaran sekali lagi menggunakan logo PH. Ia seolah-olah ingin mengekalkan andaian bahawa Cameron Highlands adalah kerusi yang sesuai ditandingi oleh kaum India.

Strategi itu nampaknya sudah dirobohkan apabila Ramli Mohd Nor menang dengan majoriti berganda dan dianggap tertinggi sejak tahun 2008. PRU ke-12 (2008), BN menang dengan majoriti 3117 undi, PRU ke-13 menang dengan majoriti 462 undi dan PRU ke-14 dengan majoriti 597 undi. Ia juga adalah pencapaian kedua terbaik sejak PRU ke-11 (2004). Sejak 2004 hingga 2018, MIC tidak mengecewakan BN di Cameron Highlands. Sebab itulah ada anggapan bahawa Cameron Highlands mesti kekal kepada calon keturunan India, tetapi PRK kali ini telah menghapuskan stigma berkenaan.

Akibat kemenangan bukan calon berketurunan India menarik minat seorang aktivis politik keturunan India dalam PKR. Kemenangan Ramli dilihat saperti berlakunya penceraian MIC dengan talak tiga dan untuk masa-masa akan datang, adalah sukar bagi MIC untuk mendapatkan kerusi itu kembali. Bagaimanapun percaturan itu tidak membawa apa-apa makna kepada MIC kerana penentuan kawasan adalah keputusan bersama yang diamalkan oleh BN dalam konsep ‘perkongsian kuasa’ sejak PRU 1 (1955).

Begitu juga jika diambil perspektif pengundi berdasarkan etnik, setakat ini belum ada satu pun kawasan yang boleh dianggap majoriti pengundi India. Bahkan, pada tahun 1974, Samy Vellu diberikan kerusi Sungai Siput, dan beliau berjaya mempertahankan kerusi itu selama 30 tahun sebelum dikalahkan oleh calon PSM yang mewakili PKR dalam PRU ke-12 (2008). Hingga kini, Sungai Siput dianggap kubu kuat PKR kerana penyandangnya, Dr Michael Jeyakumar buat pertama kalinya menggunakan logo PSM pada PRU ke-12.

Sebelumnya, PSM berhadapan dengan masalah pendaftaran (diluluskan pada 10 September 2008). Sejak tahun 1999, PSM menggunakan logo lain-lain parti pembangkang termasuklah menggunakan logi PKR untuk PRU ke-12 dan PRU ke-13. Untuk PRU ke-14, PSM berhasrat bertanding telah memohon untuk menggunakan logo sendiri, kerana parti itu bukanlah dalam komponen PH. (Rujuk: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/01/13/psm-akan-guna-logo-sendiri-minta-ph-fahami-keputusan-dulu/).

menelan kahak sendiri

langgar kawasan

Menariknya lagi mengenai PRK Cameron Highlands ialah strategi PH untuk terus mengkeronyokkan pemimpin UMNO dan BN telah menjadi ‘senjata makan tuan’ sehingga menyebabkan Dr Mahathir terpaksa menelan kahaknya sendiri. Nasib buruk yang menimpa pemimpin UMNO dan kutukan berani Dr Mahathir tidak menjejaskan sokongan kesemua daerah mengundi yang selama ini dikuasai oleh BN. Sebaliknya, secara keseluruhan di DUN Jelai telah menyaksikan peningkatan ketara daripada peraturan pengundi yang keluar mengundi. DUN Jelai dilaporkan 90 peratus keluar mengundi berbanding hanya sekitar 60 peratus dalam PRU ke-14. Trend ini menunjukkan pengundi DUN Jelai berjaya menghantar isyarat yang jelas bahawa PH bukanlah gabungan parti yang boleh dipercayai disebabkan kegagalannya untuk menunaikan janji-janji.

Amat menyedihkan bagi M Manogaran terpaksa berhadapan dengan keinginan seorang pengundi bersungguh-sungguh meminta dikemukakan ‘surat peguam’ jika mahu mengubah pendiriannya. Wanita warga emas itu bersedia berhadapan dengan apa sahaja tindakan, pendiriannya tetap lebih mempercayai BN berbanding PH selagi tidak dibuktikan dengan ‘surat peguam’. Ia membawa satu refleksi tajam kepada PH untuk memikirkan semula bahawa apa yang dijanjikan itu adalah satu kewajipan yang mesti dilaksanakan, bukan sekadar kata-kata manis yang tidak bermakna selepasnya.

Pengundi Cameron Highlands turut memberikan amaran kepada PH agar tetap menjunjungi apa sahaja peraturan dan undang-undang yang dipersetujuinya, kerana pelanggarannya boleh membawa padah. Jentera kempen PH yang terperangkap dengan ‘kuasa’ akhirnya terpaksa mengakui bahawa penggunaan aset kerajaan boleh menjurus kepada kekalahan yang besar.

salah guna aset

Seorang Timbalan Menteri yang menganggap dirinya ‘melakukan kerja-kerja sosial’ akhirnya terpaksa mengadah cemas bila video salah guna kenderaan dan kata-kata yang dikeluarkan itu dilihat sebagai perlakuan ‘kurang sopan’ dan dwistandard. Ia diperkuatkan lagi dengan jaminan Timbalan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan tegas jika Timbalan Menteri itu bersalah. Jaminan tersebut saperti mengesahkan berlakunya salah guna aset kerajaan untuk tujuan politik.

Begitu juga dengan calon PH yang terpaksa dihalau oleh petugas SPR kerana memakai baju berlogo Harapan ketika memasuki kawasan 50 meter pusat mengundi. Meskipun memohon maaf, ia dilihat sebagai satu bentuk provokasi yang disengajakan untuk mempengaruhi pengundi pada saat kempen tidak lagi dibenarkan. Lim Kit Siang dan P Prabakaran juga dilaporkan melakukan kesalahan yang sama, tetapi apa yang berlaku selanjutnya, tidak diketahui umum sama ada kedua wakil rakyat PH itu dihalau atau disekat daripada memasuki dalam kawasan 50 meter pusat mengundi.

Paling menjerat kesan yang panjang mengenai PRK Cameron Highlands ialah troll Najib dan teladan Dr Mahathir. Troll Najib berjaya mencuit hati orang ramai sehingga menyebabkan Lim Kit Siang saperti ‘melatah dan terkinja-kinja’. Apa yang disindir dan dibalas oleh Lim Kit Siang akhirnya terpaksa menerima ejekan yang besar hasrat Najib untuk melantik beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Najib.

teladan yang dibakulsampahkan

Walaupun disindir oleh Dr Mahathir sebagai tindakan yang tidak betul dan seakan melenyapkan kesalahan yang berlaku, teladan yang cuba dimainkan oleh Perdana Menteri akhirnya dibakulsampahkan oleh pengundi Cameron Highlands, khususnya di DUN Jelai. Mereka lebih menghormati kesetiaan dan sikap rendah diri Najib yang sanggup bermotosikal menemui pengundi berbanding Dr Mahathir menggunakan helicopter untuk sampai ke Sungai Koyan.

mewah dan elitis

Pengundi mempunyai persepsi yang jelas, pemimpin PH yang datang berkempen turun dengan kenderaan mewah, sedangkan rakyat bawahan yang sedang menderita kepayahan hidup saperti dipermainkan. Mereka dipermainkan kerana menteri-menteri masih menunjukkan kemewahan ketika menemui pengundi ‘orang biasa’ yang ‘bercinta’ kerana tidak mampu hidup selesa akibat tekanan kos sara hidup.

Ia suatu pengajaran pahit yang wajib ditelan oleh setiap orang yang dipanggil pemimpin. Seorang pemimpin, dengan sikap elitisnya akan dipasungkan oleh rakyat, kerana setiap ketika rakyat memerhati apa yang diperkatakan dan apa yang pemimpin lakukan. Dalam situasi sekarang, pengundi semakin terbuka prinsipnya dan tidak lagi gentar dengan ugutan yang dikeluarkan oleh pemimpin sebagaimana PRU ke-14, mereka yang ‘menentang’ kerajaan bakal ‘menganggur’ akhirnya rakyat sudah berani berkata, ‘sebenarnya menterilah yang akan menganggur’ kerana ‘kami telah memecat’ mereka.

ppbm AND bn

Pengundi Cameron Highlands, terutamanya Orang Asli tidak gentar jika tidak ada lebuh raya yang menghubungi kampong-kampong mereka, kerana apa yang mereka perlukan jalan raya yang memudahkan hasil tanaman dibawa keluar dan dipasarkan. Lebuh raya tidak penting kerana ia membabitkan bayaran tol dan juga kamera perangkap laju, ia menyusahkan. Mereka sebenarnya bukan mahu berlumba kerana mereka kebanyaknya hanya ada motosikal dan kereta yang tidak sehebat kereta menteri dan juak-juaknya yang datang berkempen.

PRK Cameron akan terus diingati sebagai berkesannya troll Najib dan tewasnya teladan Dr Mahathir.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply