TRUMP BERHADAPAN PERSEPSI BURUK

Sejak Donald J Trump berjaya mengalahkan calon yang disukai oleh kapitalis-liberal terlalu banyak gambaran buruk dilakukan oleh media. Media utama yang didokong oleh kapitalis-liberal yang mengaut keuntungan di Wall Street merasakan Donald J Trump tidak sepatutnya diberikan peluang untuk menentukan dasar nasionalis-populis.

Atas ‘kemarahan itu’, Donald J Trump tidak melayani akhbar dengan baik dan terbaharu ialah enggan hadir dalam majlis makan malam bersama akhbar yang akan diadakan di Rumah Putih pada 29 April nanti.

Menurut laporan AFP, keenganan itu ‘melanggar tradisi’ di mana selama ini pemimpin tertinggi Rumah Putih menjadi tetamu kehormat. Majlis makan malam itu dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Rumah Putih sejak tahun 1921. Majlis itu adalah acara tahunan untuk mengumpul dana bagi biasiswa kewartawanan.

Sehari sebelumnya (25 Februari 2017), Donald J Trump mengarahkan agar beberapa agensi berita dilarang memasuki Rumah Putih. Pada hari tersebut, suatu taklimat kepada beberapa media utama seperti CNN dan New York Times dijangka berlangsung. Trump menuduh, sejak pembabitannya dalam politik, media sentiasa melaporkan berita buruk mengenainya, termasuklah ketika mengangkat sumpah sebagai presiden, berita mengenainya adalah berat sebelah.

Ketika berlangsungnya Anugerah Akademi, pengarah filem tersohor Iran, Asghar Farhadi telah menolak kehadirannya sebagai membantah sekatan Trump ke atas tujuh negara Islam (termasuk Iran) walaupun filemnya, The Salesman’ dijangka memenangi Anugerah Kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

Para artis yang hadir pada malam tersebut turut memakai ‘riben biru’ sebagai bantahan terhadap dasar Trump. Filem The Salesman ditayangkan secara terbuka di Trafalgar Square, London beberapa jam sebelum berlangsungnya anugerah tersebut atas permintaan Datuk Bandar London, Sadiq Khan.

Menurut Sadiq, “Walaupun kita berbeza agama, warga negara dan budaya, kita adalah warga negara dunia. Saya berasa sangat bangga untuk menjadi ahli keluarga global ini. “ Dan sebelumnya, Sadiq turut menyifatkan larangan imigresyen yang dibuat oleh Trump sebagai ‘memalukan’ dan ‘kejam’.

Beberapa bantahan berlaku di London, dan lebih 1.8 juta tanda tangan telah dikumpul bagi mendesak Perdana Menteri Britaian, Theresa May dan Ratu Elizabeth II membatalkan undangan kepada Trump. Ratu Elizabeth II telah mengundang untuk melawat Britain, manakala Theresa May sedang mencari sokongan bagi mengimbangi ketidaktentuan ekonomi akibat keputusan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah.

Dalam falsafah ekonomi kapitalis-liberal, keuntungan merupakan pencapaian puncak yang bukan sahaja perlu dipertahankan bahkan wajib diperhebatkan demi kelangsungan perusahaan. Keuntungan akan meningkat sekiranya kos pengeluaran produk dan perkhidmatan dapat direndahkan. Sebab itulah ada kumpulan tertentu mengandaikan bahawa jualan sesuatu produk atau perkhidmatan perlu dipertimbangkan ke tahap sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada kos pengeluaran.

Sekali ganda digunakan untuk membiayai kos promosi, pengiklanan, pengangkutan, pengedaran dan komisyen kepada pengedar. Sebab itulah firma-firma Amerika Syarikat tidak lagi menjadikan negara mereka sebagai ‘kilang pengeluaran produk’ sebaliknya produk berjenama Amerika Syarikat tercatat ‘Made in Taiwan’, “Made in China’, ‘Made in India’ ataupun ‘Made in Taipei’. Sebab itu beberapa jenama produk Amerika Syarikat dikilangkan di China, India ataupun Brazil disebabkan kos pengeluarannya adalah rendah.

Kumpulan media sentiasa akan membuat penilaian keputusan Trump dalam pelbagai aspek negatif disebabkan beliau bukanlah presiden yang dapat diharapkan, kerana media lebih tertakluk kepada kepentingan pemiliknya. Ketika akhbar konvensional yang kian merudum penjualannya, pemilik akhbar boleh menggunakan situasi ‘kemarahan’ untuk meningkatkan jualannya memandangkan Trump sentiasa ‘bermusuh’ dengan media walaupun menantunya, Jared Krushner juga merupakan pemilik sebuah syarikat penerbitan media.

Berkenaan kebimbangan Trump mengenai ‘punca keganasan’ sehingga menyebabkan tekadnya untuk melarang kemasukan penduduk Islam dari tujuh buah negara yang dikeluarkan pada 27 Januari 2017, pihak media mula membuat andaian bahawa itu hanyalah ‘ketakutan tidak berasas’ disebabkan sepanjang lima tahun (2011-2015) jumlah jenayah bersenjata telah menyebabkan lebih 301,000 kematian.

Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan New America Foundation pada 31 Januari 2017, dalam tempoh 10 tahun (2005-2015), kumpulan pengganas yang boleh dikaitkan dengan ‘jihad’ hanya telah membunuh 94 orang. Ini bermakna, jenayah yang menyebabkan kematian beratus kali ganda jumlahnya berbanding kematian akibat keganasan. Sesuatu yang menyebabkan sebilangan besar rakyat Amerika Syarikat dan antarabangsa kecewa dengan apa yang dikatakan oleh Trump.

Hasil penelitian tersebut, dakwaan Trump bahawa kumpulan atau orang perseorangan yang bergerak atas keperluan jihad bukanlah penyebab utama kepada tragedi kematian berdarah di Amerika Syarikat, ia disebabkan kesilapan membenarkan rakyat memiliki senjata api. George Bush sepanjang pentadbirannya (2000-2008) pernah menggunakan agenda ‘Islam’ untuk menutupi budaya ganas rakyat Amerika Syarikat. Bush yang mewakili Parti Republikan berbuat demikian kerana ingin membalas dendam keluarga, setelah ayahnya kecundang dalam perebutan jawatan presiden bagi penggal kedua dan berjaya dikalahkan oleh Bill Clinton, iaitu suami Hillary Clinton.

Bush dan Trump dicap sebagai ‘perosak kepada hubungan yang lebih baik antara masyarakat pelbagai agama, terutamanya antara Kristian dan Islam’. Sebabnya, Bush dan Trump begitu terikat dengan kepentingan Israel. Bahkan, semasa kunjungan Perdana Menteri Israel ke Washington pada 15 Februari lalu, Trump tidak bersetuju untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin sejak sekian lama melalui perundingan dua pihak. Trump seolah-olah memberikan ‘lampu hijau’ kepada Israel untuk melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin menerusi perundingan satu pihak.

Terbaharu, Trump telah mengemukakan perbelanjaan pertahanan (28 Februari 2017) sejumlah USD$54 bilion (RM 240.03 bilion) bagi pembelian pesawat, kapal dan jet pejuang baharu. Ia meliputi program domestik dan bantuan sebanyak dengan pemotongan sebanyak 10 peratus. Bagaimanapun, pemotongan itu tidak menjejaskan perbelanjaan ketenteraan, ia meningkat dengan kadar yang sama.

Alasan Trump ketika mengemukakan Arahan Eksekutif tersebut adalah “to protect the American people from terrorist attacks by foreign nationals admitted to the United States” merupakan kesilapan di mana kejadian tembakan bersenjata melebihi 3,210 kali ganda berbanding ‘serangan pengganas’ untuk tempoh selama sepuluh tahun.

Chapman University yang melakukan kajian American Fears Survey selama lebih tiga tahun membabitkan lebih 1,500 responden dalam enam kategori –ketakutan personal, teori konspirasi, pengganas, bencana alam, ketakutan paranormal dan orang Islam—di mana kategori ketakutan teratas ialah ‘salah guna kuasa atau rasuah penjawat awam’ manakala ‘serangan pengganas’ menduduki tangga kedua.

Dalam senarai lima ketakutan teratas, dua adalah yang berkaitan dengan ‘keganasan’. Bagaimanapun rakyat Amerika Syarikat tidak takut kepada senjata api, apa yang ditakuti ialah dasar yang dianggap ‘menyekat kepemilikan senjata api.’ Dalam kajian kes-kes keganasan sepanjang sepuluh tahun, hanya 94 orang telah mati kerana ‘diserang pengganas’ dan ini menunjukkan bahawa betapa tersiksanya jiwa rakyat Amerika Syarikat terhadap persepsi mereka. Persepsi yang tidak bersandarkan realiti jenayah yang berlaku itu menyebabkan Trump seolah-olah telah mengeluarkan satu Arahan Eksekutif yang silap.

Kesilapan itulah juga membuatkan Amerika Syarikat kini sedang berhadapan dengan konflik perlembagaan di mana bekas Peguam Negara yang disingkirkan, Sally Yates tidak bersedia melaksanakan arahan yang dikeluarkan Donald Trump. Arahan menyekat kemasukan menerusi dasar imigresyen itu juga menjadikan Trump dicabar oleh pengamal undang-undang dan juga kapitalis-liberal yang mendominasi ekonomi Amerika Syarikat. Ia melihatkan kemarahan besar pengusaha-pengusaha di Amerika Syarikat yang banyak bergantung kepada pekerja imigran.

Dianggarkan lebih 32 juta imigran bekerja di Amerika Syarikat, termasuklah di Lembah Silikon yang terkenal sebagai pusat teknologi dan komunikasi. Starbuck bercadang untuk menggaji sehingga 100,000 imigran manakala syarikat-syarikat telekomunikasi dan berasaskan perisian komputer seperti Facebook, Geoogle dan sebagainya tidak bersedia berkompromi dengan Trump. Ini berlaku kerana pekerja rakyat Amerika Syarikat tidak menunjukkan budaya kerja yang tinggi dan tidak sanggup menerima gaji yang rendah.

Sebaik sahaja langkah tersebut dikeluarkan, Trump berhadapan dengan bantahan sehingga menyebabkan beberapa lapangan terbang di Amerika Syarikat kelam kabut dalam usaha menguruskan penumpang, termasuklah bantahan besar-besaran yang di lapangan terbang di bandar Washington, Chicago, Minneapolis, Denver, Los Angeles, San Francisco dan Dallas. Bantahan juga dilaporkan berlaku di Eropah untuk mendesak Trump agar membatalkan arahan yang sudah dikeluarkan.

Selain menerima bantahan dari rakyatnya sendiri dan kumpulan imigran pemegang kad hijau, beberapa kumpulan pengamal undang-undang bersedia memberikan bantuan perundangan untuk menggagalkan Arahan Eksekutif yang dianggap ‘gila’ dan ‘keterlaluan’. Arahan Trump turut dicabar di beberapa buah mahkamah di Amerika Syarikat (AS), misalnya, seorang hakim persekutuan telah menolak sebahagian daripada arahan tersebut.

Hakim Daerah AS, Ann Donnelly telah mengarahkan supaya pihak berkuasa menghentikan tindakan menghantar balik pelarian dan pelancong yang terperangkap di lapangan terbang seluruh AS. Keputusan itu adalah seiring tindakan orang ramai berkumpul di beberapa lapangan terbang utama AS bagi membantah larangan itu. Di Virginia, seorang lagi hakim persekutuan mengeluarkan perintah sementara selama tujuh hari untuk menghalang pihak berkuasa imigresen mengusir penduduk-penduduk tetap yang ditahan di Lapangan Terbang Dulles.

Menurut catatan penolong pengarang berita Kosmo yang sedang mengikuti International Visitor Leadership Programme di Washington DC, suasana di Lapangan Terbang Dulles pada hari Sabtu (4 Februari 2017), ‘kami antara kumpulan pelancong yang kurang bernasib baik’ kerana terpaksa ‘menunggu terlalu lama untuk mendapatkan pelepasan dari pihak kastam dan imigresen AS’. (‘Debaran di pintu masuk Amerika Syarikat’, Kosmo, 10 Februari 2017).

Arahan Eksekutif itu menyebabkan tempahan perjalanan ke AS merosot sekitar 6.5 peratus pada hujung bulan Januari lalu. Ia bukan sahaja membabitkan penangguhan perjalanan ke Amerika Syarikat dari tujuh buah negara yang disekat, bahkan pelancong dari negara lain. Amerika Syarikat dijangka mengalami kekurangan kemasukan pelajar asing pada tahun ini dan ia dijangka mengakibatkan kerugian kepada industri pendidikannya sendiri. Anggaran awal kerugian ialah USD$300 juta setahun, hanya daripada negara-negara Islam.

Menurut ForwardKeys, kejatuhan tempahan tiket ke AS turut melibatkan dari rantau Eropah Barat dan Asia Pasifik. Bagi tempoh 28 Januari hingga 4 Februari 2017, dari tujuh negara yang disekat ia mengalami kejatuhan 80 peratus, Eropah Barat dan Asia Pasifik sebanyak 14 peratus dan Eropah Utara sebanyak 6.6 peratus. Kesan awal ini dijangka akan berterusan sehinggalah Trump bersedia untuk melonggarkan sekatan dan membatalkan Arahan Eksekutifnya. Kesan awal daripada sekatan tersebut, anak lelaki bekas juara tinju, yang menggunakan nama Ali Jr bersama ibunya ditahan di sebuah lapangan terbang hanya kerana dua beranak itu beragama Islam.

Perbalahan semakin besar antara pentadbiran Rumah Putih dengan pengamal undang-undang disebabkan Arahan Eksekutif ini. Menurut seorang calon Mahkamah Agung, Neil Gorsuch serangan berterusan Trump terhadap hakim dan mahkamah sebagai ‘sesuatu yang mengecewakan’ dan ‘mematahkan semangat’.

Neil yang dinamakan sebagai seorang calon sejak 31 Januari lalu memberitahu perasaan tersebut kepada seorang senator dari Parti Demokrat, Richard Blumental. Walaupun Neil lebih banyak berdiam diri, Trump dilaporkan terus menghina hakim dan mahkamah menerusi Twitter, termasuk mengutuk keputusan seorang hakim persekutuan di Seattle kerana enggan mematuhinya.

Neil yang kecewa dengan sikap Donald Trump. Kekecewaan ini turut berlaku di dua buah negeri lain, di mana hakim telah menolak ‘larangan yang dikeluarkan oleh presiden’ pada 3 Februari 2017. Ramai pengamal undang-undang dan pengkritik mendakwa Trump melanggar Perlembagaan kerana mendiskriminasi rakyat dan agama.

Dalam reaksi balasnya, Donald Trump menyifatkan mahkamah ‘masuk campur dalam politik’ dan perbicaraan yang dilaksanakan pada 7 Februari 2017 itu sebagai ‘amat memalukan’ . Tiga orang hakim rayuan persekutuan ‘mendengar hujahan, ragu-ragu terhadap kes kerajaan melaksanakan semula larangan.’ Ada yang melihat kecenderungan ini sebagai ‘mentadbir Amerika Syarikat seperti perniagaan keluarga’.

Beat Wittman, rakan kongsi Porta Advisors memberitahu CNBC bahawa Trump sama seperti mentadbir perniagaan keluarganya dengan sedikit pengetahuan, tiada rasa hormat terhadap mana-mana institusi, rangka kerja atau peraturan serta akan mencetuskan lebih banyak masyarakat yang berpecah. Ekoran itu, Wittman melahirkan dua kebimbangan terhadap Trump, iaitu (1) kesukaran untuk mewujudkan pertumbuhan yang mapan dan meningkatkan kualiti di Amerika Syarikat; (2) mencari gaduh dengan Mexico, Jerman dan China. (Berita Harian, 10 Februari 2017).

Berdasarkan kuasa presiden, Trump berhak untuk menguatkuasakan arahannya dengan sokongan ahli politik lain kerana beliau adalah presiden yang dilantik secara sah. Dasar ‘menyekat kemasukan kaum imigran’ adalah janji Trump kepada pengundi semasa berkempen, yang bertujuan memberi peluang pekerjaan lebih besar kepada rakyat Amerika Syarikat dan berusaha menghidupkan semula stigma Islamophobia ciptaan pakatan Yahudi antarabangsa untuk menyusun New World Order berdasarkan kepentingan zionisme.

Sebab itulah apa sahaja yang bakal dilaksanakan oleh Trump akan mengakibatkan pelbagai tentangan dan kepayahan. Kumpulan-kumpulan yang selama ini lebih percayakan ‘Hillary Clinton’ secara tersembunyinya membentuk oligarki dalam sistem politik AS. Berdasarkan pengertian asas, oligarki merujuk kepada kedudukan kuasa yang dimiliki oleh segelintir orang, tetapi mereka memiliki pengaruh yang dominan dalam pemerintahan.

Oligarki berasal dari istilah Yunani—oligoi dan arche. Oligoi membawa maksud ‘beberapa’ atau ‘segelintir’ manakala arche ialah ‘memerintah’. Sebagai bentuk kekuasaan klasik, oligarki mempunyai kaitannya dengan apa yang sedang berlaku di Amerika Syarikat ketika ini, iaitu kelompok ini sedang melancarkan ‘kemarahan’ dan ‘kebencian’ kepada Trump dengan hasrat, Trump akan menjadi presiden yang paling singkat mentadbir Rumah Putih dan jika pun dapat memenuhi tempoh selama sepenggal (empat tahun) beliau akan dianggap sebagai seorang presiden yang ‘paling gagal’.

Kumpulan ini –kapitalis-liberal—berusaha merancang deep state dengan melancarkan sabotaj dan persepsi buruk terhadap nasionalis-populis Trump. Beberapa hari lalu, kapitalis-liberal yang menguasai rangkaian kedai pakaian Nordstrom, Neiman Marcus, Belk, Jet, ShopStyle dan Home Shopping Network mula mengeluarkan pakaian dan aksesori yang dikeluarkan oleh Ivanka Trump daripada rangkaian perniagaan mereka.

Tindakan ini dikeluarkan ekoran komen Trump terhadap wanita pada tahun 2005 terhadap tubuh wanita, yang kemudiannya dijadikan asas memboikot Trump dan produk Trump. Sebelumnya, pemboikotan jenama Trump tidak mengalami kesan besar dan menyeluruh berbanding ketika beliau berusaha mengeluarkan pelbagai Arahan Eksekutif yang boleh menyebabkan AS ‘hidup bersendirian’ dan ‘mengutamakan Amerika’.

Rakyat AS yang mendokong agenda globalisasi merasakan dasar Trump akan menyebabkan negara itu kehilangan kuasa ‘hagemoni’ dan kekuatan itu bakal memberikan ruang kepad China. Polisi perdagangan China yang agresif dan AS yang sedang berhadapan dengan krisis ‘kelebihan persaingan dan kos’ menyebabkan kapitalis-liberal berusaha untuk terus membangkitkan persepsi negatif terhadap Trump yang dianggap ‘pemusnah polis dunia.’

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply