TRUMP MENAMBAH API KONFLIK ISLAM DAN YAHUDI

Presiden Donald Trump  mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, langkah yang bakal mengancam proses keamanan Timur Tengah dan mengecewakan rakan dan musuh AS. Trump mengumumkan pentadbirannya akan memulakan proses memindah kedutaan AS di Tel Aviv ke Baitulmaqdis, yang dijangka ambil masa bertahun. Tindakan itu tidak pernah diambil oleh presiden terdahulu untuk mengelakkan ketegangan.

Baitulmaqdis adalah kota suci bagi ramai penduduk Islam, Yahudi dan Kristian, dan statusnya menjadi cabaran terbesar dalam mencapai persetujuan damai antara Israel dan Palestin. Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyambut pengumuman Trump sebagai “peristiwa bersejarah” tetapi hubungan rapat AS dengan negara lain seperti Britain dan Perancis menjadi kritikal.

Perbuatan Trump ini mengakibatkan gejolak kemarah umat Islam memuncak. Di seluruh dunia umat Islam mengadakan demonstrasi menegcam dan mengutuk tindakan Trump yang terlalu biadap ini. Di Malaysia juga diadakan bantahan dan seleuruh umat Islam tanpa mengira fahaman politik bersatu membantah tindakan Trump.

Sejarah mencatatkan hubungan umat Islam dengan kaum Yahudi bermula setelah Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah. Hubungan ini lebih banyak bersifat politik sebab sebelum Nabi Muhammad berhijrah, di Madinah sudah terdapat orang Yahudi.

Mereka sangat berpengaruh dari segi politik dan ekonomi serta sukar untuk membezakan dengan orang Arab setempat kerana hubungan perkahwinan, pemakaian nama Arab dan juga terdapat orang Arab yang menganut agama Yahudi.

Antara suku Yahudi yang tinggal di Madinah ialah Bani Nadir, Bani Quraizah dan Bani Qainuqa. Persaingan serta permusuhan Bani Khazraj dan Bani Aus, dua suku utama asli Madinah amat menguntungkan umat Yahudi.

Untuk memelihara kerukunan dan keutuhan warga Madinah, melalui Piagam Madinah, Rasulullah s.a.w. menyatukan mereka yang tidak hanya terdiri daripada orang Islam dengan orang Arab tetapi juga kaum Yahudi.

Dari segi politik antara Islam dan Yahudi sebenarnya tidak begitu baik kerana sejak zaman Rasulullah s.a.w kedua-dua umat ini sering terlibat dalam pelbagai konflik. Mereka menjalin hubungan dengan pihak yang memusuhi Rasulullah s.a.w seperti Abdullah bin Ubai (ketua orang Munafik). Begitu juga dengan orang Quraisy.

Konflik dengan Bani Qainuqa, Bani Nadir dan Bani Quraizah sering timbul sehingga kadang-kadang menyebabkan berlaku pertentangan secara fizikal yang menyebabkan pertumpahan darah. Ini semua merupakan lembaran hitam dalam sejarah hubungan umat Islam dan Yahudi di zaman Rasulullah s.a.w.

Perdebatan, dialog dan polemik keagamaan sering terjadi antara umat Islam dan Yahudi. Sebagaimana berlangsung antara Islam dan Kristian, dialog dan polemik keagamaan antara Islam dan Yahudi juga berlangsung pada abad ke-8 dan ke-9 di Istana Kekhalifahan Abbasiyah (Bani Abbas) di Baghdad.

Karya penting pertama dalam bidang ini adalah Kitab al-Fisal wa an-Nihal (Buku Tentang Kelompok dan Sektor), yang ditulis oleh Ibnu Hazm (994 – 1064), tokoh penting Islam di Sepanyol. Dalam karya ini tidak kurang daripada 130 halaman dituliskan untuk mengkritik agama Yahudi. Pelbagai petikan daripada kitab suci Yahudi dikutip untuk menunjukkan kelemahannya, yang kemudian diikuti oleh pelbagai kutipan daripada al-Quran untuk menunjukkan keunggulannya.

Dalam pandangan Ibnu Hazm, kitab suci agama Yahudi mengandungi banyak percanggahan, tidak masuk akal, antropomorfisme, ajaran harus ditolak, dan huraian yang tidak relevan. Selain itu, ia menambahkan bahawa tidak sebagaimana al-Quran, kitab suci Yahudi tidak berisi paparan mengenai ganjaran dan hukuman di akhirat. Menurutnya, masalah tersebut sebenarnya pernah disampaikan kepada Nabi Musa a.s yang kemudian dirakam oleh al-Quran, tetapi tidak terpelihara dalam sejarah panjang umat Yahudi.

Karya polemik lain yang berisi serangan terhadap agama Kristian dan Yahudi muncul daripada situasi sosial dan politik yang agak berbeza.

Sejak akhir abad ke-19, di pelbagai belahan dunia Islam mulai berkembang perasaan dan sikap anti-Yahudi yang amat mempengaruhi hubungan umat Islam dan Yahudi selanjutnya. Hal ini pada awalnya bersumber daripada kekhuatiran kaum Muslim akan implikasi Zionisme, sebuah ideologi politik yang didirikan oleh para pemuka Yahudi sekular sebagai reaksi atas sikap anti-Semitisme (sikap anti-Yahudi) di Eropah.

Anti-Semitisme di Eropah merupakan reaksi terhadap perubahan sosioekonomi yang cepat dengan berkembangnya kapitalisme moden, gerakan liberalisme dan sosialisme.

Sebagai reaksi terhadap anti-Semitisme itu, para pemimpin Yahudi sekular mendirikan gerakan Zionisme. Theodore Herzl yang disebut sebagai pengasas Zionisme, menulis bukunya, Der Judenstaat (Negara Yahudi), pada tahun 1896. Muktamar Zionis pertama diadakan di Bassel, Switzerland pada tahun 1897. Para perintis gerakan ini terdiri daripada orang Yahudi sekular dari Jerman dan Austria. Bagi mereka, keyahudian merupakan identiti nasional, bukan agama dan Zionisme adalah nasionalisme daripada suatu bangsa yang belum mempunyai negara. Cita-cita mereka ialah mendirikan sebuah negara nasional sekular bagi umat Yahudi.

Kelahiran gerakan Zionisme tidak ada sangkut-pautnya dengan Yahudi sebagai agama. Faktor pendorong utamanya adalah keberadaan umat Yahudi yang hanya dianggap sebagai paria di Eropah. Tujuan Zionisme ingin dicapai melalui dua cara utama. Pertama, membebaskan umat Yahudi daripada pemaksaan agama dengan memberi mereka sebuah tanah air, tempat mereka dapat menikmati kemakmuran ekonomi dan keamanan politik. Kedua, membangun sebuah kebudayaan yang murni Yahudi, tempat umat Yahudi dapat mengekspresikan semangat keyahudian mereka.

Namun pilihan Zionisme akan Palestin sebagai rumah nasional bagi bangsa Yahudi telah mengaitkan cita-cita mereka dengan sejarah sakral (suci) Yahudi yang tercantum dalam kitab suci Taurat. Inilah yang menyebabkan gerakan Zionisme semakin diwarnai simbol keagamaan.

Dengan diakuinya negara Israel oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1948, perasaan anti-Yahudi di kalangan kaum Muslim mulai mendapat landasan konkritnya. Malahan perasaan dan sikap itu semakin terasa di seluruh dunia Islam ketika Israel, yang mula dirintis oleh para pemuka Yahudi sekular dalam gerakan Zionis itu, mendapat sokongan para pemuka agama Yahudi yang menyeru imigrasi besar-besaran umat Yahudi ke Israel setelah Perang Dunia Kedua yang mengakibatkan terusirnya warga asli Palestin yang sebahagian besarnya adalah Muslim.

Untuk menyokong perasaan dan sikap anti-Yahudi, banyak orang Muslim mencari kebenaran agama daripada al-Quran dan kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Misalnya, sejumlah ayat al-Quran yang mengutuk orang Yahudi di Madinah kembali didengarkan. Demikian juga kisah pengkhianatan orang Yahudi terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Ayat dan kisah itu, sekali gus ditafsirkan sebagai anjuran untuk sentiasa mencurigai, bahkan membenci orang Yahudi.

Oleh Mohd Shauki Majid

Baca disini juga : http://tanwir.my/melayu-akan-bebaskan-baitulmaqdis-sheikh-nawaf/

No Comments

    Leave a reply