TRUMP MENANG DALAM KEMUNAFIKAN DEMOKRASI LIBERAL

Belum pun Donald Trump secara rasminya mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika Syarikat ke-45, masyarakat antarabangsa mengambil langkah penyesuaian terhadap sebarang kemungkinan perubahan yang akan dilakukannya sebaik sahaja menduduki Rumah Putih pada 20 Januari 2017.

Atas semangat kempennya yang berhasrat untuk menjadikan “Amerika Kembali Perkasa”, pesaingnya dari Parti Demokrat terpaksa mengakui bahawa kelemahan ketara strategi kempen ialah terlalu memberikan fokus kepada kumpulan elit dan peniaga sedangkan Donald Trump membawa mesej menolak kemasukan buruh-buruh asing dan berusaha untuk mendirikan pagar di kawasan sempadan dengan Mexico.

Sebagai sebuah negara makmur, Amerika Syarikat yang dibina dalam kerangka ekonomi kapitalisme liberal akhirnya terpaksa tunduk kepada kekuatan pekerja-pekerja kulit putih apabila mereka memberikan kemenangan kepada Donald Trump terutamanya di negeri-negeri yang dianggap “undi penentu”. Hillary Clinton, calon presiden yang mempunyai pengalaman luas dalam dasar luar dan hubungan diplomatik terus memberikan perhatian kepada negeri-negeri yang dilihat sebagai “kubu Demokrat” atau dikenali “kawasan biru” yang sebahagian besarnya didiami oleh golongan kaya dan teknokrat.

Akibat penguasaan meluas cengkaman ke atas media, imej Donald Trump sentiasa digambarkan sebagai “calon presiden terburuk” yang pernah memasuki pertandingan untuk menduduki Rumah Putih dan setiap hari sorotan tinjauan pendapat menyebabkan Hillary Clinton merasa lebih selesa. Sebelumnya, ramai yang mempercayai bahawa hasil keputusan tinjauan pendapat bakal membawa keputusan sebenar pengundian dan boleh mempengaruhi keputusan pengundian.

Kali ini, sejak kemunculan Donald Trump sebagai calon presiden yang mewakili Parti Republikan beberapa tinjauan pendapat meletakkan margin kemenangan yang selesa kepada Hillary Clinton berdasarkan beberapa faktor yang dianggap dominan, antaranya ialah pengalaman dalam politik dan hubungan antarabangsa, sokongan presiden dan taikun kapitalis (kewangan, hartanah, teknokrat dan hartawan), pengaruh media dan kekuatan jentera kempen, kepetahan menjawab isu dan kejelasan dasar, perancangan masa depan negara dan sokongan antarabangsa.

Kesemua faktor tersebut tidak menyebelahi Donald Trump. Sebaliknya Donald Trump terus digambarkan sebagai seorang yang tidak berpengalaman dalam bidang politik dan pentadbiran serta terbabit dengan pelbagai skandal, termasuk skandal seks, penciplakan ucapan oleh isterinya Melania Knauss, foto bogel Melania sebelum berkahwin dengan Donald Trump, sikap panas baran dan penipuan Universiti Trump, keceluparan ketika berucap dan menjelaskan isu-isu tidak menghantuinya untuk memenangi jawatan presiden walaupun pada awalnya, tidak memperoleh sokongan besar daripada jentera kempen Parti Republikan.

Ketika Donald Trump diumumkan telah melepasi keperluan minimum ‘undi elektrol’ sebanyak 270, penyokong-penyokong Demokrat mula mempersoalkan sistem pengundian yang dilihat tidak menghormati keputusan undi popular. Penjumlahan undi yang diterima oleh Donald Trump adalah sekitar 62.2 juta manakala Hillary Clinton meraih 64.2 juta menyebabkan perbezaan sebanyak dua juta itu sebagai suatu sistem yang wajar dihormati untuk memberikan kemenangan kepada bekas wanita pertama Amerika Syarikat. Jelasnya, pengundi kulit putih dari golongan muda lebih menyukai Donald Trump sedangkan beliau dibenci oleh kelompok kaya dan kumpulan-kumpulan minoriti (hispanik, Amerika-Asia, kulit hitam, dan pengundi Islam) disebabkan acuan kempennya bersifat rasis.

Secara jujurnya, Donald Trump begitu membenci penganut Islam dan di awal kempennya beliau menganggap ‘penganut Islam sebagai amat berbahaya’ kepada rakyat Amerika Syarikat. Menurut bekas Imam Besar New York, Syamsi Ali yang pernah bertemu dengan Donald Trump tiga tahun lalu (2013), “saya dikejutkan oleh satu wawancara Fox News dengan taikun hartanah itu. Ketika ditanya mengenai Islam dan komuniti muslim Amerika Syarikat, Donald Trump menjelaskan ‘Islam itu masalah. Dan, komuniti Islam itu berbahaya.”

Akhir tahun 2015, Anti-Defamation League (ADL) sebuah pertubuhan pro-Yahudi mengeluarkan kenyataan pedas mengenai kecenderungan Donald Trump yang bercadang melarang kemasukan orang Islam ke Amerika Syarikat dai dianggap bertentangan dengan nilai-nilai Amerika Syarikat, iaitu pluralism agama. Menurut pengarah ADL, Jonathan Greenblatt, “melarang kemasukan imigram muslim adalah sangat ofensif dan bertentangan dengan nilai-nilai Amerika.”

Donald Trump dicap ‘tidak sesuai dengan nilai-nilai Amerika” kerana negara itu sebenarnya dizahirkan melalui kemasukan ‘orang luar’ termasuklah ‘calon presiden’ itu sendiri. Bapanya, Fred Trump (1905-1999) berketerunan Jerman dan merupakan pengikut setia Lutherian. Nama keluarganya dieja Drumpf atau Drumpft yang berubah kepada Trump selepas Perang Tiga Puluh Tahun pada abad ke-17 dan beliau berbangga dengan darah keturunannya. Ibu Trump, Marie McLeod (1912-2000) berasal dari Scotland. Mereka bertemu di New York dan kemudiannya berkahwin pada tahun 1936 serta menetap di Queens, Manhattan, yang juga merupakan tempat kelahiran Donald Trump.

Ketika memulakan kempen di atas kapal induk USS Yorktown bagi memperingati 74 tahun serangan Jepun ke atas Pearl Harbor berhampiran Charleston, South Carolina, Trump berkata : “Bagitu ramai muslim seluruh dunia bencikan Amerika Syarikat sehingga penting bagi negara ini melarang mereka masuk. Sehingga kita boleh memihak dan memahami masalah ini, mengapa mereka bencikan kita, bahaya ancaman itu masih jelas. Negara kita tidak boleh lagi menjadi korban serangan bagi mereka yang hanya memahami mengenai jihad dan tidak menghormati terhadap kemanusiaan.”

Bertarikh 23 November 2015, Trump meminta agar semua penduduk Muslim mendaftar dalam ‘data base’ yang khusus dan setiapnya diwajibkan membawa kad pengenalan yang khas. Jelas Trump, “Kita harus melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelumnya. Sejumlah orang akan kecewa dengan hal ini, saya berpendapat keselamatan berada di pikiran dan tanganku ketika menjadi presiden nanti.”

Atas kebencian terhadap umat Islam, Trump juga berjanji akan menutup masjid-masjid sebagaimana disiarkan oleh stesen MSNBC manakala pada 13 Disember 2015, Trump sekali lagi membuat gesaan untuk melarang kemasukan umat Islam ke Amerika Syarikat, yang dianggap oleh banyak pihak percubaan Trump untuk menarik sokongan 55 peratus rakyat Amerika Syarikat yang menyatakan Islam ‘tidak baik’ semasa ditinjau pendapatnya oleh YouGov di awal tahun.

Pew Research Center pada tahun 2014 menerbitkan sebuah laporan mengenai sikap penduduk Amerika Syarikat mengenai kehidupan beragama berdasarkan ‘termometer perasaan’ ke atas 3,000 responden yang ditanya pendapatnya. Berasaskan skala 0 (paling negatif) hingga 100 (paling positif), responden Muslim dan ateis memberikan jawapan 40, dan ia dianggap ‘termometer terburuk’. Tiga peratus rakyat Amerika Syarikat mendakwa dirinya sebagai ateis, empat peratus agnostic dan 16 peratus tidak mempunyai hubungan dengan agama manakala hanya satu peratus adalah Muslim.

Muslim Amerika Syarikat yang sentiasa berhadapan dengan kecaman dan sikap negatif penganut agama lain melihat kenyataan Trump itu sebagai berbahaya dan boleh menyebabkan masa depan mereka semakin sukar kerana telah menajamkan rasisma agama. Sebab itulah ramai kumpulan liberal dan pemimpin Demokrat melihat personality Trump sebagai ‘terburuk’ dan tidak sesuai untuk memerintah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan prinsip hidup.

Sebagai seorang pemimpin yang mewakili Parti Republikan, masyarakat antarabangsa amat memahami bahawa republican sentiasa mencari jalan untuk menambahkan musuh dengan pelbagai cara, termasuklah menerusi dasar luarnya yang melakukan tekanan terhadap masyarakat Islam. Ketika era pemerintahan Goerge Walker Bush (2000-2008) beliau memulakan propaganda ‘memerangi keganasan’ dengan merancang ‘serangan ke atas Menara Berkembar di New York’ dan ‘bangunan Pentagon’.

George Walker Bush sebaik sahaja menduduki Rumah Putih, beliau membangkitkan kebencian terhadap Islam dengan mengambil hasil pengintipan Israel dengan tujuan untuk memecahbelahkan negara-negara Arab dan Afrika Utara. Serangan ke atas WTC dan Pentagon pada 11 September 2001 mempunyai kaitan dengan ‘kebencian Bush’ terhadap umat Islam setelah beliau terpengaruh dengan andaian, musuh sebenar ‘peradaban barat ialah Islam’ yang dikembangkan oleh seorang penyelidik keturunan Yahudi, Samuel P Huntington (1927-2008) yang pernah dilantik sebagai Pengarah Agensi Keselamatan Kebangsaan ketika pentadbiran Jimmy Carter. Jimmy Carter (berada di Rumah Putih 1977-1981) merupakan seorang presiden yang gagal untuk menyelamatkan ‘tawanan perang’ di Kedutaan Amerika Syarikat di Teheran dalam amukan Revolusi Iran pada tahun 1979.

Pada tahun 1995, semasa teori ‘pertembungan peradaban’ telah dikembangkan menjadi sebuah tesis yang kemudiannya bertukar sebagai kerangka politik dan dasar luar oleh George Walker Bush. Bush pula berusaha menterjemahkan tesis itu bagi ‘membalas dendam’ kekecewaan bapanya Goerge Herbert Bush untuk menduduki Rumah Putih bagi penggal kedua. Pada tahun 1993, beliau dikalahkan oleh calon Parti Demokrat, Bill Clinton (suami Hillary Clinton) atas isu pembabitan Amerika Syarikat ke atas Panama dan Perang Iran-Irak 1991-1993 (dikenali sebagai Desert Strom). Usaha untuk menyingkirkan Saddam Hussein gagal walaupun Amerika Syarikat mengerahkan ketumbukan yang besar menerusi kesepakatan negara anggota NATO (North Atlantic Treaty Organization) dan dalam perang tersebut, negara-negara Arab telah dipaksa untuk membayar kos perang.

Bush Sr ketika pentadbiran Jimmy Carter adalah ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA) diarahkan mengadakan rundingan dengan pemimpin Revolusi Iran, Ayatullah Rahullah Khomeini untuk membebaskan 52 orang rakyatnya yang ditawan (1979). Dalam perundingan tersebut, Bush Sr menawarkan sejumlah senjata anti kereta kebal untuk Iran bagi memerangi Irak bernilai USD$40 juta. Akhirnya kedua pihak bersetuju dan tawanan dibebaskan sebelum pemilihan presiden membolehkan Ronald Reagan (1911-2004) mengetuai Rumah Putih. Jimmy Carter gagal mempertahankan jawatan presiden untuk penggal kedua kerana dilihat gagal membantu membebaskan tahanan Revolusi Iran, sebaliknya, kejayaan menyelamatkan tebusan menjadi suatu isu yang besar ketika itu dan dimanipulasikan dengan baik oleh Ronald Reagan dari Parti Republikan.

Kegagalan Bush Sr untuk penggal kedua (pertandingan 1993) disebabkan pembongkaran skandal pertukaran senjata anti kereta kebal yang dilaksanakannya ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA) dengan Iran, yang dilihat oleh sebahagian pengundi tidak menguntungkan Amerika Syarikat. Akibat kegagalan itulah, Bush Jr berusaha untuk ‘membalas dendam’ di mana selepas berjaya menduduki Rumah Putih pada tahun 2001 melancarkan pelabelan ganas terhadap Islam. Kemuncaknya bila berlaku serangan ke atas WTC dan Pentagon, Bush Jr melabelkan Iran dan Irak sebagai ‘paksi kejahatan’ dan berusaha keras untuk meluluskan Akta Patriot bagi membolehkan Amerika Syarikat menggelidah mana-mana negara secara paksa untuk ‘memerangi keganasan’.

Rekod kepimpinan presiden Amerika Syarikat daripada Parti Republik lebih terbuka kepada tindakan mencetuskan peperangan di mana-mana negara, terutamanya negara-negara yang menjadi pengeluar minyak terbesar, misalnya kelompok negara Arab. Kepentingan ini berpunca daripada penguasaan sebahagian besar pengusaha minyak terbesar ialah dalam kalangan penyokong Parti Republik dan kerana itulah Bush pada tahun 2001 untuk memburu pemimpin al-Qaeda (dikaitkan dengan serangan WTC dan Pentagon) dan pada tahun 2003 membunuh Saddam Hussein. Saddam Hussein dibunuh kerana Bush Jr memahami sesuatu tindakan perlu dilaksanakan bagi membolehkan penghulur dana kempennya diberikan imbuhan. Dengan membunuh Saddam menyebabkan Irak berada dalam keadaan huru-hara. Bila dapat menguasai Irak, kontrak pengeluaran minyak akan dibahagi-bahagikan antara mereka.

Di akhir pentadbiran Bush Jr, berlaku kenaikan harga minyak tertinggi dunia apabila syarikat-syarikat petroleum membuat pelbagai spekulasi “pengeluaran minyak lebih kecil berbanding permintaan’ disebabkan kemunculan kuasa ekonomi baharu, Rusia dan China. Rusia dan China memerlukan sumber tenaga yang banyak dan ini menyebabkan Amerika Syarikat mengalami kekurangan stok dengan menggambarkan beberapa buah lori tangki tersadai. Spekulasi ini memberikan keuntungan yang besar kepada pengusaha minyak, termasuklah rakan-rakan Bush Jr. Sebelum memasuki politik, beliau merupakan peneraju syarikat minyak dan mempunyai ‘hubungan istimewa’ dengan keluarga di raja Arab Saudi.

Bagi memperlihatkan langkah bijaksana, Bush Jr memperkenalkan Akta Biofuel pada tahun 2007 dengan mensyaratkan tiga puluh peratus hasil bijirin dijadikan bahan biofuel. Ini menyebabkan rakyat Amerika Syarikat mengambil kesempatan membeli bijirin dengan banyaknya. Alasan ialah berlakunya perubahan iklim (La Nina dan El Nino) dan peningkatan permintaan oleh kuasa ekonomi baharu (China, India dan Brazil). Kemakmuran ekonomi menyebabkan rakyat negara-negara berkenaan meningkatkan pengambil bijirin dari sekali sehari kepada tiga kali sehari.

Mitos ini kemudiannya menyebabkan berlakunya peningkatan harga bijirin dunia sehingga meletus ‘krisis kekurangan makanan’. Akhbar-akhbar utama dunia melaporkan kesengsaraan rakyat Bangladesh, tunjuk perasaan di beberapa buah negara (Filipina, Indonesia dan negara-negara Afrika yang turut dilanda kemarau panjang) manakala Malaysia ketika itu mencetuskan ‘stok penimbal beras’ di samping cadangan membuka lebih banyak kawasan tanaman padi dan berunding dengan negara-negara utama pengeluar beras (Thailand, Vietnam dan Kampuchea) untuk menjual lebih banyak bagi membolehkan stok mencukupi.

Bush Jr juga mempunyai perancangan ‘membalas budi’ yang besar terhadap penyokongnya bila melantik syarikat-syarikat yang membantu dana kempennya untuk memenangi jawatan presiden sebagai ‘pembekal air bersih’, ‘kontrak keselamatan khemah tentera’, dan sebagainya di Afghanistan dan Irak. Bush Jr dengan bijaknya menggunakan ‘memerangi keganasan’ untuk ‘membalas budi’ dan seterusnya membunuh serta menghancurkan negara-negara Islam.

Donald Trump yang mewakili Parti Republikan dianggap bakal menimbulkan masalah kepada dasar liberalism yang dianuti oleh penyokong Demokrat dan sebab itulah sebaik sahaja keputusan berpihak kepada beliau telah muncul kumpulan yang berusaha menolak keputusan pengundian. Demonstrasi berlaku di beberapa buah bandar besar terutama di negeri-negeri yang menjadi kubu kuat Demokrat, termasuklah California yang menduduki di tangga keenam ekonomi terbesar dunia. California turut bercadang untuk keluar dari keanggotan dalam Amerika Syarikat atas alasan dasar-dasar yang bakal dilaksanakan oleh Donald Trump boleh menjejaskan struktur ekonomi mereka, termasuklah penggunaan rakyat asing dalam sektor pekerjaan.

California merupakan negeri yang terkenal sebagai ‘otak teknologi maklumat dan komunikasi’ dan pemimpin dalam ekonomi digital bakal mengalami kesukaran kerana lebih separuh daripada pekerja mereka adalah rakyat asing. Syarikat-syarikat teknologi maklumat tersebut ialah Microsoft Inc., Google, Apple, Dell, Hewlett-Packard, Honeywell, Oracle, dan Vmware Inc. Beberapa syarikat asing turut bertapak di California termasuk Jepun, Itali, Jerman dan China. Keperluan kepada tenaga pekerja asing adalah besar bagi menjamin pertumbuhan dan kepesatan Lembah Silikon itu.

Dengan dasar nasionalisma yang dicanangkan oleh Donald Trump akan menyebabkan syarikat-syarikat berkenaan terpaksa mengurangkan teknokrat asing dan boleh menyebabkan kemakmuran California terjejas. Sebab itulah ramai di antara pengusaha dan pemilik teknologi menolak Donald Trump serta sanggup keluar ke jalan raya untuk berdemonstrasi dengan membawa pelekat “Bukan Presiden Saya/Kami’. Golongan usahawan melihat dasar Trump sebagaimana digunakan sepanjang kempen yang mahukan syarikat-syarikat milik Amerika Syarikat kembali melabur dalam negara bagi mengembalikan semula ‘Amerika Yang Gemilang’ bertentangan dengan keperluan kepada perdagangan bebas. Bagi Trump, langkah tersebut boleh memberikan pekerjaan yang banyak dan selesa kepada rakyat Amerika Syarikat sendiri.

Bagi pelabur, dasar itu akan meningkatkan kos pengeluaran produk kerana Amerika Syarikat mempunyai struktur undang-undang yang berpihak kepada pekerja. Pekerja rakyat Amerika Syarikat berhak mendapat gaji yang lebih besar dan masa kerja yang lebih pendek. Ia akan menyebabkan margin keuntungan kecil dan kos pengeluaran meningkat. Peningkatan kos pengeluaran akan menyebabkan produk Amerika Syarikat tidak akan mampu bersaing dengan produk keluaran negara lain, terutamanya firma-firma dari China. Sebab itulah Donald Trump tidak berhasrat meneruskan TPPA –Trans Pacific Preference Agreement—yang telah dimeterai di New Zealand pada 4 Februari 2016 kerana turut membolehkan firma negara anggota (12 negara—Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Australia, Jepun, Peru, Vietnam, Mexico, Singapura, Chile, Brunei dan Malaysia) melabur di Amerika Syarikat. Di samping itu, syarikat-syarikat asing diberikan perlindungan oleh negara anggota jika berlaku sebarang kemungkinan perubahan dasar politik (seperti memiliknegarakan industry tertentu) dan bersaing memperoleh kontrak kerajaan.

TPPA dilihat sebagai tindakan ‘tidak bijak Obama’ kerana bakal menjadikan Amerika Syarikat dibanjiri oleh lebih banyak pekerja asing yang sanggup menerima gaji lebih murah berbanding rakyat Amerika Syarikat sendiri. Tindakan itu juga dipercayai mengkhianati ‘nilai Amerika Syarikat’ dan boleh menyebabkan pada satu tahap bergantung kepada pelaburan asing dan pekerja asing. Ironinya, Donald Trump berusaha meningkatkan industri senjata di Amerika Syarikat dan bersedia membenarkan rakyatnya memiliki senjata. Amerika Syarikat merupakan negara pengeluar senjata terbesar, di mana enam daripada sepuluh firma senjata terbesa dunia adalah kepunyaan rakyat negara itu.

Keinginan calon-calon Parti Republikan kepada peperangan begitu jelas, kerana sejarah pembabitan mereka dalam peperangan adalah lebih besar misalnya, Presiden Nixon di Vietnam (ledakan teori domino dan mencipta Perang Dingin), Ronald Reagan (projek Star Wars dan berperangan dengan negara-negara berideologi komunis), Bush Sr (Perang Teluk), Bush Jr (Afghanistan, Irak dan negara-negara Afrika) dan William McKinley (1843-1901). William McKinley yang turut dijoloki sebagai ‘sipenakluk’ kerana semasa pemerintahannya Amerika Syarikat memperluaskan dasar kolonialisme (menjajah Filipina, Guam dan Puerto Rico) dan terbabit dalam  Perang Seratus Hari (1898) untuk menghancurkan Sepanyol di pelabuhan Santiago, Cuba.

Cadangan Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis atau Jerusalem sebagai ibu negara Israel turut membimbangkan negara-negara Islam. Pengiktirafan itu akan memberikan kebenaran kepada Israel untuk diterima sebagai sebuah negara yang sah dan ini boleh menjadikan rakyat Palestin semakin terhimpit dan tertindas. Kaedah penguasaan Israel ke atas tanah-tanah milik asal penduduk Palestin secara kejam akan berterusan dan dasar Trump bakal membuka ruang ‘keganasan lebih besar’. Amerika Syarikat yang membantu pelampau Yahudi untuk memperoleh ‘tanah yang dijanjikan’ selepas Perang Dunia Kedua (1946) ketika dibawah pentadbiran Harry S Truman (1884-1972) dari Parti Demokrat yang turut mengarahkan pengeboman ke atas Nagasaki dan Hiroshima, Perang Korea dan Jerman adalah titik permulaan ‘dunia ganas dan pembunuhan kejam’ secara besar-besaran. Israel berusaha membalas dendam atas dakwaan ‘genosid’ yang dilakukan oleh Adolf Hitler ke atas penduduk Yahudi dan sebaik sahaja memperoleh ‘sebuah negara’ hal yang sama dilakukan ke atas penduduk asal ‘tanah yang dijanjikan’ itu.

Wajah ‘munafik’ demokrasi Amerika Syarikat semakin menampakkan imejnya apabila kemenangan Donald Trump cuba didesak dengan pelbagai percubaan: pengakuan ‘bukan presiden saya/kami’, demontrasi di bandar-bandar besar, pengiraan semula undi di negeri berkecuali (Winconsin, Pensylvania dan Michigan), mengkarikaturkan potret, mendesak agar mengiktiraf kemenangan berdasarkan ‘undi popular’, legitimasi wilayah dan  keluar dari gabungan serta mengatur pelbagai insiden buruk semasa mengangkat sumpah umpama nilai-nilai  ‘neomachiavillian’ dan politik dominasi mula membesar.

Rakyat Amerika Syarikat semacam kehilangan ‘nilai demokrasi’ yang sentiasa dimekarkan dengan jolokan ‘pelopor demokrasi moden’ sebenarnya tidak bebas, masih dikongkong oleh kelompok kapitalis liberal. Hillary Clinton yang didokong oleh kelompok kapitalis liberal akhirnya terperangkap dengan’permainan politik’ yang dikumandangkan oleh Donald Trump, yang dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat berkulit putih dan kumpulan pekerja lebih tekal nasionalismenya kerana menjanjikan ‘Amerika Kembali Hebat’.

Pendedahan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk menyiasat ‘salahguna kuasa’ oleh Hillary Clinton terhadap emel rasmi menjadi punca terbesar kemenangannya walaupun jaminan tidak akan menyiasat digugurkan dua hari sebelum pilihan raya. Natijahnya, walaupun Donald Trump tidak berpengalaman dalam urusan politik dan diplomatik, Hillary Clinton terus dianggap tidak jujur dan lemah integritinya.  Apa pun, apa yang bakal berlaku dan dasar yang akan dibuat oleh Donald Trump, rakyat Amerika Syarikat terpaksa menerimanya untuk tempoh sepenggal (2017-2021). Kedudukannya hanya akan berubah atau kekal bergantung kepada prestasinya, bukan di atas keputusan pengiraan semula undi di Winconsin, Pensylvania dan Michigan. Jika tiga buah negeri itu memberikan kemenangan kepada calon Demokrat, ia masih belum mampu menolak Donald Trump yang jauh meninggalkan Hillary Clinton berdasarkan undi elektrol (electoral college).

Oleh: Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply