Tubuh RCI siasat laporan rasuah Daim

Umum tahu, ECRL adalah projek zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, sebelum hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei 2018.

Projek itu antara isu hangat yang diserang oleh Pakatan harapan (PH) sebelum PRU-14 dan menjadi kontroversi dengan pelbagai tuduhan serta dikaitkan usaha untuk menolong 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang juga menjadi kontroversi.

Setelah BN kalah dan hilang kuasa, projek ECRL pada mulanya diberitakan akan dibatalkan kerana kosnya dikatakan begitu besar dan timbul pelbagai tuduhan.

Tiba-tiba kerajaan PH membatalkan niat membatalkan projek tersebut dan mengumunkan ECRL akan diteruskan.

Secara ringkas, kerajaan PH melantik Daim untuk merunding semula kos projek ECRL dengan pihak China, dan tidak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Ini kerana, di Malaysia tidak ada orang yang pandai dan sehebat Daim untuk membincangkan projek besar bernilai berbilion ringgit.

Butir rundingan tidak ada siapa yang tahu dan harga ditetapkan berjumlah RM44 bilion.

Bagaimana kerja kontrak ini akan dilaksanakan tidak siapa yang tahu.

Pengagihan kontrak, perolehan (procument), pengambilan tanah yang terlibat (ada pihak telah membeli tanah di sekitar stesen-stesen ECRL secara senyap) dan tentu ada banyak lagi berita menarik.

Hari sudah siang walaupun ayam tidak berkokok. Ayam bertelur tanpa sarang, umpama kiasan bidalan Melayu, “sekilas ikan di air sudah tahu jantan atau betinanya.

Sebab itu di Malaysia ada orang menjadi kaya dengan senang bila ada kuasa dan pengaruh. Cuma kena bijak umpama tarik rambut dalam tepung, di mana rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Mereka yang tidak bijak dan gopoh, ada yang curi terus atau direct corruption, manakala yang bijak dan licik lepas, cuma boleh dituduh moral corruption.

Sebab itu di zaman wujudnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ianya digunakan oleh pihak keselamatan untuk menahan sesiapa saja yang boleh disifatkan mengancam keselamatan negara.

Namun, polis sukar membawa pendakwaan ke mahkamah kerana tiada bukti kukuh, tetapi yakin orangnya amat bahaya kepada keselamatan negara. Maka, ditahan tanpa bicara.

Di mahkamah, keputusannya mestilah berdasarkan bukti tanpa ragu atau Beyond Reasonable Doubt, manakala polis siasat dan Peguam Negara pula yang tentukan prima facie ada atau tidak untuk didakwa.

Sebelum ini sudah banyak isu timbul sehingga ada tuduhan pendakwaan terpilih, pendakwaan kerana konspirasi politik dan macam-macam hal timbul.

Mengambil kira kontroversi projek ECRL sama statusnya dengan 1MDB, tidak mudah untuk SPRM menjalankan tugas penyiasatannya nanti.

Ianya umpama rumah siap tapi pahat berbunyi. Panjang ceritanya nanti. Tengok saja kes Perwaja Eric Chia dahulu. Bertahun penyiasatannya dan tengok pembicaraan kes Najib mengenai SRC dan 1MDB.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra Malaysia) mencadangkan dengan mengambil kira isu projek ECRL yang begitu kontroversi sebelum ini dan ada aduan tuduhan rasuah terhadap Daim, amat wajar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja ECRL dengan segera.

Ini kerana ianya lebih cepat dan telus kerana penyiasatannya secara terbuka ala pembicaraan mahkamah, yang berbeza dengan cara penyiasatan SPRM.

Sebab itulah sebelum ini Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) adalah NGO pertama mengesa ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi kes 1MDB sebaik sahaja tercetus isu itu seawal tahun 2015.

Janganlah tunggu puluhan tahun lagi untuk rakyat mendapat kebenaran dan yang bersalah akan dihukum.

Masa lama dan kos tidak sedikit yang membabitkan duit cukai rakyat. Duit hilang banyak kerana rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyiasatan yang mengambil masa serta pembicaraan lama yang berakhir “pi mai pi mai tang tu”  juga.

Kalau rakyat kena tunggu lama, tunggulah pembicaraan di Padang Mashyar nanti. Tuan badan sendiri menjadi saksi iaitu tangan dan mulut semua bercakap. Insya-Allah.

Cadangan Putra Malaysia adalah ikhlas kerana parti ini bukan bersifat retorik, iaitu cakap lain, buat lain. – MalaysiaGazette

Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali adalah Presiden Parti Putra Malaysia (PUTRA) dan juga Presiden Perkasa Malaysia (PERKASA)

Sumber : MalaysiaGazette

No Comments

    Leave a reply