TUDUH ORANG ISLAM SEBAGAI MURTAD?

Adalah satu perkara yang menyedihkan apabila fenomena kafir mengkafir berlaku lagi. Kali ini dalam bentuk yang berbeza. Apa hukumnya menuduh orang Islam atau kumpulan Islam yang lain sebagai murtad? Pertama kali saya dengar pertuduhan sebegini. Semuanya kerana persoalan politik caca merba kerana pilihan raya sudah hampir tiba. Akidah Islamiah ialah ikatan atau simpulan kepercayaan yang terikat kuat di dalam jiwa yang tidak mungkin terurai yang berdasarkan kepada ajaran Allah s.w.t seperti yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Ia bukannya dinilai dan ditentukan oleh manusia hatta walau sebesar manapun keulamakannya.

Dr. Muhammad Na’im Yasin dalam bukunya bertajuk Al-Iman, Arkanuhu, Haqiqatuhu wa Nawaqiduhu (Iman, Rukun-rukunnya, Hakikatnya dan Pembatalannya) mengkhususkan lebih kurang sepertiga bukunya membincangkan perkara-perkara yang membatalkan iman. Persoalan dasar yang dibincangkan ialah bilakah seorang kafir menjadi mukmin dan bilakah seorang mukmin itu menjadi kafir.

Beliau lebih banyak menjuruskan perbincangannya kepada perkara-perkara yang membatalkan iman yang diklasifikasikan kepada empat. Beliau juga menyentuh mengenai persoalan kufur, sebab-sebab murtad dan terkeluar daripada Islam.  Seseorang dikatakan sebagai Muslim seandainya ia mengucap dua kalimah syahadah manakala seseorang dikatakan sebagai mukmin sekiranya ia berikrar dengan lidah, membenarkan di dalam hati dan beramal dengan anggota segala tuntutan dua kalimah shahadah, Islam dan Iman. Makna dan tuntutan dua kalimah syahadah ialah:

  1. Tiada Tuhan Melainkan Allah; bahawa kita mentauhidkan Allah pada Rububiyyahnya, nama-namanya, sifat-sifatnya, perbuatan-perbuatannya, Uluhiyyahnya serta tidak melakukan ibadah dalam apa bentuk dan corak sekalipun selain kepada-Nya.
  1. Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah; bahawa kita berikrar dan membenarkan di dalam hati apa jua yang didatangkan oleh Nabi Muhammad yang bersumberkan wahyu yang terkandung di dalam syariah, apa yang diwahyukan kepada baginda berkenaan perkara-perkara ghaib dan bahawasanya Nabi itu adalah didatangkan oleh Allah sendiri. Begitu juga kita mesti mengiktiraf segala aspek berkenaan akhlaknya, sifat-sifat kenabian seperti benar, amanah, menyampaikan, cerdik, terpelihara daripada dosa dan kebenaran mukjizatnya.(1)

Seseorang masih dianggap Muslim walaupun melakukan dosa dan selagi mana ia tidak menghalalkan dosanya. Iman akan tercedera apabila kerapnya berlaku perbuatan dosa. Namun demikian, seseorang terkeluar daripada iman seandainya ia mengingkari sesuatu hukum daripada mana-mana nas al-Quran ataupun al-Sunnah.  Imam al-Tahawi r.h. memberikan kaedah: “Kami memberi nama ahli-ahli kiblat di kalangan kami sebagai orang-orang Muslim dan Mukmin selagi mana mereka mengiktiraf dengan apa yang dibawakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan membenarkan apa yang disabdakan dan dikhabarkan daripada baginda…. Kami tidak mengkafirkan seorangpun daripada ahli kiblat dengan sebab melakukan dosa selagimana mereka tidak menghalalkannya. Kami tidak berkata: “Tidak memudaratkan iman kerana dosa sipelakunya”…. Tidak terkeluar seorang hamba itu daripada keimanan melainkan kerana mengingkari apa yang telah ia masuki padanya”.(2) 

Antara persoalan yang perlu dibangkitkan ialah apakah signifikannya dan implikasi pentakfiran. Satu kaedah berkenaan pentakfiran dijelaskan seperti berikut: “Sesiapa yang mengkafirkan orang yang beriman maka sesungguhnya dia menjadi kafir, sesiapa yang tidak mengkafiri orang yang kafir, dia menjadi kafir dan sesiapa yang ragu-ragu tentang kekufuran orang-orang kafir, maka dia menjadi kafir.”

Kaedah ini menunjukkan bahawa kita mesti berhati-hati (ihtiyat) di dalam membuat sesuatu tuduhan kafir kepada sesama Mukmin justeru implikasinya amat besar sekali sebab topik tuduhan adalah di antara kafir atau Islam. Di dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang memanggil saudaranya sebagai kafir, maka akibat panggilan itu mengenai salah seorang daripada mereka jika tepat kafir seperti yang dipanggilkan. Jika tidak tepat maka akibat panggilan itu kembali kepada yang memanggil.”(3) Dalam soal ini, sebagai manusia awam, eloklah kita teliti diri kita terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan terhadap orang lain.

Walau bagaimanapun, kita mestilah juga mengambil kira sama ada kita membenarkan diri kita meredai agama dan amalan orang-orang kafir dengan niat kerana implikasinya akan menyebabkan kita juga terjerumus ke lembah kekufuran. Kita juga perlu faham perbezaan antara amalan zahiriah dan akidah. Mungkin kerana kejahilan seseorang itu, amalannya bercanggah dengan Islam tetapi masih ada saki baki keimanan. Lainlah jika percanggahan amalannya dengan Islam kerana ia memang arif dan sengaja menidakkan al-Quran atau al-Sunnah.

Menurut al-Baghdadi (m. 1037M), dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa Al-Jamaah, tidak saling mentakfir atau mengasingkan diri sesama mereka. Mereka tidak menghukum orang-orang awam Muslim melainkan berdasarkan lahiriah orang tersebut dan tidak dikafirkan melainkan setelah jelas dan terbukti. Ia melakukan perkara-perkara yang wajib dikafirkan.(4) Adalah jelas selagi mana seseorang itu mengucap dua kalimah shahadah maka ia masih Muslim tetapi beliau juga perlu mengelak diri daripada tergugur keislamannya dan menjadi tugas Muslim juga untuk menerangkan kepada seseorang Muslim yang lain seandainya ada perkara yang dilakukan oleh saudaranya itu boleh menyebabkan ia terkeluar daripada Islam.

Menurut Imam al-Nawawi pula, Ahl Al-Sunnah wa al-Jamaah tidak menggunakan perkataan kafir kepada saudara seIslam yang tidak mempunyai akidah yang membatalkan keislamannya.(5) Seseorang Muslim yang fasik (melakukan perkara-perkara haram dan meninggalkan ketaatan yang fardu), fajir (jahat) dan ‘asi (pembuat dosa) tidak kafir selagimana ia tidak membatalkan keislaman ataupun keimanannya.  Melakukan dosa besar ataupun kecil tidak mengeluarkan seseorang daripada Islam selagi mana ia tidak menghalalkan dosanya itu dan dosa itu bukan dosa besar yang paling teruk, iaitu dosa kerana mensyirikkan Allah s.w.t. Tetapi mengingkari perkara-perkara daruri (jelas dan nyata) di dalam Islam yang telah diketahui oleh seseorang maka dihukumkan kafir dan murtad kecuali sekiranya tidak diketahui oleh sipelaku akan perkara-perkara daruri itu kerana baru memeluk Islam atau hidup jauh dan terpencil daripada masyarakat Islam.

Kita haruslah kembali kepada konsep al-Din yang mencakupi keseluruhan hidup berdunia dan berakhirat dengan memberikan al-Wala’ (kepimpinan) kepada mereka yang benar-benar berjuang di jalan Allah dengan cara berhikmah seperti yang diamalkan oleh kerajaan sekarang, Kerajaan Malaysia sekarang berjuang secara berjamaah yang pegangan, dasar dan pedoman hidup adalah berlandaskan Islam yang sebenar dan bukannya menggunakan Islam untuk kepentingan peribadi dan puak. Apatah lagi membuat tuduhan murtad kepada orang lain.

Orang Islam juga tidak boleh secara semborono menuduh orang Islam yang lain sebagai kafir atau melancarkan jihad terhadap sesama Muslim yang mengucapkan dua kalimah syahadah.  PAS dengan ekspresi jihad dalam Amanat Haji Hadi di Bukit Payung, Terengganu pada tahun 1981 telah memperolehi populariti dalam kalangan ahli PAS untuk “menyerang” orang-orang Melayu Islam yang mendokongi UMNO. Haji Hadi menyatakan (diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris):  “Gentlemen, please believe! We opposed UMNO not because its name is UMNO. We opposed BN not because its name is BN. We are against them because they maintained the colonial constitution, the kafir regulations, the Jahiliyyah laws. Because of that we are against them and we struggle to fight them. Please believe gentlemen, our struggle is jihad, our speech is jihad, our donation is jihad and if we died because we fight with these groups, our death will be rewarded as martyrs”.

Amanat ini ternyata mempunyai banyak implikasi dan membawa bukti yang menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan orang-orang Islam. Di antaranya ialah solat dua imam, masjid dua imam, surau dua imam, solat di masjid berasingan, orang PAS tidak hadir kenduri kendara dan majlis perkahwinan orang-orang UMNO, berlakunya perpecahan dalam keluarga, ketidakhadiran dalam majlis kematian dan berbagai insiden yang lain. Paling menyedihkan ialah digolongkan sebagai mati syahid bagi mereka yang mati kerana menentang kerajaan UMNO. Apakah seseorang yang waras boleh menerima hakikat ini berdasarkan pemahaman ilmu dan akidah? Bukankah ia membawa kepada api permusuhan berdasarkan pemanipulasian isu agama untuk kepentingan peribadi dan sokongan pengikut? Manakah yang lebih penting; kepentingan kelompok atau kepentingan perpaduan ummah dan agama?

Pemahaman dan pemantapan akidah serta iman yang betul juga perlu untuk para aktivis dan orang yang mengaku dirinya Islam kerana di sinilah bermulanya asas perjuangan bahkan content perjuangan dakwah, gerakan islahiyyah dan revivalist adalah untuk membuang unsur-unsur yang merosakkan akidah, penguatan dan pemantapan akidah serta penyebaran akidah yang betul. Pertubuhan yang tidak menekankan kepentingan akidah akan longgar daripada segi akar umbi dan keutuhan perjuangan. Pertubuhan yang suka bersengketa dan memecah-belahkan masyarakat sepatutnya ditolak oleh kita semua.

Oleh: Amini Amir Abdullah

Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan,

Fakulti Ekologi Manusia,

Universiti Putra Malaysia

No Comments

    Leave a reply