TUGAS KEPEMIMPINAN BERAT, TIDAK PATUT DIKEJAR

Kepemimpinan merupakan peranan sosial seseorang pemimpin dalam pergaulannya dengan orang ramai dalam masyarakat atau kelompok pimpinannya. Peranan ini menjadikan seseorang pemimpin itu mampu mempengaruhi orang lain dan membimbing mereka ke arah mencapai cita-cita kelompok atau masyarakat berkenaan.

Berhubung soal kepemimpinan ini, Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin merupakan model kepemimpinan unggul dan patut dicontohi. Mereka bukan mengejar pangkat, jawatan, kedudukan, pujian, kesenangan dan kekayaan yang berlipat-ganda, tetapi kepemimpinan mereka bertujuan mencapai reda Allah SWT.

Dalam perkataan lain, mereka tidak meletakkan pangkat, pujian, kekayaan, dan kepentingan diri sebagai matlamat utama bagi kepemimpinan yang diterajui. Mereka dilihat mengorbankan segala kemewahan hidup dan kepentingan peribadi demi mahu memberi khidmat yang terbaik dan memenuhi keperluan kelompok masyarakat yang dipimpin.

Perkara seumpama ini bagaikan sukar ditemui dan kurang terzahir dalam kelompok kepimpinan masa kini. Lazimnya jawatan yang dipikul sering dijadikan platform untuk mencari kedudukan, pangkat, kesenangan, kekayaan, dan kepentingan diri. Oleh sebab itulah, tugas kepemimpinan ini menjadi perebutan ramai pihak. Ada yang sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk melobi bagi tujuan mendapatkan jawatan dan pangkat.

Sebenarnya kepemimpinan itu adalah peranan semua orang. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW dijelaskan bahawa setiap orang adalah pemimpin yang berfungsi dalam lingkungan kepemimpinan masing-masing.

Dalam skop yang lebih luas, kita boleh lihat hakikat seseorang individu dalam ayat al-Qur’an yang membicarakan soal kesanggupan manusia memikul amanah kepemimpinan di muka bumi (khilafah Allah fi al-Ard).

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah itu kepada langit, bumi dan bukit-bukau tetapi semuanya enggan memikulnya dan merasa khuatir akan mengkhianatinya. Lalu ia dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh” (Surah al-Ahzab ayat 72).

Ayat ini menggambarkan betapa tugas kepemimpinan sebagai khalifah Allah SWT di bumi ini merupakan suatu amanah yang amat besar yang tidak sanggup dipikul oleh bumi sendiri. Begitu juga dengan langit dan gunung-ganang.

Meskipun dalam beberapa ayat lain Allah SWT menyifatkan manusia itu sebagai makhluk yang istimewa, tetapi dalam ayat ini Allah SWT menyifatkan mereka sebagai menzalimi diri dan jahil. Penyifatan ini disebabkan mereka sanggup memikul amanah yang sangat berat dan paling mencabar itu.

Atas dasar inilah, barangkali apabila Allah SWT memaklumkan Dia akan menjadikan manusia sebagai pemimpin atau khalifah Allah di bumi, maka para malaikat terus bertindak mempersoalkan kemampuan manusia itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Apabila Tuhanmu berfirman kepada para malaikat sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi itu khalifah. Mereka berkata Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di situ orang yang akan membuat kerosakan padanya dan akan menumpahkan darah, padahal kamilah yang sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman Sesungguhnya aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui” (Surah Ali ‘Imran ayat 30).

Maksudnya, para malaikat sangat ragu berhubung kemampuan manusia untuk menjadi pemimpin atau khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Sebabnya ialah mereka mempunyai kecenderungan buruk yang berasaskan hawa nafsu. Malah Allah SWT juga tidak menafikan kebenaran keraguan para malaikat itu. Cuma Allah SWT menjelaskan ada tujuan lain yang lebih besar di sebalik penugasan itu. Dalam ayat lain, Allah SWT menjelaskan tujuan besar yang dimaksudkan itu ialah memakmurkan dunia ini.

Jelasnya, dalam konteks yang luas ini, kepemimpinan merupakan amanah yang amat sukar untuk dilaksanakan dengan penuh jujur. Walau bagaimanapun ia merupakan suatu kewajipan yang terpaksa dipikul oleh manusia memandangkan ada tujuan yang lebih besar di sebaliknya, iaitu memakmurkan bumi.

Dalam pengertiannya yang ringkas, amanah boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Suatu istilah lain yang memberi erti yang bertentangan penuh dengannya ialah khianat. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis tentang orang munafik. Apabila dimanahkan dia berkhianat. Dalam bahasa Malaysia khianat ini biasa juga disebut sebagai pecah amanah.

Konsep amanah sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan ini, boleh juga difahami daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a.  katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Ketua ialah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Kaum lelaki pemimpin kepada keluarganya dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Perempuan ialah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan akan ditanya kepemimpinannya. (Orang suruhan) adalah pemimpin (penjaga) hartanya dan dia juga akan ditanya mengenai penjagaannya. Setiap kamu ialah pemimpin yang akan ditanya kepemimpinannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Layaknya kepemimpinan itu adalah satu beban yang dipertanggungjawabkan terhadap pemimpin dalam segala hal yang berhubung dengannya.

Mengikut pandangan Islam, kepemimpinan itu bukan satu kedudukan yang perlu dikejar. Sebaliknya, kalau boleh perlu dielakkan. Nabi SAW sendiri pernah menolak permintaan bapa saudaranya al-Abbas r.a. supaya dilantik menjadi gabenor di suatu wilayah. Malah Baginda SAW pernah berkata kepada sahabat rapat baginda Abu Zar al-Ghifari mengenai kepemimpinan dengan berkata ia adalah suatu amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan.

Perkara yang paling membimbangkan dalam memikul amanah dan tanggungjawab ini ialah wujudnya sikap tidak adil dan membuat keputusan berasakan hawa nafsu. Nabi Daud a.h. sendiri pernah diperingatkan oleh Allah SWT mengenai penyelewengan besar tersebut ketika melantik beliau menjadi Nabi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai Daud! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil. Janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah” (Surah Sad ayat 26).

Dalam suatu ayat lain, Allah SWT juga menghubungkan soal amanah ini dengan menghukum dan membuat keputusan secara adil. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya; dan apabila  kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkan dengan adil” (Surah al-Nisa’ ayat 58).

Walau bagaimanapun, kepemimpinan itu sendiri amat penting sekali pada pandangan Islam. Oleh sebab itulah Islam mewajibkan supaya institusi kepemimpinan itu ditegakkan baik dalam skop yang besar seperti khalifah yang bererti kepemimpinan negara atau dalam skop-skop yang lebih kecil, yang semuanya boleh digolongkan dalam konsep ulu al-Amr. Malah, Rasulullah SAW berpesan kalau dalam sesuatu perjalanan atau perkumpulan itu adalah lebih daripada seorang, maka salah seorang dari kalangan mereka mesti dilantik sebagai pemimpin.

Oleh: Dr. Mohd Shukri Hanapi ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang.

No Comments

    Leave a reply