TUJUH KARAKTER BANGSA YANG UNGGUL

Apabila kita membincangkan masalah yang dihadapi bangsa Melayu dewasa ini, ada sesuatu yang terasa ‘menyesakkan’ dada bila kita mengimbau masalah itu. Dan yang banyak diperkatakan sekarang adalah masalah mengenai persoalan persatuan dan kesatuan bangsa. Sebagai bangsa yang menerasi entiti yang bernama Malaysia, bangsa Melayu patut memberi teladan kepada yang lain sebagai bangsa yang tangguh, bersatu padu, solid dan tidak mudah diadu domba oleh pihak berkepentingan yang ingin menyaksikan bangsa ini tercerai berai.

Sesungguhnya bangsa Melayu diberikan amanah dan dilantik  oleh Allah SWT sebagai khalifah yang memerintah negara ini. Namun, takdir juga yang menentukan sehingga ke hari ini, bangsa Melayu tidak boleh bersatu padu dan asyik berbalah sesama sendiri apabila amanah itu diletakkan di atas bahunya. Persoalannya, sampai bila perpecahan ini akan terus berlaku sehingga akhirnya tumbuh satu sikap ‘mainstream’ bagi mewajarkan gejala ini? Adakah hingga perlu menunggu satu malapetaka dan bencana yang menimpa kaum ini bagi menginsafkan para pemimpin dan rakyat terhadap bahaya perpecahan yang seolah-olah tiada berkesudahan ini?

Persatuan dan kesatuan umat merupakan prasyarat utama tertegaknya umat yang hebat dan unggul. Hal ini dilandasi oleh kenyataan bahawa bangsa yang terpecah belah tidak boleh bertahan menghadapi segala rempuhan dan prahara yang timbul. Syarat utama keunggulan satu bangsa terletak pada elemen kemantapan persatuannya.

Itu lah sebabnya dalam Al Quran kerap kali mengingatkan peri pentingnya persatuan dan kesatuan. (Lihat Surah Al Anfal ayat 46).

Selain aspek persatuan umat, karakter bangsa unggul dapat dicirikan dengan adanya kesepakatan bersama terhadap nilai-nilai luhur. Bagi memantapkan wujudnya persatuan dan kesatuan umat, diperlukan nilai-nilai yang menjadi pandangan hidup bangsa dan menjadi pegangan bersama. Dalam hal ini, kontrak sosial yang menjadi pegangan setiap kaum dalam merumuskan ‘wajah’ negara sebelum kemerdekaan, boleh diiktiraf sebagai dokumen sejarah yang menjadi asas dan kesepakatan bersama terhadap nilai-nilai luhur.

Di atas nilai teras itu lah mereka bersatu, menuju titik yang sama dan menunaikan semua program dan agenda secara bersama. Di atas teras itu juga, mereka diberikan hak yang sama untuk menilai sama ada mereka terima atau ditolak. Nilai-nilai itu juga berperanan sebagai penapis kepada nilai lain yang datang daripada komuniti luar. Walau bagaimanapun, apapun nilai yang menjadi pegangan hidup bernegara, nilai-nilai itu mesti disepakati. Semakin luas kesepakatan itu, semakin mantap dan kukuh pula persatuan dan semakin besar peluang menciptakan bangsa yang unggul.

Karakter lain dalam bangsa unggul ialah bekerja keras, berdisiplin dan menghargai waktu. Al Qur’an sangat apresiatif dan memuji manusia yang mempunyai etos kerja tinggi untuk kehidupan dunia dan diseimbangkan dengan tujuan untuk persiapan kehidupan di akhirat. Ia perlu diusahakan dengan penuh kesungguhan disertai dengan iman yang mantap kerana iman bukan sekadar ucapan tetapi dibuktikan dengan pengamalan. Oleh sebab itu, Al Qur’an begitu menghargai manusia-manusia yang bekerja keras, sentiasa sibuk dan pada masa yang sama ingat kepada Tuhannya.

Sikap prihatin dan ambil berat kepada nilai kemanusiaan turut menjadi ciri dalam watak bangsa yang unggul.Mengambil berat tidak hanya berkaitan dengan kefahaman dan penghayatan prinsip agama tetapi juga keperluan terhadap basic need masyarakat. Ini dengan maksud bertanggungjawab juga terhadap nilai-nilai budaya yang tidak bertentangan dengan kemaslahatan umat.

Nabi saw menberi amaran dalam sabdanya yang bermaksud:

Siapa yang tidak peduli urusan umat Islam maka ia bukanlah bahagian daripada mereka“.

Dalam kontek ini banyak sekali ayat Al-Quran  menuntut umat Islam untuk bahu-membahu  dan saling mengingatkan tentang kebenaran,kesabaran,ketabahan dan kasih mengasihi antara mereka.(Lihat surah al-Ashr(103) dan Surah Al-Balad surah (90))

Ciri-ciri lain bangsa yang unggul ialah berpendirian sederhana (wasatiyah) dan berfikiran terbuka. Karakter umat yang terpilih ini diistilahkan dalam Al Qur’an sebagai ‘la syarqiyyah wa la gharbiyyah’. Istilah ini membawa pengertian manusia dituntut untuk bersikap di tengah, berada di antara dua posisi ekstrem. Sikap wasatiyah yang telah pun menjadi slogan dan dasar rasmi kerajaan, menjemput umat untuk saling berinteraksi, berdialog dan terbuka dengan semua pihak tanpa mengira kaum, agama, budaya dan peradaban.

Sikap terbuka dan sederhana menjadikan bangsa ini dapat menerima yang baik dan bermanfaat daripada siapapun dan menolak yang buruk. Keunggulan masyarakat Islam masa lampau antara lain kerana sikap keterbukaan mereka menerima apa yang baik daripada manapun datangnya. Perkara ini selari dengan diktum atau ucapan bijaksana yang berbunyi “unzur ila al maqal wa la tanzur ila man qala” (lihatlah kepada (kandungan) ucapan dan jangan lah melihat siapa yang mengucapkan).

Karakter dan ciri-ciri bangsa yang unggul juga memerlukan sikap untuk bersedia berkorban. Keperluan manusia tidak dapat dipenuhi kecuali dengan kerja sama dengan semua pihak. Sebagai makhluk sosial, manusia harus saling tolong menolong demi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan. Pengorbanan ini lah yang menjadi benih lahirnya akhlak mulia yang mana tanpa akhlak mulia kewujudan bangsa tidak akan dapat ditegakkan. Dalam hal ini, amat bertepatan ungkapan yang cukup bermakna Buya Hamka “ Tegak rumah kerana sendi, runtuh budi rumah binasa. Sendi bangsa adalah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa”.  Ingatlah Kaum Ad,Tsamud dan Firaun binasa kerana keruntuhan akhlak mereka walaupun mereka maju dalam bidang material.

Akhirnya, bangsa yang unggul dicirikan dengan pendirian yang kuat dan teguh mendepani segala dugaan dan cabaran yang berlaku. Masyarakat yang teguh ialah yang tidak mengorbankan harga dirinya atau nilai-nilai yang dianutnya demi membolot kepentingan duniawi. Bangsa yang unggul juga tidak mudah menyerah kalah menghadapi dugaan seberat apapun meskipun secara fizikal mereka tewas.

Demikanlah tujuh karakter atau ciri-ciri bangsa unggul yang melangkaui sejarah dan tempat. Malangnya, sifat dan karakter ini seolah-olah sudah terhakis dalam diri bangsa kita yang selama ini diberikan amanah untuk menjadi peneraju negara ini. Sekiranya bangsa ini sedar dan kembali semula memegang teguh karakter yang telah dihuraikan di atas, Insya Allah bangsa ini akan bangkit semula dan dipandang tinggi dan mulia baik oleh kawan mahupun lawan

Catatan:Ibnu Majid

No Comments

    Leave a reply