Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian di kamar hakim di sini yang dihadiri peguam-peguam Mohamed Ha­niff Khatri Abdulla dan Datuk M. Reza Hassan bagi pihak perokok selaku pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili Kementerian Kesihatan.

Dalam permohonan yang difailkan pada 31 Disember tahun lalu, tujuh pemohon terbabit, Mohd. Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd. Laisani Dollah, 46, Mohd. Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd. Yazid Mohd. Yunus, 48, serta Yuri Azhar Abdollah, 39, memfailkan permohonan itu atas kapasiti peribadi dan bagi pihak semua perokok yang menyokong usaha kumpulan, Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok.

Kesemua pemohon mendakwa larangan merokok itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana merokok bukan suatu aktiviti jenayah dan atau diharamkan di negara ini dan sehubungan itu, aktiviti tersebut adalah sah dari segi undang-undang.

Mereka juga mendakwa, pero­kok mempunyai hak yang sama rata dengan golongan yang tidak merokok untuk mengunjungi dan menghabiskan masa mereka di premis-premis makanan seberapa lama yang mereka inginkan.

Pemohon juga mendakwa larangan merokok itu adalah bertentangan dengan peruntukan dan prinsip undang-undang kerana responden tidak pernah dilaporkan berjumpa de­ngan perokok atau pihak-pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan la­rangan tersebut, selain bersifat tidak munasabah dan tidak adil.

Sehubungan itu, pihak pemohon memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan pihak responden menguatkuasakan larangan tersebut selain deklarasi bahawa keputusan pe­nguatkuasaan itu adalah suatu tindakan yang bercanggah de­ngan Perlembagaan Persekutuan.