TULISAN JAWI: 94% TIDAK SOKONG DONG ZONG, JIAO ZONG

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Lebih 6,200 warga maya menentang bantahan dua pertubuhan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang menolak pengenalan tulisan khat dan jawi dalam buku teks sekolah.

Jumlah itu dikumpul dalam tempoh 24 jam hasil undian Facebook dijalankan oleh Utusan Online bermula semalam.
Undian itu berakhir hari ini menunjukkan 6,200 warga maya itu menguasai 94 peratus jumlah keseluruhan pengundi terlibat, manakala baki enam peratus atau 411 warga maya bersetuju dengan Dong Zong dan Jiao Zong.

Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan pada minggu lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan yang indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Bagaimanapun, dua pertubuhan Cina tersebut menegaskan seni khat dan tulisan jawi yang akan dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.

Beberapa warga maya yang terlibat di dalam undian oleh Facebook Utusan Online itu turut melahirkan rasa marah terhadap Dong Zong dan Jiao Zong.

Jelas pemilik akaun Facebook bernama Faiza Faiez, tulisan jawi cuma satu bentuk tulisan iaitu bukan pendidikan agama.

“Agaknya, bagi mereka yang bukan Islam, bila tengok tulisan jawi sahaja ialah Islam dan al-Quran. fobia kepada Islam mereka itu?” soalnya.

Din Harun pula mencabar Dong Zong dan Jiao Zong melalui ahli Parlimen masing-masing membuat usul di Parlimen untk membantah cadangan memperkenalkan tulisan jawi tersebut.

Sementara bagi Hadzle Johari, dia pelik mengapa Dong Zong dan Jiao Zong membantah cadangan tersebut memandangkan terdapat masyarakat Cina yang sudah berusia lanjut masih boleh membaca dan menulis jawi dan ia tidak pernah menjadi isu.

Dipetik daripada Utusan Online, 2 Ogos 2019

No Comments

    Leave a reply