Tulisan Jawi akan kekal walaupun ada orang tidak suka

1. Di pagi yang tenang, pulang dari surau, saya mendapat mesej dari seseorang yang dikenali yang mengongsikan tulisan seseorang yang saya tak kenali. Orang yang saya kenal itu namanya saudara Ghazali, seorang aktivis ISMA yang perihatin terhadap nasib bangsa dan agama. Yang menulis tulisan yang saya tak kenal itu nama penanya A. Muziru Idham, yang saya tidak tahu pendiriannya tentang bangsa dan agama. Tulisannya mencadangkan agar tulisan jawi tidak perlu dikekalkan.

2. Saya tidak berniat untuk membetulkan cara fikir beliau. Itu hak beliau. Kita kan duduk dalam negara demokrasi. Saya cuma nak menulis untuk tatapan rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khasnya untuk berkongsi pandangan saya bahawa tulisan jawi akan terus kekal walaupun ada orang Melayu macam A. Muziru Idham dan yang seangkatan dengannya cuba untuk menghapuskannya.

3. Tulisan Jawi adalah salah satu identiti bangsa Melayu. Bukan identiti cair …. tapi identiti teras. Melayu sebagai bangsa Islam sudah diperakui pun oleh Perlembagaan, jadi jangan perdebatkan noktah itu. British yang berusaha memurtadkan orang Melayu di sepanjang zaman penjajahan dulu pun terpaksa akur untuk mentakrifkan Melayu sebagai orang Islam dalam Perlembagaan 1957. Salah satu yang menjadikan identiti Melayu itu orang Islam pada pandangan luar adalah kerana tulisan Jawi. Cuba kalau ulamak Melayu dulu tulis kitab guna tulisan Tamil. Adakah sama kesannya kepada imej Islam Melayu dibandingkan dengan penulisan ulamak dengan tulisan Jawi, huruf-huruf al-Quran? Identiti itu akan kekal kerana orang Melayu sebagai orang Islam membaca al-Quran setiap hari. Ini menjadikan setiap orang Islam akan kenal juga huruf-huruf Jawi tersebut walaupun A. Muziru Idham tak suka huruf-huruf itu kekal hidup.

4. Manuskrip Melayu zaman silam ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi. Ada la kot sikit-sikit yang menggunakan tulisan lontarak dan sebagainya … tetapi manuskrip utama menggunakan tulisan Jawi. Yang telah ditransliterasikan ke tulisan Rumi hanya beberapa sahaja. Boleh tengok berapa naskhah sahaja yang diterbitkan oleh Yayasan Karyawan sebagai contoh naskhah yang tersebar. Yang lain masih kekal dalam tulisan Jawi dan belum dikaji. Prof Mahayudin, sejarawan yang menghabiskan sebahagian usianya menjejaki manuskrip Melayu menganggarkan bilangan manuskrip Melayu tersebut berjumlah 10, 000 naskhah. Di Perpustakaan Negara ada lebih kurang 500 naskhah. Pejuang Melayu masih mengkaji manuskrip tersebut dan akan sentiasa ada di setiap generasi sejarawan yang mengkajinya.

5. Hieroglif Mesir pupus kerana hanya beberapa piramid sahaja yang menggunakan tulisan tersebut. Macam dah habis dikaji pun. Tetapi adakah tulisan Jawi akan pupus seperti hieroglif Mesir? Mustahil akan pupus, kerana kajian manuskrip Melayu ini tidak akan mampu untuk dihabiskan dalam masa yang singkat. Setiap tahun akan ditemui manuskrip dan artifak baru lalu menjadikan penguasaan tulisan Jawi ini meningkat. Saya ke Pulau Penyengat menjumpai satu almari besar yang penuh menyimpan kitab-kitab lama … tidak terusik lagi. Saya ke Patani juga menemui koleksi kitab-kitab lama ratusan tahun milik peribadi yang memenuhi galerinya. Beberapa tahun lepas sejarawan Acheh menemui kubur-kubur lama yang menggunakan tulisan Jawi. Kalaulah tulisan Jawi itu hanya untuk merakam sejarah sahaja pun, sejarah yang disimpannya masih banyak yang belum dibongkar menjadikannya alat yang akan sentiasa diperlukan.

6. Tulisan Jawi juga berevolusi selari dengan sebutan-sebutan bahasa Melayu. Saya rasa noktah ini penting untuk kita fahami. Noktah ini juga sebenarnya menunjukkan kesungguhan ulamak dahulu untuk menukar segala jenis tulisan Melayu (lontarak, rencong dan sebagainya) kepada tulisan Jawi. Kenapa hendak ditukar? Mudah sahaja alasannya, kerana tulisan Jawi adalah huruf-huruf al-Quran.

7. Evolusi pertama adalah apabila orang Melayu ketika mahu menggunakan tulisan Arab ini menghadapi masalah apabila ada lima sebutan yang tidak boleh dibunyikan oleh huruf-huruf Arab iaitu ca, nga, pa, ga dan nya. Oleh kerana sebutan itu tidak boleh dibunyikan oleh huruf-huruf Arab, sampai sekarang orang Arab akan minum Bebsi dan bukan Pepsi, pergi Fulau Finanj dan bukan Pulau Pinang, melawat Berak dan bukan Perak. Tapi ulamak Melayu dahulu mereka mencipta lima huruf tambahan yang tiada dalam huruf Arab agar orang Melayu boleh menulis cawan, nganga, pahlawan, gambir dan nyamuk dengan huruf-huruf Arab yang telah ditambah huruf-huruf baru. ‘Ca’ adalah ‘jim’ titik tiga, ‘nga’ adalah ‘ain’ titik tiga, ‘pa’ adalah ‘fa’ titik tiga, ‘ga’ adalah ‘kaf’ titik satu dan ‘nya’ adalah seperti ‘tsa’ tetapi dibulatkan lengkungannya. Bila bahasa Melayu menerima perkataan Barat, timbul pula masalah pada sebutan ‘v’ seperti video. Pejuang bahasa Melayu menambah pada tulisan Jawi aksara baru iaitu ‘wau’ titik satu untuk membunyikan ‘v’ bagi membezakannya dengan ‘w’. Kalau ada sebutan baru nanti, pandailah tulisan Jawi ni berevolusi. A. Muziru Idham silap bila memandang rendah pada kemampuan tulisan Jawi untuk berkembang selari dengan zaman.

8. Bangsa Melayu adalah bangsa Islam. Di dalam bahasa Melayu terkandung banyak istilah-istilah agama Islam yang diambil dari perkataan Arab. Sayangnya orang Melayu kepada Islam akan mendorong kuat mereka untuk menjaga khazanah istilah-istilah tersebut agar kekal disebut seperti perkataan asalnya. Orang Melayu masih membunyikan ‘k’ pada ‘dakwah’ dengan bunyi huruf ‘ain’ dan bukannya bunyi huruf ‘kaf’ dan jauh sekali ‘qaf’. Masih juga membunyikan ‘k’ pada ulamak dengan bunyi huruf ‘hamzah’ dan bukannya bunyi ‘kaf’. Mereka membunyikan ‘s’ pada mussolla dengan bunyi huruf ‘sod’ dan bukannya ‘sin’. Melayu membezakan bunyi antara ‘sabit’ dan ‘thabit’ kerana thabit dengan ‘tsa’ maknanya lain dari ‘sabit’ dengan ‘sin’. Begitulah seterusnya banyak lagi contoh yang boleh diberikan untuk membuktikan bahawa orang Melayu akan terus memilih untuk membunyikan istilah dan perkataan tersebut dengan ejaan asalnya iaitu huruf-huruf Arab yang telah berkembang muncul di alam Melayu sebagai tulisan Jawi. Dengan itu orang Melayu akan memastikan tulisan Jawi itu kekal agar istilah dan perkataan tersebut boleh dieja dengan huruf yang boleh membunyikannya dengan bunyinya yang sebenar …. Iaitu suatu yang tidak mampu dilakukan oleh tulisan Rumi yang dipandang hebat oleh A. Muziru Idham itu.

9. Akhirnya, saya pada tahun lepas diizinkan Allah menziarahi beberapa tokoh bahasa Melayu di usia senja mereka. Saya menziarahi Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abd Karim, Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar, Datuk A Aziz Deraman, Prof Madya Datuk Paduka Rosli Saludin dan Dr Lim Swee Tin. Semua mengatakan tulisan Jawi adalah warisan agung orang Melayu yang tidak boleh dihapuskan. Tokoh-tokoh seperti ini akan sentiasa ada mempertahankan kelangsungan tulisan Jawi sebagai pelengkap kepada tulisan Melayu. Kalau A. Muziru Idham dan kawan-kawan seangkatan dengannya nak hapuskan tulisan Jawi, mereka dan yang seumpama mereka ini akan sentiasa muncul untuk menghalangnya. Itu pandangan saya terhadap mereka …. yang menambahkan lagi keyakinan saya bahawa tulisan Jawi tidak akan berjaya dihapuskan.

Wallahu a’lam …

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden Isma

No Comments

    Leave a reply