“TUMPANG BELAJAR, WALAUPUN TERCICIR”.

Malaysia adalah sebuah negara yang mementingkan ‘pembangunan sumber manusia’ tetapi dalam masa yang sama, kuat kuasa peraturan tidak dilaksanakan sebagaimana yang diperuntukan dalam Akta atau Undang-undang. Misalnya, Akta Pendidikan (Pindaan 2002), Seksyen 29A(2) memperuntukkan setiap ibu bapa warganegara Malaysia yang tinggal di Malaysia memastikan anak-anak mereka yang mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari didaftarkan sebagai murid sekolah rendah.

Dalam Seksyen 29A(4), ibu bapa yang melanggar peraturan tersebut adalah telah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak lebih RM 5,000 atau penjara tidak melebehi enam bulan atau kedua-duanya. Ini bermakna, secara dasar Malaysia sudah pun ada peraturan yang mewajibkan setiap kanak-kanak yang berusi enam tahun didaftarkan sebagai ‘pelajar sekolah’ sama ada di sekolah-sekolah kerajaan, bantuan kerajaan ataupun institusi pendidikan swasta yang didaftarkan.

Bagaimanapun, tidak semua ibu bapa yang mempunyai anak dalam lingkungan umur ‘wajib bersekolah’ menghantar atau mendaftar anak-anak mereka sebagai ‘pelajar’ atas beberapa sebab tertentu. Bagi kerajaan, pembangunan sektor pendidikan telah diberikan keutamaan dalam setiap kali bajet dibuat termasuklah menggunakan pelbagai pendekatan kempen untuk mengurangkan keciciran kanak-kanak daripada pendidikan.

Bagaimanapun, pendidikan wajib belum terlaksana sepenuhnya. Bagaimana sebahagian daripada mereka yang tercicir? Apakah mereka akan terus berhadapan dengan situasi ‘buta huruf’ ataupun menjadi beban masyarakat? Syukurlah, ada sebahagiannya dapat meneruskan pendidikan dalam bidang agama menerusi sikap dermawan rakyat Malaysia yang ingin melihat kumpulan yang tercicir tidak terus menjadi ‘beban masyarakat” hanya kerana mereka tercicir dalam sistem pendidikan arus perdana.

Antara sebab yang sering kita dengar kenapa anak-anak tidak bersekolah ialah kurangnya kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan pendidikan, kehidupan ibu bapa di kawasan pedalaman, anak-anak tanpa dokumen sah, dan lebih memilukan apabila ada kanak-kanak terpaksa memikul tanggungjawab membantu mencari nafkah atas sebab kemiskinan. Jika di kawasan ‘gelandangan’ pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan untuk membawa kanak-kanak untuk mengenali aksara, sekurang-kurangnya membantu mereka agar tidak buta huruf ataupun kembali hidup sebagai gelandangan.

Di Kuala Lumpur, misalnya sekitar Chow Kit (Sekolah Bimbingan dan Jalinan Kasih) disediakan sebuah sekolah untuk kanak-kanak daripada keluarga gelandangan. Kanak-kanak tersebut bukan sahaja diberikan peluang belajar bahkan turut diasuh dengan pendidikan agama dan kemahiran kerana matlamat utamanya ialah ‘memperbetulkan keadaan kumpulan masyarakat agar tidak terus terjerumus ke dunia gelandangan.’

Begitu juga dengan segelintir lagi ‘kanak-kanak yang tersisih’ atas pelbagai sebab, telah diambil oleh Yayasan al-Hassan Barakah untuk ditempatkan di sebuah pusat pendidikan agama agar sekurang-kurangnya mereka dapat mempelajari ilmu-ilmu agama, terutama boleh membaca al-Qur’an dengan baik dan seterusnya terbimbing dalam cara hidup Islam.

lojing 3

Yayasan al-Hassan Barakah yang terletak di Kilometer 56 Jalan Gua Musang-Lojing berjaya menempatkan sekitar 25 hingga 30 orang pelajar dalam sesuatu masa. Setiap hari mereka diajar untuk menghafaz al-Qur’an secara bersistematik oleh guru-guru yang terlatih. Setiap pelajar yang diambil akan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan al-Hassan Barakah menerusi derma orang ramai dan juga sebahagian keuntungan daripada hasil pertanian yang diusahakan di kawasan tersebut.

Minggu ketiga September 2018, kira-kira enam petang Khamis kami tiba di Yayasan al-Hassan Barakah untuk melihat sendiri bagaimana pelajar-pelajar tahfiz seramai 28 orang itu menjalani kehidupannya di sebuah kawasan yang damai dan sunyi. Secara keseluruhannya, kawasan seluas lebih 300 ekar itu menempatkan asrama pelajar, dewan belajar dan beberapa buah rumah rehat yang dibina atas derma orang perseorangan, badan-badan bukan kerajaan dan sumbangan kerajaan (pusat dan persekutuan).

Kehidupan begitu tenang. Bukan sahaja terhindar daripada deruan kenderaan yang bertali arus, bahkan suasana di sekelilingnya memang ‘melegakan’. Ketika pagi, suasana kabus masih menebal, tetapi ia bukanlah penghalang kepada para pelajar untuk bangun menunaikan sholat subuh dan seterusnya memulakan kelas tahfiz secara rutin.

Pagi Jumaat yang damai itu, saya menyaksikan kanak-kanak begitu ceria walaupun saya agak kesejukan kerana terpaksa mandi air bukit. Pihak pengurusan Yayasan al-Hassan Barakah menggunakan air bukit sebagai sumber air bersih, untuk pelbagai kegunaan harian, termasuklah untuk mengairi kawasan-kawasan perkebunan seluas lebih 80 ekar.

lojing 2

Selepas sarapan, pada malamnya kami berbincang-bincang mengenai kegigihan pengasasnya, Datuk Wan Hassan Wan Zin  meneroka tanah untuk dijadikan kampus Pendidikan Tahfiz dan selebihnya adalah kawasan pertanian komersial untuk tanaman kekal (kelapa sawit) serta sayur-sayuran. Lojing yang terletak bersebelahan kawasan peranginan dan tanaman sayur-sayuran terkenal Cameroon Highland mula dibangunkan penghujung tahun 1990-an.

Datuk Wan Hassan yang kami panggil Tok Wan mula mengusahakan tanah tersebut pada awal tahun 2010, yang kemudiannya di kawasan pamah antara perbukitan, dibinanya kebun-kebun sayur sebagai sumber pendapatan utama selain kelapa sawit. Sekolah Tahfiz mula membuat pengambilan sulong pada tahun 2011.

Cerita Tok Wan “ kanak-kanak yang diambil untuk belajar di sekolah tahfiz ini adalah daripada kumpulan kanak-kanak miskin. Ada di antara merupakan kanak-kanak terbiar yang ditemui. Mereka sekurang-kurangnya tidak akan menjadi manusia gelandangan ataupun membesar dalam persekitaran ‘sampah masyarakat’.

tahfiz

Ketika di Sekolah Tahfiz, ‘para pelajar turut diajar dengan ilmu-ilmu agama di samping pengajian berkaitan al-Qur’an. Mereka tidak dikenakan sebarang bayaran, belajar secara percuma dan makan minum ditanggung selagi para pelajar di bawah jagaan Yayasaan al-Hassan Barakah’.

Bila ditanya bagaimana beliau memperoleh dana untuk membiayai ‘para pelajar’, Tok Wan menjawab, “Sebahagiannya adalah dana yang disumbangkan oleh pelbagai pihak manakala selebihnya adalah sebahagian daripada keuntungan hasil pertanian yang diusahakan oleh Yayasan.”

Dalam satu laporan akhbar, pada 31 Oktober 2015, tiga usahawan dari China mengunjungi Yayasan al-Hassan Barakah dan mereka tertarik dengan kaedah sistem pendidikan pondok yang dadakan. Tiga usahawan tersebut, Jason Wu, Wang Chun dan Tan Tai Giap turut menghulurkan sumbangan bahan makanan dan wang bagi kegunaan serta pembangunan pengajian pondok tersebut.

Dalam laporan tersebut, Tok Wan berkata “Kita bersyukur kerana pengajian pondok yayasan itu yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu, menarik perhatian pelbagai pihak termasuk usahawan dari China itu untuk ke pondok ini.” (Sinar Harian, 31 Oktober 2015).

Sebagai pengasas, Tok Wan tetap bersyukur kerana ada di antara para pelajar ‘semakin cemerlang dan ada di antaranya sudah mampu mengimamkan sholat di mana-mana masjid termasuk di Kg Raja, Cameroon Highland.’

Walaupun para pelajar tidak diwajibkan bekerja di kebun-kebun sayur, pihak pengurusan sentiasa mengambil langkah untuk menyemai minat para pelajar dalam bidang pertanian di peringkat awal. Selepas meninggalkan sekolah tahfiz, para pelajar mampu berdikari dengan menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan harian dan menyara keluarga, di samping mengamalkan cara hidup berdasarkan nilai-nilai Islam.lojing 9

Kebun-kebun sayur yang diusahakan oleh Yayasan al-Hassan Barakah menggunakan tenaga kerja yang lebih dewasa, termasuk warga asing kerana bertani secara komersial memerlukan proses penjagaan, pembajaan dan pengutipan hasil yang sistematik, bukan secara tanam, tinggal dan tuai yang kebiasaannya diamalkan oleh sebahagian daripada penduduk kampong dalam ekonomi sara diri.

Sebelum kami meninggalkan daerah perkebunan Yayasan al-Hassan Barakah untuk mengerjakan sholat Jumaat di Masjid Lojing yang jaraknya sekitar 10 kilometer menghala ke Cameroon Highland, kami amat kagum dengan sikap gigih dan prihatin pengasasnya, yang bukan sahaja berbakti kepada anak-anak yatim, kanak-kanak dari keluarga miskin bahkan bercadang untuk mengambil lebih ramai pelajar-pelajar tahfiz dalam kalangan kanak-kanak orang Asli.

Kini, beliau sedang berusaha untuk melengkapkan lebih banyak kemudahan bagi membolehkan lebih ramai pelajar miskin dapat belajar dan menghasilkan generasi tahfiz al-Qur’an. Mungkin dalam beberapa tahun lagi, hasrat untuk menempatkan para pelajar tahfiz dalam kalangan perempuan akan dilaksanakan dengan terbinanya Asrama Perempuan. Setakat ini, kesemua pelajar adalah lelaki.

Secara bergurau Tok Wan berazam untuk membuka ‘pengajian tahfiz’ dalam kalangan dewasa, terutamanya dalam kalangan ibu tunggal yang minat mendalami pengajian al-Qur’an. Bagi tujuan tersebut, Tok Wan sedang berusaha gigih dan sedang merancang beberapa kemudahan termasuk rumah-rumah penginapan.

lojing 7

Bagi mencapai hasrat tersebut, Yayasan al-Hassan Barakah amat memerlukan sumbangan daripada para dermawan, termasuklah menghulurkan dana pembangunan mahupun sumbangan untuk menampung keperluan pelajar tahfiz saperti bahan makanan dan peralatan.

Bagi kemudahan yang ringkas, di kawasan tersebut terdapat sebuah kedai runcit yang turut  menjual makanan ringan dan nasi untuk para pekerja kebun. Di kantin yang terletak di tebing air terjun Sungai Brooke terasa begitu indah sekali. Deruan air daripada sungai tersebut mengalunkan muzik alam yang tidak membingitkan telinga walaupun ketibaan kami petang Khamis disambut dengan hujan lebat.

Air itu walaupun berwarna teh tarik, ia tetap mendamaikan setiap daripada kami yang sentiasa menelan kebingitan suara jentera dan kereta bertali arus saban hari. Bahkan, kata Dr Shukri Hanafi dari USM, ‘syoknya di sini, dan tentunya sesuai untuk menulis ataupun berpuisi.”

lojing 8

Kami tersenyum dan Tok Wan mula bercerita, “apabila berkunjung ke sini, saya bukan sahaja fikiran saya tenang, bahkan, saya mampu untuk berjalan-jalan di dalam kebun walaupun mengambil masa lebih dua jam. Kebiasaannya, di Kota Bahru, selepas sholat subuh akan terlena seketika, tetapi, di sini badan tidak terasa penat, kehijauan dan kabus adalah penawar yang mujarab.

Saya mencelah, ‘mungkin amat sesuai untuk berbulan madu bagi pasangan berusia’ dan Tok Wan mencelah, ‘betul tetapi hanya untuk beberapa jam sahaja. Selepas itu mungkin akan kembali ‘semak kepala’ apabila memikirkan banyak kemudahan tidak ada, talian internet dan siaran televisyen yang lemah.’

Kami ketawa tetapi ketawa kami seolah-olah tenggelam oleh deruan air terjun Sungai Brooke, yang turut menjadi tempat bermastautinnya ikan kelah liar, yang bagi penduduk pedalaman Sarawak (Hulu Baram) amat berharga, kadangkala boleh mencecah RM 400 sekilogram.

Apa yang membekas dalam ingatan saya ialah kata-kata salah seorang pelajar tahfiz di situ, “Kami tumpang belajar” walaupun tercicir daripada pendidikan arus perdana, ‘Kami belajar tentang al-Qur’an, dan Kami berhasrat untuk memenuhi cita-cita menjadi generasi hufazz pada masa hadapan.”

Dan, tidak bermakna ‘tercicir’ dari arus pendidikan perdana menyebabkan ‘hidup tidak bermaka’ tetapi sekurang-kurangnya “kami bersedia membangunkan generasi Al-Qur’an”.

Kamarun KH

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply