TUN ABDULLAH: ‘DR M BENCI’ DAN ‘MUHYIDDIN HANCURKAN HATI’

Biografi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) mendedahkan betapa bencinya Tun Dr Mahathir apabila melakukan serangan terbuka selepas Barisan Nasional mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-11, yang membuktikan pengaruh kepimpinan Perdana Menteri ke-5 adalah lebih kuat berbanding apa yang pernah diperolehnya sepanjang 22 tahun menerajui negara melalui lima kali PRU (1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999).

Tun Abdullah yang dipilih menggantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan mengangkt sumpah jawatan pada petang Jumaat, 31 Oktober 2003 berjaya mengembalikan kepercayaan umum terhadap BN sedangkan ketika lima tahun terakhir kepimpinan pentadbiran Dr Mahathir (1998-2003), negara berada dalam situasi politik anarkisme.

Dibawah pimpinan Dr Mahathir, UMNO yang menjadi tunjang BN mengalami perpecahan besar selepas perebutan jawatan dalam parti pada tahun 1987 yang membawa kepada pengharamannya pada 4 April 1988. Pengharaman tersebut dilihat sebagai satu ‘tindakan terancang Dr Mahathir dan Tan Sri Sanusi Junid’ kerana mereka berdua sedar bahawa terdapat perwakilan yang mengundi mewakili 30 cawangan dari empat bahagian yang belum diluluskan penubuhannya.

Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas sudah pun bersedia untuk melantik sembilan orang hakim untuk mendengar rayuan UMNO 11 (kumpulan yang memfailkan rayuan bagi mengkaji semula keputusan pengundian dalam pemilihan 1987) kerana sebelumnya ahli UMNO mahukan keputusan pemilihan itu ‘dibatalkan’ dan diadakan pemilihan semua atas beberapa sebab. Pemilihan diadakan pada hari Jumaat, yang menyebabkan berlaku ‘interval yang panjang sebagai memberi laluan perwakilan bersembahyang Jumaat’ dan proses pengiraan undi pada malamnya terganggu akibat ‘gangguan bekalan elektrik’.

Dalam keadaan itu pelbagai kemungkinan boleh berlaku kerana Dr Mahathir sebenarnya ‘terdesak’, termasuk merayu kepada Datuk Sri Najib Tun Razak (ketika Ketua Pergerakan Pemuda) untuk ‘menyokong’ manakala kumpulan Teams B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah didokong oleh ramai menteri (menteri besar) dan timbalan menteri yang mula tidak bersetuju dengan pendekatan politik Dr Mahathir (Tun Abdullah, Tan Sri Rais Yatim, Tan Sri Kadir Sheikh Fadhir, Datuk Rahmah Othman (Allahyarhamah), Tan Sri Syed Hamid Albar, Datuk Shahrir Samad, Datuk Zainal Abidin Zain, Datuk Manan Osman, Datuk Adib Adam, Datuk Harun Idris dan Datuk Ajib Ahmad.

Faktor ‘swing Najib’ dilihat telah memberikan kemenangan kepada Tun Dr Mahathir hanya dengan kelebihan 43 undi. Tun Abdullah bertanding jawatan Naib Presiden dengan memperoleh 879 undi menjadikan beliau adalah satu-satunya calon Team B yang menang, manakala Tun Musa Hitam tewas kepada Tun Ghafar Baba. Tun Abdullah berada di senarai kedua selepas Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (935)  dan tempat ketiga dimenangi oleh Anwar Ibrahim (850).

Selepas pemilihan, Tun Abdullah (Menteri Pertahanan) disingkirkan dari kabinet bersama-sama Tan Sri Shahrir Samad (Menteri Kebajikan Masyarakat) dan Datuk Ajib Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) manakala timbalan menteri terbabit ialah Datuk Rahmah Osman (Kementerian Pengangkutan), Kadir Sheikh Fadhir (Kementerian Luar Negeri), Datuk Zainal Abidin Zin (Kementerian Tenaga) dan Datuk Radhi Sheikh Ahmad (Kementerian Perusahaan Utama).

Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Rais Yatim meletakkan jawatan sebelum rombakan kabinet dilakukan. Peristiwa pengundian dan pengiraan undi pada hari Jumaat itu dianggap sebagai ‘black Friday’ oleh penyokong-penyokong Teams B dan suasana pilu tersebut ditenangkan dengan ungkapan ‘menang dalam peperangan walaupun kalah dalam pertempuran’ sebaik sahaja keputusan diumumkan.

Semasa berhimpun di Kuala Terengganu, dalam rangka pertama berkempen untuk merebut jawatan, Tun Abdullah pernah memberikan amaran kepada Tengku Razaleigh Hamzah agar meneruskan ‘perjuangan menentang kepimpinan Dr Mahathir’ dan beliau siap sedia ‘menembak jika berpatah balik’ manakala Tan Sri Rais Yatim mengisytiharkan telah ‘membakar jambatan’. Ertinya, apa pun yang bakal berlaku, pertempuran tetap berlaku dan tidak ada lagi ‘jalan berpatah balik.’

Mengingatkan kepada peristiwa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak mempunyai ‘pekerjaan selepas tidak diberikan jawatan dalam kabinet’ banyak masa dihabiskan bersama keluarga, apatah lagi beliau juga tidak menyertai Parti Melayu Semangat ’46. Antara tahun 1987 hingga 1990 beliau ‘menyendiri’ dan sering disindir oleh beberapa orang penyokong Anwar apabila hadir dalam majlis tertentu. Hanyalah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang bersedia menemaninya apabila Pak Lah hadir dalam program-program parti di Pulau Pinang.

Tidak ramai ahli UMNO yang ‘melayani’ Pak Lah, kerana tidak lagi berjawatan menteri. Pernah pintu dewan ditutup sebaik sahaja mengetahui kehadirannya, semangat UMNO tetap kuat sehinggalah dalam pemilihan UMNO 1990, Tun Abdullah berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Naib Presiden UMNO (953 undi)  selepas Anwar Ibrahim (1097) dan mendepani Tan Sri Sanusi Junid (750 undi). PRU 1990, Abdullah dicalonkan mewakili BN di Kepala Batas melawan calon Semangat ’46. Pak Lah menang dengan majoriti 9851 undi.

Semangat berpuak-puak dalam pemilihan UMNO kembali menjadi budaya di mana pemilihan 1993 membawa kepada penubuhan ‘blok Team Wawasan’ yang diketuai oleh Anwar Ibrahim dan dianggotai oleh Najib, Muhamad Taib dan Muhyiddin Yasin. Abdullah pula dilihat menyokong Tun Ghafar Baba dan disokong Sanusi Junid dan Isa Samad. Gelombang kebangkitan itu juga menjadikan ‘pengaruh Anwar’ begitu kuat dan beberapa orang tokoh UMNO veteran mula berubah arah, termasuk Tan Sri Mohamad Rahmat (Allahyarham) yang takut ‘miss sorrow’.

Itulah sebahagian daripada ‘ingatan saya’ terhadap pembabitan politik Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak dapat dilupakan walaupun Datuk Wong Sulong berusaha memberikan gambaran lebih lengkap mengenai beliau dalam buku Being Abdullah Ahmad Badawi: The Authorised Biography yang mengambil masa hampir tujuh tahun untuk disiapkan. Buku ini akhirnya berjaya diterbitkan bulan Oktober 2016 walaupun keinginan Wong Sulong sudah bermula sebagi sahaja Pak Lah berundur (3 April 2009). Pelancarannya disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Sime Darby Convention Center pada 31 Oktober 2016 dalam suasana sederhana dan penuh nostalgia.

Dalam titahnya, Sultan Nazrin menjelaskan, pada tahun 1993 ‘lebih ramai yang hilang harapan akan masa hadapan politik Tun Abdullah apabila beliau gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden. UMNO pada tahun 1993, dipimpin oleh Anwar Ibrahim.

Pelantikan Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima, membuktikan bahawa pangkat dan jawatan ditentukan oleh Allah yang Maha Kuasa seperti yang terkandung dalam ayat 26 Surah Ali Imran yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Enkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Itulah takdir dan suratan buat Tun Abdullah Ahmad Badawi. Walaupun pernah tersingkir daripada UMNO dan ‘tidak dipedulikan’ Tun Dr Mahathir terus memberikannya ruang bagi mengimbangi pengaruh Anwar Ibrahim, yang ketika itu dilihat begitu kuat dan tidak boleh disentuh, termasuklah ‘keinginan besarnya’ untuk menjatuhkan kepimpinan Dr Mahathir.

Anwar dilihat tidak bersabar, dan dalam beberapa pertemuan dengan ahli-ahli UMNO, penyokong Anwar sentiasa menaikkan sentimen ‘membenci Mahathir’ kerana mekanisme ‘pengukuhan kuasa’ telah lama dilaksanakan sebaik sahaja mendapat ‘kepercayaan’—melantik rakan-rakan daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam beberapa kementerian, jawatan politik dan seterusnya pentadbiran kerajaan—menjadi ruang terbuka ‘perbalahan’ antara keduanya.

Kebetulan pula Anwar dilaporkan mempunyai hubungan antarabangsa yang kuat dan dikaitkan dengan ‘masalah moral’ menjadi faktor penyebab pemecatannya pada 2 September 1998. Pemecatan tersebut menyebabkan Tun Abdullah Badawi mengisi kekosongan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada bulan Januari 1999, di mana ketika itu beliau adalah Menteri Luar Negara dan menduduki jawatan sebagai Naib Presiden UMNO dalam pemilihan 1996 manakala Najib berada di tangga pertama.

Persoalannya, kenapa Najib tidak dipilih oleh Dr Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun kedudukan dalam parti Najiblah yang berhak? Inilah suratan dan takdir yang ditentukan oleh Allah SWT, begitu juga dengan pemecatan Anwar. Secara lojiknya, Anwar mempunyai kedudukan yang terjamin sebagai Perdana Menteri, tetapi atas ‘kegelojohan’, akhirnya tersingkir. Lojiknya juga, Dr Mahathir akan memilih Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi mungkin ada sesuatu ‘kelebihan Tun Abdullah’ maka dia dipilih bagi menenangkan UMNO yang bergolak akibat pemecatan Anwar.

Buku setebal 500 halaman ini begitu menarik apabila Wong Sulong berjaya mengadunkan naratif kekeluargaan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan keluarga Puan Sri Endon (Allahyarhamah). Sebagaimana diketahui umum, keluarga Abdullah mempunyai ‘semangat jati UMNO’ walaupun latar belakangnya adalah dalam bidang agama, maka ia dengan mudahnya dapat menolak andaian bahawa UMNO merupakan sebuah parti sekular kerana hanya memperjuangkan nilai-nilai nasionalisma. PAS yang lahir dari ‘tulang rusuk UMNO’ pada tahun 1955 hanyalah sekadar ‘menggunakan agama’ tetapi tidak menzahirkannya dalam konteks muamalat yang lebih serius dan realistik, berbanding UMNO.

Selain naratif keluarga, buku yang ditulis dalam 25 bab ini turut berbincang mengenai kronologi dan sebab musabab ‘serangan Dr Mahathir’ yang dikesan bermula pada 7 Jun 2009 secara terbuka atas alasan ‘tidak bersetuju dengan cara menguruskan pentadbiran’ dan ‘keengganan menamakan Najib sebagai timbalan sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran’ (hal.341). Berdasarkan senario itu, Tun Abdullah sebenarnya seperti terperangkap dengan Mahathirisme walaupun pada asalnya pernah berjanji tidak akan campur tangan dalam urusan kerajaan. Bahkan ketika ditanya kemungkinan dilantik sebagai Menteri Mentor (seperti Lee Kuan Yew), Dr Mahathir berkata: When you are out, you are out.

Antara isu yang menjadi ketegangan ialah kepimpinan Tun Abdullah dianggap ‘lemah dan lembik; tidak menghalang ‘pembebasan Anwar’; tiada ‘feel-factor’ yang dianggap boleh membebankan UMNO; dinafikan akses terhadap media dan didakwa sebagai ‘police-state’;  pembabitan ahli keluarga dalam membuat keputusan ; kontroversi ‘minyak untuk makanan’ ke atas Iran oleh PBB; pembabitan Patrick Lim dalam projek pembangunan yang dianggap ‘turun dari langit’; dasar luar negara yang ‘terlalu lembut’ terutama ketika berunding dengan Singapura; tidak memberikan layanan istimewa ‘powerful businessmen’ yang ada ‘hubungan baik’ dengan Mahathir; pemecatan Tengku Mahaleel dari Proton dan penjualan Agusta dengan satu Euro; tidak meneruskan projek  landasan kereta api berkembar; kontroversi vidoe ‘tajaan percutian’ VK Lingam dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan; dan pembatalan projek Jambatan Bengkok.

Kesemuanya terkandung dan dibahas dengan baik oleh Wong Sulong di Bab 19—Under Attack—manakala sikap Tun Abdullah yang ‘humble, easygoing and values frienship’ hanya berserah kepada Allah SWT untuk menentukan, termasuklah kes yang membabitkan Anwar mengenai ‘semburit’ . Menurut Wong Sulong, “As a devout Muslim, it is not his place, even as Prime Minister, to pass judgement on the guilt or otherwise of a person.” (hal.343).

Itulah sebabnya, ketika Anwar dibebaskan dan bercadang ke luar negara untuk mendapat rawatan, Tun Abdullah mengarahkan anaknya Kamaludin menyerahkan ‘passport antarabangsa’, yang bagi sebahagian rakyat, apakah istimewanya? Juga menjadi persoalan, kenapa Kamaludin? Kenapa bukan kakitangan imigresyen ataupun Anwar sendiri datang untuk mengambilnya? Isu ini masih tergantung ‘rasional’nya hingga hari ini.

Dr Mahathir sebenarnya dilanda sindrom seolah-olah dirinya ‘masih Perdana Menteri’ dan kerana itulah tidak pernah berhenti mengkritik sesiapa sahaja Perdana Menteri selepasnya, tidak terkecuali Tun Abdullah yang dipilihnya sebagai pengganti dan Najib yang disokong pelantikannya. Sebab itulah juga hingga kini Dr Mahathir dilihat sebagai seorang yang kronik dan ada ketikanya narsistik.

Ketika BN mengalami kemerosotan pengaruh, Wong Sulong menggambarkan pada malam 8 Mac 2008, pemimpin dan penyolong BN berkumpul di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya. Hampir kesemua yang hadir tergaman kerana gabungan pembangkang berjaya menafikan ‘majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat’ dan tewas di lima buah negeri (Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan gagal di Kelantan). Ketika PRU 11, kedudukan PAS di Kelantan hampir ‘terlepas’. Bagaimanapun, PRU 12 kedudukan PAS semakin kuat dan menghampakan harapan UMNO untuk memerintah Kelantan.

Wong Sulong memetik pendapat seseorang yang rapat dengan Tun Abdullah berkata, suasana yang dihadapi ketika itu seperti ‘ayam tanpa kepala’ di mana ‘berpusu-pusu mereka datang hinggakan pelawat terpaksa diiring ke dewan makan yang lebih besar dan terletak di bangunan lain, bersama sajian ringan, khabar angina dan gossip.’ Bagimanapun, Pak Lah terus memberikan pandangan “adakala kita menang, adakala kita kalah. Kita perlu terima keputusan ini dan meneruskan perjalanan. Mari kita laksanakan janji yang tidak kita tunaikan sebelum ini.”

Jawapan Pak Lah itu tidak boleh diterima oleh sebahagian besar pemimpin UMNO. Emosi marah itu kemudiannya diperbesar-besarkan oleh Dr Mahathir sehingga menyebabkan beberapa perundingan dan perbincangan dilakukan, termasuklah meminta beliau mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Kritikan tajam Dr Mahathir juga telah membantu kemenangan pembangkang sehingga selepas Pak Lah digantikan  oleh Najib, Muhyiddin memainkan peranan untuk ‘membawa balik Dr Mahathir ke dalam UMNO’.

Buku ini turut memberikan gambaran bahawa Muhyiddin Yassin bukanlah seorang pemimpin yang boleh diharapkan kerana tidak menunjukkan sikap ‘tidak setia’ keraa secara terbuka mencabar Tun Abdullah meletakkan jawatan. Tun Abdullah mengkritik Muhyiddin ‘sebagai punca dirinya terkeluar’ dari Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Menurut Pak Lah, ‘ramai kawan-kawan berkata, saya sepatutnya pecat Muhyiddin. Apa yang dilakukannya adalah tidak wajar bagi seorang menteri kanan. Apa yang beliau katakana adalah sangat buruk. Dia tidak setia’ dan hatinya telah ‘dihancurkan oleh Muhyiddin.

Banyak lagi naratif yang tidak ketahui secara lengkap mengenai pemikiran politik dan keupayaan sebenar Tun Abdullah yang disalah anggap oleh orang ramai kerana ‘hanya dilihat berkesan dalam tempoh dua tahun pertama’ manakala tahun-tahun berikutnya sebagai ‘lost in transition.’

Sebuah dokumentasi yang menarik dan penulisan yang seimbang. Walaupun ia merupakan sebuah biografi, banyak juga disorot secara ‘pandangan orang lain’ termasuklah pendapat yang kontra dan pro terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi. Satu kepuasan setelah selesai membaca buku ini, tidak terasa membebankan kerana kecekapan penulisnya merungkaikan isu dan mengadunkan sumber dalam konteks gaya bahasa ‘new journalism’.

Hati Pak Lah telah ‘dihancurkan’ oleh Muhyiddin dan terluka parah diserang Dr Mahathir. Kini, kedua ‘tokoh UMNO’ sedang menyerang Datuk Sri Najib Tun Razak, kerana ‘kepentingan dan membalas kekecewaan’ bukannya benar-benar mahu ‘selamatkan Malaysia.’ Dengan membaca keseluruhan biografi Tun Abdullah kita akan menemui siapakah sebenarnya ‘kawan setia’ dan siapa pula ‘pengkhianat’. Lantaran itulah ketika melancarkan biografi ini, Sultan Perak mengharapkan “Pak Lah tidak wajar berdiam diri, bertindaklah seperti ‘abang tua’ kerana ‘rakyat masih meletakkan harapan’ untuk memberikan ‘nasihat dan bimbingan’.

Nama Buku : Being Abdullah Ahmad Badawi: The Authorised Biography

Nama Penulis: Wong Sulong

Nama Penerbit: Pelanduk Publications, 2016

Nama Pengulas: Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply