TUN HUSSEIN ONN

Anak kepada Dato Onn tokoh pejuang kemerdekaan Tanah Melayu, Tun Hussein Onn, dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari, 1922. Beliau mendapat pendidikan awal di English College, Johor Bahru. Setelah tamat belajar, beliau menyertai pasukan tentera Johor. Tun Hussein Onn kemudian memasuki Akademi Tentera India dan seterusnya Pusat Latihan Polis Malaya di Rawalpindi. Apabila pulang ke tanah air, beliau telah dilantik menjadi Ketua Polis Johor Bahru.

PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-3

Tun Hussein Onn bukan sahaja berminat dalam bidang ketenteraan dan kepolisan. Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincolns Inn, England. Setelah tamat belajar dan pulang ke tanah air, beliau menceburi bidang guaman. Minatnya dalam bidang kemasyarakatan dan ingin memberi sumbangan terhadap negara, akhirnya telah menyebabkan dia terlibat dalam bidang politik. Kemuncak daripada penglibatan beliau dalam bidang politik membolehkan beliau dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, menggantikan Tun Abdul Razak, yang meninggal dunia di London pada tahun 1976. Beliau menjadi Perdana Menteri sehinggalah terpaksa meletakkan jawatan atas sebab-sebab kesihatan, pada tahun 1981.

BAPA PERPADUAN

Tun Hussein Onn terkenal sebagai pemimpin yang berjiwa lembut dan suka membuat kebajikan. Beliau mewarisi negara Malaysia yang telah diletakkan asas-asas pembangunannya oleh Tun Abdul Razak. Oleh itu, beliau lebih menumpukan kepada projek-projek kemudahan asas untuk setiap lapisan masyarakat terutamanya mereka yang tinggal di luar Bandar.

Selain daripada menitik beratkan program-program berbentuk kemasyarakatan dan kebajikan, Tun Hussein Onn juga begitu mengambil berat tentang perpaduan dan keamanan negara. Oleh sebab itu, beliau telah digelar sebagai Bapa Perpaduan. Tun Hussein Onn meninggal dunia pada 29 Mei, 1990. Seorang anak beliau, Datuk Hishamudin sekarang ini adalah salah seorang menteri dalam Kabinet Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad.

DATO ONN BIN JAAFAR

Tun Hussein Onn berasal daripada keluarga elit. Bapa dan datuk beliau pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Besar Johor. Ayah Tun Hussein, Dato Onn bin Jaafar, adalah salah seorang pengasas UMNO.

Beliau telah memimpin orang-orang Melayu menentang cadangan penubuhan Malayan Union oleh penjajah Inggeris. Beliau yang ketika itu menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat telah dilantik menjadi Pengerusi Pergerakan Melayu Johor yang ditubuhkan pada 1 Januari, 1946.

Apabila UMNO ditubuhkan pada 11 Mei, 1946. Dato Onn Jaafar telah dilantik sebagai Presidennya yang pertama. Walau bagaimanapun Dato Onn Jaafar telah meletakkan jawatannya di dalam UMNO pada 1951 dan menubuhkan Independence for Malaya (IMP).

Pada tahun 1954, beliau telah menubuhkan Parti Negara sebagai ganti kepada parti IMP yang dibubarkan. Walaupun Dato Onn Jaafar menemui kegagalan melalui kedua-dua parti itu, jasa beliau dalam perjuangan awal orang Melayu di Malaysia amatlah besar dan sentiasa dikenang.

TUN HUSSEIN ONN

1922 Dilahirkan di Johor
1940 Lulus senior Cambrige
1942 Menerima tauliah sebagai Pegawai Tentera
1945 Pulang ke tanah air
1948 Menyambung pelajaran di England
1951 Bersama Dato Onn menyertai Parti Negara
1968 Kembali menyertai UMNO
1970 Menjadi Menteri Pelajaran (Menteri Pendidikan)
1973 Menggantikan Tun Dr. Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri
1976 Menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-3
1979 Melancarkan RMK-3
1981 Melancarkan Amanah Saham Nasional (ASN), iaitu pada 20 April
1981 Meletakkan jawatan pada 16 Julai, atas sebab kesihatan
1990 Meninggal dunia

Penyerahan tugas Perdana Menteri oleh Tun Hussein Onn kepada Dato Seri Dr. Mahathir Muhammad. Tun Hussein Onn mengundur diri kerana masalah kesihatan.

Susunan Norisham Hamzah

No Comments

    Leave a reply